BAB 2
CUTI penggal semester akhir sudah bermula. Nina kembali lagi ke
vila di tepi pantai itu bagi menghabiskan baki cutinya yang terakhir sebelum
tamat IB. Usai menjamu hidangan makan malam, Nina terus mendaki anak tangga menuju
ke bilik mamanya. Dia merebahkan tubuh ke atas katil sementara menanti mamanya
muncul di sebalik pintu kamar.
“Awal Nina naik. Macam lari dari nenda aje?” Mama muncul dengan
segelas susu lalu dihulurkan kepada Nina. Nina tidak membantah malah meneguk
sehingga habis.
Mama kemudiannya mencapai bantal dan mengambil tempat di sebelah
Nina.
“Nina tidur dengan mama malam ni, boleh?” Telahan mama tidak
dibalas sebaliknya Nina merengek manja. Kepalanya diletakkan di atas ribaan
wanita itu.
Semenjak mama menjadi ibu tunggal, Nina tak pernah ketandusan
kasih sayang. Malah, mama tak pernah lokek meluangkan masa bersama dengan dia
dan Muhriz biarpun letih. Bagi Nina, mama seorang pendengar yang baik. Walaupun
Nina membesar tanpa kehadiran ayah di sisi, Nina tak pernah rasa kekurangan
kasih sayang.
“Anak mama dah besar pun masih nak tidur dengan mama lagi?” Mama
mengusik Nina. Nina hanya tersengih. Keadaan bilik menjadi tenang seketika saat
tangan lembut mama membelai ubun-ubun Nina.
“Dah lima bulan tak tidur dengan mama. Sebab tulah Nina fikir
sementara cuti ni, Nina nak tidur dengan mama.” Nina berkata-kata manja sambil
mengelus jemari mamanya. Pandangan mereka bersatu lembut tatkala Nina menarik
jemari mama ke bibir.
“Kalau macam ni, Nina tentu akan rindukan mama nanti bila Nina kat
U.K.” Mama membalas lembut kata-kata Nina. Tangannya tidak henti-henti mengelus
rambut Nina.
“Sekarang kan dah moden? Nina akan cuba telefon mama melalui aplikasi
Skype tak pun Talk.” Nina cuba menyakat mama. Nina akui biarpun dapat melihat
mamanya melalui skrin telefon mahupun komputer nanti, ianya tetap tak sama
berada di hadapan mata.
“Yalah, mama aje yang buta teknologi.” Maya mengalah. Dia hanya
mengukir senyuman tatkala melihat Nina mengangkat tangan tanda kemenangan.
“Ma…” Nina menarik jemari mama ke dalam genggamannya. Mata mereka
saling berbalas pandang. Ada satu perasaan rindu yang tak tergambar di sebalik
sinaran mata mama. Nina mula terkesan riak mamanya berubah tatkala menyebut
perkataan U.K. tadi.
Nina cuba tersenyum. Biar perasaan mama tenang melihat senyuman
Nina. Senyum itukan penawar duka. Dulu-dulu, Nina pernah terbacakan diari mama.
Menurut mama, jika mahu menghilangkan rasa rindu pada ayah, mama akan buatkan
Nina ketawa dan tersenyum kerana Nina dan ayah berkongsi senyuman yang sama.
“Nina tanya boleh? Tapi mama mesti jawab dengan jujur.”
Mama hanya mengangguk.
“Mama tak rindukan ayah?” Nina tanya lembut dan berhati-hati
dengan nada yang bergetar.
Kali ini mama membisu. Matanya melekap kemas di pintu biliknya.
Seolah-olah pintu itu menjadi layar yang menyiarkan kenangan lama.
“Tapi kalau mama tak nak jawab, Nina tak paksa.” Melihat kepada
raut wajah mama, Nina mula berasa bersalah kerana mengutarakan soalan itu.
“Apa yang nenda bincangkan dengan Nina minggu lepas?” Maya menukar
tajuk perbualan mereka.
Bukannya dia tak mahu menjawab pertanyaan Nina. Cuma hatinya masih
lagi terluka dengan perbuatan Mustafa suatu ketika dulu. Biarlah dia membuka
lembaran hidup baru dan membiarkan kenangan bersama lelaki itu hidup dengannya.
Sudah tidak ada yang perlu diperbetulkan. Hidupnya kini ditemani Nina dan Muhriz.
Dia juga berharap Mustafa juga bahagia bersama pilihan hatinya. Dia yakin bekas
suaminya itu takkan pernah mengingati mereka lagi.
Kali ini Nina diam. Pertanyaan mama bagaikan penggera yang menyatakan
tempoh untuk Nina berfikir tentang jawapan kepada permintaan nenda minggu lepas
sudahpun tamat.
“Macam besar aje masalahnya. Kenapa nenda tak cakap pada mama
aje?” Maya mula sangsi bila melihat wajah Nina mula berubah. Dari raut manja,
Nina kini bertukar suram. Apakah permintaan bondanya sesuatu yang terlalu berat
untuk Nina tunaikan? Maya mula berfikir yang bukan-bukan.
“Ma… patut ke Nina kahwin dulu sebelum sambung belajar?”
Pertanyaan Nina kali ini membuatkan Maya terkedu. Apakah bondanya telah meminta
Nina berkahwin dahulu sebelum menyambung pengajiannya di luar negara? Ah,
langsung tak masuk dek akal.
“Nenda suruh Nina kahwin?” Kali ini jemari Nina digenggam erat.
Mata Nina ditatap bagi mencari kebenaran.
Nina kehilangan kata-kata. Seminggu dia di kolej memikirkan
permintaan nenda yang satu ini. Sebenarnya bukan permintaan tetapi lebih kepada
syarat. Ya, syarat Nina untuk sambung belajar di luar negara ialah berkahwin
dengan pilihan nenda.
Ah, seminggu Nina dihurung sakit kepala. Sudahlah menyudahkan IB
ini susah, ditambah pula dengan masalah nenda yang satu ini. Sebolehnya Nina
tak mahu melibatkan mama dalam hal ini tetapi bila mama sudah bertanya, Nina
tak boleh nak mengelak.
Nina tak mahu melukakan hati sesiapa. Tidak nenda apatah lagi
mama. Namun jika Nina memilih untuk berkahwin, Nina seolah-olah membina satu
tembok untuk berkerjaya. Bahkan lelaki yang dipilih nenda adalah lelaki yang
tak pernah Nina suka apatah lagi menjadi teman seumur hidupnya.
“Dengan siapa? Mama kenal ke orang tu? Nina suka?” soalan mama
bertubi-tubi menerjah ke dalam telingan Nina.
Nina makin diam. Sepatutnya Nina tak perlu ceritakan hal ini
kepada mama. Seminggu Nina cuba yakinkan diri untuk membantah saja syarat
nenda. Tapi jika Nina membantah, bermakna Nina perlu melupakan hasrat ke U.K.
dan belajar saja di sini.
Tapi Nina tak mahu. Sebenarnya Nina punya perancangan sendiri
untuk ke sana. Sambil belajar di sana, Nina dapat mencari ayahnya semula. Nina
mahu menyatukan keluarga mereka semula. Tanpa diduga jalan yang Nina pilih ini
seolah-olah berpagar di tengah. Sama ada Nina perlu memanjat pagar tersebut
atau Nina berpatah semula dan memilih jalan lain. Betullah kata pensyarahnya
dahulu.
‘Some people will throw
stone on your path. It depends on you to build a wall or bridge.’
Maya bingkas bangun dari tempat duduknya. Ditinggalkan Nina yang
terpinga-pinga di atas katil.
Melihat mamanya meninggalkan dia, Nina pantas bangun mengejar dari
belakang menuruni anak tangga. Sejenak Nina terpana melihat mama menerjah masuk
ke kamar nenda begitu saja. Ditutupnya pintu rapat-rapat seolah-olah mama tidak
mahu sesiapa mendengar perbualan mereka.
Keinginan Nina untuk tahu apa yang ingin dibicarakan oleh mama
menarik langkah Nina rapat ke pintu kamar nenda. Lalu, Nina melekapkan telinganya
ke situ.
“Betul ke apa yang Nina cakap pada Maya?” Suara Maya sedikit
meninggi. Terkejut bukan kepalang dia mendengar dari mulut Nina sendiri tentang
aturan bondanya itu.
“Pasal apa? Pasal kahwin dengan Amil sebelum ke U.K.?” Tengku
Mariam bertanya tenang. Sejak dari tadi dia cuba mencari peluang bertanyakan
sendiri kepada Nina tentang syaratnya itu. Tak sangka pula Nina akan ceritakan
pada mamanya.
Mendengar nama Amil, mata Maya terus membuntang. Cari nahas
namanya. Cucu saudara bondanya itu bukan boleh dibuat suami.
“Bonda tak boleh buat Nina macam tu. Bonda tak boleh paksa Nina
kahwin dengan sesiapapun. Nina dah besar. Nina berhak pilih teman hidup dia
sendiri.” Suara Maya kembali tenang tetapi tegas. Dia hanya memerhati bondanya
mengait tanpa menghiraukan kehadirannya di situ.
“Aku nenda dia. Aku berhak tentukan hidup dia. Kalau betul dia nak
ke U.K., kahwin dengan Amil dulu. Kalau tak, belajar saja kat sini.” Tengku
Mariam masih tenang. Sejauh manalah sangat Maya akan membantah. Lambat-laun
mereka dua beranak akan menurut saja kata-katanya. Tengoklah nanti.
“Tapi bukan dengan Amil, bonda. Nina berhak tentukan jalan hidup
dia. Bonda kena akui sekarang ni bukan zaman kita tentukan jodoh anak-anak
kita.” Maya kecewa dengan tindakan bondanya. Sampai hati Tengku Mariam
meletakkan syarat kepada Nina.
Maya akui Tengku Mariam terlalu kecewa dengan keputusannya
menikahi Mustafa suatu ketika dulu.
“Kenapa? Sebab kau tak sukakan Asmadi dulu dan sekarang kau tak
mahu keturunan aku kahwin dengan keluarga dia? Macam tu?” Tengku Mariam bingkas
bangun. Ditinggalkan hasil kaitannya di atas kerusi Cleopatra merah itu lalu
menghampiri beranda.
“Bukan macam tu bonda. Ikatan perkahwinan tak akan bahagia tanpa
kerelaan hati.” Maya masih mencuba merayu seperti tadi.
“Kau jangan nak mengajar aku, Maya. Kau dah lupa yang kau dulupun
melutut di kaki aku sebab Mus tinggalkan kau? Kerelaan hati konon! Rumah tangga
siapa yang tak bahagia sekarang ni?!” tempelak Tengku Mariam. Panas hatinya
mendengar Maya cuba mengajar dia. Dia tahulah apa yang sedang dia lakukan
sekarang. Semuanya demi kebaikkan Nina. Jika dia tak tentukan nasib Nina,
barangkali Nina akan mengikut jejak Maya dan merana sehingga ke akhir hayatnya.
“Bonda…” Suara Maya mula bergetar.
“Kan aku dah cakap dulu, kahwin dengan keturunan baik-baik macam
kita ni. Tengku Asmadi itupun doktor. Entah apa yang kau nampak pada Mus.
Kahwin tak sampai enam tahun dah bercerai-berai. Jantan jenis apa aku pun tak
tahu!” Tengku Mariam mula melepaskan kata-kata. Biar Maya sedar yang dia telah
melakukan kesilapan besar dahulu.
“Aku dah cakap pada kau, aku nak kekalkan keturunan kita. Tapi kau
tu keras kepala. Tengok sekarang apa dah jadi. Keluarga porak-peranda, ada hati
nak mengajar aku.” Keras Tengku Mariam bersuara, mengguris perasaan Maya.
“Tapi bonda pun nikah dengan orang kebanyakkan jugak.” Maya
bersuara dalam tangisan.
“Kau jangan nak mengajar aku! Memang aku bernikah dengan orang
kebanyakkan. Tapi hidup aku tak melarat. Bahkan, aku yang menanggung hidup kau
dan anak-anak. Aku nak kekalkan darah keturunan kita. Kalau kau tak suka,
jangan masuk campur.”
Nina yang sejak dari tadi mendengar mama dan nendanya bertikam
lidah mengetuk pintu kamar itu lalu menerpa masuk. Tubuh mama dipeluk erat dari
arah belakang.
Sampai hati nenda mengata yang bukan-bukan pada mamanya. Dia tidak
mahu menangis bahkan dia mahu menunjukkan betapa kuatnya dia di hadapan nenda.
“Nenda… Nina dah buat keputusan yang Nina akan kahwin dengan Amil
sebelum bertolak ke U.K. Nina akan turut apa saja kemahuan nenda asalkan nenda
dan mama gembira.” Nina memutuskan kata. Serentak itu Nina menyorong tubuh
mamanya keluar dari bilik itu.
Biar hatinya terluka asalkan bukan mama. Berkali-kali dia
menyalahkan diri kerana terlepas bicara pada mama tadi. Tentu perkara sebegini
tidak akan berlaku.
No comments:
Post a Comment