BAB 3
KEADAAN di dewan perpustakaan itu sunyi sepi biarpun dihuni oleh
ramai pengunjung. Masing-masing sedang sibuk menelaah pelajaran disamping
mencari maklumat di dalam buku rujukan. Keadaan sepi itu diselangi dengan bunyi
batuk, deheman dan juga pen terjatuh yang berulang. Ada juga kedengaran
suara-suara kecil, mungkin berbincang atau bertanyakan perkara yang tidak
difahami.
Jauh di sudut kecil, Nina kelihatan tekun menelaah pelajaran. Matanya
tidak lepas dari memandang buku di atas meja sejak dari dia masuk ke sini tadi.
Keadaan persekitaran yang selesa dan sunyi membantu dia lebih fokus belajar.
Sekejap-sekajap Nina membelek buku rujukan berkulit biru setebal dua
inci di hadapannya. Mencari maklumat yang berguna untuk dijadikan bahan bacaan
kelak. Kemudian, dia menulis sesuatu di dalam buku catatannya. Mencatit isi-isi
penting untuk dijadikan rujukan semasa persediaan menghadapi peperiksaan nanti.
Selepas itu, pandangannya kembali tertancap pada buku tebal tadi.
Keadaan perpustakaan yang sepi tanpa sebarang bunyi membantu Nina
belajar dengan tenang di situ. Nina lebih suka belajar dalam keadaan senyap
tanpa diganggu bunyi bising. Oleh sebab itulah, Nina lebih suka menghabiskan
waktu di perpustakaan tak kiralah waktu siang ataupun malam hanya untuk
menelaah pelajarannya semata-mata.
Namun tumpuan Nina terhadap pelajarannya sejak akhir-akhir ini sering
terganggu dek keputusan yang nendanya buat secara mendadak. Selepas dipaksa mengikat
tali pertunangan dengan Amil, Nina lebih banyak termenung mengenangkan nasib
diri. Dia langsung tidak berkenankan Amil, apatah lagi untuk sehidup dan semati
dengan lelaki itu. Sungguh dia tak mahu.
Pen di tangannya diletakkan di atas meja. Tumpuan yang terganggu pada
keputusan nenda memaksa Nina untuk merehatkan minda seketika. Dia menyandar
lesu di bahu kerusi dan memandang ke arah dinding putih dengan perasaan yang
kosong.
Sejenak Nina terkenangkan peristiwa pada malam nenda mengumumkan
keluarga Uncle Asmadi akan datang membawa rombongan merisik. Waktu itu, mamalah
orang yang paling terkilan. Nina masih ingat, berkali-kali mama merayu supaya nenda
lupakan saja niat berbesan dengan keluarga Uncle Asmadi tetapi nenda berdegil.
Kata nenda, jika dahulu mama tidak mahu menikah dengan Uncle Asmadi,
Ninalah yang terpaksa memikul tanggungjawab itu. Nenda mahu mengekalkan
keturunannya. Macam mana sekalipun, nenda mahu anak-anak Nina berpangkal Tengku
di hadapan walaupun keinginan nenda ini tak masuk dek akal langsung!
Ah, apalah sangat dengan keturunan dan darjat? Bagi Nina, jika
dilihat pada warna darah sekalipun semua orang sama saja. Masing-masing
berkongsi warna darah yang sama! Tak ada bezanya pangkal pada nama.
Akhirnya Nina mengeluh panjang tatkala mengenangkan nasib diri.
Fikiran Nina penat bergilir-gilir memikirkan tentang nasib diri dan mata pelajaran
yang diulangkaji hari ini. Berkali-kali Nina tanyakan pada diri sendiri apakah
keputusan yang diambilnya ini betul? Apakah nanti dengan menurut kehendak
nenda, Nina akan bahagia?
Sudahnya Nina mendongak merenung siling berukiran bunga di
perpustakaan itu. Dia memicit-micit pelipis bagi menghilangkan penat berfikir.
‘Sudah-sudahlah Nina. Mungkin inilah dikatakan takdir.’ Nina
berbisik sendiri.
Jarum jam sudah menginjak ke angka 9.00 malam. Nina mula
bersiap-siap untuk pulang ke asrama. Nina menggeliat kecil dan bangun menyusuri
deretan rak-rak buku novel Melayu dan Inggeris. Sekali-sekala Nina akan
meluangkan masa dengan membaca novel. Bergilir-gilir membaca novel Melayu dan
Inggeris. Sejenak matanya berhenti pada nama Zuri Yanie bertajuk Kupujuk Hati.
Lalu Nina kembali ke meja belajarnya tadi dengan senaskah buku itu di dalam
genggaman. Malam nanti Nina akan membacanya sebelum tidur.
Baru saja Nina melangkah keluar dari bangunan perpustakaan,
telefonnya berbunyi minta diangkat. Tatkala melihat nama Amil tertera di skrin
telefon, Nina biarkan saja ia membingit dan meneruskan derap. Entah apalah yang
Amil mahukan darinya sehingga menelefonnya pada malam begini, Nina tak mahu
ambil pusing. Difikirannya cuma satu. Dia mahu merehatkan fikiran dan tubuh
badan tanpa gangguan sesiapapun.
Sekejap saja sepi kemudian telefonnya berbunyi lagi. Kali ini Nina
sudah bersedia untuk menjawab panggilan.
“Nina kat mana?” Belum sempat Nina mengucapkan salam, Amil
terlebih dahulu bertanya di hujung talian.
“Nina baru keluar dari perpustakaan. Sekejap lagi Nina akan balik
ke hostel.” Nina menjawab tenang. Jam yang dihadiahkan oleh Muhriz sempena hari
lahirnya yang ke-18 ditilik sekilas. Dia tidak suka diganggu pada malam begini
terutamanya oleh Amil. Dia tidak sukakan lelaki itu bahkan dia tidak mahu
mendengar suara lelaki itu.
“Ada apa Amil telefon Nina ni?” Entah apalah yang Amil mahukan
darinya. Sejak dari hari mereka bertunang sehingga kini, Amil tidak serik-serik
mengganggunya melalui panggilan telefon. Lelaki itu tidak sudah-sudah
mengganggunya biarpun diminta jangan mengganggunya lagi.
Pernah sekali Nina meminta Amil supaya menghentikan saja
perbuatannya itu. Namun, selang sehari nenda menelefon meleterinya kerana tidak
melayan lelaki itu. Sudahnya, Nina terpaksa menjawab setiap panggilan dari
lelaki itu dari mengelak dibebeli oleh nenda lagi.
“Nina dah makan? Kalau Nina belum makan lagi, Amil nak ajak Nina
keluar makan sama-sama.” Suara Amil memecah khayalan Nina pada nenda.
Tumpuannya kini beralih pada Amil.
“Dah. Nina dah makan pukul enam tadi.” Nina jawab cepat-cepat.
Sebolehnya dia tidak mahu keluar berdua dengan Amil. Dia tidak sukakan Amil.
Pandangan mata Amil lain benar rasanya bila memandang ke arah dia. Lebih baik
dia cuba mengelak dari bertemu Amil langsung. Jika mahu, Amil patut datang ke vila
nendanya nanti jika mahu bertentang mata.
“Nina dah nak sampai ke hostel. Sekejap lagi Nina nak bersihkan
diri dan lepas tu Nina nak tidur.” Nina cuba memberikan alasan, mencari jalan
keluar dari situasi canggung antara dia dan Amil.
“Esokkan hari minggu? Awalnya Nina tidur. Apa salahnya Nina borak
panjang sikit dengan Amil malam ni.” Amil sedikit kecewa mendengar jawapan
Nina. Sudah beberapa hari dia cuba mengajak Nina keluar makan malam dengannya
namun tak berhasil. Jika diajak bercakap melalui telefonpun sekejap saja Nina
melayan. Nina lebih suka menghabiskan masanya di perpustakaan dan di asrama
saja daripada berborak panjang dengannya. Selebihnya, ada saja alasan Nina.
“Kalau Nina tidur awal, esok Nina bolehlah bangun awal.” Nina cuba
mencari alasan.
Amil diam saja. Memang dia sudah masak dengan alasan Nina. Nina
bagaikan tidak sukakannya. Bicara Nina acuh tak acuh saja dengannya. Bila
diajak bercerita, Nina lebih suka menjadi pendengar. Bila diajak keluar makan
bersama, ada saja alasan Nina. Kenyang, nak menelaah pelajaran dan mengantuk.
Ah, kalau tidak kerana kehendak papanya menjodohkan dia dengan Nina, tak
mungkin dia menurut. Dia lebih sukakan gadis bersikap terbuka. Bukan seperti
Nina. Harap saja dari keluarga berada tetapi orangnya bagai gadis kampung.
Bosan!
Mendengar hujung talian menyepi, Nina menyambung lagi.
“Kita sambung borak esok, bolehkan Amil?” Nina cuba berlembut, berharap
moga-moga Amil tidak lagi mengganggu.
Memang Nina penat kerana seharian menelaah pelajaran. Nina mahu
merebahkan tubuh di atas katil sambil membaca buku yang baru dipinjamnya tadi
sebelum Nina terlelap.
“Okey,” sepatah jawapan Amil menampar cuping telinga Nina.
Nina mula sedar suara Amil seolah-olah lelaki itu berjauh hati. Belum
sempat Nina memberi salam, Amil sudahpun memutuskan talian. Nina terkedu dan kemudiannya
mengeluh.
Apa salahnya Amil memberi dia ruang untuk diri sendiri?
Kadang-kadang Nina rimas dengan panggilan telefon dari Amil. Lelaki itu terlalu
inginkan perhatiannya. Pelik sungguh!
“Nina…”
Baru saja ingin menapak ke anak tangga asrama, lengan Nina dipaut
kemas dari arah belakang.
Terpaku Nina tatkala melihat tubuh Amil berdiri tegap di
hadapannya dengan senyuman yang manis. Lelaki itu lalu menghulurkan sejambak
mawar putih dan kuning kepada Nina yang masih kelu.
“Buat Nina.” Dalam terkelu Nina menyambut jua huluran Amil.
Teragak-agak.
“Nina temankan Amil makan malam, boleh?” Amil bersuara dengan
senyuman yang melebar. Terserlah lesung pipit di pipinya tatkala dia tersenyum.
“Nina…” Nina cuba mencari ayat yang sesuai untuk menolak
permintaan Amil. Sebenarnya dia masih terkejut dengan kemunculan Amil di
hadapannya kini. Tak terduga dia lelaki ini akan datang secara mengejut. Yang
pastinya, permintaan lelaki itu tidak boleh ditolak lagi!
“Amil datang semata-mata nak jumpa dengan Nina sebab Amil rindukan
Nina. Bolehkan Nina temankan Amil walaupun sekejap?” Amil menatap sayu wajah
Nina.
Ah, pandainya Amil bermain dengan kata-kata. Sejak bila pula
lelaki itu merinduinya sedangkan sebelum ini mereka cuma pernah bersua beberapa
kali saja? Itupun semasa lelaki itu berkunjung ke vila nendanya semasa Hari
Raya Puasa saja. Mereka tak pernah berbual apatah lagi untuk jatuh cinta dan
rindu-rinduan. Jauh sekali!
Nina mendiamkan saja dirinya dari membalas kata-kata Amil. Dia
sekadar tunduk mencium haruman mawar-mawar mekar di dalam pelukannya itu.
Entah kenapa, kali ini tatkala matanya menyinggah pada Nina yang bergaya
bagaikan gadis kampung, hatinya terpaut. Pada raut wajah polos itu, Nina
kelihatan cantik dan menawan. Nina tidak seperti gadis-gadis yang
didampinginya. Biarpun berwajah seksi dan menawan, mereka semua palsu. Mereka
lebih suka bersembunyi di sebalik coretan tebal di wajah.
Sejenak jantung Amil bagaikan berdenyut dengan nada yang indah
tatkala melihat senyuman Nina di sebalik jambangan mawar di tangannya. Kali ini
dia terpaksa mengunyah kata-katanya sendiri. Nina cantik biarpun tanpa solekan
bahkan wajah tenang Nina membuatkan dia terpaut, terpana bahkan terkedu.
“Amil tahu kedatangan Amil ni dah buat Nina terkejut, tapi apa
salahnya Nina temankan Amil malam ni saja.” Kali ini Amil merayu. Apa nak jadi,
jadilah. Asalkan Nina sudi menemaninya malam ini. Dia bagaikan hilang arah
melihat Nina kali ini. Seolah-olah Ninalah kini penunjuk arahnya itu.
Nina makin serba salah. Jika dia menolak bererti dia akan
menyebabkan Amil berkecil hati. Dan pastinya lelaki itu akan mengadu pada nenda
dan menimbulkan kemarahan nenda.
“Nina naiklah dulu, bersihkan diri. Amil tunggu Nina kat bawah ni.
Amil janji akan hantar Nina balik awal.” Melihat Nina hanya diam, Amil mengarah
lembut. Tubuh Nina didorongnya ke tangga dan memerhati tubuh Nina hilang di balik
anak tangga.
Selepas membuka pintu biliknya, terkedu Nina dengan tindakan teman
sebiliknya, Hana, menerkam laju ke arahnya. Jambangan bunga bertukar tangan
membuatkan Nina tertawa geli hati. Hana pantas saja menyuanya ke wajah,
menghidu wangian bunga segar.
“Wangi!” Gadis kecil itu melantunkan kata ceria. Dia pula yang
kelihatan gembira dengan pemberian ini.
“Dalam diam dah ada buah hati. Sejak bila pandai berahsia pulak ni?”
Mata galak Hana menikam ke anak mata Nina.
Nina cepat-cepat melarikan anak matanya. Tidak keruan Nina jadinya
dengan soalan satu-satunya teman sebilik itu. Nina berpura-pura menyibukkan
diri menyusun buku-buku yang berselerakkan di atas meja. Sebolehnya dia mahu
melarikan pandangan dari bertembung dengan Hana. Tidak mahu nanti Hana
bertanyakan soalan lain pula. Itu belum lagi bertanya tentang cincin platinum
bertatahkan berlian yang tiba-tiba terjatuh dari kotak barangan peribadinya
tempoh hari. Terpaksa pula dia berbohong cincin tersebut hadiah dari nendanya.
Padahal ianya cincin tunang.
Nina dan Hana saling mengenali sewaktu mereka mula-mula mendaftar
untuk mengikuti program IB di situ. Hana juga akan bersamanya ke U.K.
menyambung pengajian dalam bidang yang sama. Mereka tidak banyak persamaan dari
segi hobi, kegemaran dan susur galur keturunan tetapi mereka sebulu bila
bercerita tentang cita-cita dan impian.
Nina selesa berkawan dengan Hana. Gadis kecil ini banyak
membantunya dalam pelajaran. Hana tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman
hidup. Biarpun mereka berdua jarang menghabiskan masa bersama-sama, mereka
tetap serasi.
“Hana Hanif. Amil tu anak kepada sepupu mama aku, lebih kurang
abang saudara aku. Takkanlah aku dan dia nak bercinta pulak.” Nina cuba berdalih,
memutar belit jalan cerita.
Buku-buku yang dibawa pulang dari perpustakaan tadi disusun dengan
kemas di atas meja. Nina masih belum mampu membalas pandangan Hana. Takut nanti
rahsia pertunangan yang disimpan kejap terbuka begitu saja.
Usai mengemas mejanya, Nina mengambil tempat di kerusi belajarnya.
“Oh, nama dia Amil. Handsome-nya!”
Hana melonjak riang mendengar Nina menyebut nama Amil.
Nina tertawa geli hati melihat tindakkan Hana lalu bahu gadis
genit itu ditamparnya lembut.
“Kalau kau nakkan dia, aku boleh kenalkan. Itupun kalau kau tak
kisah nak tinggalkan Zamir Asmara kau tu demi Amil.” Nina mengusik sambil mengenyit
matanya. Sengaja dia menekan nama kekasih hati Hana, ditokok tambah Asmara di
belakang nama panggilan lelaki itu.
“Masya-ALLAH, Nina. Ke situ pulak kau. Kalau dengan aku tak
sesuailah tapi kalau dengan kau, bagai pinang dibelah dua.” Hana mengambil
tempat duduknya semula. Dia berpura-pura menilik mawar di dalam pelukannya.
‘Apalah Nina ni, orang nak kenenkan dia dengan Amil, kita pula
yang jadi mangsa.’ Desis Hana di dalam hati.
“Aku serius ni, Hana. Kalau kau nakkan Amil, aku boleh kenalkan.
Kalau nak kenal dia sekarang pun boleh. Kau boleh ikut kita orang keluar makan
sama-sama jugak.” Nina cuba mengusik, menanti bibir Hana mencebir.
“Alah kau ni, Nina. Mulut aje cakap tak nak, tapi hati tu bukan
main suka lagi. Aku tengok dari riak muka kau pun aku dah tahu yang kau sukakan
dia.” Hana cuba serkap jarang. Cuba memancing Nina bercerita.
Sebetulnya dia berasa pelik dengan perubahan sikap Nina sejak
kembali dari cuti pertengahan semester. Nina lebih suka termenung dan mengeluh.
Dia bimbang Nina akan mengabaikan pelajarannya. Dia juga bertambah pelik
tatkala matanya tertancap pada sebentuk cincin berlian yang tiba-tiba jatuh
dari loker Nina. Dia ada bertanya sendiri pada Nina tentang cincin tersebut.
Namun terang Nina, cincin tersebut adalah hadiah dari nendanya.
“Eh, dah bertukar jadi ahli nujum pulak ke, Hana? Boleh main tilik-tilik
perasaan orang ni. Ajaib!” Nina sengaja berdalih. Dia tidak mahu isunya dengan Amil
berpanjangan.
Teringatkan Amil, lelaki itu masih menunggunya di bawah. Pantas
Nina menepuk dahi lalu tergesa-gesa menarik tuala yang tersidai di birai katil.
“Patutlah sehari dua ni aku tengok kau ni semacam aje. Asyik
termenung sana, termenung sini. Sekejap-sekejap mengeluh. Rupa dah macam orang
mati laki. Hah, nilah rupanya masalah negara tu. Entah-entah kau sorokkan
sesuatu dari aku tak, Nina?” Hana menyambung lagi, kali ini dengan tanda soal. Langsung
tidak diendahkan senda Nina yang tadi.
“Dah. Aku nak mandi dulu. Sekejap lagi nak keluar makan dengan Amil.
Dari tadi lagi dia tunggu kat bawah tu. Kalau layan kau ni, esok lusa pun belum
tentu habis.” Nina melontarkan bantal kecilnya ke wajah Hana lalu berlari ke arah
pintu.
“Amboi, orang dah mabuk bercinta macam nilah perangainya. Muka aku
jugak yang jadi mangsanya. Jangan kau dah kahwin dengan dia tak beritahu aku
sudahlah, Nina.” Hana mengomel sendiri. Masih sempat kata-katanya menampar ke
cuping telinga Nina.
Cepat-cepat Nina menutup daun pintu. Dia tidak mahu isu dia dan Amil
dipanjangkan. Dia belum bersedia bercerita kepada sesiapapun tentang
pertunangannya dengan Amil. Biarlah dirahsiakan dulu.
No comments:
Post a Comment