BAB 5
“SAYA ada terambil barang awak ke sampai awak tenung
saya macam nak telan?” soal Tif agak sarkastik.
“Mungkin,” jawab lelaki itu pendek.
“Hah?” Tif tidak percaya. Niatnya sekadar bertanya dengan soalan yang
agak ringan. Tak sangka pula lelaki itu mahu mengiakan soalannya.
Lelaki di hadapannya itu menguntum senyum. Senyuman itu membuatkan Tif
terpesona sebentar. Oh, lelaki ini ciptaan Allah yang sangat indah. Mata yang
cantik dan senyuman yang manis. Indahnya ciptaan KAU, Ya Allah! Kagum sebentar.
“Apa pulak yang saya ambil? Saya baru jumpa awak dan barang awak pun
saya tak usik,” ujar Tif sebaik sahaja dia tersedar daripada ke‘terpersonaan’nya.
Sekali lagi lelaki itu menguntum senyum. Tif terasa mahu menyuruh lelaki
itu berhenti senyum kerana senyuman lelaki itu terlampau manis untuk dipandang.
Takut ada yang kena diabetis nanti.
“Jangan buat saya pening boleh tak, encik… encik yang saya tak tahu
nama? Dan tolonglah berhenti pandang saya macam tu. Saya rasa macam saya ni
pencuri yang besar betul kesalahannya,” kata Tif. Sebelum meneguk air oren.
“Memang awak pencuri pun. Sayakan dah cakap tadi. Awak dah ambil barang saya,”
bicara lelaki itu dengan suara yang perlahan. Matanya masih tak lepas merenung
gadis yang mencuri perhatiannya itu.
“Jangan putar belit boleh? Saya tak faham,” bentak Tif dengan suara yang
masih terkawal. Sesuka hati sahaja lelaki itu menggelarnya pencuri.
Undang-undang mana yang membenarkan lelaki itu menggelarnya sebegitu?
Lelaki itu mengangkat bahunya sebagai jawapan kepada soalan Tif.
“Huh! Menyakitkan hati je cakap dengan awak ni!” kata Tif perlahan.
Tidak mahu lelaki itu mendengar kata-katanya.
“Bos, bila kita boleh mula?” soal Tania yang tiba-tiba muncul dari ruang
tamu.
“Sekarang,” jawab Hazriq. Dia bangun dari kerusi.
Bos? Tif terasa kaku sebentar. Jadi, inilah bos yang sering menjadi
kemarahan pada Tania. Inilah dia lelaki yang berlagak itu. Oh, sekarang aku
tahu!
“Panggilan awak untuk saya tadi, bunyinya menarik juga. Encik yang awak
tak tahu nama? Tapi saya sarankan awak panggil saya, Riq. I’m Hazriq Ayyad.”
Tif
masih kaku di meja makan apabila Hazriq melangkah ke ruang tamu. Otaknya saat
ini sudah sesak dengan pelbagai persoalan. Malas mahu berfikir lebih, dia
bangun menuju ke dapur.
Usai membasuh semua pinggan dan mengemas meja, dia berjalan menuju ke
ruang tamu. Dia berhenti di pintu yang memisahkan ruang tamu dan ruang makan.
Mengubah fikiran untuk tidak ke ruang tamu memandangkan ada perbincangan yang
agak serius di situ.
Wajah Hazriq dipandang. Serius benar lelaki itu ketika bekerja. Tiada
lagi senyuman manisnya. Buat seketika, Tif memerhati lelaki itu.
Lelaki itu tampak santai memakai baju-t polo berwarna putih bersama
jeans berwarna hitam. Rambutnya digaya spike.
Stailista dan kacak! Ops, terpuji pulak!
“Apa yang kau buat dekat situ? Sinilah,” panggil Tania.
Terkejut Tif dibuatnya. Sekelip mata, semua mata terarah ke arahnya
membuatkan wajahnya merona merah.
“Aaa.. tak apalah.” Tif malu sendiri. Janganlah perasan yang aku sibuk
tengok lelaki tu.
“Tak nak tak apalah. Oh ye, minta tolong buatkan air boleh?” pinta
Tania.
Tif
kembali ke dapur. Pati epal di dalam peti sejuk dikeluarkan. Selesai mengacau
air, ais dari dalam peti sejuk dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam jag air.
Gelas-gelas disusun di atas dulang sebelum dia menatang dulang itu ke ruang
tamu.
Kehadirannya tidak disedari kerana mereka semua sibuk melakar sesuatu
pada beberapa helai kertas yang besar. Tanpa mempedulikan mereka, Tif
meneruskan kerjanya menuang air ke dalam gelas.
“Jemput minum,” pelawa Tif sebelum dia keluar ke balkoni.
Dari rumah Tania, pandangan yang menarik menjadi tatapan. Lagi-lagi
malam. Lampu neon berkelip di mana-mana.
“Hello, Ms. Tif!”
Tif
mengurut dadanya perlahan. Dia berpaling pada lelaki yang berdiri di sebelahnya
itu.
“Dah habis bincang ke?” soal Tif tanpa
memandang lelaki itu.
“Belum. Sambung dekat pejabat, esok,” kata Hazriq.
Hazriq
memandang gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Gadis itu hanya tinggi paras
bahunya sahaja. Pendek dalam bahasa mudahnya.
Wajah gadis itu ditenung lama. Entah apa yang menarik minatnya sejak
tadi, dia sendiri tidak pasti. Dia sedar Tif tidak selesa dipandang sebegitu
tetapi dia sendiri tidak faham dengan dirinya kala ini.
“Apa yang awak pandang? Saya tak sukalah,” tegur Tif. Dia perasan lelaki
itu sedang memerhatikannya lagi.
Hazriq
ketawa.
Tif
terasa mahu menutup telinga mendengar tawa lelaki di sebelahnya itu. Bukan
kerana tawanya sumbang, tetapi kerana ketawa lelaki itu terasa indah untuk
didengar. Aduh Tif! Tolonglah berhenti memuji macam dia ni sempurna sangat.
“Bos, kami nak balik dah ni. Bos tidur sini ke?”
Terkejut Hazriq apabila Farid berkata begitu padanya. Dia akui, hanya
Farid yang berani bergurau dengannya. Mungkin kerana Farid sudah lama
mengenalinya.
“Boleh ke?”
Tania bagai tertelan batu jalan apabila bos ‘kesayangannya’ itu berkata
sebegitu. Sejak bila bos pandai bergurau pulak ni?
“Gurau jelah. Dah, jomlah balik. Lewat
dah ni,” Hazriq menapak ke arah pintu.
“KAU ada baca jampi apa-apa ke sebelum masuk rumah
aku tadi?” soal Tania sebaik sahaja Hazriq, Azalia dan Farid hilang dari
pandangan matanya.
“Jampi apa pulak? Kau fikir aku ni Harry Potter ke nak jampi-jampi
bagai?”
Tif
terus masuk ke dalam bilik. Penat seharian bekerja belum hilang. Dia mahu
tidur. Hasratnya mahu bercerita pada Tania akan pertemuannya dengan Maya pagi
tadi dipadamkan.
Tania membuntuti Tif masuk ke dalam biliknya.
“Eh, bila kau tukar cat ni? Tak beritahu aku pun.” Tif bertanya sebaik
sahaja mengesan perubahan di dalam bilik temannya itu. Susun atur di dalam
bilik itu turut berubah. Nampak lebih elegan berbanding dahulu. Gabungan coklat
gelap dan putih.
“Baru lagi. Dalam dua minggu lepas. Kau jangan nak tukar topik eh?!”
marah Tania.
“Topik apa? Kau tanya je tadikan dan aku dah jawab. So, dah habislah topik tu, kan?”
Tania semakin sakit hati. Tif jika diberi peluang mahu berlawak, memang
berlawaklah dia. Sayangnya, lawak dan Tif bukanlah gabungan yang sesuai.
“Kau tahukan kalau kau buat lawak memang tak lawak. Lagi-lagi masa macam
sekarang ni!”
Tif
tersenyum sahaja melihat Tania yang sudah naik angin dengannya. Dia memeluk
temannya itu agar dapat meredakan marah temannya itu. Bahaya kalau Tania naik
angin. Mahu dicampaknya aku dari tingkat 17 ni.
“Aku tengok bos pandang kau semacam je. Dia pun asyik dekat-dekat dengan
kau. Itu yang aku tanya kau ada baca apa-apa jampi ke?”
Tif
menggigit bibirnya. Jika Tania perasan, pasti Farid dan Azalia juga perasan.
Oh, malunya!
“Aku
kena baca jampi dulu baru orang pandang aku, ek?” soal Tif. Sengaja mahu
memadamkan topik panas itu menggunakan cara halus.
“Bukan macam tu maksud aku. Maksud aku ialah kau dah buatkan bos aku
yang hati kering tu macam… Aku pun tak tahu nak gambarkan macam mana, yang
penting cara bos aku lain,” terang Tania panjang lebar.
Bukannya dia tidak perasan yang bosnya itu kerap mencuri pandang Tif
sewaku makan tadi. Bosnya yang aneh itu semakin bertambah anehnya hari ini.
Jangan-jangan, bosnya sudah terjatuh hati pada Tif. Boleh jadi juga tapi apa
salahnya.
Tif
memandang pelik ke arah Tania yang tersengih-sengih. Ha, ni kenapa pulak ni?
Dah tersampuk ke apa? Malas mahu melayan kegilaan Tania, Tif berlalu keluar
dari bilik.
“Wei, aku belum habis cakap lagi. Kau nak
pergi mana tu?” jerit Tania kegeraman apabila perasan dia ditinggalkan.
“Nak pergi tandaslah. Kenapa nak ikut ke?” balas Tif dengan suara yang
menjerit juga.
Tania tidak menjawab. Mahu mengelaklah tu. Zatifa Adelia binti Radzhar.
Dia cukup kenal dengan temannya itu. Mereka pernah menjadi teman sebilik semasa
di universiti dahulu. Dia sudah masak dengan perangai Tif yang satu ini.
Melarikan diri jika mahu mengelak apa-apa daripadanya. Ke tandaslah, dapurlah,
kedailah.
“KENAPA kau tiba-tiba muncul dekat rumah aku, ek?”
soal Tania. Saat itu, mereka berdua telah pun berbaring di atas katil.
“Ada bendalah yang aku nak cerita pasal seorang minah ni. Tapi nantilah.
Aku penat,” ujar Tif malas.
“Cerita jelah. Aku nak dengar. Nanti entah bila lagi kau nak datang
rumah aku untuk bercerita. Cepatlah,” desak Tania. Dia mahu temannya itu
bercerita padanya malam ini juga. Lagi lama disuruh menunggu, lagilah dia
penasaran.
Tif
pura-pura tidak dengar. Matanya sudah layu saat ini. Menunggu masa untuk
dipejam sahaja. Benar, penat memang memenatkan.
Tania menanti balasan daripada temannya yang berbaring di sebelahnya.
Sesaat, dua saat….
“Kurang asam pedas punya kawan! Hoi,
bangun! Aku tau kau pura-pura tidur, kan? Kau buka mata kau sekarang!” marah
Tania dengan suara yang memekik.
Tif
menutup telinganya menggunakan bantal. Sakit telinga mendengar pekikan suara
Tania yang boleh menyebabkan kondo ini runtuh jika ditingkatkan lagi volumenya.
“Apa dia?” soal Tif dengan hati yang sebal. Siapa yang tak geram apabila
tidurnya diganggu. Matanya dibuka kecil. Cukuplah hendak melihat wajah Tania
yang sudah memerah.
“Kau cerita cepat!” arah Tania dengan gaya seorang ketua platun sedang
mengarah anak-anak buahnya. Sekelip mata, Tania kelihatan seperti sedang
memegang senapang dengan muka yang garang.
“Aduh, kau ni!”
Tif
terus bangun dan duduk bersila di atas katil sambil menghadap temannya yang
sedia menanti ceritanya. Tif berkira-kira sebentar bagaimana mahu membuka
cerita memandangkan Tania tidak pernah mengenali Maya.
“Tadi aku terjumpa balik dengan bekas classmate aku masa tingkatan 3 dulu. Classmate yang menyakitkan hati.” Tif memulakan cerita. Baru buka
cerita, matanya sudah kembali segar-bugar.
“Bunyi macam kau tak suka setengah mati je dekat dia,” tebak Tania.
Dia
mahu mendengar cerita yang disampaikan oleh temannya ini kerana satu
sebab. Sebabnya, dia melihat Tif begitu
lain apabila membuka mulut soal rakan sekelasnya itu. Seakan ada api yang
terbit di dalam mata temannya itu. Nampak marah geram, sakit hati dan yang
seangkatan dengannya.
Tambahan lagi, dia tidak pernah mengenali
teman-teman Tif sewaktu di sekolah menengah kerana dia dan Tif bertemu buat
pertama kalinya di universiti. Ketika itu, mereka berdua ditempatkan di dalam
bilik yang sama. Sejak itu barulah
mereka berdua berteman rapat.
“Terima kasih kerana memahami. Memang aku tak suka dia tapi taklah
sampai benci,” tambah Tif lagi.
“Aik? Tak suka dengan benci lain eh?” soal Tania.
Hampir sahaja berderai tawa Tif mendengar soalan Tania. Siang tadi dia
diuji dengan soalan yang sama jenis dengan soalan Tania oleh Kak Nia. Ada chemistry pulak mereka berdua ni, hati
Tif berdetik.
“Lainlah, sebab benci tu macam ada unsur-unsur berdendam sikit. Kes aku
ni lain. Aku cuma tak suka dengan perangai dia yang tak pernah nak berubah tu,”
jelas Tif dengan alasan yang disusun rapi. Kedengaran logik walaupun ada yang
kurang logiknya di situ.
Tania menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kata-kata temannya itu agak
sukar untuk difahami, berbelit. Lagi pula, hari sudah larut malam. Agak sukar
untuk otaknya mencerna apa yang dikatakan Tif dengan baik.
“Tak kisahlah. Ha! Apa kata kau cerita sejarah yang membuatkan kau tak
suka dengan classmate kau tu,” saran
Tania. Dengar cerita lebih senang faham berbanding mendengar penjelasan Tif
yang bercampur dengan perkataan-perkataan yang memeningkan kepala.
“Dulu, umi aku sekolahkan aku dekat sekolah swasta. Kira sekolah anak
orang kaya. Umi nak yang terbaik untuk aku, katanya. Tapi, dalam kelas aku,
akulah yang paling ‘miskin’ sekali sebab aku bukan anak Dato’. Budak lain tak
kisah pun pasal tu cuma adalah seorang hamba Allah ni yang entah apa penyakit
dia, suka sakitkan hati aku. Nama dia Maya binti Dato’ Yusuf.”
Tif
berhenti bercerita sebentar. Mengambil nafas sebelum menyambung ceritanya.
“Macam-macam dia buat dekat aku sampai aku tak sanggup nak ingat. Dia
buat aku macam sampah. Dia terlalu taksub dengan kekayaan papa dia sampai dia
pandang rendah pada orang kebanyakan macam aku. Satu benda yang aku tak boleh
lupa bila nampak muka dia. Mungkin aku akan ingat sampai bila-bila.”
Tif berhenti lagi. Kala itu, terasa dirinya sangat malang apabila
bertemu dengan perempuan angkuh yang digelar ‘Queen’ sewaktu zaman persekolahan dahulu. Baginya Maya tidak lari
daripada berperangai seperti seorang nenek sihir. Queen dengan nenek sihir, jauh bezanya!
“Apa dia buat?” Tania bertanya dengan penuh berhati-hati. Takut menyinggung
perasaan teman baiknya itu. Baru hari ini dia tahu mengapa temannya itu
kelihatan keberatan sewaktu dia menghulurkan salam perkenalan dahulu. Dia boleh
dikatakan anak orang kaya juga dan kerana itulah Tif takut hendak berkawan
dengannya. Ya, itulah sebabnya!
“Tak ada apalah. Dahlah, jom tidur.”
Tif segera menutup ceritanya. Tidak mahu mengenang apa yang telah lama
dilupakan. Air mata yang sudah menitis diseka segera. Nanti apa pula kata
Tania. Dia terus menekup muka dengan bantal. Mahu menghilangkan bayang Maya
yang masih melekat di dalam ingatannya.
Tania mengeluh perlahan kerana tidak berjaya mengetahui sejarah
selanjutnya mengenai perempuan yang tidak disukai oleh Tif itu. Apalah yang
rahsia sangat ya Tif? Tak apalah, aku tak nak desak kau, bisik hati kecil
Tania. Dia turut sama berbaring di sebelah Tif.
Esok nak bangun dengan penuh semangat! Tania mula memasang azam. Dengan
bacaan basmalah, Tania memejamkan matanya.
DI ATAS KATIL, lelaki yang hanya memakai seluar
pijama tanpa berbaju itu masih terkebil-kebil matanya walaupun hari sudah larut
malam. Entah kenapa matanya degil malam ini. Susah benar mahu memejamkan
sepasang matanya malam ini.
Wajah perempuan yang sama hadir di ruang mata dan ingatannya. Puas
diusir agar bayangan itu pergi namun bayangan itu tetap degil. Bayangan itu
yang degil atau dia yang degil tidak mahu melupakan perempuan itu? Hazriq
menempelak dirinya sendiri.
Baginya perempuan itu tidaklah secantik mana. Comel mungkin adalah sikit.
Habis apa yang menyebabkan dia tidak puas menatap wajah itu tadi? Hazriq mula
mencari jawapan. Dia sendiri tidak faham akan apa yang dia alami ini. Sungguh
tidak mengerti.
Perempuan itu berhijab, memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk
tubuhnya, tidak menonjolkan auratnya, tiada rambut lurus dan panjang untuk
tatapannya tetapi kenapa? Kenapa perempuan itu tampak begitu menarik di matanya?
Bukankah jika ditanya sebelum ini ditanya oleh sesiapa, perempuan
bagaimana yang didambakan? Dengan yakin dia akan menjawab, perempuan yang
seksi, cantik, rambut panjang, tubuh seperti model. Yang pasti, perfect!
Tapi mengapa kali ini terasa persepsinya terhadap wanita idamannya
berubah? Mengapa kali ini dia terasa perempuan yang berhijab itu lebih baik?
Sedangkan selama ini dia memandang wanita yang berhijab itu sebagai kampung.
Hazriq
mengusutkan rambutnya.
“Yang kau ni asyik fikirkan dia, apa hal?” Hazriq
memarahi dirinya sendiri.
Matanya dipejamkan. Berharap kali ini matanya mahu menuruti kemahuan
tuannya. Tidur!
No comments:
Post a Comment