BAB 3
“Astaghfirullah
hal azim! Kau cari apa ni Azraf Hamidi? Habis bersepah almari album ni kau
selongkar.”
Aku berhenti sekejap. Gatal pula
hidung bermain dengan habuk almari ni. Punyalah nak mencari gambar-gambar lama
ketika waktu belajar dulu sampai lupa nak tukar baju. Sampai saja ke rumah, almari
album itu yang aku kejar dulu.
“Album-album masa orang belajar dulu
mak simpan kat mana?”
“Semua ada kat dalam almari tu. Kau
nak buat apa ni?”
Mak turut sama bersila di sebelah
aku. Album-album yang bersepah di atas lantai dia susun semula. Tapi tangan mak
tak selaju tangan aku. Setiap kali satu album diambil, pasti akan diselaknya
terlebih dahulu. Kemudian dia akan senyum sendiri. Teringat kisah-kisah lama
agaknya. Huh! Suka hati dialah. Baik aku sambung kerja aku.
“Dulu masa kecik, rambut kau bukan main lebat lagi Azraf. Cuba kau tengok ni...”
Mak hulur sekeping gambar yang sudah kekuning-kuningan.
“Tak sangka pula bila dah makin
besar, kau buat padang golf kat atas kepala. Siap ada spotlight pula tu. Hahahah!”
Mak gelak sampai tepuk-tepuk lantai.
Tak cukup dengan itu, kepala aku yang botak licin itu diusap-usap dengan kedua-dua
tangan. Kemudian bibir mak mendarat di tengah-tengah kepala. Suka benar dia
buat macam tu. Aku ketawa juga walaupun ada sedikit rasa bengang. Cuma mak saja
yang berpeluang buat macam tu. Cuba kalau orang lain yang buat.Memang tersandar
ke dinding aku sepak nanti.
“Mak ni...Ini spotlight cari makan tau!”
“Eleh! Cari makan buat apa? Kalau
cari awek barulah betul!”
Aku terpempan sekejap. Teringat
semula tujuan asal, aku sambung menyelongkar album-album lama. Mana pula aku
simpan gambar awek berlesung pipit itu?
“Dah
berapa tahun kau tinggalkan universiti Azraf?” Tiba-tiba mak bertanya.
“Lapan tahun...”
“Emm, budak-budak yang kau ajar
tiusyen masa tu berapa umurnya?” Mak bertanya lagi.
“Lima belas. Semua budak-budak PMR.”
Sekarang dipanggil PT3. Aku masih sibuk menyelak helaian-helaian album.
Nampaknya peluang untuk aku jumpa balik gambar lama dahulu agak tipis. Almari
album hampir kosong aku selongkar.
“Hmm, lima belas tambah lapan. Wah!
Maknanya budak-budak tu sekarang dah jadi anak dara sunti. Entah-entah ada yang
dah beranak-pinak. Alahai.. anak aku juga yang sudahnya jadi bujang terlajak!”
Mak gelak lagi.
Album di atas ribaan riba diselak lagi.
Sekejap-sekejap terdengar dia ketawa, kemudian dia mengeluh. Tak lama selepas
itu dia ketawa lagi. Gambar apa yang melucukan sangat tu?
“Azraf, budak ni yang cakap dada kau
macam dada orang utan kan?”
Tercampak album-album di tangan. Aku
segera berpaling dan mengambil album gambar di riba mak. Leganya! Akhirnya aku
jumpa juga album ini. Aku selak semula dari depan. Aduh! Rasa macam nak
menangis. Tekaan aku sangat tepat. Gadis yang datang ke pejabat aku pagi tadi
adalah adik kepada rakan sekuliah dulu.
Aku bangun dan bawa album gambar itu
sekali. Terlupa pula mak sedang memerhatikan aku.
“Woi pakcik! Siapa nak kemas semua
ni?” Mak melaung kuat. Aku dapatkan mak semula dan cepat-cepat masukkan semula
album-album gambar yang bersepah-sepah. Aku tahu mak sedang hairan memerhatikan
gelagat aku.
“Siap! Okey, orang nak masuk bilik.
Album ni orang nak.”
“Kau nak buat apa?”
“Nak tunjuk kat budak yang cakap dada
orang macam orang utan tu.”
Aku tinggalkan mak yang sedang terlopong
di situ dan terus masuk ke dalam bilik. Melantun badan aku ketika mendarat di atas
katil. Album yang aku ambil tadi aku selak lagi. Eee! Sukanya. Tak sangka.
Memang sangat tak sangka aku akan bertemu semula dengan Budak Lesung ni.
Tak
banyak beza pun wajah dia lapan tahun dulu dengan yang baru aku lihat pagi tadi.
Cuma sekarang nampak lebih cerah. Itu normal. Pasti ada produk kecantikan yang
dia gunakan. Orang perempuan dan bahan-bahan kosmetik mana boleh berpisah. Tak
kisahlah tu. Apa yang aku perlu buat sekarang adalah meyakinkan Raisya. Dia
perlu tengok gambar-gambar ni.
Alamak!
Lupa pula nak ambil alamat rumah dia di pejabat tadi. Kalau tidak boleh aku
pusing-pusing mencari rumah Raisya lepas Maghrib nanti. Atau, dia masih tinggal
di rumah lama? Aku keluarkan handphone dalam
poket seluar. Rasanya Munirah boleh membantu dalam hal ni.
“Assalamualaikum
Encik Azraf...” Suara Munirah kedengaran.
“Waalaikumsalam.
Err.. Munirah. Awak ada alamat budak baru yang nak mula kerja esok tu tak?”
Gemuruh punya pasal, habis tunggang langgang bahasa aku.
“Ada...”
Jawapan
Munirah buat aku senyum lebar.
“Tapi
kat office...”
Senyum
terus hilang. Ada pula sambungan jawapan Munirah ni. Kurang asam betul!
“Hmm,
tak apalah. Bye.”
Aku
matikan talian. Mandi dululah. Tak perlu tergesa-gesa. Besok pasti Raisya akan
datang sebab dia yang beria-ia nak bekerja di situ. Tahrim sudah kedengaran.
Aku cepat-cepat mandi dan siap menyarung pakaian untuk mengerjakan solat
Maghrib. Nak doa banyak-banyak untuk Raisya. Minta-minta dia boleh ingat
kenangan-kenangan lapan tahun dulu.
“AZRAF, besok cawangan kita
kat Senai dah mula beroperasi. Kau pergi sana ya?”
Abah
ni bagi arahan atau buat permintaan? Aku tengok mak yang sedang mencedukkan
lauk untuk abah. Macam mana nak minta mak tolong ni? Aku tak nak ke Senai.
Melepaslah peluang nak jumpa Raisya nanti. Tapi apa alasan yang paling
munasabah aku nak bagi?
“Saya
rasa, elok abang aje yang jaga branch
kita kat Senai tu. Budak botak ni bukannya reti nak bangun awal. Harapkan jam
loceng aje yang besar gedabak kat dalam bilik tu. Tapi saya juga yang kena
kejutkan dia bangun nanti. Cawangan baru, kenalah jaga betul-betul. Kalau dari
awal lagi orang bawahan dah tahu bos suka masuk lambat, mesti ada yang jadi
pengikut. Kalau tak percaya tengok ajelah nanti.”
Yeah!
Supermom sudah beraksi. Aku
sembunyikan senyum. Takut kalau-kalau abah tak setuju dengan cadangan mak. Tapi
memang jarang abah tolak cadangan mak mentah-mentah. Tanpa sebarang kata, abah
menadah tangan untuk membaca doa makan. Sambil menunggu abah membaca doa, sempat
lagi mak kenyit mata. Aku tunjuk senyum senget. Faham dengan body language mak. Dia pasti akan pujuk
abah sampai berjaya.
“Hmm,
kau jangan bangun lambat pula bila jaga cawangan kat sini. Abah tak nak dengar ada
customer complaint servis kita lambat
atau kurang memuaskan. Kalau ada yang merungut, abah hantar kau jaga office kat Senai.”
Yahuu!
Macam nak lompat bintang rasanya. Aku pandang mak sambil menaik-naikkan kening.
Mak memang Supermom aku. Sayang dia!
No comments:
Post a Comment