Tuesday, 30 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 4



Memo pada yang terlekat kemas di dinding peti ais ditarik kasar. Mukanya dicemikkan. Mata ditalakan tajam ke permukaan memo pad tersebut dan dibaca dengan dengan muka meluat.  

Zahirah,
Tolong pastikan sampah dibuang sebelum awak balik. Jangan simpan apa-apa sampah dalam rumah. Saya tak suka ada bau tak tentu pasal dalam rumah saya ni.
p/s : cermin sliding door bilik saya tu tolong lap bersih sikit.
Ku Ariff

"Menyampah! Pasal sampah secoet itu pun nak bising. Bukannya ada makanan lagi pun cuma kotak pizza ajelah! Atau dia nak marah sebab aku cuma tinggalkan kotak aje untuk dia tengok?" bebel Dania perlahan. Pagi-pagi dia sudah naik angin. Pasal cermin sliding door itu lagi dia nak marah. Ku Ariff nak cermin tu berkilat macam mana lagi? Bukan dah cukup bersih ke cermin tu dia lap semalam. Memang cerewet punya manusia. Sampai lenguh-lenguh tangan aku ni bersihkan rumah kau lagi nak komen macam-macam. Aku mogok tak buat kerja baru kau tahu! Bebelnya lagi. Malas hendak melayan sakit hati, memo pad tersebut digumpal-gumpal dan dicampakkan ke dalam tong sampah.
Dia terus berjalan menuju ke bilik belakang. Beg sandang dan beg telekongnya diletakkan di atas katil sebelum dia keluar untuk memulakan tugasnya. Sebaik tiba diruang tamu, Dania memandang sekeliling. Hurm…semuanya nampak masih bersih lagi. Bisiknya perlahan. Tiba-tiba fikiran nakal menerpa di kepalanya. Oleh kerana semalam dia sudah bertungkus lumus jadi hari ini dia akan buat ala kadar saja. Bukannya Ku Ariff tahu pun.  Jadi masa yang terluang tu akan dia gunakan untuk mengadap tv saja. Dania terus tersenyum.  Dia terlupalah tu dalam rumah Ku Ariff ada CCTV. Aduh...memang nak kena Dania ni.
Melihat jam di dinding yang hampir menginjak ke pukul lima petang Dania terus bersiap-siap untuk balik. Buku nota kecil dikeluarkan dari dalam beg sandangnya dan dituliskan sesuatu sebelum ditampal di dinding peti sejuk. Ha, ambik! Jangan ikut sedap mulut kau je nak membebel-bebel. Bisiknya dalam hati.



Ku Ariff,
Sorry sebab tinggalkan kotak pizza aje semalam. Tapi kalau Ku Ariff teringin nak makan boleh call nombor ni yer...9552525...confirm sampai depan rumah. BTW, pizza tu memang sedap. Sehingga menjilat kaki. J
p/s : cermin tu masih nampak tak berapa bersih mesti sebab kualiti cermin tu tak bagus sebab tu dah kena sental pun masih tak bersih. So apa kata Ku Ariff tukar aje cermin tu dengan cermin baru bukan setakat berkilat tapi mesti bersinar-sinar.
Zahirah

Puas hati, dia terus beredar bersama senyum tersungging di bibir. Hambik!


Ku Ariff terus berjalan melangkah menuruni mata tangga menuju ke dapur. Sampai sahaja di rumahnya tadi dia terus naik ke atas. Selepas mandi dan solat dia hanya memerap saja di dalam bilik. Leka membaca kertas kerja yang disediakan Imad, tiba-tiba dia terasa haus pula. Puas dicari botol air mineral yang disimpan di dalam biliknya tetapi semuanya sudah tiada. Malam tadi baru sahaja diletakkan tiga botol di atas meja soleknya. Hurm, confirm sudah dibuang oleh pembantu rumahnya.
“Bersih tak kena tempat pulak budak ni tak pasal-pasal menyusahkan aku kena turun ke bawah.” Bebelnya geram.
Langkah diayun dan peti sejuk dihampiri. Baru saja tangannya ingin membuka pintu peti sejuk tersebut matanya terpandangkan memo pad yang terlekat kemas di dinding peti sejuk. Laju sahaja tangannya mencapai memo pad tersebut dan memo pad tersebut dibaca. Dengusan keras dilepaskan. Cakap berdepan kuat menjawab bagi nota bertulis pun dijawab juga? Memanglah menyakitkan hati. Sudahlah kerja dibayar gaji lagi nak cakap banyak! Marahnya pula.
"Manalah si Syakila jumpa budak ni agaknya. Ini baru dua hari bekerja, makin lama nanti aku tak tahulah macam mana. Entah-entah kena sakit jantung aku dibuatnya," bebel Ku Ariff melepaskan geram. Memo pad tersebut digenggam kemas sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah. Panas hati tiba-tiba.



Keluar dari bilik air, Ku Ariff terus berjalan menghampiri almarinya. Baju di dalam almari tersebut dibelek-belek. Sudah dua tiga kali baju-baju di dalam almari itu diselak tetapi ada beberapa helai kemeja yang dipakainya beberapa hari lepas tiada di situ. Mana pulak perginya kemeja-kemeja itu semua? Soalnya dalam hati. Diselak lagi. Tiada juga. Rasanya sejak beberapa hari lepas dia tidak menghantar baju ke dobi malah baju-baju yang dihantar sebelum ini semua sudah diambil. Jadi mana perginya kemeja-kemejanya itu? Soalnya lagi dan kepalanya digaru. Zahirah tak basuh baju? Soal Ku Ariff lagi tetapi tak mungkin kerana baju-baju kotornya semua sudah tiada di dalam bakul. Dia terus keluar dan berlari anak menuruni mata tangga menuju  ke tingkat bawah. Mesin basuh dihampiri. Bakul kain yang diletakkan disebelah mesin basuh dijengah. Kosong. Ya Allah, kemana pula perginya baju-baju kotornya semua. Rambutnya diraup dan kepalanya digaru. Sudah dibuang juga? Soalnya dalam hati. Aduh! Memang haru betullah si Zahirah ni. Bebelnya sedikit keras.


Dengan terkocoh-kocoh langkahnya dihayun laju menuju ke rumah majikannya itu. Pagi-pagi lagi dia sudah  berlari macam dikejar dek anjing gila. Selalunya nak berjogging pun susah, hari ini dengan rela hati dia berlari macam sedang masuk pertandingan lumba lari 1000m. Sudah bertahun dia tidak berlari seperti itu. Sampai naik semput dibuatnya. Sudahlah keretanya diparkirkan agak jauh. Selalunya dia bersenam hanya ketika mengajar taekwando dikelab taekwando milik Hazrin. Huh! bersenamlah sangat Nia. Cuma angkat tangan dan kaki sikit-sikit itu bukan dikira bersenamlah sengal!
Kakinya dihayun semakin laju. Entah macam manalah dia boleh terlewat bangun lagi pagi itu. Pukul 7.30 pagi baru dia tersedar. Selalunya mama akan kejutkan untuk subuh tapi pagi itu tak terdengar pula suara mama terjerit-jerit mengejutkannya dibalik pintu. Jam locengnya pula langsung tidak berbunyi. Iyalah jam loceng tu tak berbunyi Nia entah-entah tengah sedap membuta kau tutup jam loceng tu!
Jam di tangannya dilirik sekilas sambil termengah-mengah menarik nafas. Sudah pukul 8.45 pagi. Aduh nasib baiklah Ku Ariff awal-awal pagi sudah pergi kerja kalau tidak siaplah kau kena bebel Dania. Sampai sahaja di pintu pagar rumah banglo dua tingkat itu, tote begnya dibuka dan kunci rumah dicari.
“Manalah pulak kunci ni. Time orang nak cepat ginilah cari barang semua tak jumpa.” Bebelnya pula. Setelah puas digodek-godek tote bagnya itu akhirnya barulah dia terjumpa kunci yang dicari. Terus alarm gate ditekan dan dia berlari masuk. Sebaik melepasi pintu gate Dania sudah terkaku. Terasa bagai hendak gugur jantungnya apabila terpandangkan Ku Ariff yang sudah menantinya di gazebo. Lemah lututnya apabila melihat muka Ku Ariff yang seperti singa lapar di situ. Apasallah mamat ni masih ada dekat rumah lagi? Bebelnya dalam hati. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Dengan langkah perlahan dan debaran di hati, Ku Ariff yang sedang merenungnya itu dihampiri.
"Sorry Ku Ariff, saya lewat sikit." perlahan  Dania bersuara. Dada sudah berdegup bukan main kencang lagi. Takut. Cuak. Semua rasa itu ada. Yang pastinya, harus pagi itu dia kena bebel lagi!
"Lewat sikit ke?" sinis Ku Ariff menyoal. Bengang gara-gara menunggu Dania dia yang terlewat masuk  ke pejabat. Nasib baik syarikat itu daddy dia yang punya kalau tidak kena buang kerja sia-sia sahaja hanya disebabkan oleh pembantu rumah yang seorang ini.
"45 minit. Saya tak tahulah sikit ke banyak sebab saya kerja 8 jam sehari. Kalau di kira tambah, tolak, darab dan bahagi masih sikit lagi tu." balas Dania teragak-agak. Ya Allah, boleh pulak kau menjawab Nia. Memang kau nak kena sungguh ni!
Ku Ariff mendengus geram. Dia terus berdiri. "Awak ni kan kalau saya cakap ada aje jawapan awak. Sekarang ni awak kerja dengan saya atau saya yang kerja dengan awak ni?  Marahnya pula. Serius sahaja mukanya memanah pandang gadis yang sudah terkulat-kulat di hadapannya itu.
Dania tundukkan kepala dan mula buat muka bosan. Sudah seperti dimarahi cikgu disiplin pula rasanya.
"Maaf Ku Ariff,  saya tahu saya kerja dengan Ku Ariff tapi saya betul-betul ada hal tadi. Hal yang tidak dapat dielakkan. Personal matters.” Dalihnya. Kepalanya diangkat semula.
Ku Ariff menggelengkan kepalanya perlahan. Nafasnya dihela. Tangannya dicekakkan ke pinggang.
"Zahirah saya nak ingatkan awak kalau awak nak kerja tolonglah serius sikit jangan nak buat sesuka hati awak aje. Hormat sikit saya ni sebagai majikan awak. Apa yang saya tegur tu tak payahlah awak nak menjawab balik. Lagi satu untuk pengetahuan awak saya tak suka makan pizza, makanan segera atau yang seangkatan dengannya." Panjang lebar Ku Ariff membebel melepaskan geramnya pada nota cinta yang ditinggalkan semalam.
“Ha, lagi satu. Cermin rumah saya ni diimport bukan cermin yang dijual dikedai-kedai hardware biasa.” sambung Ku Ariff lagi.
"Baik Ku Ariff, saya minta maaf." balas Dania perlahan. Kepalanya ditundukkan memandang rumput semula. Serius, dia rasa seperti hendak menangis ketika itu. Abah, mama, along dan angah tak pernah pun meninggikan suara begitu kepadanya, ini orang luar yang entah siapa-siapa suka-suka hati hendak memarahinya. Uwaaa!
"Okey saya nak tanya awak ni. Baju-baju kotor saya mana?" keras Ku Ariff menyoal. Gadis yang sedang tertunduk memandang rumput itu direnung semakin tajam.
Laju Dania angkatkan kepala dan memandang Ku Ariff semula. Aduhai Nia macam mana kau boleh lupa nak ambil baju-baju Ku Ariff di dobi? Masaklah kau nak menjawab dengan Ku Ariff hari ni.
"Zahirah saya tanya awak ni, mana baju-baju kotor saya tu?"  melihat pembantunya yang hanya terdiam membisu sambil terkebil-kebil memandangnya, Ku Ariff sudah cuak semacam. Sudah kena jualkah baju-bajunya semua? Maklumlah baju-bajunya bukan dari jenama biasa kalau dijual bundle pun masih laku berpuluh-puluh ringgit lagi. 
"Saya hantar dobi." dengan teragak-agak Dania menjawab. Perlahan saja suaranya. 
Sudah bulat mata Ku Ariff memandang ke arah gadis itu. "Apa?" soalnya keras.
"Saya hantar dobi tapi saya lupa nak ambil," jujur Dania menjawab dan dengan riak yang sudah berubah keruh. Kalau sekali lagi Ku Ariff meninggikan suara, tentu dia akan menangis di situ. Ya Allah hati, kenapa cepat sangat tersentuh ni?
"Awak hantar dobi, habis tu siapa yang nak bayar?" soal Ku Ariff pula sambil menggelengkan kepala. Pening kepalanya dengan pembantu rumah yang seorang ini.
"Saya." jawab Dania sepatah. Perlahan sahaja nada suaranya. Suara yang ditahan-tahan supaya tidak menangis.
"Kalau awak bayar dobi untuk cuci baju-baju saya, awak kerja untuk apa? Bayar dobi saja pun sudah menggunakan hampir separuh gaji awak. Awak tau tak?" sambung Ku Ariff lagi. Suaranya sudah mula mengendur sedikit apabila melihat air muka  pembantunya yang sudah berubah riak itu. Kasihan pula dia melihatnya.
Mendengar kata-kata Ku Ariff, Dania terdiam lagi. Wajahnya masih lagi ditundukkan memandang rumput di hadapan. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata pantas disapu dengan jari. Buat malu sahaja kalau dia menangis di situ.
"Kenapa awak tak basuh saja baju-baju tu sendiri?" soal Ku Ariff lagi apabila melihat Dania masih terdiam kaku di hadapannya. Wajah Dania direnung lama. Cantik dan ayu. Yup,  pembantu rumahnya itu memang agak cantik orangnya tetapi yang tak tahannya kuat sangat melawan.
Dania mengangkat kepalanya dan memandang Ku Ariff semula. Hendak mengaku yang dia tidak tahu menggunakan mesin basuh, malu pula rasanya.  
"Zahirah, saya tanya awak ni," soal Ku Ariff mula bernada lembut. Bimbang juga kalau gadis itu menangis di hadapannya kalau asyik dimarahi. Melihat mata Dania yang sudah memerah itu dia tahu Dania sedang menahan tangis.   
"Saya tak tahu nak guna mesin basuh tu." perlahan Dania menjawab.
Mendengar jawapan gadis itu, Ku Ariff terus tersenyum. Nak tergelak pun ada. Ya Allah, masih ada lagi orang yang tidak tahu hendak menggunakan mesin basuh rupanya.  
Melihat Ku Ariff yang sudah tersenyum di hadapannya Dania terus tarik muka.
"Boleh tak Ku Ariff jangan buat muka macam tu. Saya tak reti guna sebab dekat rumah saya tak guna mesin basuh macam tu.” tutur Dania sedikit keras.
Senyum Ku Ariff terus mati. Menyesal pula dia membuat reaksi seperti tadi. Mesti pembantu rumahnya itu terasa. Setahunya orang yang hidupnya agak susah hanya menggunakan mesin basuh separa auto sahaja. Kalau tidak pun basuh baju guna tangan.
"Dah tak tahu nak guna kenapa  tak telefon dan bertanya?" soal Ku Ariff lagi.
"Ku Ariff kan dah pesan kalau tak ada perkara penting tak payah telefon. Sebab tu saya tak bertanya."
Ku Ariff tersenyum lagi. Pandai betul pembantunya itu memutar belitkan kata-katanya. Dan ya, memang silapnya dan dia akur tentang itu.
"Mari saya ajarkan macam mana nak guna mesin basuh, jadi lepas ni tak payah awak hantar baju saya ke dobi lagi. Saya bagi gaji awak bukan untuk awak bayar pada tauke kedai dobi tapi untuk awak gunakan buat diri awak dan keluarga awak." ucapnya dan terus berjalan masuk ke dalam rumahnya.
Dania hanya mengekor sahaja sedang dalam hati membebel-bebel geramkan lelaki itu. Apa tidaknya nyaris-nyaris dia menangis tadi!



KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 3



Dania memandang sekeliling ruang di dalam rumah banglo dua tingkat itu dengan pandangan kosong. Berserabut kepalanya, tidak tahu mana satu kerja yang hendak dimulakan dahulu. Banyak sangat amanah yang ditinggalkan oleh Ku Ariff tadi namun tidak ada satu pun yang melekat di kepalanya. Dahinya diketuk-ketuk perlahan. Nafasnya ditarik.
“Fokus Nia, fokus. Apasallah kau lembab sangat hari ni!” bebelnya kepada diri sendiri. Matanya dipejamkan seketika sebelum dibuka semula. Nafasnya ditarik lagi untuk meredakan kebuntuan yang melanda jiwanya ketika itu.
“Okey, mula-mula basuh baju dulu. Lepas tu bersihkan bilik kemudian bersihkan ruang tamu, kemudian dapur dan akhir sekali porch,” Bisiknya perlahan kemudian dia tersenyum. See, kau boleh buat Nia. Kerja senang aje tu. Kau kan superwoman. Bisiknya lagi sambil tergelak kecil.
“Okay, let’s start!” ucapnya perlahan.  
Tanpa berlengah dia terus naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik utama iaitu bilik Ku Ariff.  Sebaik pintu bilik lelaki itu dibuka,  Dania sudah  terpaku di muka pintu.  Setiap genap ruang bilik itu diperhati. Luas dan kemas. Perabut yang digunakan juga  tentu jenis yang mahal. Tengok sajalah ukiran pada kepala katilnya, cantik siot! bisiknya.
Dia terus melangkah masuk sedang mata masih leka memerhati keadaan di dalam bilik tersebut. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Bilik dia pun tidak sekemas itu. Desisnya perlahan.
“Ku Ariff...Ku Ariff..dah reti mengemas sendiri yang sibuk nak ambil pembantu rumah lagi buat apa? Sengaja nak membazir. Aku tahulah kau banyak duit.” Bebelnya sambil matanya melilau mencari bakul baju yang disebutkan oleh Ku Ariff sebentar tadi. Sebaik bakul baju tersebut menerjah ruang matanya kakinya diayun lagi. Bakul baju tersebut dicapai dan dia terus turun semula ke tingkat bawah. Nasib baik masa mula-mula dia datang ke rumah itu, Ku Ariff sudah menunjukkan kepadanya selok belok rumah tersebut jadi tak adalah dia kekok sangat. Dia terus berjalan menuju ke belakang. Sebaik terlihatkan mesin basuh di sudut veranda belakang rumah itu, Dania terus berjalan menuju ke situ. Bakul baju tersebut diletakkan di atas lantai. Penutup mesin basuh  dibuka kemudian pergerakannya terus terkaku. 
Jemarinya diketuk-ketuk perlahan di atas mesin basuh tersebut. Kemudian dia mengeluh berat. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Macam mana nak guna ni? Soalnya. Butang-butang yang terdapat di atas mesin basuh tersebut diperhati. Start, stop, pause, spin dan banyak lagi menu lain dibacanya tetapi masalahnya, macam mana nak guna benda alah ni? Kepalanya digaru lagi. Ya Allah, nak tanya siapa pulak ni. Ku Ariff? Soalnya sendiri. Laju kepalanya digelengkan. Mampus aku kena bebel nanti. Aduh, tension sungguh! Nak tanya mama? Tapi nanti kalau mama tanya nak bagi alasan apa? Ish! Tak boleh. Setelah hampir sepuluh minit termangu di situ, terus nombor telefon Zahirah di dail. Itulah pilihannya yang terakhir. Tentu Zahirah pandai kerja-kerja macam ni. Fikirnya.
"Irah, aku ada masalah besar ni," laju Dania bersuara sebaik Zahirah menjawab panggilannya. Sebelah tangannya dicekakkan ke pinggang.  
"Kenapa Nia?" soal Zahirah cemas apabila mendengar suara sahabatnya yang sudah kedengaran lain macam sahaja ketika itu.
“Kau mesti tolong aku,”
“Iyalah tapi tolong apa?”  
"Aku tak tau macam mana nak guna mesin basuh ni. Tolong aku." tutur Dania perlahan. Malu sebenarnya hendak bertanya, apa tidaknya  nak guna mesin basuh pun tak reti. Entah apa-apalah kau ni Dania. Berlagak macam bagus tapi mesin basuh pun tak reti guna. Ejeknya kepada diri sendiri.
 Pecah tawa Zahirah sebaik mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dania…Dania…soalan lawak apa yang ditanyakan agaknya. Mesin basuh pun tak tahu guna? Aduhlah!
"Kau gelak ni apa hal?" tingkah Dania geram. Kalau ada depan mata memang dah kena lekuk dah si Zahirah ni.
"Aku tahulah bunyinya macam bodoh sangat kan tapi nak buat macam mana, aku mana pernah basuh baju sendiri. Si mamat ni lah baju dia pun nak suruh aku basuh. Stress aku!" bebel Dania pula melepaskan perasaannya. Dinding mesin basuh disepak perlahan.
"Ala Nia, susah-susah sangat kau hantar aje ke dobi selesai satu kerja kau," balas Zahirah memberikan cadangan.
Mendengar kata-kata Zahirah, Dania tersengih lebar.
“Ting!”
Hurm, betul juga. Beres satu kerja. Bisiknya dalam hati.
"Ha'ah lah Irah, kenapa aku tak terfikir pasal tu ek. Fuh! kau memanglah penyelamat aku. Terima kasih Irah untuk idea bernas kau tu. Inilah yang buat aku sayang kau sangat-sangat…muah..muah…muah," ucapnya teruja.
Zahirah tergelak kecil. Sengal betullah kau ni Dania. Kutuknya dalam hati.
“Aku bagi cadangan aje tapi nanti kau yang kena bayar tau.” Zahirah mengingatkan pula.
“Ala, sikit punya hal lah tu. Berapa sen sangat,” selamba Dania membalas.
“Iyalah, jangan nanti kau bising duit kau habis sebab berbakti untuk Ku Ariff pulak.”
"Tak apalah. Anggap ajelah aku buat amal jariah.” Gelak Dania pula. “Okaylah babe, aku nak sambung kerja," sambungnya lagi.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah lepaskan keluhan. Panjang.
“Kenapa?” soal Dania hairan.
“Sorry Nia,  sebab aku kau kena tanggung semua ni,” luahnya kesal.
"Sudahlah Irah,  kau tak payahlah nak buat mood sedih kat aku. Aku redo dengan apa yang berlaku pada aku sekarang. Ini mesti sebab tuhan nak tunjuk supaya aku jadi rajin sikit lepas ni. Jadi tak adalah aku asyik nak mengharap  mama dan kak  Aisyah aje. Sesungguhnya aku insaf!"  tutur Dania lagi sambil menekankan perkataan insaf dihujung-hujung ayatnya.   
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah terus tergelak besar. “Nia..Nia, kau ni tak pernah nak serius,”
“Aku seriuslah babe, mana ada main-main.”
“Iyalah..iyalah,”
“Okeylah aku nak sambung kerja.”
“Okey Nia, take care,”
“Don’t worry, tahulah aku.”
Sebaik talian dimatikan, Dania terus menuju ke bilik Ku Ariff semula dan terus menghala ke arah bilik air. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Bilik air aku sendiri pun kak Aisyah yang cuci, ini aku sibuk-sibuk nak cuci bilik air orang pulak. Nasib kaulah Nia. Bebelnya kepada diri sendiri tapi dalam kuat membebel tangannya ligat pula mencapai berus untuk menyental bilik air tersebut. Selesai membasuh bilik air, bilik Ku Ariff di vacuum pula. Nak pasang vacuum pun satu hal. Terkial-kial. Hampir setengah jam baru vacuum tersebut berjaya dipasang. Puas digodek sana sini sebab tak reti nak sambungkan batang vacuum tersebut. Nasib baik  boleh hidup lagi kalau tidak harus kopak duit nak kena beli vacuum baru.  Untung Ku Ariff dapat pembantu rumah macam dia. Barang rosak harus dia ganti tapi lepas itu dia yang sesak tak berduit. Haish!
Selesai kerja membersihkan tingkat atas, Dania terus melihat jam di tangan. Sudah pukul dua petang. Patutlah lapar  bukan main lagi tapi hendak keluar terasa malas. Keretanya pula di parkirkan jauh dari rumah ‘bos’ nya itu. Badannya terasa bukan main penat lagi. Kalau boleh rasanya hendak sahaja dia membuta ketika itu. Dania terus menuju ke dapur mencari apa-apa yang boleh di makan. Hurm…satu apa pun tak ada. Mulalah rasa macam hendak menangis sahaja. Ku Ariff pun satu, peti air besar gedabak tetapi satu makanan apa pun tak ada. Kedekut taik hidung masin betul! Bebelnya. Tiba-tiba dia teringatkan masakan mama. Kalau di rumah waktu-waktu begini dia sudah melengkar macam ular sawa kekenyangan tapi sekarang dia keseorangan dan kebuluran. Uwaaa, sadis betul nasib kau Nia!
Perut yang sudah mula mengeluarkan bermacam-macam bunyi itu diusap. Jazz ada, dangdut ada, rock kapak pun ada. Tidak berlengah, Dania terus mengambil telefon bimbitnya. Nombor telefon pizza delivery terus di dail. Pizza pun pizza lah Nia asal kau tak mati kebulur dekat rumah Ku Ariff. Kalau tiba-tiba Ku Ariff balik jumpa kau dah terbaring kaku di rumah dia tak ke naya dia nanti. Tak pasal-pasal jadi suspek menculik dan membunuh kau pulak. Kesian Ku Ariff  jadi mangsa keadaan. Bisiknya sendiri sambil tergelak kecil. Usai membuat pesanan, dia terus duduk santai di ruang tamu sementara menunggu pesanannya dihantar.
“Saya rehat dulu ya Ku Ariff, dah kenyang nanti saya sambung balik,” bisiknya.
Dania membetulkan tudung di kepalanya. Sudah naik herot tudung itu dikerjakannya. Apa tidaknya dari mula sampai sehinggalah ke petang tudung itu langsung tidak dibuka. Cabut tudung pun semasa hendak solat Zuhur tadi tetapi itupun di dalam bilik belakang. Diluar dari kawasan bilik tersebut dia terpaksa menjaga perlakuannya. Bahaya kerana rumah Ku Ariff dilengkapi CCTV. Tak boleh...tak boleh, nanti kantoi!
Jam yang terlekat kemas di dinding  dikerling sekilas kemudian dia tersenyum. Lagi lima minit akan menghampiri ke pukul lima petang. Yeay...masa untuk balik! Jeritnya perlahan. Akhirnya berjaya juga dia menghabiskan masa sehari di situ. Kerja-kerja yang Ku Ariff pesan semuanya sudah dibereskan cuma baju Ku Ariff sahaja yang masih belum dibasuh. Balik nanti dia sudah berkira-kira untuk singgah ke kedai dobi dan menghantar baju-baju tersebut. Dia lebih rela membayar kos dobi dari dimarahi kalau baju-baju tersebut rosak.
Sambil merehatkan tubuhnya di atas sofa, tangannya dipicit-picit perlahan. Sungguh, dia memang sudah tidak larat sangat. Hampir habis tenaganya hari itu kerana membersihkan rumah banglo dua tingkat tersebut.  Selepas ini mati hidup semula pun dia tak akan buat macam ini lagi. Selepas saja tiga bulan ini berakhir dia memang tak akan tengok muka Tengku Syakila lagi. Cukuplah apa yang telah berlaku selama ini. Semakin dilayan semakin melampau-lampau perangainya. Kalau kau dah menyampah sangat tengok muka aku biar aku saja yang nyah dari hidup kau mangkuk! Tekad Dania di dalam hati.  


"Along, adik mana?" soal Hajjah Zainon sambil membuang pandang ke arah anak lelakinya yang sedang santai di atas sofa. Hairan apabila kelibat Dania langsung tidak kelihatan. Biasanya kalau selepas waktu magrib anak perempuannya itu mesti turun duduk menonton televisyen sebelum makan malam. Ini batang hidungnya langsung tidak kelihatan. Balik tadi pun anak gadisnya itu langsung tidak bercakap banyak. Balik sahaja terus naik ke bilik.  
"Entahlah ma, along pun sejak balik tadi tak nampak pun kelibat adik. Kereta dia ada kat luar tu. Tidur kot," balas Danial sambil mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
"Tidur magrib-magrib ni? Nia..Nia, entah dah sembahyang entah belum tu," Bebel Hajjah Zainon lagi dan terus mendaki anak tangga menuju ke bilik anak perempuannya itu.
"Apahal mama kamu membebel-bebel aje tu?" tegur Haji Rahim pula. Sampai sahaja di rumah sekembalinya dari surau tadi sudah terdengar bebelan isterinya. Daun pintu ditutup semula.
"Adik bah, dari tadi tak keluar bilik," balas Danial perlahan. Pandangannya dijatuhkan ke arah Haji Rahim yang sedang membetulkan duduk di sebelahnya sebelum mengalihkan pandangan ke arah skrin televisyen semula.
"Kenapa dengan adik? Merajuk dengan siapa pulak tu sampai tak keluar bilik?" Haji Rahim bertanya lagi dengan dahi berkerut seribu. Dia faham sangat perangai anak perempuannya yang satu itu. Sudahlah manja kuat merajuk pulak tu. Nampak saja macam keras tapi hati kecil saja sebenarnya.
"Entahlah,  along pun tak tahu." Danial menggelengkan kepala tidak tahu. 
"Haa, kamu dah sembahyang along?" Soal Haji Rahim pula sambil memanah pandang anak lelaki sulongnya itu. Selalunya dia dan Danial akan sama-sama bersembahyang di surau berdekatan rumahnya itu tetapi disebabkan Danial balik lewat dia seorang sahaja yang pergi magrib itu.
Danial mengangguk. "Baru sudah bah," jawabnya lembut.
Mendengar jawapan anaknya itu Haji Rahim hanya mengangguk sahaja. Baginya hal-hal yang berkaitan dengan agama memang tidak boleh diambil mudah. Sembahyang lima waktu wajib dijaga. Itulah yang selalu dipesankan kepada ketiga-tiga anaknya. Dia tidak mahu anak-anaknya leka dan lalai dengan dunia sampai terlupa mengejar akhirat.
"Haa, kenapa dengan anak dara awak tu?" Sebaik terlihat kelibat isterinya menuruni mata tangga, Haji Rahim terus bertanya. Songkok di atas kepalanya dibuka dan diletakkan di atas meja.
"Penat sangat. Kan dia sekarang ni tengah buat kerja amal di rumah anak-anak yatim dengan Zahirah," balas Hajjah Zainon perlahan. Suaminya itu dihampiri.
Haji Rahim hanya tersenyum saja mendengar jawapan isterinya. Kepalanya digelengkan perlahan. "Kenapa tak ajak Nia turun boleh makan sekali."
"Saya suruh dia sembahyang dulu," sambung Hajjah Zainon lagi dan terus berjalan menuju ke dapur untuk membantu Aishah menyediakan makan malam. Haji Rahim hanya mengangguk saja mendengar jawapan isterinya.  
"Along tolong picitkan tangan Nia ni. Lenguhlah." tutur Dania dengan muka  sedih meminta simpati dan terus duduk rapat di sebelah Danial sambil kepalanya disandarkan ke bahu alongnya itu. Serentak itu, kedua-dua tangannya dihulurkan.
Danial mendengus perlahan. "Itulah, along dah kata kalau tak biasa buat kerja-kerja macam tu tak payah susah-susahkan diri. Haa tengok! dah macam apa dah ni. Ini baru sehari kalau tiga bulan along tak tahulah macam mana. Harus muka tu dah macam nyonya jual sayur kat pasar borong selayang tu nanti," panjang lebar Danial membebel tetapi tangannya ligat pula memicit-micit tangan adik kesayangannya itu.
"Degil tak nak dengar cakap orang. Bila dah penat menyusahkan orang," sambungnya lagi.  
Dania mencemik. "Along ni dah tolong tu janganlah nak membebel. Nampak sangat tak ikhlas. Nia penat tau," Balasnya pula sambil tarik muka.
"Iyalah...iyalah.." balas Danial pendek. Sudah malas hendak membebel lagi. Dia tahu Dania memang kuat menjawab. Bila ditegur bukannya tahu hendak mengalah pun. Walaupun mulutnya  membebel tapi kesian pula bila melihat keadaan Dania yang seperti orang baru lepas kena denda bersihkan kawasan sekolah itu. Haji Rahim dan Hajjah Zainon hanya tersenyum sahaja melihat tingkah laku kedua-dua anaknya itu. 


Ku Ariff memandang sekeliling rumahnya. Sejak mula kakinya melangkah masuk ke dalam rumahnya, habis satu rumah itu diperiksa. Dari tingkat bawah sampailah ke tingkat atas dan dari luar sampailah ke dalam.
"Nasib baik walau banyak cakap tapi kerja bagus." bisiknya perlahan. Tetapi sebaik sahaja dia melangkah ke dapur dia terus menggelengkan kepalanya. Fail!


Friday, 19 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 2



Terpandangkan Dania yang sedang berjalan menghampirinya, Tengku Syakila sudah tergelak mengekek. Rasa mahu pecah perut melihat keadaan Dania yang begitu. Memang skema habis melihat penampilannya ketika itu. Dengan jeans longgar, baju lengan panjang dan siap bertudung di kepala, hampir sahaja dia tidak dapat mengenali musuh tradisinya itu. Kalau bukan kerana Zahirah tentu dia ingat perempuan arab manalah yang nampak bersopan sangat di hadapannya itu.
"Kau gelak apa hal?" tempelak Dania geram. Tengku Syakila dijeling sekilas. Kedua-dua tangannya sudah dipelukkan ke tubuh. Ini semua idea Zahirah kerana dia sendiri yang tidak mahu dikenali. Nak mampus kalau ada sesiapa nampak dia keluar masuk rumah banglo yang entah siapa-siapa punya tu. Kalau abah dan along tahu lagilah haru nanti. Niaya dia nanti.  Macam sudah tidak ada benda lain yang hendak dibuat sehinggakan terpaksa bekerja di rumah orang semasa cuti semester. Macam dah tak cukup sangat duit belanja yang abah bagi sampai kena jadi orang gaji.
Tengku Syakila masih galak memandang gadis di hadapannya itu dengan tawa yang masih bersisa. "Sesuai betul kau jadi orang gaji Nia. Lebih-lebih lagi dengan pakaian yang macam ni. Tapi tak sangka pulak aku, cantik juga ya kau pakai tudung," selamba Tengku Syakila mengutuk sambil hujung tudung Dania ditarik agak kasar.
Dania mendengus. Sakit hati dengan perlakuan Tengku Syakila ketika itu, tangan gadis itu ditepis kasar.
Tengku Syakila tergelak lagi. Semakin galak dari tadi. “Opssst..sorry,” ucapnya mengejek.
"Kau dengar sini, apa yang aku nak pakai itu hak aku. Kau tak payah nak sibuk-sibuk. So, aku rasa baik kau bawa aku pergi sekarang sebelum aku naik angin," Dania semakin panas hati. Buat sakit telinga sahaja mendengar mangkuk hayun sorang ni bercakap. Kalau suara sedap tak apalah juga tapi dah macam itik serati sahaja bunyinya.
Tengku Syakila tersenyum lagi dan terus melangkah. Dia pun sudah tak kuasa hendak bertekak dengan Dania lagi kerana kegembiraannya baru sahaja bermula. Nanti kau rasakan Dania sampai kau nak buka mulut pun kau tak larat. Sekarang aku bagi kau cakap puas-puas. Ejeknya dalam hati.  Baru beberapa langkah dia melangkah, dia berpaling semula. “Ikut aku,” arahnya keras.
Tidak membantah dan dengan wajah cemberut, Dania mengikut sahaja. Sebaik sampai di rumah banglo dua tingkat yang dimaksudkan oleh Tengku Syakila,  Dania terus menggelengkan kepala. Mampuslah dia kena menguruskan rumah sebesar itu. Mahu patah tulang empat keratnya kalau terpaksa membersihkan rumah itu keseorangan. Perlahan-lahan satu keluhan berat dilepaskan. Kak Aishah...tolong Nia Kak Aishah...huk..huk…jeritnya dalam hati. Tiba-tiba timbul pula rasa menyesal melayan kerenah Tengku Syakila. Kalaulah bukan kerana gambar itu memang dia tak akan mengikut idea gila perempuan itu. Rasa hendak dihempuknya sahaja Tengku Syakila di saat itu juga namun disabarkan saja hatinya. Zahirah pula sudah memandang kasihan teman di sebelahnya. Perasaan menyesal semakin kuat bersarang di hati. Laila pula sudah tersenyum lebar memandang Dania yang sudah buat muka tak sudah di situ.
"Come Dania, lets start the game," Tengku Syakila bersuara teruja sambil tersengih memandang Dania. Tidak menunggu dia terus melangkah  menuju ke arah pintu pagar rumah banglo dua tingkat tersebut. Loceng ditekan. Tidak sampai beberapa minit pintu pagar tersebut terus terbuka. Dia terus mengajak Dania, Laila dan Zahirah masuk bersamanya. Sebaik berdiri di pintu masuk banglo tersebut seorang lelaki sudah sedia menanti mereka.
"Assalamualaikum abang Ariff," sapa Tengku Syakila sopan dan dengan senyum manis terukir di bibir.
Melihat perlakuan sopan Tengku Syakila, Dania sudah tarik muka meluat. Menyampah pula dia mendengar suara manja perempuan itu. Pandai betullah kau berlakon mangkuk. Kutuknya dalam hati. Sungguh dia menyampah!
"Waalaikumsalam Sya, mari masuk." balas Ku Ariff lembut dan terus berjalan masuk menuju ke arah sofa yang terletak di ruang tamu rumahnya. Dia terus duduk sambil mempelawa semua tetamunya untuk duduk sekali.
"Siapa yang nak kerja ni?" Tidak menunggu dia terus bertanya sambil membuang pandang ke arah Dania, Zahirah dan Laila di hadapannya. Semuanya nampak muda-muda lagi boleh ke jadi pembantu rumah?
"Yang ni abang...nama dia...Da..."
"Irah...nama saya Zahirah." belum sempat Tengku Syakila menghabiskan kata-katanya, Dania terus menyampuk. Zahirah Tercengang. Tengku Syakila dan Laila turut menoleh dan memandang ke arahnya. Pelik. Entah kenapa tiba-tiba nama Zahirah yang disebut.
"Ha..ha'ah..Irah..." Teragak-agak Tengku Syakila mengiakan. Hendak bertanya bimbang andai abang sepupunya tahu perkara sebenar lalu diiakan sahaja. Lantak kaulah Dania nama siapa pun kau nak guna yang penting tetap kau juga yang bekerja di sini. Desisnya dalam hati.
"Ini aku kenalkan sepupu aku Tengku Ariff Khalis. Kau kena panggil, Ku Ariff,"  sambung Tengku Syakila lagi dengan gaya mengada-ngada sambil jemarinya ditunjukkan ke arah abang sepupunya itu.
Dania mengangguk saja sambil memandang ke arah lelaki yang dimaksudkan. Wajah lelaki di dihadapannya itu diperhati. Haip Nia! Jaga mata jangan nakal sangat tapi kacak jugak sepupu si mangkuk ni. Bisiknya. Ada macam mixed cina sikit. Mesti anak kahwin campur ni. Fikirnya pula. Tapi yang tak best nya muka nampak sombong nak mampus. Samalah spesis dengan sepupunya juga. Mentang-mentanglah keturunan bangsawan berlagak bukan main lagi. Ala...bangsawanlah sangat, ada aku kesah? Ku tak hairan pun! Kutuknya pula.
"Okey, saya memang memerlukan pembantu rumah sangat-sangat sekarang. Pembantu rumah saya baru saja berhenti. So, kalau boleh saya nak awak mula bekerja dengan secepat yang mungkin. Saya akan bayar awak RM 1,500.00 sebulan. Kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.  Kalau awak setuju nanti saya akan beritahu apa kerja yang perlu awak lakukan. Tapi saya nak ingatkan saya tak suka rumah saya berhabuk sikit pun. Saya allergic dengan habuk. So, hari-hari semua tempat hendaklah disapu dan dilap dengan bersih." Panjang lebar Ku Ariff memberikan penerangan sambil tangannya ditunjukkan ke arah ruang dalam rumahnya. Serius saja dia menuturkan kata-katanya itu.
Dania turut memandang sekeliling. Rumah besar gedabak. Banyak perabut mahal-mahal tapi gaji RM 1,500.00 aje? Kedekut gila! RM 1,500 tu lebih sikit aje dari elaun bulanan yang abah dan along bagi. Tak payah susah-susah nak buat kerja rumah segala. Bebelnya.
Mendengar kata-kata sepupunya itu, Tengku Syakila sudah tersenyum puas. Memang abang sepupunya itu sangat cerewet orangnya. Kalau tidak mana mungkin sudah lima orang gajinya berhenti kerana tak sanggup melayan sikap cerewetnya itu. Sekarang kau rasalah Dania. Baru padan muka kau. Gelaknya dalam hati. Sungguh, dia sangat-sangat berpuas hati.
"So, macam mana?" Ku Ariff bersuara lagi apabila gadis di hadapannya itu hanya terdiam tak bersuara.
"Okey, saya tahu rumah saya ni besar, kalau gaji tu tak cukup awak boleh beritahu berapa yang awak nak. Kalau saya rasa wajar saya tak kisah untuk bayar.  Saya faham tentu awak memerlukan duit sebab tu awak kena bekerja," sambungnya lagi dan mula berlembut dari tadi. Bimbang pula sekiranya gadis itu menolak. Haru nanti!
Banyaklah aku bekerja sebab nak cari duit. Kalau bukan kerana sepupu kau yang dah tak betul tu tak adalah aku duduk tercongok dekat rumah kau sekarang ni. Menyeksakan diri sendiri. Banyak lagi kerja lain yang aku boleh buat! Jerit Dania dalam hati. Sedang leka berbicara dengan diri sendiri, tiba-tiba bahunya ditepuk. Dania tersentak dan terus menoleh. Terpandangkan Tengku Syakila yang sedang tajam merenungnya, dia berpaling memandang Ku Ariff semula. 
"Hurm..okey. Saya setuju." lancar saja Dania menjawab walau hakikat sebenarnya dia memang tak rela.
Mendengar jawapan gadis itu, Ku Ariff menghela nafas lega. Selesai satu masalah yang membelenggu fikirannya sejak beberapa minggu kebelakangan itu. "Kalau awak dah setuju, jadi  bila awak boleh mula?" soalnya tak bertangguh.
Dania terdiam seketika. Tengku Syakila dikerling sekilas sebelum dia berpaling memandang bakal ‘majikan’ di hadapannya semula.
“Hurm.. minggu depan." jawab Dania pendek.
Ku Ariff mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. "Okey, kalau macam tu hari pertama nanti datang awal sikit  sebab saya nak serahkan kunci rumah dan terangkan kerja-kerja yang sepatutnya awak buat," 
"Eh..kejap...kejap, saya nak tanya sesuatu,” laju Dania bersuara apabila dia teringatkan sesuatu.
“Okey, tanyalah,”
“Erm...saya...saya kena memasak ke?" soal Dania teragak-agak. Itu soalan yang sangat penting kerana melibatkan tentang hidup dan mati.  Kalau kena masak memang mampus aku. Masak air pun aku tak pernah inikan pulak hendak memasak. Mahu meletup dapur rumah banglo Ku Ariff kalau itu termasuk dalam senarai tugas hariannya.
Ku Ariff terus tergelak mendengar soalan gadis di hadapannya itu. Ingatkan apalah soalan yang ingin ditanyakan. Beria-ia sekali.
"Tak perlu, saya tak makan di rumah. Kebanyakan masa saya berada di luar jadi awak tak perlu risau tentang hal itu."
Lega mendengar jawapan lelaki itu, Dania hela nafas. Walaupun dia buat semua ini demi seorang kawan tetapi kalau sampai menyeksa diri memang dia tak sanggup.
"Ada satu perkara lagi saya nak tanya,”
Ku Ariff mengangguk lagi dan memandang gadis itu dengan kening yang berkerut. “Tanyalah,” balasnya sepatah.
“Sepanjang saya di rumah ni, hurm…maksud saya dari pukul lapan pagi hingga lima petang tu, saya seorang saja kan?"
"Ermmm...maksud saya Ku Ariff tak ada di rumah kan? Soal Dania lagi. Tak boleh berada berdua-duaan. Bahaya. Bukan muhrim tu. Bisiknya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kena tangkap basah apa dia hendak jawab dengan abah? Itu okey lagi, kena paksa kahwin dengan Ku Ariff, tak ke naya jadinya.
Tawa Ku Ariff pecah lagi. Mengerti dengan maksud kata-kata gadis itu.
"Jangan risau, seawal tujuh pagi saya dah keluar. Jadi masa awak sampai saya memang dah ke pejabat dan saya akan balik selewat 10 malam. So, awak tak perlu takut," ucapnya tenang.
Sekali lagi Dania menarik nafas lega. Jadi sepanjang lapan jam itu rumah banglo ini aku punyalah kan. So aku punya sukalah nak buat apa kan? Heaven!
“So, ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?” Ku Ariff bertanya lagi. Gadis di hadapannya itu dipandang semula.   
Dania tersengih kemudian menggeleng.
“Okey kalau macam tu, minggu depan tolong datang awal sikit,” Pesan Ku Ariff lagi mengingatkan.
Tidak menjawab, Dania hanya mengangguk sahaja.


"Kau pasti ke Nia apa yang kau buat ni?" soal Zahirah perlahan. Rasa simpati pula apabila Dania terpaksa bersusah payah kerananya dan dia tahu tentu ianya bukan sesuatu yang mudah. Tengok muka Ku Ariff tadi pun dia tahu Ku Ariff bukannya jenis majikan yang boleh berlebih kurang. Mesti jenis yang cerewet gila. Dania direnung lagi kemudian dia mengeluh perlahan.
Dania mengangguk.
“Kau tak rasa susah ke? Kalau tak boleh, lupakan aje semuanya ni Nia,” nasihat Zahirah pula.
"Dah tu kau nak ke gambar kau tu sampai ke tangan mak kau?" soal Dania selamba sambil menghirup air fresh orange di hadapannya. Nampak sahaja riaknya macam tenang seolah tiada apa-apa tetapi hatinya sudah berputar macam roller coaster. Apabila mengingatkan ‘bos’ baharunya itu, lagilah bergelora jiwa raganya. Bukannya sebab apa tapi sebal betul memikirkan sikap Ku Ariff yang nampak bukan main garang lagi itu.
Zahirah terus diam tak terkata. Dia  cuma mampu berdoa semoga urusan Dania dipermudahkan dan semoga tiadalah perkara buruk yang berlaku sepanjang tiga bulan Dania bekerja di situ. Dia bukannya bimbangkan Dania sangat tetapi dia lebih bimbangkan Ku Ariff sebenarnya. Dania bukannya jenis yang penyabar dan hanya berdiam diri kalau sering dibuli. Silap haribulan patah pulak tulang Ku Ariff di karate oleh sahabatnya itu.  Kalau sampai masuk hospital, tak ke haru jadinya nanti. Silap haribulan, mahu masuk front page surat khabar Metro seorang kerabat raja diserang pembantu rumah. Maklumlah, Dania bukan calang-calang orangnya, jurulatih taekwando tu walaupun sekadar membantu Hazrin sesekali tapi lilitan di pinggangnya bukan sebarangan. Tali pinggang hitam beb!


"Adik, cuti semester ni nak pergi mana? Abah ada beritahu along yang abah dan mama nak ke Dubai melawat Angah dan Pak Usu dekat sana."  Danial yang baru muncul dari dapur terus bertanya. Sambil menatang mug di tangan, dia terus duduk di sisi Dania.
Dania yang sedang leka berbaring sambil membaca novel Above and Beyond tulisan Sandra Brown terus duduk tercegat memandang along di sisinya. Abah dan mama nak ke Dubai? Syoknya! Dania tersengih tetapi tidak lama kemudian senyumnya terus mati. Bukankah sepanjang cuti semesternya dia akan hidup terseksa sebagai orang gaji di rumah Ku Ariff?  Sudah rasa macam nak melompat-lompat sahaja tadi tetapi apabila teringarkan perjanjian dengan Tengku Syakila terus terbantut niatnya itu. Janji dengan Tengku Syakila mesti ditunaikan kalau tidak, entahlah apa yang akan jadi.
“Kenapa?” Danial memandang Dania dengan dahi berkerut. Air di tangannya dihirup perlahan.
Dengan wajah cemberut, Dania menggelengkan kepalanya perlahan. "Nia dah janji dengan kawan nak buat kerja amal sikit." balasnya perlahan.  Sorry lah Along, Nia terpaksa berbohong. Bohong sunat. Tak pasal-pasal jadi orang gaji di rumah Ku Ariff dikatakan kerja amal pula. Haih...Dania...Dania...banyaklah kau punya kerja amal. Ingat kau tu baik hati dan rajin sangat nak buat kerja amal? Mama suruh kemas bilik sendiri pun malas bukan main. Kutuknya kepada diri sendiri.
Sudah bulat mata Danial memandang adiknya itu. "Biar betul adik ni?" soalnya meminta kepastian. Laju sahaja tangannya diangkat dan dahi Dania disentuh. Kot demam tiba-tiba saja jadi budak baik.
Dania menolak tangan alongnya sambil mulutnya dimuncungkan. Wajah Danial dikerling sekilas.
"Betullah along. Nia dah janji dengan Irah nak buat kerja amal dekat rumah anak yatim." Beria-ia Dania membalas sambil terangguk-angguk kepalanya. Sekali lagi along kena kelentong. Tak apalah along raya nanti Nia minta maaf. Kalau umur kau masih panjang nak sampai hari raya Nia. Kalau tiba-tiba Allah tarik nyawa kau macam mana? Terfikirkan itu, takut pula dia rasa. Ya Allah Ya Tuhanku, semoga Kau panjangkanlah umur aku sehingga raya nanti. Amin. Doanya dalam hati.
"Peliknya, selalu pantang ada cuti semester mesti nak ajak abah dan mama jalan-jalan tapi kali ni tiba-tiba aje nak buat kerja amal." Danial semakin pelik. Sekali lagi dahi adiknya itu dipegang untuk memastikan adiknya itu betul-betul sihat.
Dania mendengus. Kepalanya dijauhkan sedikit. "Apa along ni. Nia sihatlah. Betullah along. Lagipun tak salahkan kalau Nia nak buat baik sikit. Tambah saham akhirat kata orang tu. Sudahlah amal tak seberapa."  Balasnya lagi. Bersungguh.
Mendengar jawapan adiknya itu, tawa Danial meletus. Kepalanya digelengkan.
"Ikut suka adiklah. Dahlah along ada janji dengan kawan nak keluar minum ni. Nak ikut tak?" Dia terus bangun.
Dania menggeleng. "Malaslah. Kalau jumpa kawan along tu tak ada cerita lain. Asyik-asyik cerita pasal kerja aje. Nia pulak yang tercongok dekat situ macam orang bodoh. Boringlah!"
Tawa Danial meletus lagi. Kepala Dania diusap perlahan. "Itulah tadi mama dengan abah ajak pergi dinner rumah uncle Zul tak mahu, kan dah  kena tinggal sorang-sorang kat rumah. Jomlah ikut along," pujuk Danial lagi, tidak sampai hati pula hendak meninggalkan Dania keseorangan di rumah. Kebetulan kak Aishah pula bercuti minggu itu.
"Nia tak naklah. Nia nak sambung baca buku ni. Along pergi ajelah,"  tolak Dania lagi.  Bukannya dia tak tahu, along kalau keluar mesti jumpa abang Joe dengan abang Khir. Asyik-asyik jumpa orang yang sama. Bosan!. Desisnya di dalam hati.
"Betul tak nak ikut ni?" soal Danial lagi.
"Tak naklah along,"
"Abang Joe dengan abang Khir dah rindu dengan adik. Selalu tanya along kenapa tak bawak adik sekali. Jomlah," pujuk Danial lagi masih tidak berputus asa. Tangan Dania ditarik perlahan.
"Along kirim salam peluk cium aje kat dia orang. Nia malas nak keluar," balas Dania acuh tak acuh. Tangannya ditarik dan dia terus berbaring semula untuk menyambung bacaannya yang terbantut tadi. Memang dia malas hendak keluar pun. Mood yang ada sudah terbabas masuk gaung. Sebelum dia buat muka tak sudah di hadapan abang Khir dan abang Joe, lebih baik dia duduk di rumah sahaja.  
“Okeylah kalau macam tu, along pergi dulu,” lembut Danial bersuara. Malas hendak memujuk lagi dia terus berlalu dari situ tetapi sempat lagi dahi Dania dicium sebelum pergi. “Hati-hati duduk rumah sorang-sorang. Apa-apa hal call along,” pesannya pula sebaik sampai di muka pintu.
“Iya along,” jerit Dania perlahan.
Tawa Danial kedengaran lagi. Pintu dikuak dan dia terus keluar.  
Sebaik sahaja alongnya pergi, Dania duduk semula. Buku di tangannya ditepukkan ke bantal berkali-kali untuk melepaskan geram. Sakit hati kerana tidak dapat mengikut abah dan mama ke Dubai. Ini semua Tengku Syakila punya pasal. Eeiiii....memanglah si mangkuk hayun tu, aku langgar kau dengan steamroll baru kau tahu! Bebelnya geram sambil kakinya dihentak-hentak ke lantai.