BAB1
OMBAK tak sudah-sudah memukul pantai. Burung-burung pula terbang
kembali ke sarang masing-masing setelah seharian keluar mencari makan. Mentari
mula menyembunyikan wajah di hujung laut sekaligus menyerlahkan warna jingga di
ufuk barat.
Cantik.
Beberapa anak kecil berkejaran di gigi air lalu menjerit kecil
tatkala ombak memukul kaki. Kelihatan ibu mereka terkial-kial mengejar sambil
tangan kiri memegang erat simpulan selendang. Barangkali tidak mahu
diterbangkan angin.
Layang-layang terbang tinggi mencecah paras pohon nyiur biarpun
malam bakal melabuhkan tirai sekejap saja lagi. Masih ada beberapa orang kanak-kanak
lelaki leka berlumba-lumba menaikkan layang-layang mereka, mahu menunjukkan
kehebatan masing-masing. Siapa yang terbang tinggi, dialah yang akan dikagumi.
Dan besok, perkara yang sama akan berulang tanpa rasa jemu.
Nina masih duduk di atas sebatang kayu mati sejak dari dia turun
ke pesisir pantai itu. Rambut yang ikal mengurai beralun ditiup bayu petang, dibiarkan
saja bermain-main nakal di wajah. Matanya masih sayu memandang ke hujung laut,
ke arah matahari yang makin menutup wajah.
Resah.
Itulah perasaan Nina kala ini. Semalaman dia tidak dapat
melelapkan mata, hari ini fikiran dia seakan tepu. Sebab itulah seharian dia
hanya duduk di situ mengadap laut. Selalunya, hanya laut yang dapat
mengurangkan resah yang kian menggila di dalam hatinya. Namun kali ini lain
pula jadinya. Tidak berjaya.
Panggilan telefon dari nenda dua hari lepas memaksa dia memijak
kaki ke sini, pulang ke vila itu. Vila Tengku. Sejak kecil Nina tinggal
bersama-sama dengan nenda. Begitu juga mama dan abangnya, Muhriz. Maka di sini
adalah rumah merangkap kampung halamannya.
Permintaan nenda untuk pulang pada hari minggu sebegini rupanya
berhajat. Malam semalam, perbualan hanya antara dia dan nenda di bilik bacaan
akhirnya sampai kepada sebab utama nenda memanggil dia pulang.
Ah, nenda… Nina akhirnya mengeluh berat mengenangkan permintaan
wanita yang bergelar nenek itu.
Sejenak dia memejamkan matanya rapat dan melepaskan hela panjang.
Kali ini, dia cuba meraih keyakinan diri disebalik keinginan hati. Dia masih
buntu untuk membuat pilihan apatah lagi menyuarakan hasratnya. Sudahnya, dia
masih di situ mengutip sisa-sisa kenangan suatu ketika dulu.
Berkali-kali kenangan bersama ayahnya berputar di kotak ingatan.
Memori yang mereka kongsi bersama terlalu manis untuk dilupakan begitu saja
apatah lagi untuk memungkiri janjinya pada lelaki itu dulu.
Masih segar di ingatan Nina tentang peristiwa itu. Peristiwa yang
menjadi titik permulaan terjadinya perpisahan mereka.
“Assalamualaikum.” Ayah memberi salam tatkala kakinya memijak
lantai flat. Nina yang masih tekun menyusun cebisan-cebisan gambar di atas
permaidani hanya mendongak melihat ayah yang sedang menyangkut kot tebal.
Langsung tidak membalas salam ayah dek kerana merajuk tidak diambil di pusat
asuhan tadi.
“Nina tengah buat apa, sayang?” Ayah datang menegur Nina sambil
mengusap belakang tubuh Nina. Ah, sentuhan ayah tak pernah berubah. Lembut dan
ada rasa sayang. Hati Nina yang mula rasa sebal dengan sikap sambil lewa ayah kembali
reda dengan sekelip mata.
Akhirnya Nina mengalah dan bingkas bangun lalu memeluk erat tubuh
ayah. Lama Nina membenamkan wajah ke dada ayah kerana gemarkan wangian lelaki
itu. Wangian ubat-ubatan yang melekat di tubuh ayah menjentik keinginan Nina untuk
segera membesar dan menjadi sepertinya.
“Nina dah lupa apa yang mama pesan ya?” Ayah menarik pipi mungil
Nina dan kemudiannya mengelus rambut Nina yang cuma separas bahu.
Waktu itu Nina cuma ketawa mengekek, mempamerkan barisan gigi
kecil yang tersusun cantik dan bersih. Hasil jagaan rapi ayah sendiri. Nina
selesa diperlakukan begitu. Tindak-tanduk ayah terhadap Nina bagaikan percikkan
bunga api di langit yang menyeronokkan. Nina bahagia.
“Kenapa sepah-sepahkan rumah ni, sayang? Mama tentu tak suka.”
Kali ini ayah menarik lembut hidung mancung Nina pula. Suara ayah mendatar dan
tidak pula marah-marah biarpun letih.
Nina hanya diam di dalam pelukkan ayah, tersenyum gembira dengan
layanan ayahnya itu.
Ayah kemudiannya bangun, meninggalkan Nina sendirian lalu mengutip
beberapa anak patung dan periuk mainan Nina lalu diletakkan ke dalam bakul.
Kemudian, ayah mengambil tempat di sofa panjang lalu melepaskan lelah di situ.
Pendiang yang dinyalakan oleh mama sewaktu mereka tiba di rumah
tadi menghangatkan tubuh yang kedinginan. Nina kembali ke dalam rangkulan ayah
tanpa dipinta. Rindu biarpun tidak berjumpa hanya beberapa jam.
Biasanya pada waktu begini ayah akan membawa dia dan Muhriz
bersiar-siar di tepi tasik di Drury Lane Garden sambil menaburkan cebisan roti
kepada itik-itik di situ. Memandangkan sekarang ini salji sedang turun dan
musim dingin akan berlarutan, Nina terpaksa bermain di dalam rumah saja.
“Mama tak buka pemanas rumah ya, sayang?” Rambut ikal Nina diusapnya
ayah dengan penuh kasih sayang. Sekilas bibir ayah mendarat ke pipi gebu Nina.
Nina hanya mampu menggeleng mendengar pertanyaan ayah. Selepas
kembali dari pusat asuhan, mama biarkan Nina bermain di ruang tamu flat
berbalutkan pakaian panas dan pendiang. Tak apa, Nina sudah biasa sejuk begini
sebenarnya.
“Apa yang Nina buat dari tadi ni, sayang?” Ayah ulang soalan yang
sama sewaktu dia melangkah masuk ke dalam flat itu tadi.
“Nina susun puzzle. Ayah
kan pernah cakap, puzzle baik untuk
otak? Nina nak jadi pandai macam ayah. Nanti bila Nina besar, Nina nak jadi doktor
gigi macam ayah.” Nina menyeringai mempamerkan barisan gigi yang tersusun
cantik. Memang itu cita-cita Nina. Ayahlah idola Nina. Ayahlah juga pendorong
Nina.
Biarpun Nina masih kecil, Nina sudah menanam cita-cita ingin berbaju
putih. Kadang-kadang Nina akan curi-curi memakai kot makmal ayah dan
menggayakannya di hadapan cermin.
“Anak ayah ni walaupun umur lima tahun, dah pandai rupanya.” Tubuh
Nina diangkat lalu dilambung. Mengekek Nina ketawa kerana gayat bercampur geli
tatkala diperlakukan begitu.
“Memanglah you tak perasan anak membesar kalau you asyik kat kolej
tu saja. Orang lain pun belajar jugak, tapi tak macam you!”
Mama tiba-tiba muncul dari balik dinding dapur. Di tubuhnya
melekap apron merah jambu beropol dan di tangannya ada sebatang senduk
diunjukkan ke arah ayah.
Tawa Nina susut mendadak. Nina diam membungkam. Lengan ayah
dipeluk erat. Sejak akhir-akhir ini, setiap kali ayah kembali dari kelasnya
mama pasti menyinga. Itu tak termasuk lagi dengan suara mama yang kuat
memecahkan kesunyian tetangga.
Entah apalah yang mengganggu fikiran mama kali ini pula. Mama
betul-betul buatkan Nina gerun.
“Honey, Nina is here. If you
want to shout out, wait till her fall asleep.” Ayah memperlahankan suara,
menegur lembut tetapi tegas. Ubun-ubun Nina dibelai lembut olehnya. Takut nanti
Nina mula lari ke dalam bilik.
Nina hanya mampu membatukan diri di dalam pelukan ayah. Nina tahu
ayah dan mama sengaja bertutur dalam loghat British setiap kali bergaduh. Tapi Nina
sekarang sudahpun berusia lima tahun. Nina bergaul dengan kawan-kawan yang
berambut perang ketika di pusat asuhan. Bahasa perantaraan mereka tentulah Bahasa
Inggeris U.K. Takkanlah apa yang sedang dibicarakan antara ayah dan mama, Nina
langsung tak faham?
“I tak kira. Kali ini Nina pun patut tahu apa yang berlaku antara
you dengan I.” Mama membentak keras. Senduk di tangan dilempar ke dinding.
Berdegup laju jantung Nina melihat mama bertindak sedemikian. Nina
kenal sangat dengan mama. Hidup Nina banyak dihabiskan bersama mama jika hendak
dibandingkan dengan ayah. Mama tidak akan marah sesuka hatinya. Pasti ada
sesuatu yang menggangu fikiran mama waktu tu sehingga mama bertindak seperti
tadi.
Ayah sudahpun bangun. Kali ini ayah dukung Nina ke tangga flat itu.
“Nina naik ke atas dulu. Tunggu ayah kat dalam bilik. Nanti ayah
tukarkan baju Nina lepas tu kita turun makan malam ya, sayang?” Ayah
menyorongkan patung beruang ke dalam dada Nina. Tubuh Nina disorong ke tangga
lalu mata ayah menyoroti langkah Nina hingga lenyap dari pandangan.
Tapi Nina berpatah balik semula. Nina ingin perhatikan apa yang bakal
berlaku antara mama dan ayah di sebalik celahan anak tangga. Sambil-sambil itu,
patung beruang yang Nina namakan Nini, Nina peluk erat-erat.
“Berapa kali I nak cakap pada you? Jangan marah sesuka hati di
depan anak-anak terutamanya Nina. Dia tak patut tengok mama dia garang macam
ni.” Ayah bersuara lembut, seakan-akan memujuk dan berjalan menghampiri mama.
Ketika ayah cuba merangkul tubuh mama, mama tepis dengan kuat.
“Jangan sentuh I dengan tangan jijik you! I tak sangka dengan you
ni, Mus.” Mama mula menangis. Melihat kepada keadaan mama, Nina jatuh kasihan.
Mama tak pernah menangis. Setiap hari Nina hanya lihat senyuman di wajah mama.
Mama seorang ibu yang penyayang, lemah-lembut dan kuat. Tetapi hari ini, airmata
mama gugur jua.
“You memang pandai ambik hati semua orang, kan? With your smiles and your grace, you make
girls chasing you!” Mama mula bercakap yang bukan-bukan. Dada ayah menjadi
mangsa tumbukan mama.
“Apa yang you cuba sampaikan ni, Maya? Kalau ianya dari silap I, maafkan
I. I tak pernah berniat nak lukakan hati you langsung.”Ayah hanya bersabar
dengan tindakan mama. Bahkan ayah masih cuba meraih mama ke dalam pelukannya.
“Dulu bukan main lagi you cakap you cintakan I, sayangkan I. Kalau
betul you macam tu, kenapa sekarang ni you ada perempuan lain?!” Mama mula mengongoi.
Akhirnya mama terduduk di atas sofa panjang dan menekup wajah di situ.
Ayah kelihatan tergamam dengan kata-kata mama. Keadaan jadi sepi. Hanya
tangisan mama yang kedengaran di ruang tamu flat itu.
“Sumpah demi ALLAH, Maya. I tak pernah sayangkan sesiapa melainkan
you.” Ayah cuba menarik jemari mama tapi mama tepis dengan kuat.
“Habis tu, takkanlah mata I ni buta tengok you berkepit dengan
perempuan tu? You ingat I ni suka-suka tuduh you macam tu ke?” Mama mula
bertukar nada, berlembut.
“I sumpah, Maya. I tak pernah ada sebarang hubungan dengan sesiapapun.
Mungkin apa yang you tengok tu, waktu tu I keluar makan tengah hari dengan
budak-budak kelas yang lain.” Ayah cuba terangkan kepada mama. Suara ayah dan
pujukkannya seolah-seolah dia sedang menenangkan perasaan mama yang bergelodak.
“I kerja macam orang gila nak tampung perbelanjaan keluarga kita.
Anak-anak kita, I yang uruskan. Sewa flat ni, I yang bayarkan. Dengan gaji 1700
lebih sebulan tolak dengan semua perbelanjaan rumah, sewa flat ni dan
perbelanjaan anak-anak untuk sekolah. Semua ni I lakukan demi you, I sayangkan
you. Tapi ni ke balasan yang I dapat?” Mama menahan esak. Wajahnya basah dengan
tangisan.
“I tahu, Maya. I minta maaf kalau I ada buat you rasa cemburu dan
sakit hati dengan perangai I. Kita memang tak sepatutnya hidup macam ni. Tapi
percayalah pada I.” Ayah merayu-rayu pada mama. Kemudian, ayah merangkul erat
tubuh mama.
“I dah tak tahan hidup kat U.K. ni, Mus. Lepas I tamat belajar
tahun lepas, perbelanjaan kita meningkat. Muhriz dan Nina kena tinggal di pusat
asuhan. Bila tiba musim salji macam ni, bil elektrik melambung. Itu tak
termasuk belanja harian.” Mama mengadu dalam sendu.
“I tahu you tertekan. Lepas I habis belajar, kita akan balik ke
Malaysia. I akan berkhidmat dengan kerajaan dan you boleh jadi cikgu di sekolah
menengah. Kita tak perlu ikat perut macam sekarang lagi.” Ayah memujuk lembut.
“I tahu you tertekan sebab itulah you tuduh I macam-macam. I tak
salahkan you. Tapi, tunggulah untuk beberapa bulan lagi sehingga I tamat
belajar.” Kali ini ayah menarik wajah mama dekat dengan wajahnya.
“I akan pastikan you hidup bahagia hingga ke akhir hayat you.”
Nina memejam matanya rapat. Semakin Nina cuba melupakan tangis
mama waktu itu, semakin ia datang menghantui. Sungguh, Nina kasihankan mama.
Nina sayangkan mama dan Nina juga sayangkan ayah.
Tapi sayangnya, selang dua minggu kemudian mama datang mengambil
Nina dan Muhriz di pusat asuhan dengan mata dan hidung yang kemerah-merahan.
Muhrizlah yang cuba menenangkan mama waktu itu. Perjalanan yang
cuma mengambil masa selama 15 minit menjadi 30 minit untuk sampai ke rumah.
Mama terpaksa berhenti di bahu jalan semata-mata untuk menghamburkan tangisnya.
Kasihan mama… hanya itu yang mampu Nina gambarkan kala itu.
Malam itu tanpa diduga, mereka bertiga terbang di awan biru. Mama
umumkan yang mereka akan pulang ke Malaysia tanpa ayah. Dan sehingga kini, Nina
hanya hidup bertemankan kenangan bersama ayah saja.
Desiran ombak mengembalikan Nina ke alam nyata. Kini, di pesisir
pantai itu cuma tinggal Nina seorang saja. Akhirnya dia bangun lalu menyusun
langkah ke vila lama milik nenda yang masih utuh hanya 500 meter dari tempat
dia duduk.
“Buat apa termenung sorang-sorang kat tepi pantai? Abang tengok
dari tadi lagi Nina sekejap-sekejap mengeluh. Macam ada masalah negara aje.” Muhriz
yang duduk memerhati Nina dari jauh sejak dari tadi menegur tatkala Nina
membuka pintu pagar kecil belakang vila itu.
Nina mengambil tempat di hadapan abangnya itu. Perbezaan umur
hanya setahun tidak menjadi satu halangan untuk dia membahasakan Muhriz sebagai
abang.
“Ceritalah. Manalah tahu abang boleh tolong.” Muhriz menyandarkan
tubuhnya ke bahu kerusi batu. Penat menghabiskan masa petangnya di gimnasium,
barulah dia muncul di sekitar vila ini mencari Nina. Menurut mama, Nina balik
ke sini untuk berhujung minggu. Sebab itulah dia juga pulang ke sini untuk
berjumpa Nina. Jika tidak, jangan haraplah.
Nina hanya mampu memerhati. Gaya dan tutur bicara Muhriz tak ubah
seperti mama tapi rupanya saling tak tumpah seperti ayah. Setiap kali
terpandangkan Muhriz, fikirannya pasti menerawang kepada ayah di negara asing.
Apakah ayah masih lagi di sana? Masih ingatkah lagi ayah pada mereka
di sini? Biar beribu mama menitipkan kata benci pada ayah, Nina tetap
menyayangi lelaki itu hingga hujung nyawa.
“Nina tanyakan sesuatu boleh? Abang tak marah?” Nina bersuara
ragu-ragu. Apakah nanti kata-katanya bakal menjentik bara dendam ke dada Muhriz?
“Belum tanya lagi takkanlah abang nak marah. Lagipun, pernah ke
abang marahkan Nina sebelum ni?” Muhriz memulangkan soalan kembali kepada Nina.
Segera Nina menggeleng. Nina akui semenjak kembali ke tanah air 14
tahun dahulu, Muhriz bagaikan berubah watak. Dia sendiri melantik dirinya
menjadi ketua keluarga. Dialah yang menjadi pelindung kepada Nina dan mama.
Sewaktu kembali ke Malaysia, mama membawa mereka ke sini. Pertama
kali berjumpa nenda, Nina punya tanggapan sendiri terhadap wanita tua berkebaya
nyonya itu. Nenda masih lagi kelihatan muda dengan pakaian yang kemas dan
bersalut barang kemas. Jika diletakkan mama dan nenda bersebelahan, mereka
ibarat kakak dan adik.
Waktu itu, masih jelas diingatan Nina dengan kata-kata nenda pada
ayah.
“Menantu tak kenang budi! Bernikah satu sen pun tak pakai wang,
duit anak aku pun kau kikis!”
Waktu itu Nina hanya mampu melihat mama menangis tersedu-sedan dan
memohon ampun pada nenda. Kasihan mama, terlalu berat beban yang digalas oleh
mama kala itu.
“Itulah kau, Maya! Dulu aku suruh kau menikah dengan sepupu kau
sendiri kau tak nak. Kau pilih jugak budak miskin tu jadi laki kau. Tengok
sekarang apa dah jadi?” Marah nenda waktu tu meluap-luap. Nina dan Muhriz hanya
mampu menatap sayu pada mama.
“Itulah kau, cinta konon! Hah, akhirnya kau datang melutut jugak
pada aku. Kau mesti ingat Maya, orang miskin tak mampu nak hidup kaya macam
kita. Aku cukup benci dengan dia orang. Nasib baik kau cepat sedar.”
Semenjak hari itu, Nina dan Muhriz membesar di sini. Mama bekerja
sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah sehingga menjadi pengetua
sekolah berkat kesungguhan mama mendidik. Tapi sayang, sehingga kini nenda tak
pernah berhenti menyebut tentang kesilapan perkahwinan mama yang dahulu.
“Apa yang Nina nak tanya?” Fikiran Nina berderai tentang kenangan
lama. Wajah Muhriz menjadi tujahan matanya.
Nina hanya menggeleng-geleng. Dia bingkas bangun tatkala melihat nenda
yang masih anggun menghampiri mereka.
Melihat Nina bangun, Muhriz juga turut bangun lalu bersalaman
dengan nenda. Dia kemudiannya kembali ke tempat duduknya tadi.
“Nenda nak jus? Nina boleh ambilkan.” Nina bertanya lembut.
Nenda hanya menggeleng-geleng lalu mengambil tempat duduk Nina
tadi.
“Baru sampai, Muhriz? Dah lama tak balik jenguk mama kamu kat
sini, baru hari ni nampak batang hidung. Bila dah dapat kereta, hilang macam lipas
kudung.” Kata-kata nenda dibiarkan saja Muhriz masuk ikut telinga kiri dan keluar
melalui telinga kanan.
Tengku Mariam hanya memerhati Muhriz yang lebih suka duduk
menghenyak tubuh ke bahu kerusi batu itu. Semenjak mendapat tempat di
universiti tempatan, Muhriz makin jauh dengannya. Perangai Muhriz juga mula
berubah bila dihadiahkan kereta hasil keputusannya yang cemerlang dalam
peperiksaan SPM dahulu. Bila ditanya mahu menyambung pengajian di luar negara
ataupun tidak, Muhriz menolak mentah-mentah. Katanya perlu menjaga mamanya di
sini. Bila jadi begini, lain pula ceritanya. Cakap tak serupa bikin.
“Muhriz sibuk sikit dengan tugasan tutorial,” bohong Muhriz.
Sejak belajar di universiti tempatan, Muhriz kurang berminat untuk
balik ke sini. Dia lebih suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Jika di
sini, nenda sering mengugut dia dengan cara yang sama wanita itu mengugut mama
dan Nina. Bingit. Dia pelik bila mama dan Nina tak pernah bosan mendengar
ugutan wanita ini. Bahkan, masih lagi tinggal di sini.
“Nina ambilkan jus untuk abang.” Melihat nenda lebih berminat akan
Muhriz, Nina segera menyusun langkah ke pintu dapur.
“Duduk dulu, Nina. Nenda nak tanyakan tentang hal semalam.” Nina
tidak jadi mengorak langkah. Dia mengambil duduk lambat-lambat. Cubaan
melarikan diri dari nenda tidak berhasil.
“Nina setuju?” Tengku Mariam terus kepada soalan pokok. Tidak dibiarkan
Nina ternanti-nanti. Dari pagi tadi Nina menghilang, puas dicarinya. Bila
dilihat dari arah biliknya tadi, barulah dia tahu Nina menghabiskan masanya di
tepi pantai.
Keputusan Nina untuk menyambung pengajian di luar negara langsung
tidak berkenan di hatinya. Dia amat takut jika Nina menurut jejak mamanya.
Program persediaan ke luar negara selama dua tahun turut diselit dengan
percintaan antara Maya dan Mus yang berakhir ke jinjang pelamin. Biar dia tak
pernah merestui hubungan mereka berdua namun hingga kini Maya dan anak-anaknya
bahagia. Biar berjuta kali dia membenci Mus, Nina dan Muhriz tetap darah
dagingnya.
Nina diam seketika. Wajah Muhriz dan nenda direnung bersilih
ganti. Entah jawapan apalah yang harus Nina berikan kepada wanita itu. Dia
bingung.
“Nina, naik sekejap. Mama nak minta tolong sikit.” Suara mama dari
beranda biliknya mematikan perbualan mereka. Nina pantas mendongak mencari
wajah mama disebalik susunan besi beranda.
“Ya, ma. Nina naik sekarang,” laung Nina.
“Nenda, naik ke atas dulu.” Nina bingkas bangun, meninggalkan nenda
yang terpinga-pinga.
Tengku Mariam terkulat-kulat ditinggalkan cucunya begitu saja. Muhriz
juga turut bangun meninggalkan dia di situ setelah meminta diri. Kini cuma
tinggal dia sambil mendengar alunan azan berkumandang dari arah masjid
berdekatan tanpa meninggalkan kesan di hati.
No comments:
Post a Comment