BAB 5
“Hah!
Hah! Hah! Aku hembus haba mulut ke cermin bingkai gambar. Kemudian aku lap dengan
hujung lengan baju kemeja. Aku ulang berkali-kali sampai puas hati.
“Kau nak main-main dengan aku? Okey, let the games begin!”
Aku
letak bingkai gambar itu di sudut meja. Sengaja letak di tempat yang senang
Raisya nampak. Aku bersandar di kerusi sambil tersenyum puas. Lagi setengah jam
waktu bekerja bermula. Pasti Raisya akan masuk ke bilik untuk mengemaskan meja.
Aku pandang sekeliling bilik.
Perlukah aku menunggu dia di dalam bilik atau memerhatikan dia melalui bilik
CCTV? Aku bangun. Tak bestlah kalau
tunggu dia di sini. Nanti dia akan berpura-pura tak kenal gambar di dalam
bingkai itu adalah gambar dia. Rasanya lebih seronok kalau skodeng di sana
Terdengar bunyi motor di luar. Dia dah
sampai. Cepat-cepat aku berlari ke pintu. Eh! Terlupa sesuatu Kelam-kabut aku
ke meja semula. Fail di dalam tray aku sepahkan. Bingkai gambar tadi aku tindih
sekali bersama beberapa keping surat yang belum dibaca. Selesai semua, aku
pecut sekuat hati ke bilik CCTV. Mujur Munirahh dan staff-staff lain berada di
pantri. Ini bermakna tak ada seorang pun yang tahu aku sedang menjalankan
operasi mengendap Raisya.
“Yuhuu!
Assalamualaikum..”
Ewah! Ewah! Masuk pejabat dah macam
masuk rumah orang tengah rewang kenduri. Tak semenggah betul perangai adik Hazri
ni. Aku longgarkan tali leher. Panas juga duduk di dalam bilik ni. Suis kipas
di tepi dinding aku tekan. Tiba-tiba aku nampak bayang-bayang di bawah pintu.
Serta-merta badan aku keras di situ. Nak bernafas pun tak berani.
“Munirahh, macam ada bunyilah kat
dalam bilik ni.”
Alamak! Raisya terdengar aku tekan
suis kipas ke?
“Jangan masuk bilik tu Raisya. Nanti
Encik Azraf marah. Dia dan bos besar aje yang boleh masuk kat situ.”
“Kalau macam tu kenapa tak dikunci aje
pintu ni?” Raisya menggendang pintu.
Spontan aku menahan badan di situ.
Manalah tahu kalau-kalau ditolaknya pintu ni. Tak pasal-pasal kantoi pula nanti.
Kletak!
Bunyi
apa tu? Aku tekap telinga di pintu. Suara Raisya sudah tidak kedengaran lagi.
Tak lama kemudian aku lihat imej Raisya di dalam bilik. Aku duduk memerhatikan
CCTV. Berdebar-debarnya dada ni bila Raisya mula mengemas meja. Come on sayang! Peganglah gambar tu.
Mula-mula dia tukar air di dalam
pasu bunga. Kemudian dia duduk di kerusi aku. Siap dipusing-pusingnya kerusi
itu dan dihenyak-henyak beberapa kali. Senyum nakal tersungging dan minda
lelaki aku ni dah mula membayangkan sesuatu. Haip! Nyah kau otak kuning. Banyak
benda lain lagi kau boleh fikir.
Tiba-tiba Raisya bangun. Tangannya
laju mengemas timbunan surat. Saat yang ditunggu pun tiba. Bingkai gambar sudah
berada di tangan. Lepas ni pasti dia ingat aku siapa.
Eh, dia letak balik? Dia tak kenal
gambar sendiri ke? Ala... dia dah keluar bilik!
Hish! Tak boleh jadi ni. Takkanlah
dia dah hilang ingatan. Hazri kata adik bongsu dia ni tak ada masalah penyakit
lupa. Tapi aku tengok penyakit Raisya ni bukan setakat lupa. Penyakit hati
kering pun dia ada. Aku tutup suis kipas dan pulas tombol pintu. Ah sudah!
Kenapa tak boleh tak boleh buka pula ni?
Aku
cuba lagi. Kepala dah berpeluh. Siapa pula yang gatal kunci pintu ni dari luar?
Aku teringat sesuatu. Alahai! Ini mesti kerja Raisya. Macam mana aku nak keluar
ni? Takkan nak menjerit? Habislah semua orang tahu aku terkunci di dalam ni
nanti.
Aku seluk handphone di dalam poket seluar kemudian dail nombor telefon
pejabat. Minta-minta bukan Raisya yang menjawab panggilan.
“Selamat
pagi. Syarikat Pemadam Api Ghazali Enterprise...”
“Munirahh, saya ni..Azraf.” Aku
tekup mulut di handphone dan cuba
bercakap seperlahan mungkin.
“Ya Encik Azraf. Encik Azraf lambat
masuk ke?”
“Staff-staff yang lain mana?” Sambil
bertanya aku cuba memulas tombol pintu sekali lagi. Tapi tak berjaya.
“Raisya sedang bancuh minuman untuk
Encik Azraf. Yang lain-lain tengah briefing
di bilik meeting. Encik Azraf,
pukul sepuluh nanti Encik Azraf kena pergi ke tapak lokasi pembinaan hospital
di Pasir Gudang.”
“Ya saya tahu. Tapi sebelum tu saya
nak minta tolong sikit...” Aku berdeham perlahan. Malunya nak minta tolong Munirahh.
Raisya! Kau ni memang nak kena sekeh dengan aku tau!
“Saya masih mendengar Encik Azraf.” Munirahh
mengingatkan aku.
“Err..tolong bukakan pintu bilik
CCTV.”
“Sekarang ke?”
“Ya sekarang. Tapi pastikan tak ada
sesiapa yang nampak awak buka pintu bilik ni ya.”
“Baik saya buat sekarang.”
Aku simpan handphone sambil menunggu Munirahh bukakan pintu. Muka ni dah
kebas. Malunya! Minta-minta dia tak gelakkan aku. Apa alasan yang bagus aku nak
bagi kalau dia tanya kenapa aku berada di dalam bilik ni?
Pintu bilik terbuka. Mulut Munirahh
terlopong melihat aku. Sebelum dia bertanya aku letak jari telunjuk di mulut sendiri.
Munirahh mengangguk faham. Aku cepat-cepat keluar dan masuk ke bilik. Fuh!
Lega. Harap-harap Munirahh boleh tutup mulut. Janganlah dia hebohkan yang aku
terkunci di bilik CCTV. Haru kena gelak nanti.
“Eh, bila sampai?”
Raisya muncul bersama dulang berisi
mug. Fuh! Nyaris-nyaris lagi nak kantoi. Nasib baik aku cepat tadi.
“Hari ni ikut saya keluar. Kita
pergi tengok hospital yang baru nak buka tu. Jangan lupa bawa senarai alat
pemadam api yang kita nak pasang kat sana nanti.” Aku tukar topik lain. Tak
penting pun untuk aku menjawab soalan dia.
Raisya mengangguk sambil meletakkan
dulang di atas meja. Sengaja aku perhatikan mata Raisya. Dia mengerling sekali
gambar itu dan terus berpaling untuk meninggalkan bilik. Ala! Dia tak kenal gambar
sendiri ke? Beberapa langkah sebelum dia menghampiri pintu, Raisya menoleh
semula.
“Itu macam gambar saya...”
Dia
datang semula ke meja. Dulang yang dipegang dia kepit di celah ketiak. Laju
tangannya mengambil bingkai gambar di atas meja. Yes! Perangkap mengena. Menguncup mata Raisya mengamati imej di
dalam gambar.
“Cantik tak gambar tu?” Aku bertanya
dengan suara perlahan.
“Siapa lelaki kat sebelah saya ni?”
Mata Raisya masih tidak beralih walaupun mulut sedang bertanya.
“Cuba tengok betul-betul. Takkan
awak tak kenal?” Aku dah senyum. Seronok melihat wajah terkejut Raisya.
Prang!
Dulang yang terkepit di celah ketiak
terlepas. Kelam-kabut Raisya mengambil dulang yang terjatuh. Tetapi bingkai
gambar masih berada di tangan.
“Ya Allah! Ini Abang Azraf yang ajar
saya tiusyen dulu kan?”
Aku menggangguk. Makin lebar senyum
aku. Raisya menekup mulut. Pasti dia sangat terkejut dengan kebetulan ini.
Mujurlah aku masih simpan gambar lama itu. Berkali-kali Raisya melihat gambar
yang kami ambil lapan tahun lalu. Silih berganti dia melihat aku dan gambar itu.
“Berbeza betul Abang Azraf.. eh sorry, Encik Azraf. Berbeza betul Encik
Azraf sekarang.”
“Apa yang berbeza?”
Raisya duduk di bucu meja. Bingkai
gambar diletakkan semula ke tempat asal. Dia senyum dan matanya perlahan-lahan
terarah ke kepala.
“Dulu tak macam ni...” Raisya
tersenyum nakal.
“Memanglah. Dulu muda, sekarang dah
tua.” Aku gelak sikit. Tua ke? Baru 31, muda lagilah!
“Tapi peliklah. Yang lain-lain tak
nampak sangat perubahannya. Tang
kepala tu yang ketara sangat bezanya. Habis semuanya gugur. Tapi tempat lain
tak pulak, kan? Tak sangka pula masih ada spesis orang utan kepala botak kat Malaysia
ni. Hahahah!”
Serta-merta senyum di wajah aku
lenyap. Kurang asam! Gelaran itu masih melekat pada aku rupanya. Tak apa, dia
dah kenal aku. Senanglah aku nak buli dia nanti.
“Botak ni lambang kekayaan tau. Awak
apa tahu?” Aku mengusap perlahan kepala yang tak berambut. Raisya berhenti ketawa
sebentar untuk mengambil nafas.
“Memang kaya pun. Kaya dengan bulu!”
Raisya sambung gelak lagi. Amboi! Bila dah tahu aku siapa makin seronok pula dia
mengenakan aku. Tak siap kerja aku kalau melayan Budak Lesung ni.
Aku biarkan dia gelak dahulu
sementara menghabiskan minuman yang dibancuh tadi. Mata sempat lagi mengerling
dia mengesat mata yang berair. Punyalah seronok mentertawakan aku sampai keluar
airmata Raisya. Aku bangun sebaik saja mug sederhana besar itu berjaya aku
kosongkan.
“Dah
puas gelak, kan? Now, back to normal.
Sebelum tu saya nak ingatkan. Walaupun saya dah lama kenal awak, saya minta
awak bersikap profesional. Waktu kerja, kita kerja. Faham?”
Raisya memberi tabik hormat dan
mengenyitkan mata. Aduh! Kenyitan itu terus menusuk ke tangkai jantung. Walaupun
dia tak senyum, dia tetap nampak comel. Kalaulah dia ni masih kanak-kanak,
memang aku picit-picit hidung dia. Tapi sekarang dia dah besar. Banyak
perkara-perkara yang menjadi batasan. Tak apalah. Biarlah masa yang menentukan.
Orang yang sering dirindu sejak dulu sudah berada di depan mata. Apa yang perlu
aku lakukan sekarang adalah memastikan hatinya masih belum berpenghuni.
Andainya masih kosong maka makin mudahlah kerja aku.
“Bos!”
Raisya
sedikit melaung. Dia sudah bersedia dengan beg tangan yang diselepang merentang
dada. Eh, bila masa pula dia keluar?
“Dah nak dekat pukul sepuluh. Tadi
kata nak pergi Pasir Gudang, kan?” Raisya menunjuk-nunjuk jam di tangan.
Cepat-cepat aku kemaskan briefcase. Sebelum keluar dari bilik,
aku pandang Raisya dari atas ke bawah. Alahai dia ni. Nak pergi tengok tapak
projek, tapi pakaiannya macam nak buat presentation
di depan bos-bos besar. Memang dia nampak cantik dengan skirt kembang warna
kuning cair tu. Tapi, tak apalah.
“Kenapa mengeluh ni Encik Azraf?”
Raisya bertanya.
“Tak ada apa-apalah. Jom!”
Dia persilakan aku keluar dulu.
Ketika melintas di depan Raisya, sekali lagi aku mengeluh. Kali ini lengkap
dengan gelengan yang perlahan. Aku bukan jenis suka bercakap berulang-kali.
Kalau orang lain memang dah kena sembur ni. Tapi ini Raisya. Seingat aku dia ni
cengeng orangnya. Nanti tak pasal-pasal ada drama airmata pula nanti.
“Encik Azraf ada masalah ke?” Raisya
masih menyoal sebaik sahaja kami masuk ke dalam kereta.
“Dah berapa kali saya pesan. Pakai
baju biasa aje kalau kerja luar.”
Raisya membelek baju sendiri dengan
bibir terjuih. Geram pula aku tengok dia buat macam tu. Kalaulah dia masih anak
kecil seperti dulu, memang dah lama aku tepuk mulut tu. Tak bolehlah ditegur
sikit, mulalah nak tarik muka.
“Kalau tak suka saya pakai macm ni,
Encik Azraf hantar saya balik rumah kejap. Saya tukar baju lain.”
“Amboi sedapnya awak mengarah saya.
Awak ingat awak tu mak datin ke? Pakai ajelah macam tu. Lain kali pakai jubah
labuh pula. memang sesuai sangatlah kalau nak pergi melawat tapak pembinaan”
Dari terjuih, muka Raisya pula
berubah warna. Aku hidupkan enjin kereta. Tapi tak terus tutup pintu. Aku keluar
sekejap dan masuk semula ke pejabat. Ada barang yang tertinggal di dalam bilik.
Tergerak pula hati nak mengintai Raisya di balik bidai tingkap sebelum keluar
semula dari bilik.
“Dia buat apa tu?”
Aku amati betul-betul. Lama kemudian
baru aku perasan. Raisya sedang menumbuk-numbuk dashboard. Ganasnya muka dia. Puas menumbuk, aku nampak mulut dia
ternganga luas seperti orang sedang menjerit. Nasib baiklah cermin tingkap
semuanya bertutup rapat. Entah apalah yang dibebelkan sorang-sorang kat dalam
kereta tu?
Aku keluar dari pejabat. Sebelum
pergi ke tempat pemandu, aku lihat Raisya kelam-kabut merapikan rambutnya yang
agak kusut-masai. Agaknya dia mengamuk sebab aku tegur pakaian dia tadi kot?
“Boleh kita gerak sekarang?” Aku
tanya dia sebaik saja masuk ke dalam kereta.
“Encik Azraf, jomlah hantar saya
balik sekejap. Saya betul-betul terlupa hari ni kita buat kerja luar.” Suara
Raisya dah macam orang nak menangis, sengau di hidung.
Aku buat tak tahu saja. Kereta bergerak
meninggalkan pejabat. Raisya mendengus kasar apabila kereta terus melepasi
simpang masuk ke rumahnya. Aku berdeham perlahan. Dia menjeling tajam. Aku cuma
jongket kening. Apahal pula aku yang kena dengar cakap dia? Aku bos ke dia yang
bos?
“Teruklah
Encik Azraf ni. Bukannya lama pun saya tukar baju. Kalau singgah sekejap tadi
dah boleh sangat.” Suaranya dah makin sengau.
Aku diam. Kalau dilayan memang boleh
banjir kereta ni. Kurang sepuluh minit lagi tibalah kami di Pasir Gudang.
Raisya masih seperti tadi. Malah makin menjadi-jadi perangai cengengnya. Lengan
blaus kembangnya disinsing sehingga ke siku. Dia duduk bersila dan memangku
dagu. Amboi! Bukan main santai lagi dia duduk. Dah macam duduk atas pangkin
pula gayanya.
“Takkanlah pasal baju pun nak berseteru
dengan saya...”Aku mulakan operasi memujuk.
“Tak selesalah pakai baju ni. Macam
mana nak panjat tangga yang tinggi-tinggi tu?” Raisya bersuara. Agak tinggi
juga nada suaranya.
“Hari ni tak payah panjat. Saya
takut orang lain pun tak jadi kerja kalau awak panjat tangga tu karang.”
“Apa maksud Encik Azraf?”
Aku pandang dia. Dia ni memang
betul-betul tak tahu atau sengaja nak dengar jawapan dari mulut aku? Dia menjongket
kening, menunggu jawapan.
“Selalunya kalau kita kena periksa
lokasi di tingkat atas, siapa yang panjat tangga dulu?” Aku mula menyoal.
“Saya.”
“Okey, bayangkan kalau hari ini awak
yang panjat tangga.” Aku cuba bagi bayangan.
“Memang saya yang kena naik dulu nanti,
kan?”
Raisya
masih kurang faham. Aku geleng perlahan. Bongoknya budak ni. Aku pegang sedikit
skirt kembang paras bawah lutut Raisya.
Raisya,
kat sana nanti awak sorang aje perempuan. Kalau awak yang naik tangga dulu
dengan skirt kembang ni, saya bimbang ada ‘benda’ lain yang naik nanti bila
lelaki-lelaki kat sana tu skodeng awak dari bawah. Faham tak?”
Aku hentak stereng kereta. Kalau dia
tak faham juga memang sengajalah dia minta luku nanti. Aku pandang dia semula.
Dia pandang aku tanpa kerdipan. Muka dia nampak pucat. Apahal pula ni?
“Nak balik!” Raisya menjerit.
Badannya rapat ke dinding.
“Awak jangan macam-macam ya. Kita
dah nak sampai ni.”
Dari duduk bersila Raisya merapatkan
kaki. Kedua-dua belah tangan dikepit di celah peha. Tenang sebentar keadaan di
dalam kereta. Tapi sebaik saja tiba di tapak projek, Raisya buat hal lagi.
“Kalau saya tak turun boleh tak
Encik Azraf?” Perlahan suara Raisya menyoal.
“Turun ajelah. Tak payah naik
tingkat atas aje kot.”
“Habis tu takkan saya nak tinggal
sorang-sorang kat tingkat bawah. Cuba tengok tu...” Raisya menuding pada
beberapa orang pekerja binaan yang sedang berehat. Kebanyakannya terdiri
daripada warga asing.
“Saya
duduk dalam kereta ajelah Encik Azraf. Nah, ni senarai peralatan yang perlu
diperiksa.”
Tak kuasa aku nak berbahas lagi
dengan dia. Fail yang Raisya hulur aku ambil dan cepat-cepat selesaikan kerja
di situ. Risau juga tinggalkan dia lama sangat di dalam kereta. Mati kepanasan
pula anak dara orang tu nanti.
“Enjin kereta ni memang tak tutup
sejak saya turun tadi ke?”
Aku kerling meter minyak yang sudah
tinggal satu takuk.
“Saya kan ada kat dalam kereta. Takkan
nak matikan enjin? Panas tau.”
Ewah-ewah! Tak ada rasa bersalah
betul cara dia bagi alasan. Apa dia fikir dia ada kongsi duit minyak ke? Aku
diam saja sepanjang perjalanan. Tengah berfikir macam mana cara nak mengenakan
Minah Loyar Buruk ni. Fikir punya fikir sudahnya aku halakan kereta masuk ke
stesen minyak.
“Pergi bayar duit minyak. Saya
tunggu kat sini.”
Raisya pandang aku. Macam tak dengar
arahan yang aku beri.
“Saya pergi bayar? Guna duit siapa?”
tanya Raisya.
“Guna duit awaklah. Ganti balik
minyak yang awak dah guna masa duduk dalam kereta tadi.”
“Encik Azraf! Bos jenis apa ni.
Dengan saya pun nak berkira?”
Buntang mata Raisya merenung aku.
Tapi aku hadiahkan dia dengan sekuntum senyum manis. Seronok tengok muka orang
tengah marah ni.
“Boleh bayar ke tak? Kalau tak boleh
tak apa. Tapi nanti saya akan potong gaji awak ikut duit minyak yang saya isi.
Rasa-rasanya macam nak kena isi penuh ni.”
Aku
buat-buat nak keluar kereta. Tapi Raisya lebih pantas menanggalkan tali
pinggang keledar dan membuka pintu kereta. Bersepah-sepah gaya dia berjalan
menuju ke kaunter pembayaran. Tahu sangat dia tengah menahan bengang. Yes! Berjaya juga aku kenakan dia.
No comments:
Post a Comment