Wednesday, 15 July 2015

ABANG SAYANG ADIK MANIS KARYA AILAH DIELA

BAB 2



AIR mata memang dah tak ada untuk mengalir keluar. Rasanya semalam dah satu hari aku menangis. Dan pagi ini aku kononnya nak berlaku jujur telah berteus terang dengan Mr.Yap. Tapi apa reaksi yang aku terima cukup mengejutkan.
“You careless, Daria!” Hilang terus sisi baik Mr.Yap. Rasanya inilah kali pertama aku tengok dia marah. Bukan setakat marah, ini dah tahap mengamuk.
“I’m sorry Mr.Yap. Saya..err...” Apa lagi yang aku nak terangkan? Rasanya memang aku dah tak ada alasan. Tadi pun dah puas aku cuba terangkan pada Mr.Yap. Tetap kena marah. RM 10 ribu, memang dia patut marah pun.
“You what?!”
“I’m sorry...” Pinta aku lagi. Pandangan aku tundukkan memandang jari jemari sendiri. Sebak di dada ni tak usah nak cakaplah. Sedih bila ditengking-tengking macam ni. Aku sudahlah mudah sangat nak menangis.
“Sorry you tu tetap tak akan boleh mengembalikan duit tu Daria. So now macam mana? Apa yang perlu I buat dengan you?” Mr.Yap berdiri bercekak pinggang di hadapan aku.
Aku pulak dah rasa nak menunduk masuk ke dalam kain sendiri.  Buat apa? Mintak aku ganti semula duit tu? Mana aku ada duit! Duit simpanan pun hanya ada RM 500 je. Padanlah pun, aku baru kerja lima bulan kan. Nak jual barang kemas pulak, yang aku ada hanyalah barang kemas arwah mak. Dua utas rantai dan seutas gelang. Tetap tak cukup juga!
“Baru lima bulan kerja, dah berani nak ambik duit kedai. Where the money Daria?”
Aku geleng pantas.
“Tak. Saya tak ambik Mr.Yap!”
“I akan report polis.” Mr.Yap berlalu ke arah telefon yang terletak dihujung meja.
“Jangan!” Halang aku.
Telefon tersebut aku ambil dan pegang kemas. Polis?! Tak nak. Aku tak nak masuk penjara. Aku belum kahwin lagi, aku belum dapat jadi pereka fesyen lagi. Banyak lagi perkara yang aku nak buat.
“Bagi I telefon tu, Daria!” Mr.Yap cuba rampas kembali telefon di tangan aku.
Aku geleng berkali-kali. Tak nak! Boleh pulak kami main berebut telefon. Tapi apapun, aku tetap tak akan bagi semula telefon ni. Kalau aku bagi memang aku bodoh la.
“Please Mr.Yap. Percayakan saya. Bagi saya masa, saya akan cuba dapatkan semula duit tu. Saya dah lima bulan kerja dengan Mr.Yap. Pernah ke selama ni saya selewengkan duit? Even seringgit pun saya tetap akan pulangkan semula. Saya tahu kali ini memang salah saya, cuai. Tapi bagi saya masa Mr.Yap. Saya akan ganti semula duit tu.” Rayu aku.
Kat mana aku nak cari duit tu aku pun tak tahu. Semalam sampai habis satu kedai aku selongkar cari. Sampaikan stor belakang kedai itu pun aku pergi geledah. Padahal tak ada kena mengena pun.
Siapalah yang dah ambik duit tu. Nak tuduh sesiapa aku langsung tak ada bukti. Jadi memang nampak akulah yang bersalah. Kenapalah kedai ni tak ada pasang CCTV. Kan lagi mudah nak tangkap siapa pencuri yang sebenar.
“Boleh ke I percayakan you lagi? Kalau you lari macam mana?”
“Tak. Saya tak akan lari Mr.Yap. Saya janji saya akan pulangkan semula sepuluh ribu tu. Tolonglah bagi saya peluang.” Rayu aku lagi. Boleh atau tidak dapatkan duit tu. Belakang kira.
Yang penting sekarang ni aku kena cuba. Takkan la aku nak mengalah dan rela masuk penjara. Aku ni satu-satunya anak yang arwah mak ada. Jadi aku nak la jadi anak yang boleh membanggakan dia walaupun dia dah tak ada di sisi aku. Sekurangnya aku cuba. Jangan mengalah cepat sangat.
“Baik. I bagi you tempoh tiga hari je Daria. Remember what I say, only three day.. Mark my word’s okey.”
Aku angguk walaupun tak yakin dengan diri sendiri.  Tiga hari? Mana aku nak cari duit sebanyak itu dalam tempoh tiga hari. Tiga bulan pun belum tentu aku mampu. Zakuan! Ya, aku rasa dia boleh tolong aku.
Tengahari tu aku terpaksa puasakan perut aku sebab aku nak pergi jumpa Zakuan. Selagi tak jumpa Zakuan selagi itu aku tak senang hati.
“Mak nak keluar je.. Lagipun mak bukannya sakit sangat.”
Belum sempat aku tolak pintu wad, aku dengar suara Mak Shimah. Kaku terus kaki aku yang baru nak melangkah masuk. Tadi aku ada telefon Zakuan ajak jumpa. Tapi dia cakap mak dia sakit, masuk hospital. Itu yang aku sampai ke sini.
“Mak janganlah degil. Tak sakit apanya kalau macam ni. Kalau sampai kena tahan wad, maknanya sakit la tu. Mak ni melebih pandai dari doktor pulak.” Kali ini aku dengar Zakuan pula yang bersuara.
Aku masih tegak di hadapan pintu wad. Tak tahu kenapa kaki ni rasa berat nak melangkah masuk.
“Diri mak. Mak tahu la samada sakit ke tak.. Dah. Pergi cakap dekat doktor tu. Mak nak keluar. Adik-adik kamu dekat rumah tu tak ada siapa tolong tengok. Entah dah makan ke belum la agaknya budak-budak tu.”
Aku intai sikit dari celah pintu. Nampak Zakuan yang sedang duduk di tepi katil Mak Shimah. Mak Shimah pula terbaring lesu atas katil. Wajah tua itu memang nampak pucat sangat. Itupun boleh lagi nak mengaku sihat.
“Angah ada dekat rumah tu. Pandailah dia uruskan adik-adik. Mak rehat je.”
“Mak nak balik. Ni nanti duduk sini entah berapa lagi la nak kena bayar. Mak ni dah tua along. Memang la sakit sikit-sikit ni normal. Lagipun kamu tu, dah berapa banyak keluar duit untuk pembedahan lutut mak ni hari tu. Ini mak dah sihat sikit.  Jom kita balik.”
Kata-kata Mak Shimah mengejutkan aku. Mak Shimah ada buat pembedahan? Kenapa aku tak tahu pun. Zakuan tak pulak cakap dekat aku.
“Tak banyak mana pun mak. Yang penting mak sihat. Along tak kisah kalau along susah pun, asalkan mak dengan adik-adik boleh hidup macam orang lain.”
“Tak banyak kamu kata?! Lima belas ribu tu, along. Bukannya sikit-sikit. Sepatutnya hari tu tak payah bedah pun. Mak ni dah tua, bedah la macam mana pun. Sakitnya tetap sakit juga.”
Jantung aku rasa macam nak berhenti berdenyut bila terdengar perbualan dua beranak tersebut. Lima belas ribu? Jadi sekarang ini maknanya Zakuan memang tengah tak ada duit la. Dan aku pula ada niat nak meminjam duit dari dia. Tak patutnya aku!
Ya Allah, kesiannya Zakuan. Aku tahu dia memang sayang sangat dekat mak dan adik-adik dia. Aku mengaku lelaki berkenaan memang ada hati yang mulia. Sebab itulah aku boleh sayang dekat dia walaupun dia tak ada harta yang menimbun.
“Along tak nak dengar apa-apa. Mak rehat je. Soal duit mak janganlah risau. Tahulah along mana nak cari.”
Itu ayat terakhir Zakuan yang aku dengar. Sebab lepas tu aku terus berpusing ke belakang semula. Tak sanggup nak dengar perbualan dua beranak tu lagi. Makin banyak aku dengar, makin rapuh hati aku ni. Mula la nak buat drama air mata.
Punggung aku labuhkan di kerusi ruangan menunggu. Sepanjang aku kenal Zakuan entah apa la yang aku pernah buat untuk dia. Rasanya tak ada apa-apa pun. Zakuan yang banyak berhabis untuk aku adalah. Kalau aku masih nak menyusahkan dia dengan keadaan sekarang ni, tak kejam ke aku?
Sudah la mak dia tengah sakit. Adik-adik dia pula masih belajar. Tak ke aku ni sebenarnya dah menambahkan beban dalam hidup dia. Belum kahwin aku dah tunjuk yang aku ni sebenarnya menyusahkan.
“Ria!” Aku senyum bila nampak Zakuan sedang melangkah ke arah aku.
“Awak..”
“Kenapa tak masuk? Lama dah sampai?”
“Baru sampai ni, itu yang duduk sini dulu.” Bohong aku. Wajah Zakuan yang agak tidak terurus aku pandang. Kesiannya dia. Nampak muka dia tak macam tak cukup rehat. Bukan senang nak jadi anak sulung ni.
“Mak tidur.. Nak masuk tengok sekejap boleh la.”
“Tak apalah. Biarlah Mak Shimah rehat dulu.” Tolak aku lembut. Tak nak menganggu.
“Baru balik kerja ke?”
“Ha ah..terus datang sini. Tak sempat tukar baju pun lagi. Kenapa? Saya comot eh?”
Zakuan gelak sekali dengar soalan aku. Kemudian dia geleng kepala.
“Tak la.. Awak walau dalam keadaan macam mana pun. Tetap cantik di mata saya..”
Aku tersenyum segan. Itulah Zakuan, mulut memang sentiasa buat hati aku kembang setaman. Tapi aku? Pernah ke aku buat Zakuan bahagia.
“Awak..”
“Ye saya..”
“Err Mak Shimah sakit apa?”
“Sakit biasa-biasa je ria. Orang tua, biasalah...” Zakuan ketawa kecil. Tapi ketawa dia langsung tak menarik di telinga aku. Nampak sangat buat-buat.
“Kerja awak macam mana sekarang?”
“Okey. Tapi itulah, mak saya sekarang ni dah kerap sakit. Terpaksa la saya ambik cuti tanpa gaji untuk bulan ni. Harap company faham la keadaan saya ni.”
Aku angguk lemah. Aku pun faham juga. Semuanya bergantung pada dia. Kalau syarikat dia tak faham,siapalah yang nak ambil alih tugas jaga Mak Shimah.
“Tak apalah. Saya doakan Mak Shimah cepat sembuh.”
“Thanks, Ria...”
Kemudian kami sama-sama terdiam. Aku nampak Zakuan menyandarkan kepalanya ke kerusi dengan mata terpejam. Sekali sekala terdengar keluhan kecil yang terbit dari bibir itu. Seolah sedang menanggung sesuatu yang berat.
“Zakuan. Err saya tanya sikit boleh?”
“Erm. Apa dia?” Zakuan pandang aku sekali lalu sebelum meraup wajahnya.
“Tadi saya dengar yang Mak Shimah ada buat pembedahan... Betul ke?”
Zakuan angguk lambat-lambat.
“Mana awak dapat duit banyak tu?” Setahu aku gaji Zakuan sebagai pembantu pegawai pemasaran tidaklah sebesar mana. Ditambah pula dengan perbelanjaan keluarga yang besar. Memang jumlah RM 15 ribu itu tersangatlah besar.
“Saya pinjam dengan company. Bulan-bulan potong gaji. Itu je cara yang saya ada Ria. Saya ni bukannya orang senang nak dapat duit sebanyak itu.”
Pinjam dengan syarikat? Dan sekarang ni aku pulak ada hati nak pinjam dengan Zakuan. Oh tersangatlah tak masuk akal! Tapi kalau aku tak pinjam dengan Zakuan, aku nak pinjam dengan siapa lagi? Dengan Najwa? Najwa lagilah tak ada duit. Kalau dia boleh tolong pun, tak sampai suku. Aduhh! Mana nak cari duit ni.
“Zakuan, kalau kita pinjam duit dengan Ah Long...selalunya berapa banyak ye kita boleh pinjam?” Tiba-tiba je idea tu keluar dari otak aku.
“Ah Long? Dah kenapa pulak tiba-tiba tanya pasal Ah Long ni?” Zakuan pun nampak terkejut dengan pertanyaan aku.
“Saja nak tahu...” Dalih aku.
“Seberapa banyak pun boleh. Tapi sangatlah tak digalakkan. Tindakan itu namanya menggali kubur sendiri.”
Aku faham maksud kata-kata Zakuan. Memang tempah maut la kalau berani nak pinjam ceti haram. Kalau aku pinjam, mana pulak aku nak cari duit untuk bayar nanti? Bayar dengan nyawa. Mintak dijauhkan!
“Kenapa ni?”
Aku geleng.
“Jangan nak tipu. Tengok dahi yang berkerut tu pun dah tahu.”
Aku hela nafas berat. Nampak sangat ke dahi aku berkerut? Aduh..habislah. Cepatlah aku tua sebelum usia kalau dah selalu macam ni.
“Zakuan. Saya sebenarnya ada masalah ni...” Lelah aku nak simpan sendiri. Rasa macam bahu aku macam nak melorot ke bawah dah.
Membayangkan penjara buat aku rasa nak meraung. Gelaplah masa depan aku kalau aku dituduh atas tuduhan mencuri. Pecah amanah. Mesti aku akan malukan sanak saudara aku dekat kampung sana. Cukuplah selama ini aku dah banyak menyusahkan mereka semua. Tak nak lagi dah.

ABANG SAYANG ADIK MANIS KARYA AILAH DIELA

BAB 1



ORANG kata, apa yang kita impikan tidak semestinya akan tercapai. Begitu jugalah dengan aku. Impian kononnya untuk menjadi seorang pereka fesyen terkenal. Tapi sekarang ni elok je aku sedang duduk di atas kerusi yang hanya layak untuk seorang kerani.
Kerani kedai bunga je! Okeylah kan dari langsung tak ada kerja. Sekurangnya boleh la juga menanggung hidup yang memang tak berapa nak senang ni. Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi.
“Daria. Akaun statement dah ambil dari bank?” Tegur Mr.Yap masa aku tengah sibuk susun segala invois dari pembekal.
Mr.Yap. Inilah bos aku setelah hampir lima bulan diterima bekerja disini. Baik orangnya. Tak kedekut dan mesra alam. Mungkin disebabkan itulah dia boleh bertahan lagi kerja dekat sini walaupun kerjanya bertimbun-timbun. Nama saja kedai bunga. Dengar macam biasa-biasa, tapi kerjanya dah macam akauntan syarikat besar.
“Sudah Mr.Yap. Petang semalam abang leman tolong ambilkan.”
“Okey. Nanti you tengok semula ye,mana cek yang belum clear. Kalau ada, you call  terus siapa yang belum clear cek tu. I tak nak nanti akaun kita banyak gantung sebab masalah macam ni.”
Aku angguk patuh. Pekerja cemerlang la katakan.
“I nak keluar hari ini jumpa client. Mungkin tak masuk sampai petang. Nanti you tolong bank in cash money ni. I tak sempat nak bank in semalam. Careful ye, jumlah ni banyak. Ajak Tanti temankan you pergi bank nanti.” Satu sampul surat besar bewarna putih diletakkan di atas meja kerja aku.
“Baik Mr.Yap.” Jawab aku lagi.
Selesai saja aku berkata-kata Mr.Yap pun angkat kaki melangkah keluar kedai. Tangan aku pula terus bergerak mencapai sampul surat tersebut. Berat!
“10 ribu?! Biar betul.” Mulut aku membentul huruf o. Terkejut. Tak percaya. Sekali lagi aku mengira duit bernilai RM 100 yang sudah siap diikat. Ada sepuluh ikatan semuanya. Dan setiap satu ikatan ada sepuluh keping not RM 100. Jadi,ini bermakna betullah semua sekali RM 10 ribu ringgit.
Dalam tengah sibuk berangankan duit RM 10 ribu itulah telefon berbunyi nyaring. Najwa!
“Hello..”
“Cepatlah. Kau selalu lambat. Aku dah berlengas ni tahu tak!” Suara Najwa bingit menembus telinga.
“Ye. Ye.. Sabar la,” Balas aku dengan tangan yang ligat memasukkan kembali ikatan duit tadi masuk ke dalam sampul surat asal.
“Lima minit lagi kau tak sampai. Hari ni kau lunch sorang.” Bebel Najwa lagi.
Aku merengus. Najwa ni suka tahu tak buat aku gabra. Dia saja la tu mengugut sebab dia tahu aku tak suka makan sorang-sorang. Kelam kabut aku bangun dan masukkan sampul surat duit tu ke dalam laci. Sekarang aku nak pergi makan dulu. Najwa dah tunggu! Balik makan nanti baru aku pergi bank. Lagipun masa tu bank tak adalah ramai orang sangat.
Uhukk!
Tengah sedap mengunyah nasi berlaukkan ayam goreng kicap, tiba-tiba aku tersedak. Gelas air sirap limau aku capai dan teguk. Tak perlu penyedut minuman dah. Darurat!
“Kau makan gaya macam orang baru jumpa ayam goreng. Gelojoh.” Belakang aku ditepuk-tepuk perlahan.
“Mana ada la, Wa. Aku kunyah dah sehabis perlahan dah...”
“Habis tu yang sampai tersedak kenapa?” Najwa terus menepuk belakang aku sehinggalah aku mengangkat tangan tanda okey.
Tisu aku ambil dan lap hidung yang terasa sedikit perit. Makan makanan pedas, lepas tu tersedak pulak. Memang terbaiklah!
“Entah. Ada orang nak buat benda tak elok dekat aku agaknya.” Balas aku sambil berdehem berkali-kali bagi menghilangkan perit di tekak.
“Pandailah kau. Mana kau belajar tersedak sebab ada orang nak buat benda yang tak elok? Setahu aku, kalau kita tersedak itu adalah disebabkan ada orang sebut nama kita berulang kali. Ataupun lebih tepat, ada orang rindukan kita.”
“Zakuan kut yang rindukan aku.”
“Citt!” Najwa berdecit marah.
Aku gelak kecil. Najwa Musfiera. Inilah kawan aku dari mula menjejakkan kaki ke UITM sampailah sekarang. Tapi nasib Najwa ni baik sikitlah dari aku sebab habis je belajar dia terus dapat kerja jadi setiausaha dekat syarikat kecantikan. Aku ni juga yang menyandang jawatan kerani, padahal ada ijazah rekaan fesyen. Lari tema betul!
“Kau tak payah nak sebut la nama ‘orang’ tu masa makan. Nanti tak pasal aku pulak yang tersedak.” Najwa merengus marah.
Inilah yang peliknya pasal aku dengan Najwa ni. Semua benda kami akan sehati sejiwa. Semua benda kami akan berkongsi suka dan duka. Tapi bila masuk bab Zakuan. Najwa memang tak boleh jadi geng aku. Tak tahu la apa yang buat Najwa tak suka sangat pada Zakuan tu.
“Apa yang kau tak suka sangat dekat Zakuan tu, Wa? Dia okeylah. Kau je yang tak kenal dia secara rapat...”
“Eh! Tak kuasa aku nak rapat-rapat segala. Dah la warna macam dodol.” Najwa herotkan mulut. Mengejek.
Aku tahan gelak.
“Dodol itukan nikmat. Sedap. Manis, lemak berkrim lagi.”
“Tapi dodol yang ni hangit!” Najwa jelirkan sedikit lidahnya.
Aku gelengkan kepala dan kembali sambung menyuap nasi. Kalau pasal Zakuan, jangan diajak Najwa berlawan cakap. Memang tak akan ada satu pun kebaikan yang akan keluar.
Mungkin Zakuan tu nampak macam kasar dan sombong sikit. Tapi itulah kekasih hati yang aku sayang. Dah hampir setahun lebih aku dengan dia. Setakat ni tak ada lagilah dia buat perangai yang aku tak boleh terima. Setakat masalah kecik-kecik tu, biasalah. Adat dalam bercinta la katakan.
“Kau dah hantar ke resume dekat Ana Stayle?”
Aku angguk. Bersemangat!
“Dah!”
“Ini resume yang ke berapa?”
Aku angkat tangan, empat jari aku tegakkan. Menandakan dah empat kali aku hantar.
“Empat kali dah? Huh. Kalau aku la... Give up!”
“No way!”
Mana ada erti putus asa kalau ianya berkaitan dengan impian. Ana Stayle Fashion House. Dengar nama pun dah buat lutut aku ni mengigil. Hati aku ni dah mengedik-gedik, meroyan bila membayangkan bertapa gah nya syarikat fesyen tu.
Menjadi pereka fesyen untuk Ana Stayle memanglah impian aku sedari aku mula mengenali apa itu dunia fesyen. Tambah lagi syarikat tu kepunyaan orang bumiputera. Lagilah aku bersemangat nak membawa diri masuk ke dalam syarikat tu. Selagi tak dapat, selagi itu aku akan cuba.
Selesai solat zohor tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
“Masyallah!” Aku tepuk dahi sendiri.
“Kau kenapa?” Najwa memandang aku pelik.
Aku pegang kepala. Duit! RM 10 ribu ringgit. Mati aku! Macam manalah aku boleh lupa pasal duit tu ni. Sepatutnya tadi aku bawak sekali.
“Err. Wa! Aku lupa. Aku kena jumpa customer. Pergi dulu. Bye!” Tanpa menunggu balasan Najwa. Aku terus berlalu pergi. Nak cerita pada Najwa pun dah tak sempat. Buat bazrikan masa aku je.
Semakin hampir dengan kedai, semakin kelam kabut aku berjalan. Kain baju kurung yang sedikit menganggu langkah, aku angkat sedikit ke atas. Ikutkan hati aku nak buat larian olimpik je tadi. Tapi macam tak sesuai pulak dengan status baju kurung yang aku pakai ni.
“Macam manalah aku boleh lupa perkara penting macam ni...” Omel aku pada diri sendiri.
Masuk saja ke dalam kedai, makin panjang langkah aku menuju ke dalam bilik kerja aku. Otak masa tu hanya fikirkan laci dan duit. Sampai je dalam bilik, aku terus tarik laci. Hampir terduduk aku dibuatnya bila melihat laci tersebut kosong. Yang ada hanyalah sebahagian invois yang belum sempat aku rekod. Dengan harapan yang menggunung tinggi, laci kedua aku tarik. Tak ada juga! Laci ketiga aku tarik rakus.
“Mati!” Cetus aku bila melihat sampul surat tersebut tak ada di dalam laci ketiga.
Aku memegang kepala dengan kedua belah tangan. Rasa macam nak picit bagi pecah. Kenapa aku cuai sangat!
“Farhah!” Jerit aku memanggil budak yang bertugas sebagai penjaga kaunter.
Tak tunggu lama Farhah sudah muncul di hadapan pintu bilik aku. Kiranya kuat jugalah aku menjerit tadi.
“Ada sesiapa masuk bilik Kak Ria tak tadi?” Soal aku terus.
“Tak ada. Kenapa?” Jawab Farhah jelas kebingungan.
“Sure? Manalah tahu Farhah tak perasan ke...” Tanya aku lagi. Lebih kepada nada mendesak.
Selalunya kalau aku keluar rehat memang Farhah akan ada dalam kedai. Dia akan rehat lagi awal dari aku. Selain FarHah ada lagi dua orang pekerja. Seorang tu Leman, dia tu merangkap seolah pemandu kedai. Lagi sorang tu pulak Tanti, tugas dia lebih kepada tukang cuci, tukang bersih dan segala jenis tukang la. Sampaikan tukang gubah bunga pun dia.
“Memang tak ada la Kak Ria. Farhah memang ada dekat kaunter tu je. Kenapa kak? Nampak kalut semacam je.” Kali ini Farhah datang mendekati aku.
Kepala dia dijengukkan ke arah laci aku yang ketiga-kita sudah ternganga luas. Sampaikan sampah yang ada dalam tong sampah pun aku tuangkan semuanya ke atas lantai.
“Tolong Kak Ria!”
“Okey... Apa dia?”
“Kak Ria nak Farhah cari satu sampul surat warna putih saiz A4. Cari sampai jumpa.. Tolong Kak Ria!”
RM 10 ribu ringgit! Hilang!! Kalau betul aku dah hilangkan. Aku seolah dah menyerahkan leher aku untuk dipancung. Bagi orang macam aku yang tak berduit ni. Jumlah tu memang terlalu besar untuk aku ganti. Memang aku tak akan mampu.


Tuesday, 30 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 6



"Macam mana dengan pembantu baru kau tu Arif?" soal Khir sambil memandang tajam wajah teman di sebelahnya. Gelas di tangan diletakkan ke atas meja semula.
Ku Ariff tersenyum. "Okeylah, tapi macam yang aku pernah cerita sebelum ni. Dia tu jenis yang tak boleh kena tegur mesti ada aje yang dijawabnya. Kalau bab kerja memang baguslah cuma perangainya tu aje yang buat aku pusing. Tapi kadang-kadang tu terhibur juga aku dengan kerenah dia." Akuinya jujur.
"Hai Ariff, lain macam aje bunyi tu? Ada apa-apa ke yang kita orang tak tahu?" Danial yang hanya mendengar sedari tadi menyoal pula. Pelik. Setahunya sahabatnya yang seorang ini memang susah sikit hendak bercerita tentang perempuan sambil tersenyum-senyum begitu. Sejak kenal Ku Ariff, sahabatnya itu memang jenis susah hendak rapat dengan mana-mana perempuan padahal bukan main ramai perempuan yang menyendeng. Maklumlah anak orang kenamaan malah kacak pula tu. Sudahlah muka mixed yang sememangnya menjadi kegilaan perempuan.
Sudah tergelak Ku Ariff mendengar soalan Danial tadi. Khir dan Joe juga sudah memandangnya semacam. "Mana ada apa-apalah. Gila nak jatuh cinta dengan pembantu rumah. Memanglah aku akui dia tu cantik tapi budak-budak sangatlah. Baru masuk 22 tahun.” Telahnya.
"Kau sekarang dah 38 tahun. Hurm, okeylah tu walaupun beza umur hampir 16 tahun. Lagipun, kalau kau suka pembantu rumah pun apa salahnya. Senang hidup kau nanti dah ada isteri yang pandai buat kerja-kerja rumah. Kau tu sudahlah cerewet nak mampus," kutuk Johari selamba.  
“Amboi Joe, tak agak-agak nak mengutuk,” balas Ku Ariff dengan senyuman.
Johari tergelak. “Kenyataan Riff.”
Ku Ariff tersengih. "Budak tu baru sebulan lebih kerja dengan akulah. Aku pun bukannya kenal dia sangat.” Dalihnya.
“Kalau dah cinta masa bukan ukurannya. Tak kenal boleh berkenalan. Yang jauh boleh didekatkan. Apa ada hal,” celah Khir sambil tergelak.
Ku Ariff turut tergelak. “Sudahlah, tak payah cerita hal dia lagi. Mesti tersedak-sedak dia dekat rumah tu sambil buat kerja sebab korang asyik mengumpat dia dari tadi."  Balas Ku Ariff cuba mengubah topik cerita. Dia pun sudah naik segan asyik bercerita tentang pembantu rumahnya itu padahal antara mereka bukannya ada apa-apa. Berjumpa pun jarang sekali.
Johari, Khir dan Danial sudah tersenyum melihat raut muka sahabatnya  yang sudah  berubah rona  ketika itu. Mesti ada apa-apalah tu. Fikir mereka dalam hati. 
"Oh ya Danny, Nia apa khabar? Lama aku tak jumpa dia." Tiba-tiba Khir menyoal. Danial dipandang.
“Okey aje. Dia tengah cuti semester sekarang.”
“Rindulah dengan dia. Kau pun dah jarang bawak dia keluar sekarang, kenapa? Takut kita orang mengurat adik kau tu eh?” Soal Johari lagi.
Danial tergelak. "Bukan aku tak nak bawaklah tapi sejak dia buat kerja amal di rumah anak yatim sepanjang cuti semester ni memang dia asyik memerap aje kat rumah. Yang aku tak larat tu aku yang jadi mangsa kalau dia sakit sana sini. Tak habis-habis nak kena memicit dia. Manja terlebih-lebih. Dah tahu diri tu tak biasa buat kerja macam-macam mengada nak buat jugak,"  bebelnya pula.
Johari dengan Khir sudah tergelak mendengar cerita Danial tentang adiknya yang seorang itu. Mereka tahu sangat yang Dania memang manja orangnya. Sedangkan dengan mereka pun Dania tidak malu-malu hendak bermanja. Maklumlah mereka pun sudah kenal Dania sejak Dania kecil lagi.
"Nak buat macam mana, dah anak manja. Kau pun aku tengok manjakan dia sangat. Ha, sesekali bawalah dia keluar, beritahu abang Joe dia ni nak belanja," sambung Johari lagi.
"Kalau kau nak jumpa dia sangat datang aje ke rumah. Macam tak biasa pulak. Dania ada aje kat rumah tu. Kau tahulah dia tu bukannya suka keluar tak tentu pasal," sanggah Danial dengan senyuman.
"Korang cerita pasal siapa pulak ni?" soal Ku Ariff hairan. Sedari tadi dia hanya mendengar saja tapi tidak dapat menangkap siapa yang sahabat-sahabanya itu bualkan.
"Adik si Danial ni, Dania. Cantik tau orangnya," jawab Khir sambil tersenyum.
Ku Ariff pamer senyum saja. Malas hendak ambil port lagipun dia bukannya kenal.
“Amboi Khir, lain macam memuji adik aku tu? Ada hati nak jadi adik ipar aku ke?” seloroh Danial sambil tersengih.
Khir tergelak. “Tak nak aku ada abang ipar macam kau. Demanding!”
Tergelak besar Danial mendengar kutukan sahabatnya itu. Hampir tersembur air milo yang baru diteguknya ketika itu.
“Aku pun tak ingin ada adik ipar macam kau. Kalau Ariff, aku terus bagi green light. Pakej lengkap tu untuk jadi adik ipar.” selorohnya pula sambil memandang Ku Ariff di hadapan. Sengaja mengusik. 
“Memilih!” kutuk Johari pula.
Danial tergelak. “Wajib! Demi adik kesayangan aku yang sorang tu.”
Ku Ariff menggeleng dan tergelak sahaja mendengar gurauan sahabatnya itu. Tiba-tiba namanya pula yang dipetik. Kenal Dania pun tidak!


Haji Rahim menghulurkan buah limau yang sudah dikupaskan kulit kepada anak gadis yang sedang duduk bersandar di sebelahnya. Kemudian kepala Dania diusap perlahan sebaik buah limau tersebut dicapai oleh anak gadisnya itu.  Dania hanya tersenyum saja diperlakukan begitu. Anak manjalah katakan. Bukan setakat manja tetapi mengada yang lebihnya.
"Mengadalah adik ni, nak makan buah limau pun nak suruh abah  kupaskan kulit. Tak ada tangan ke nak kupas sendiri?" Kutuk Danial sambil bahu Dania ditepuk perlahan.
Dania mendongak dan mendengus. "Along dengki kenapa? Abah tak cakap apa-apa pun. Kan abah kan...abah tak kisah pun kan?" balas Dania sambil mencemikkan muka ke arah alongnya yang sedang membetulkan duduk di hadapannya. Tangan abahnya semakin dipeluk erat dan kepalanya disandarkan rapat ke bahu Haji Rahim. 
"Iyalah, belum kahwin bolehlah nak manja-manja dengan abah, nanti dah kahwin entah ingatkan abah lagi entah tidak." Haji Rahim mengusik.
"Apa abah ni, Nia belajar pun belum habis lagi dah sibuk cakap pasal kahwin. Tapi abah tak payah risau, kalau Nia kahwin pun nanti Nia tetap sayangkan abah. Abah tetap nombor satu di hati Nia tau."
"Belum kahwin bolehlah cakap macam tu kan bah, dah kahwin nanti lain pulak jadinya. Entah-entah nak balik tengok abah pun tak ada masa." Giat Danial pula. Wajahnya dicemikkan.
"Along ni saja aje tau," bebel Dania geram. Bantal di sebelahnya dicapai dan dibaling ke arah alongnya itu.
Danial mengelak dan lidahnya dijelirkan mengejek apabila bantal itu langsung tidak mengena sasarannya.
Haji Rahim hanya menggeleng sahaja melihat kerenah anak-anaknya itu.
“Bah, tengok along tu!” rengek Dania geram.  
“Sudahlah tu Along. Macam budak-budak,” tegur Haji Rahim  perlahan.
“Ala, gurau-gurau aje Bah. Adik tu mengada sangat tak boleh kena usik,” balas Danial membela diri. Dania diejek lagi.
Geram diperlakukan begitu, Dania mencemik. Ejekan Danial dibalas.
Melihat suasana yang riuh itu, tiba-tiba Haji Rahim melepaskan keluhan.
Dania mendongak. Wajah abah nya yang sudah berubah riak itu dipandang hairan. "Abah ni kenapa, tiba-tiba mengeluh pulak?"
Haji Rahim menunduk. Jemari anak gadisnya itu dicapai dan digenggam kemas. "Abah risaukan Nia sorang-sorang dekat Aussie nanti. Kenapa tak terus belajar dekat sini aje. Kenapa nak pergi sana?" perlahan Haji Rahim bersuara. Memang dia terkejut  apabila Dania tiba-tiba menghulurkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara kepadanya tengahari tadi. Dia sendiri pun tidak tahu Dania ada memohon untuk belajar di sana. 
"Ala bah, tak payahlah risaukan Nia. Nia nak belajar berdikari. Nak belajar hidup sendiri. Lagipun dulu along pun belajar dekat luar Negara jugak. Okey aje."  pujuk Dania lembut.
"Along tu lelakilah Nia, Nia tu perempuan. Macam manalah mama dengan abah tak risau." sampuk Hajjah Zainon pula yang baru keluar dari dapur sambil menatang dulang air kopi panas di tangan. 
Dania mendengus perlahan. "Maa...Nia tahulah jaga diri bila kat sana nanti. Janganlah risau okey. Bila-bila free abah, mama dengan along datanglah tengok Nia dekat sana,"  sambungnya lagi.
"Betul cakap adik tu ma, bah. Along tahu pandailah adik jaga diri dekat sana nanti. Mama dengan abah tak payahlah risau." Pujuk Danial pula. Walau dia pun risau sebenarnya Dania keseorangan di sana tapi dia tahu Dania walaupun manja tetapi kuat orangnya.
Mendengar kata-kata Danial, Haji Rahim dan Hajjah Zainon terus terdiam. Lagipun mereka tahu anak gadisnya itu kalau sudah buat keputusan begitu memang susah hendak diubah lagi. Lebih-lebih apabila keputusan tersebut adalah dari keinginannya sendiri.


Ku Ariff berjalan merapati Puan Jasmin yang sedang berehat di balkoni rumah. Mummy nya itu disapa mesra dan pipi Puan Jasmin dikucup lembut.  
Puan Jasmin tersenyum. Huluran salam anak lelakinya itu disambut kemudian dahi Ku Ariff di kucup sekilas.
"Dari mana?" soalnya.
"Ariff dari office mummy.”
“Lewatnya? Dah pukul lapan lebih baru balik.” 
Ku Ariff mengangguk. “Banyak kerja sekarang ni mummy.”
“Dah solat magrib?” soal Puan Jasmin lagi.
Ku Ariff mengangguk. “Solat dekat office tadi.” Jawabnya. “Mummy macam mana hari ni?" soalnya pula.
Puan Jasmin tersenyum. "Alhamdulilah, mummy okey. Tiba-tiba balik jumpa mummy ni kenapa?" usiknya. Jemari anak lelakinya itu digenggam erat.
"Mummy ni, Ariff balik jumpa mummy pun tak boleh ke?" Soalnya dengan senyum yang masih terukir di bibir.
"Ada pulak tak boleh. Mestilah boleh. Kalau ikutkan, mummy nak Ariff pindah balik ke sini semula,"
Ku Ariff tersengih. "Ariff lebih senang duduk sorang-sorang mummy." balasnya sopan. "Daddy mana? Ariff tak nampak pun,"
"Daddy pergi rumah adik, nak ambil Aiman. Daddy dah rindu dengan cucu," Puan Jasmin lempar tawa.
Ku Ariff turut tergelak. "Baru aje beberapa malam lepas adik balik sini, dah rindu dengan cucu?"
"Bukan Ariff tak kenal daddy."
Ku Ariff mengangguk mengiakan.
"Dah makan?" Soal Puan Jasmin lagi.
Sekali lagi Ku Ariff mengangguk.
"Pembantu baru Ariff macam mana?"
Ku Ariff tunjuk sengih. Semua bertanya tentang pembantu barunya itu. Tak pasal-pasal glamour Zahirah di mata orang-orang yang rapat dengannya padahal semua tak pernah berjumpa Zahirah lagi. "Setakat ni okey aje. Bolehlah diharap." Jujur dia menjawab.  
"Mummy nak tanya, sampai bila Ariff nak menyendiri? Tak fikir nak kahwin? Kalau dah kahwin kan bagus, ada isteri yang jaga semua keperluan Ariff, " Soal Puan Jasmin mengulang lagi pertanyaannya.  Anak lelakinya itu dipandang sayang.
Ku Ariff terdiam. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Perlahan-lahan nafasnya dihela.
"Ariff..." Panggil Puan Jasmin lembut. "Ariff masih fikirkan adik? Masih tak boleh buangkan perasaan tu jauh-jauh?" Tebaknya pula. Bukan dia hendak mengungkit tapi tak siapa  tahu apa yang tersimpan di dalam hati anak lelakinya itu. Manalah tahu kerana kecewa yang disimpan,  Ariff memilih untuk menyendiri.
Ku Ariff terus mendongak. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Tak mummy. Ariff dah boleh terima kenyataan cuma Ariff belum jumpa calon yang sesuai dengan Ariff," nafi Ku Ariff bersungguh. Itu kenyataannya. Sejak dia berbicara dari hati ke hati dengan Zairil dulu, dia sudah nekad untuk melupakan perasaan yang ada dihatinya buat Irina. Biarlah Irina bahagia dengan Zairil kerana itu yang dia doakan selalu. Melihat Irina gembira dengan kehidupannya sekarang dia juga turut bahagia.
"Dah tu nak tunggu sampai bila?" Puan Jasmin bertanya lagi. Risau dia memikirkan anak yang satu ini.
"Nantilah mummy, ada jodoh Ariff kahwinlah." balas Ku Ariff tenang. Jemari Puan Jasmin digenggam kemas. "Mummy jangan risau okey. Setakat ni Ariff senang macam ni," pujuknya lembut.
Mendengar kata-kata anak lelakinya itu akhirnya Puan Jasmin akur. Kalau tuan punya diri sudah berkata begitu, apa lagi yang mampu diucapkan. Biarlah Allah sahaja yang menentukan segalanya.














KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 5



Baju Ku Ariff yang diambil dari kedai dobi malam tadi terus disusunkan kemas ke dalam almari. Terpandangkan baju-baju tersebut Dania sudah tersenyum sendiri. Selamat duit aku sebab Ku Ariff yang bayar sendiri untuk baju-bajunya. Bisiknya. Dia pun tak sangka sebelum Ku Ariff pergi kerja semalam, selepas memberi ceramah panjang lebar dan mengajar cara menggunakan mesin basuh, Ku Ariff terus menghulurkan empat keping duit lima puluh ringgit kepadanya untuk mengambil baju-bajunya di kedai dobi. Siap dengan pesanan kalau ada baki awak ambil ajelah. Murah hati kot! Gelaknya pula.
Dengan bibir yang masih menguntum senyum, Dania terus mencapai beg sandangnya. Resit dan baki duit dikeluarkan kemudian diletakkan di atas meja kecil di sebelah kiri katil Ku Ariff dengan sekeping nota diletakkan di bawah baki duit tersebut.

Ku Ariff,
Ini baki duit ambil baju di kedai dobi semalam. Saya pulangkan balik ya. Mak saya pesan jangan ambil duit orang sesuka hati. Jadi terima kasih daun keladi tapi saya tak suka terhutang budi sebab takut tergadai body! J
P/s : Baju-baju tu dah selamat saya gantungkan dalam almari. Tengoklah yer. Kalau ada yang terkurang mesti pekerja kedai dobi tu saja nak buat kenangan agaknya.
Zahirah

Beg sandangnya diletakkan di tepi meja sisi dan bilik Ku Ariff dikemaskan. Selesai, Dania terus turun ke tingkat bawah menuju ke ruang dapur. Peti sejuk dibuka dan barang-barang di dalamnya diperiksa satu persatu. Mana yang sudah tamat tempoh luputnya dicampakkan ke dalam bakul sampah. Melihat banyak barang-barang yang sudah tamat tempoh, kepalanya digelengkan.
“Beli macam-macam tapi tak reti nak makan. Kuat membazir betul. Orang lain hidup kebuluran dia pulak main buang-buang. Mentang-mentanglah orang banyak duit. Susah nanti baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.” Bebelnya sambil mencampakkan bungkusan cheese, roti dan kotak air susu ke dalam bakul sampah di sebelahnya. Selesai mengemaskan dapur dia terus keluar menuju ke porch.
“Okay, sekarang waktu untuk bermain air.” Bisiknya sambil tersenyum. Apa tidaknya, itulah kerja yang paling dia suka sekali. Dapat main air! Air paip terus dibuka dan disiram di sekitar lantai. Sabun ditabur dan kerjanya dimulakan. Selesai membersihkan porch, Dania masuk semula ke dalam. Jam di dinding dikerling kemudian dahinya ditepuk perlahan. Temujanji dengan Zahirah pukul enam petang tetapi sudah pukul 5.30 petang dia masih lagi tercongok di rumah Ku Ariff. Rajin sangat aku hari ni macam tak nak balik pulak dah. Bisiknya sambil tersengih.
Tidak menunggu, Dania terus saja berjalan laju menuju ke bilik belakang. Beg sandangnya dicapai. Nak mandi tak? Soalnya sendiri. Tubuhnya diperhati kemudian tangannya diangkat dan badannya dihidu. Yuck, busuk! Mandi dululah Nia. Takkan kau nak pakai macam ni jumpa Irah. Bau pun bukan main semerbak lagi. Sebelum Zahirah pengsan baik kau mandi. Kena kutuk sia-sia aje nanti.
Baju yang dibawa di dalam beg sandangnya dicapai dan dia terus berjalan laju menuju ke bilik. Sebaik bersiap, Dania terus saja berlari keluar dari rumah Ku Ariff menuju ke keretanya. Enjin keretanya dihidupkan dan terus dipandu laju untuk beredar dari situ.  


Kereta diparkirkan. Sebaik keluar, penggera ditekan. Nafasnya dihela untuk meredakan panas di hati. Apa tidaknya, nyaris-nyaris BMW 5 series miliknya berlanggar dengan sebuah Satria Neo berwarna silver di simpang masuk ke rumahnya itu. Sedari tadi tidak habis-habis dia menyumpah perempuan yang membawa kereta tersebut. Macam-macam kata seranah keluar tanpa sedar. Perlahan-lahan Ku Ariff beristigfar dalam hati. Malas untuk membiarkan perasaan marah menguasai diri Ku Ariff terus masuk ke rumahnya dan terus berjalan menuju ke biliknya. Selesai mandi dan solat Asar Ku Ariff terus berbaring di atas katil. Penat. Memang hari ini dia terlalu penat dan kerana itulah dia balik awal dari selalu. Nasib baiklah pada waktu-waktu begitu, pembantu rumahnya memang sudah tiada. Tubuhnya dipusingkan ke kiri katil. Terpandangkan duit di atas meja sisi,  Ku Ariff bingkas bangun. Duit, resit dan nota di atas meja di sisi tersebut diambil. Sebaik membaca nota yang ditinggalkan, Ku Ariff terus tersenyum, hilang amarah yang membelengu dirinya sedari tadi. Kepalanya digelengkan. Macam-macam budak Zahirah ni. Bisiknya perlahan dengan senyum yang masih lebar terukir di bibir.


"Sorry Irah, aku lambat sikit," sapa Dania perlahan dan terus duduk di hadapan sahabatnya itu.
Zahirah tersenyum meleret. "Syok sangat ke kerja kat rumah Ku Ariff sampai tak reti nak balik,” usiknya. Keningnya dijungkitkan.
Dania mencemik. "Tak ada maknanya nak syok. Sakit-sakit badan aku ni ha. Mamat tu memang cerewet giler kau tahu tak. Macam-macam benda nak dikomennya. Lap cermin tak bersih sikit pun nak membebel. Tertinggal kotak pizza pun nak marah. Haish! menyampah aku. Tapi kau tahulah aku kan, sejengkal dia mengomen tiga empat jengkal pulak aku balas balik. Ingat dia sorang aje reti nak membebel? Ingat dia sorang aje ada mulut?" Panjang lebar Dania menjawab sebelum dia bangun semula dan  menuju ke kaunter untuk memesan latte sebelum dia duduk semula.
"Kau ni Nia, kalau bercakap tu cubalah berhati-hati sikit, dia tu lelaki, kau pulak perempuan. Sorang-sorang aje dekat rumah dia. Kau janganlah sesuka hati nak naikkan angin dia. Jadi apa-apa nanti siapa yang susah? Mama dengan abah  kau tak tahu tau pasal ni. Aku ni selalu risau memikirkan kau sorang-sorang kat rumah tu. Kalau ikut hati aku ni, hari-hari aku ikut kau pergi sana tau tak!" Zahirah sudah mengeluarkan ayat mak-mak di hadapan sahabatnya itu.  Tetapi memang sungguhpun dia risau. Dania buat semua itu pula kerananya. Kalau jadi apa-apa memang dia tidak akan memaafkan diri sendiri.
Dania hanya tunjuk sengih. Macam tak terkesan langsung dengan kata-kata sahabatnya itu.
“Aku cakap betul-betul kau sengih aje?” Marah Zahirah pula. 
"Irah, kau tu fikir jauh sangat. Lagipun beranilah dia nak buat apa-apa kat aku. Kalau agak-agak nak merasa duduk hospital try lah," balas Dania sambil tersengih.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah gelengkan kepala. "Nia, cuba jangan main-main, aku cakap betul-betullah." Bebelnya geram. Rasa hendak dilempar sahaja Dania dengan gelas di hadapannya itu. Tak pernah nak serius.
"Ala, kau tak perlu risaulah Irah. Ku Ariff tu nampak aje bossy tapi dia tu tak adalah sejahat yang kau fikirkan. Okey aje dia tu. Mulut dia aje yang aku tak boleh tahan. Kuat membebel macam mak nenek. Orang tua memang macam tu agaknya. Memang malanglah siapa yang jadi bini dia nanti," kutuk Dania selamba. Air latte di hadapan dihirup perlahan.
"Kau jangan mengutuk lebih-lebih Nia nanti kata-kata makan tuan. Tak pasal-pasal kau pulak yang jadi bini dia," pesan Zahirah mengingatkan.
Dania tergelak lepas. Apalah lawak benor kata-kata Zahirah tadi.
"Mengarutlah kau Irah. Aku kerja dengan dia tiga bulan ajelah. Lepas tu sayonaralah Ku Ariff. Aku juga harap lepas itu aku tak akan jumpa dia lagi. Amin." ucap Dania sambil mengangkat kedua-dua tangannya ke langit kemudian diraupkan ke muka.
"Hurm…iyalah Nia. Tapi kalau Allah dah aturkan jalan yang lain, walau kau mengelak macam manapun kau tetap akan jumpa dia juga."
“Ish kau ni. Janganlah cakap macam tu. Ngeri pulak aku dengar. Cuba doakan yang baik-baik aje. Orang tua tu!”
Zahirah tergelak. “Tua-tua pun still nampak kacak. Macho pulak tu.” Giatnya lagi.
“Mintak simpang!”
Melihat riak sahabatnya itu, tawa Zahirah semakin menjadi-jadi.  Dania....Dania...