Friday, 19 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 1



Irina memandang Ku Ariff sambil tergelak lepas. Kelakar mendengar luahan hati abangnya itu. Kasihan, sejak berpindah ke rumah sendiri asyik bertukar pembantu rumah sahaja. Rasanya, kali ini sudah masuk kali ke lima Ku Ariff bertukar pembantu.
“Itulah, Rina kan dah beritahu abang, janganlah cerewet sangat. Tengok, masuk kali ni dah lima orang berhenti macam tu aje,” kutuk Irina selamba. Air kiwi di dalam jug dituangkan ke dalam cawan kemudian diletakkan di hadapan abangnya itu.
Ku Ariff mencemik sambil mengerling adiknya itu sekilas. Aiman yang berada di dalam pangkuannya dipeluk semakin erat.
“Adik, dalam hal-hal kebersihan ni kita kenalah cerewet. Abang bayar untuk dia buat kerja jadi tak salah rasanya kalau abang nak arah apa yang sepatutnya dan tak salah juga kalau abang tegur kalau ada yang tak kena,” balasnya membela diri.
Irina tersenyum pula. Kepalanya digelengkan perlahan. Bercakap dengan Tengku Ariff Khalis tentang kebersihan memang tak akan menang punya. Dia tahu abangnya itu memang agak cerewet tentang hal tersebut.
“Nantilah Rina tolong tanyakan Mimi kalau dia ada kenal sesiapa yang boleh bekerja sebagai pembantu rumah,” tuturnya mengalah. Malas hendak memanjangkan cerita lagi.
Ku Ariff  hanya mengangguk sahaja. Air kiwi di atas meja dicapai dan dihirup perlahan.
“Assalamualaikum,” sapa Zairil yang baru muncul dari dalam rumah. Balik dari pejabat tadi, dia terus sahaja masuk ke bilik untuk menunaikan solat Asar sebelum turun menyertai perbualan isteri dan abang iparnya itu.  
Irina berpaling kemudian tersenyum. Ku Ariff turut mendongak. Salam Zairil dibalas serentak.
“Minum Ril,” pelawa Ku Ariff ramah.
Zairil mengangguk dan tersenyum. Dia terus duduk di sebelah isterinya. Air yang dihulurkan Irina dicapai dengan senyum yang masih terukir di bibir. “Terima kasih,” ucapnya lembut.  Irina turut tersenyum. “Sama-sama kasih,” balasnya.
Ku Ariff hanya tersenyum sahaja memerhati pasangan suami isteri di hadapannya itu. Melihat kemesraan mereka, hatinya juga turut merasai kebahagiaan yang sama. Alhamdulillah, semoga kebahagian itu akan sentiasa bersama mereka. Doanya dalam hati.
Zairil menghirup air di tangannya sambil membuang pandang ke arah Ku Ariff di hadapan. “Ada masalah apa pulak kali ni? Orang gaji lari lagi?” soal Zairil berseloroh. Bukannya dia tidak tahu, abang iparnya itu kalau bertemu dengan isterinya pasti ada sahaja yang ingin diadukan. Dia faham sangat tentang itu lebih-lebih lagi dengan hubungan mereka yang agak rapat sejak kecil lagi.
Irina tergelak mendengar usikan suaminya itu. Zairil di sebelahnya dipandang dengan tawa menghiasi bibir. “Pandainya abang teka,” ucapnya.
Mendengar jawapan isterinya, Zairil turut tergelak. Ku Ariff hanya mencebik sahaja digiat begitu.
“Kan aku dah kata jangan cerewet sangat. Ambil orang gaji Indonesia ajelah Riff. Tak takut dia lari, dah tentu-tentu passport dia pun kau yang simpan,” Zairil mengulang semula cadangannya. Entah untuk yang ke berapa puluh kali.
“Gila kau Ril nak aku duduk sebumbung dengan orang gaji. Silap haribulan dari orang gaji terus naik taraf jadi isteri bergaji pulak. Tak mahulah aku,” bidasnya pula. Zairil dijeling tajam.  
Semakin galak Zairil tergelak apabila mendengar kata-kata lelaki di hadapannya itu.
“Susah-susah sangat abang kahwin aje,” celah Irina pula.
“Ha, betul tu,” sampuk Zairil pula  turut sama menyokong cadangan isterinya itu.
“Cakap memang senang adik tapi nak cari yang sesuai bukan senang,” balas Ku Ariff pula. Bukan dia tidak pernah mencari tapi tidak ada satu pun yang berkenan di hati. Mummy pun sudah puas mengenalkannya dengan anak-anak kenalannya tetapi ada sahaja yang tidak kena di matanya. Mungkin jodohnya belum sampai agaknya.
“Abang memilih sangat,” selamba Irina mengutuk.
“Mana ada memilihlah adik, cuma abang belum jumpa yang berkenan di hati,” balas Ku Ariff membela diri.
“Nak aku kenalkan ke? Dekat office aku tu ada seorang peguam baru melapor diri. Cantik dan baik orangnya. Bersopan santun pulak tu,” usik Zairil pula sambil keningnya diangkat memandang Ku Ariff.
“Amboi abang, bukan main lagi memuji tu,” celah Irina geram sambil menjeling pandang suami di sebelah. Boleh pula suaminya itu main puji-puji perempuan lain di hadapan isteri sendiri. Ini memang boleh mendatangkan kemarahan. Siap tersengih-sengih pula tu.
Zairil buang senyum. Kepalanya digaru perlahan kemudian jemari isterinya digenggam. “Ala sayang, untuk abang Ariff lah. Takkanlah abang nak cari yang lain, isteri abang ni dah cukup sempurna dah.” pujuk Zairil lembut. Bahu isterinya diraih dengan sebelah lagi tangannya dan dipeluk kemas. Melihat wajah isterinya yang sudah berubah riak, timbul pula rasa bersalah di hatinya. Itulah kata orang terlajak perahu boleh diundur terlajak kata inilah akibatnya. Tidak mungkin hatinya akan berubah. Cintanya kepada Irina bukan sedikit tetapi dengan sepenuh hati. Lagipun jalannya untuk bersama Irina bukan mudah dan dia tak akan sekali-kali lupa tentang itu.   
Ku Ariff sudah tergelak besar melihat kedua-duanya. Comel sahaja melihat adegan pujuk memujuk diantara suami isteri di hadapannya itu. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa terusik melihat keadaan itu. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Jauh di sudut hatinya kadang-kadang timbul juga rasa cemburu melihat kemesraan mereka berdua. Bukan cemburu kerana masih mempunyai perasaan terhadap adik sepupu sendiri tetapi cemburu kerana dia teringin sekali menjadi seperti Irina dan Zairil. Hidup bahagia bersama dengan orang yang betul-betul disayangi dan menyayangi dirinya.


"Kau ni apahal minah? Saja nak cari pasal ke?" jerkah Dania kasar sambil melemparkan gambar  yang baru diterimanya dari Zahirah sebentar  tadi ke atas meja.   
Tengku Syakila yang sedang leka menikmati minuman petangnya tersentak dan terus mendongak. Dania dan Zahirah yang berdiri di hadapannya itu dijeling tajam. Meluat betul dia dengan tetamu yang tidak diundang itu. Gambar yang dicampakkan oleh Dania tadi diambil kemudian dia tergelak kecil.
"Kenapa dengan gambar ni? Tak cantik ke?" soalnya sinis. Laila di sebelahnya turut tersenyum melihat gambar tersebut.
"Cantik, memang cantik sangat. Tapi yang aku nak tahu, kenapa kau ambil gambar tu? Kau nak buat apa dengan gambar tu?" soal Dania lagi semakin keras. Tangannya dipelukkan ke tubuh. Memang dia bengang sangat dengan mangkuk dua ekor di hadapannya itu. Tengku Syakila memang suka betul mencari pasal dengannya. Dari mula kenal sehinggalah sekarang, memang tidak boleh langsung bertemu muka. Entah apa yang perempuan itu tidak berpuas hati dengannya pun dia tidak tahu. Baru beberapa hari lepas dia diserang oleh Tengku Syakila gara-gara dia berbual dengan buah hati pengarang jantungnya. Si Benji, mamat poyo perasan kacak padahal muka lawa sikit aje dari Shuib kumpulan pelawak Sepahtu yang terkenal tu. Sudahlah tu, jongang pulak.. Kalau bukan sebab keluarga orang kaya, entah-entah muka macam tu tak ada siapa yang pandang. Dia lagilah tak ingin! Tak sior teman. Bak kata orang perak. Haha... Yang peliknya, setakat berbual biasa pun nak mengamuk macam orang hilang akal. Kalau sampai berlaga-laga pipi harus dia masuk wad kecemasan dikerjakan Tengku Syakila agaknya. Macam aku hadap sangat dengan boyfriend mata keranjang dia tu. Abah hantar aku ke sini untuk belajar bukan untuk cari jantanlah! Bebel Dania dalam hati apabila teringatkan pergaduhannya dengan Tengku Syakila beberapa hari lepas.
Tengku Syakila masih tergelak-gelak di situ. Pertanyaan Dania tadi dibiarkan sepi begitu saja. Dia terus berpaling dan berbual-bual dengan Laila semula tanpa menghiraukan Dania yang macam singa lapar memandangnya.
Melihat riak selamba perempuan itu, Dania semakin hilang sabar. Kalau diikutkan hatinya memang merah pipi Tengku Syakila dikerjakan. Ha, dah tak payah pakai pemerah pipi lagi. Free aku bagi.
"Eh minah, aku tanya kau baik-baik ni, kau nak  buat apa dengan gambar tu?" Soal Dania lagi semakin keras.
Tengku Syakila mendengus dan terus bangun dari duduknya. Geram kerana ketenangannya diganggu.
"Aku nak suruh mak dia tengok apa yang anak dia buat dekat sini. Susah payah mak hantar belajar dia pulak main jantan dekat sini," lancang Tengku Syakila bersuara sambil menjeling tajam ke arah Zahirah di sebelah Dania.
Terus berubah air muka Dania apabila mendengar jawapan Tengku Syakila tadi. Melampau sungguh mulut perempuan di hadapannya itu. Kalau diikutkan hatinya mahu kena siku sesaja aje anak orang kaya sekor ni. Zahirah di sebelahnya hanya terdiam membisu dengan mata yang sudah mula bergenang air jernih. Zahirah pulak memang jenis hati halus. Pantang kena sikit dan nak nangis. Haih! Lemah betul dia tengok.
"Oh, orang lain dengan jantan kau bukan main sibuk lagi, yang kau dengan jantan tu apa kes?" tengking Dania pula melepaskan amarah di hati.
"Hey babe, aku kalau tak belajar dekat sini mak bapak aku mampu nak hantar aku belajar dekat mana-mana pun. Kalau aku nak belajar di luar Negara, esok aku boleh pergi tapi kawan kau ni dah lah belajar pun sebab pak sedara yang tanggung ada hati nak berlagak macam mak mampu bayar yuran study," sinis Tengku Syakila membalas. Zahirah dijeling tajam.  
"Kau ni memang mulut kurang ajar tau. Ha, inilah akibatnya kalau makan tak baca bismillah sebab itulah mulut tu tak reti nak cakap elok-elok,” bidas Dania lagi. Erkkk… tapi, apa kena-mengena makan tak baca bismilah dengan mulut tak ada insuran Tengku Syakila tu? Soal Dania dalam hati. Hurm.. apa-apalah Dania. Minah tu bukannya faham pun. Cantik aje boleh harap tapi bebal punya budak. Otak singkat sama macam singkatnya skirt yang dipakainya juga.
“Okey, sekarang kau berterus terang ajelah dengan aku. Setahu aku, Zahirah tak pernah buat salah dengan kau. So, aku tak rasa kau bersusah payah buat semua ni untuk kenakan dia. Straight to the point. Aku nak dengar," malas hendak bertekak dengan perempuan busuk hati itu, Dania terus bertanya. Dia sangat pasti apa yang dilakukan oleh Tengku Syakila pasti ada kaitan dengannya.
Mendengar kata-kata Dania, Tengku Syakila terus berjalan menghampiri gadis itu. Bahu Dania diusap-usap perlahan.
Menyampah dengan perlakuan gadis itu, jemari Tengku Syakila ditepis kasar. Kuman!
"Kau ni memang bijak Nia. Memang, aku buat semua ni sebab nak kenakan kau. Aku tahu kau ni baik hati dan tak akan biar kawan kau susah kan? Lagipun aku tahu mak Zahirah sekarang  tak sihat jadi mesti kau takut jadi  apa-apa pada  mak dia kalau aku hantar gambar ni kan?"  ugut Tengku Syakila dengan gaya mengada-ngada sambil tersenyum-senyum memandang Dania.
Dania mendengus. Tangannya dipelukkan ke tubuh. "So? Kau nak apa sebenarnya sekarang?" soalnya lagi sambil merenung Tengku Syakila tajam.
"Kalau kau tak nak aku hantar gambar ni pada mak dia, kau kena ikut cakap aku," pantas Tengku Syakila menjawab sambil menunjukkan jarinya ke arah Zahirah yang masih kaku di sebelah Dania. 
"Kau cakap aje apa yang aku perlu buat. Selagi tak menyalahi undang-undang dan tak merosakkan nama baik keluarga aku, aku akan ikut cakap kau. Kalau kau nak suruh aku bunuh orang aku rasa baik aku bunuh kau dulu!" balas Dania selamba.  Dia sudah tak kira, demi Zahirah dia akan lakukan apa saja. Dia tak akan biarkan Zahirah yang menanggung susah disebabkan perang dingin diantara dia dengan Tengku Syakila.
Tengku Syakila terdiam. Lama, sambil berjalan mundar mandir di hadapan seterunya itu. Teringatkan sesuatu, tiba-tiba jemarinya dipetik dan dia tersenyum lebar. Dania dipandang.
Melihat air muka Tengku Syakila yang sudah berubah seperti ibu mertua Kasim Selamat itu, cuak pula Dania rasa.
“So?” soalnya teragak-agak.
“Aku ada kerja yang best untuk kau.” selambanya.
“Kerja?” soal Dania dengan suara yang sedikit meninggi.
Tengku Syakila mengangguk. "Kau kena jadi orang gaji sepupu aku," jawabnya selamba. Rambut ikalnya itu diraupkan ke belakang sambil keningnya diangkatkan memandang Dania.
Dania tercengang. "What?" bukan main kuat lagi dia menjerit sambil memandang tajam ke arah Tengku Syakila. Gila ke apa nak suruh aku jadi orang gaji. Zahirah juga sudah tercengang mendengar kata-kata Tengku Syakila tadi.
"Kalau kau tak setuju, jangan salahkan aku kalau gambar ni sampai ke tangan mak Zahirah esok," ugut Tengku Syakila lagi apabila Dania sudah diam membisu di hadapannya. Sebenarnya dia memang sengaja hendak mengenakan Dania. Biar padan muka gadis itu. Biar dia rasakan didera oleh abang sepupunya yang banyak songeh dan cerewet. Dia sudah dapat membayangkan muka Dania apabila disuruh mencuci tandas di rumah banglo tersebut.  Tiba-tiba Tengku Syakila tersengih apabila mengingatkan tentang hal tersebut.
"Aku tak tahulah apa masalah kau dengan aku sampai kau buat aku macam ni!" bentak Dania keras. Kenapa Tengku Syakila perlu melakukan itu semua untuk mengenakannya. Sungguh dia tak mengerti!
"Masalah aku dengan kau?" soal Tengku Syakila sinis. Jarinya ditalakan tajam ke arah Dania. "Tak ada masalah apa-apa cuma aku tak suka kau!" sambungnya agak keras.
Dania mendengus. “Macam aku suka dengan kau!” Bidasnya pula dengan wajah dicemikkan.
Geram dengan kata-kata Dania tadi, Tengku Syakila turut mendengus namun disabarkan sahaja hatinya. Dengan nafas dihela keras Dania dihampiri semakin rapat.
"So, macam mana Dania?" bisiknya manja dan rapat di telinga gadis itu. Sengaja hendak menambahkan panas di hati seterunya itu. Dia tahu Dania tengah bengang dengannya. Melihat air muka Dania sahaja dia sudah tahu tapi dia suka. Padan muka kau! Ejeknya dalam hati.
Tercabar, akhirnya Dania mengangguk. "Okey tapi aku nak time frame. Takkan kau nak aku jadi orang gaji kat rumah sepupu kau tu seumur hidup kot? Tak ingin aku!" bidas Dania selamba. Ala, setakat jadi orang gaji tak akan matinya. Dia lebih takut kalau mak Zahirah yang mati bila melihat gambar Zahirah berpelukan dengan lelaki gara-gara didajal oleh Tengku Syakila.  Kalau sampai jadi begitu memang dia akan menyesal seumur hidup.
"Tak lama, tiga bulan aje.” Tiga jarinya diangkat dan ditunjukkan tepat ke wajah Dania. “Maknanya untuk sepanjang cuti semester ini sahaja," semakin selamba Tengku Syakila menjawab. Mendengarkan jawapan Dania, bukan main melonjak gembira lagi hatinya. Akhirnya perangkap mengenakan Dania menjadi juga setelah bermacam-macam cara yang dia buat untuk menyakitkan hati seterunya itu tidak pernah berhasil. Dia pun tidak tahu kenapa dia benci sangat dengan Dania. Tapi yang pasti ianya kerana Dania selalu menjadi favourite pelajar-pelajar di kolej disebabkan sikapnya yang sentiasa merendah diri dan mesra dengan sesiapa sahaja. Bukan itu sahaja, Dania juga menjadi ‘buruan’ pelajar-pelajar lelaki di kolej mereka kerana raut wajahnya yang comel. Walaupun dia lebih cantik  tapi dia tidaklah se glamour Dania. Maklumlah dia terpaksa menjaga statusnya yang berasal dari keturunan bangsawan.
"Okay deal! Lepas habis tempoh tu, aku nak semua gambar-gambar Zahirah yang kau ambil tu dimusnahkan. Kalau kau tak tepati janji kau, tahulah aku nak buat macam mana dan jangan salahkan aku kalau jadi apa-apa pada  kau nanti. Aku maksudkan apa yang aku cakap ni jadi kau jangan main-main dengan aku!" keras Dania bersuara. Jemarinya dikepal dan ditepuk-tepuk dengan sebelah lagi tangannya. Orang seperti Tengku Syakila memang patut diajar. Anak orang berpengaruh atau tidak, dia peduli apa.
Tengku Syakila tersengih. Sinis sahaja riaknya. "Aku akan pegang janji aku. Lepas tempoh tiga bulan kita akan berjumpa lagi dan aku akan serahkan semua gambar-gambar tu pada kau," balasnya berjanji.
"Okey, sekarang kau beritahu aku, macam mana aku nak kerja dengan sepupu kau tu sedangkan aku tak kenal pun siapa dia.” Soal Dania lagi dengan muka meluat melihat dua orang perempuan di hadapannya itu. Seorang si mangkuk, Tengku Syakila. Dan seorang lagi, kaki angguk dan kaki ampu Tengku Syakila, si Laila. Dua-dua bongok! Ha, ambik kau!
"Esok kita jumpa dekat sini. Aku akan bawak kau jumpa dia. Tapi aku nak ingatkan kau Nia, Zahirah tak boleh terlibat langsung dalam permainan ni. Kalau dia tolong kau, aku akan anggap perjanjian kita terbatal dan bila-bila masa gambar ni akan sampai ke tangan mak dia," balas Tengku Syakila keras. Gambar di tangannya dihayun-hayunkan di hadapan Dania.
“Okey, aku setuju,” akur Dania.  
“Deal,” Tengku Syakila bersuara lagi sebelum berlalu meninggalkan Dania dan Zahirah termanggu di situ.
"Sorry Nia, ini semua salah aku. Kalau aku tak ikut cakap Harry tentu tak akan jadi macam ni. Aku tak terfikir pun Tengku Syakila dah plan semua ni." Luah Zahirah serba salah. Gara-gara dia, Dania dapat susah. Teringatkan apa yang berlaku, marahnya kepada Harry semakin menjadi-jadi. Tidak sangka pula lelaki yang bernama Harry itu sudah dibeli oleh Tengku Syakila. Nak pitam konon, rupa-rupanya semua itu lakonan. Tak pasal-pasal gambar dia memapah Harry menjadi bahan ugutan Tengku Syakila. Marah Zahirah dalam hati.
"Bukan salah kau Irah tapi mangkuk tu yang busuk hati. Memang jenis pendengki!" balas Dania pula. Geram sungguh rasanya. Dalam kepalanya sudah sarat memikirkan janji yang dibuat dengan Tengku Syakila tadi. Aku nak jadi orang gaji? Sedangkan selama 22 tahun aku hidup  semua benda mama dengan Kak Aisyah yang buat sekarang aku kena buat semua tu untuk orang lain? Masaklah aku lepas ini. Memang padan muka kau Nia. Bisiknya dalam hati.

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

PROLOG



Prolog I

Semua pernah tercipta
Seakan terhapus sudah segala
Tak mampu ku kembali
Biarkan saja berakhir di sini
Biar patah hatiku
Biarkanlah…
Aku pergi demi hidupmu

Biar hancur harapku
Lepaskanlah…
Aku pergi demi bahgiamu

Selagi kita masih bersama
Semakin ku terluka…

Aku pergi bukan kerana aku tak cinta tetapi aku pergi kerana aku terlalu cinta dan demi melihat kau bahagia....





Prolog II
Dania  melihat jam di tangan sekilas kemudian keluhan kecil dilepaskan. Waktu sudah menginjak ke pukul 7.45 pagi tetapi dia masih tercegat di situ. Aisey…sungguh dia dah lambat! Bebelnya sambil kepalanya digaru-garu. Dia memang sudah berjanji dengan Ku Ariff untuk datang lebih awal sedikit hari itu kerana ada banyak perkara yang perlu Ku Ariff terangkan tentang kerja-kerjanya tapi tengok….dia lambat juga. Haishhh…. Itulah kau Nia, siapa suruh bangun lambat! Bebelnya lagi memarahi diri sendiri. Tote bag di bahu dikemaskan letaknya.
Sambil membebel-bebel, kakinya terus diayunkan laju menghala ke rumah banglo dua tingkat milik lelaki yang bernama Tengku Ariff Khalis a.k.a majikan terjunnya itu. Sebaik berdiri di hadapan rumah banglo tersebut, loceng ditekan  sedang dalam hati bukan main berbuku lagi. Ketika itu memang bermacam-macam rasa ada. Sejak beberapa hari lepas mulutnya  tak habis-habis menyumpah seranah Tengku Syakila a.k.a mangkuk ayun. Dasar perempuan gedik! Jeritnya dalam hati melepaskan amarah yang bukan main menggunung lagi. Rasanya sudah seperti gunung Kinabalu tingginya. Kalau ditarah harus sehari nipis dia kerjakan. Okey tipu! Macam ada magik nak tarah gunung kinabalu sehari boleh rata.
Selang beberapa minit menanti pintu pagar terbuka. Nafasnya dihela. First day kerja kot! Mata ditalakan tajam ke arah halaman rumah tersebut. Terpandangkan, Tengku Ariff Khalis yang sudah sedia menanti di hadapan pintu rumahnya dan dengan muka yang masam mencuka, Dania terkedu. Dada mula berirama. Kencang. Dan dengan mata terkebil-kebil, lelaki itu dipandang atas bawah.
Adesss….mati aku! Desisnya dalam hati. Muka majikan sementaranya itu pula macam nak telan orang sahaja gayanya. Dalam keadaan kalut dan berdebar-debar, nafas dihela. Relax Nia... relax. Dia tu pun orang bukan katak hijau yang kau takutkan sangat tu. Bisiknya menenangkan diri sendiri.
"Kenapa lambat?" soal Ku Ariff keras. Sejak pukul tujuh pagi tadi lagi dia sudah tercongok di halaman rumahnya tetapi baru sekarang pembantu rumahnya itu sampai. Suruh datang awal pun masih lambat lagi. Tak pasal-pasal dia yang lambat masuk ke pejabat hari itu. Dia memang pantang dengan orang yang tidak menepati masa.
Dania berdeham. "Erm...sorry Ku Ariff, saya dah keluar awal tapi susah nak dapat bas datang sini sebab itulah saya lambat. Lagipun hari ni first day saya ke sini jadi saya tak pasti lagi bas mana untuk ke sini." teragak-agak Dania menjawab sambil buat muka kasihan. Pandai-pandailah kau kelentong Nia walaupun kau datang bawa kereta sebenarnya. Kau lambat pun sebab dah memang kau jenis manusia yang susah nak bangun awal. Bebelnya memarahi diri sendiri. Tengok muka Ku Ariff yang sedang tajam memandangnya itu kecut pula rasanya. Haish…boleh tembus kepala dek panahan jelingan lelaki itu.
Ku Ariff mendengus perlahan. Hendak dimarahi pun tak guna juga sebab dia tahu memang susah mendapatkan bas untuk ke rumahnya itu. Malas hendak bercakap banyak dia terus mengajak pembantu rumahnya itu menuju ke gazebo yang terletak di tepi halaman rumahnya. Sebaik mereka duduk di situ dia terus menghulurkan beberapa helai kertas ke arah gadis di hadapannya itu.
“Baca.” Arahnya dengan suara yang agak keras.
Sebaik melihat kertas tersebut, Dania telan liur. Aduhlah, takkanlah banyak sangat kerja yang kena dibuatnya sampai berhelai-helai kertas yang diberikan oleh ‘bos’ barunya itu. Kertas-kertas tersebut dicapai dan dibelek-belek. Memang masaklah kau Nia. Bisiknya perlahan. Belum dibaca lagi isi kandungan kertas tersebut, hatinya sudah menyumpah Ku Ariff dengan bermacam-macam ayat manis. Ayat manislah konon!
"Apa ni?" soal Dania sepatah. Konon pura-pura tanya. Kening dijungkitkan.
"Surat perjanjian." selamba Ku Ariff menjawab.
"Untuk apa?" Dania semakin tidak mengerti. Apa kejadahnya setakat kerja pembantu rumah nak kena tandatangan surat perjanjian segala. Bebelnya.
"Supaya awak tak sesuka hati berhenti," Ku Ariff masih lagi beriak selamba. Tubuhnya disandarkan ke kerusi kemudian kakinya disilangkan sambil matanya memandang tajam ke arah pembantu rumah baharunya itu.
Dania turut membetulkan duduknya. Pandangan Ku Ariff dibalas tajam. "Tapi saya bukan nak kerja seumur hidup pun kat sini. Tak payahlah perjanjian semua ni. Setakat pembantu rumah aje pun bukan jawatan officer!" balas Dania jengkel. Sengaja menunjukkan protes. Kertas tersebut diletakkan ke atas meja agak kasar kemudian tangannya dipelukkan ke tubuh.
Melihat riak pembantu rumahnya itu, Ku Ariff menggeleng sambil simpan senyum. Budak ni kalau bercakap ikut sesedap mulut dia aje. Sudahlah tu bukan main berani lagi melawan. Gumamnya.
"Iyalah saya tahulah tu, tapi ini sebagai jaminan awak tak berhenti sesuka hati. Awak boleh baca dalam fasal tiga ada tercatat di situ, kalau nak berhenti kena bagi notis sekurang-kurangnya tiga bulan jadi senang saya nak cari orang ganti. Kalau awak berhenti tanpa notis, gaji awak untuk bulan itu tidak akan dibayar malah awak yang terpaksa membayar saya tiga bulan gaji awak," terang Ku Ariff panjang lebar. Biarlah dikatakan zalim pun tapi dia sudah penat asyik bertukar orang gaji. Jadi kalau dibuat perjanjian begitu tentu orang gaji barunya itu akan berfikir banyak kali sebelum berhenti. Hendak  mencari orang gaji indonesia memang senang tapi terpaksa duduk serumah pula. Tak mahulah dia sebab dia pun tinggal keseorangan sahaja di situ.
Dania terdiam lama.  Kertas di atas meja dipandang lagi. Bibirnya digigit-gigit sambil otaknya ligat memikir. Ala, setakat nak kena bayar balik gaji tiga bulan tu tak adalah masalah besar pun baginya. Abah dan along kan ada. Lagipun perjanjian itu tak adalah pelik sangat pun, setakat perjanjian biasa-biasa sahaja. Desisnya.  
"Okeylah, saya setuju." Setelah lama terdiam akhirnya Dania bersuara semula.
Ku Ariff menghela nafas perlahan. Lega. Tak payah dia cari pembantu rumah lain!
“Bagus, sekarang awak sign dekat situ,” suruh Ku Ariff sambil menunjukkan ke arah kertas di atas meja. Pen di dalam poket kemejanya dicapai dan diletakkan di atas kertas tersebut.
Tidak berfikir panjang lagi, pen dicapai dan surat perjanjian tersebut terus ditandatangani sebelum diserahkan kepada Ku Ariff semula. “Done!” ucap Dania sepatah.
Ku Ariff menyambut kertas yang dihulurkan dan kertas tersebut dibelek-belek. Sebaik melihat tandatangan di atas kertas tersebut wajah pembantu rumahnya itu dipandang semula.
"Nama awak Zahirah kan?” soalnya dengan kerutan di dahi.
Perlahan-lahan Dania mengangguk. Teragak-agak sahaja gayanya. Tiba-tiba dia rasa cuak.
“Tapi kenapa saya tengok tandatangan awak ni macam pelik aje," Kertas tersebut ditunjukkan.
Dania terdiam. Alamak, macam manalah dia boleh terlupa pulak. Haish!
“Tandatangan kena sama dengan nama ke?" selamba Dania menyoal sambil berlagak tenang. Walaupun dalam hati bukan main kalut lagi tetapi kena cover line. Kalau tidak habis!
Dengan riak yang masih seperti tadi, pembantu rumahnya itu dipandang lagi. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. "Tak.." jawabnya sepatah. Walaupun ada keraguan di hatinya tetapi tak kuasa pula dia hendak bertanya lebih. Lantaklah! Bisiknya.
"Okey, tugas awak macam yang saya pernah beritahu sebelum ini. Ruang tamu perlu dibersihkan hari-hari. Barang-barang dalam fridge awak kena tengok. Mana yang dah expired tolong buang. Cermin-cermin semua mesti dilap. Porch kena cuci setiap hari. Kemas semua bilik walaupun tak digunakan. Bilik saya yang penting sekali. Hari-hari perlu dibersihkan. Vacuum, lap, dan keringkan air di bilik air. Saya tak suka basah-basah." panjang lebar Ku Ariff memberi arahan. Serius saja nada suaranya.
Dania buat muka menyampah. "Kalau tak nak basah haa jangan guna," bebelnya perlahan. Kerek nak mampus. Argghh…tension aku! Jeritnya dalam hati.
"Awak cakap apa tadi?" sergah Ku Ariff tiba-tiba. Keningnya dikerutkan. Gadis di hadapannya itu direnung tajam.
Tersentak, Dania angkat kepala. Perasan akan pandangan tajam lelaki di hadapannya itu, air muka Dania berubah serta merta. Liur ditelan payah. Kecut pula perutnya melihat riak Ku Ariff yang begitu. Garang kot!
Laju Dania gelengkan kepala sambil tangan digawangkan di hadapan ‘bos’ barunya itu.
"Eh tak…tak ada apa-apa. Saya cuma cakap okey aje. Tak ada  masalah. Saya akan buat semua tu." balas Dania teragak-agak.  
Ku Ariff berdeham. Duduknya dibetulkan dan pembantu rumahnya itu dikerling sekilas. Macam aku tak dengar kau cakap apa! Bisiknya jengkel. 
Melihat riak lelaki itu yang nampak macam ‘okey’, Dania hela nafas. Fuhh! nasib baik dia tak dengar kalau tidak hari pertama mula kerja sudah dihambat balik. Jaga mulut Nia jangan celupar sangat. Ingat, kau ada perjanjian yang perlu diselesaikan. Bisiknya mengingatkan diri sendiri. Nasib baik di hadapan Ku Ariff kalau tidak sudah ditampar mulutnya sendiri kerana sudah ‘terover’ bersuara.
Malas hendak memanjangkan perkara tersebut, Ku Ariff terus mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan diletakkan ke atas meja.
"Okey, ini kunci pendua rumah dan bilik untuk simpanan awak. Saya nak ingatkan awak, dalam rumah ni ada CCTV jadi setiap apa yang awak buat semua saya tahu. Jangan curi tulang atau lakukan sesuatu yang tak sepatutnya," perlahan tetapi tegas Ku Ariff bersuara cuba mengingatkan. Baginya, pembantu rumah bukannya boleh diberi muka, silap haribulan habis semua barang berharga disapunya. Sebelum apa-apa jadi baik dia ingatkan siap-siap. Tengok muka baik belum tentu hati pun baik. Desisnya.
"Lagi satu saya nak ingatkan, kalau basuh baju saya jangan campur-campur. Basuh asing-asing. Saya tak nak nanti ada yang rosak pulak. Baju saya bukannya murah. Baju kotor ambil dalam bilik, saya letakkan dalam bakul tepi pintu bilik air. Baju yang dah kering tolong iron dan susun dalam almari," arahnya lagi.
Dania memandang Ku Ariff tajam. Tubuhnya ditegakkan. Arahan yang baru diterimanya itu langsung tidak boleh diterima akal. "Eh, kejap-kejap.” Tangannya sudah diangkat.
Ku Ariff tegakkan kepala sambil menjungkitkan kening.
“Kena basuh baju juga ke?" soal Dania dengan dahi yang sudah berkerut seribu.
"Yup. Kalau tak, apa guna saya ambil awak bekerja kalau baju saya, saya kena basuh sendiri," balas Ku Ariff sinis.
"Erkk..kenapa Ku Ariff tak hantar dobi aje?" selamba Dania menyoal. Bab basuh baju memang satu masalah besar. Nak guna mesin basuh pun tak tahu ni, so apa kes? Nak basuh dengan tangan? Ada rabak baju Ku Ariff dia kerjakan nanti. Sudahlah tu nak kena iron lagi. Terbakar tak pasal-pasal pulak. Adoiiii Zahirah….tolonglah aku weiiii! Jeritnya dalam hati. Rasa hendak dihentak-hentak kakinya di hadapan Ku Ariff di saat itu juga. Kalau Tengku Syakila ada lagi bagus, boleh aku terajang terus. Bisiknya geram!
Sudah bulat mata Ku Ariff memandang gadis di hadapannya itu. Budak ni memang menaikkan darah betul. Gumamnya.
“Kalau saya hantar dobi, tak payahlah saya bayar gaji awak!” bidasnya agak keras.
Dibebel begitu, Dania terus terdiam. Reda Nia, reda. Buat aje! Pujuk hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Tubuhnya ditegakkan. Ku Ariff dipandang. Rasa hendak ditanya tapi macam takut sahaja. Tapi, seluar kecil Ku Ariff pun dia kena cuci juga ke? Kalau betul, yuckkk, Gelilah! Mulalah dia rasa hendak menangis di situ juga. Seluar kecik abah pun dia tak pernah tolong cuci. Uwaaaaa!
“Kenapa?” Dengan riak seperti tadi, Ku Ariff bertanya pula. Dari riak pembantu rumahnya itu dia tahu ada sesuatu yang gadis itu tidak berpuas hati.
Melihat muka Ku Ariff yang sudah berubah seperti hendak telan orang ketika itu, Dania gelengkan kepala. Tangannya diangkatkan tanda mengalah. Terus tidak tertanya apa yang bermain di kepalanya tadi. Cuci aje Nia. Redo...faham tak apa makna redo?
"Okey…okey, saya faham kerja-kerja saya. Kalau tak ada apa-apa lagi boleh saya mula sekarang? Saya rasa Ku Ariff pun tentu dah lambat nak pergi kerja kan?" soal Dania sengaja mengubah topik perbualan. Cakap lebih-lebih nanti tak pasal-pasal kena backhand dengan Ku Ariff pulak.  Belum sempat Tengku Syakila masuk hospital dia yang masuk ke sana dulu. Tak ke naya jadinya!
Ku Ariff menggeleng. Nasib baik sudah tidak ada orang yang hendak bekerja di rumahnya, kalau tidak memang sudah kena reject dah budak Zahirah ni. Bebelnya dalam hati. Malas hendak memanjangkan cerita, dia terus bangun dari duduknya. Baru selangkah dia berjalan, dia berpaling semula dan memandang pembantu rumahnya tajam.
"Oh ya, kalau telefon rumah ni berbunyi tolong angkat sebab saya aje yang akan menelefon. Biasanya kalau saya telefon mesti ada hal yang saya nak beritahu," arahnya lagi. Serius sahaja nada suaranya. Tubuhnya dipalingkan semula sebelum mula melangkah lagi.
"Eh...eh! Ku Ariff kejap…" jerit Dania lantang dan terus buru-buru bangun menghampiri lelaki itu.  
Langkah Ku Ariff terhenti lagi dan dia menoleh.
"Ada apa lagi?" soalnya keras. Entah apa lagilah yang budak ni nak agaknya.
Dania tersengih. "Nombor telefon Ku Ariff  tolonglah tinggalkan, manalah tahu kot-kot jadi apa-apa masa Ku Ariff tak ada, senang saya nak telefon bagitau.." dengan riak tak bersalah Dania menjawab. Iyalah manalah tahu kot-kot terkena lintar pintas ke, berlaku kebakaran ke, ada kecurian ke, bukan ke senang dia maklumkan.
Semakin bulat mata Tengku Ariff Khalis memandang pembantu rumahnya itu tetapi dihulurkan juga business kad yang diletakkan di dalam dompetnya.
"Kalau tak penting tak payahlah telefon," tuturnya selamba.
"Kalau tak ada apa-apa, saya pun tak ingin nak telefon," perlahan Dania menjawab. Ku Ariff dijeling sekilas sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Ku Ariff terkedu. Langkah pembantu rumahnya itu diiringi dengan pandangan tak percaya.  Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Baru sehari masuk kerja sudah pening dia melayan. Perempuan dari kampung manalah agaknya yang dikenalkan oleh sepupunya itu. Haish! 

Tuesday, 16 June 2015

BENCI/CINTA AWAK BUDAK NAKAL KARYA QASEH FARINA

BAB 4



“Yaya buat apa?” Along datang menghampiri Yaya di bawah bangsal beratap zink di tepi rumah Nek Ngah. “Along nak tolong boleh ke?”
“Tak apalah along. Yaya boleh buat sendiri.”
“Meh lah along tolong... Boring lah dari tadi duduk saja tak buat apa-apa.” Along rampas centong besar diperbuat daripada kayu dari tangan Yaya. Kerja mengacau rendang di dalam kawah sederhana besar itu diambil alih. “Macam mana Yaya boleh tahan panas api ni? Along baru sekejap mengacau rendang ni pun, dah rasa berbahang dah ni.” Along sengih memandang Yaya.
“Yaya dah biasa buat kerja ni, along. Along tu lainlah orang bandar,” usik Yaya seraya membalas senyuman Along.
“Yalah kan. Yaya dah biasa. Kenapa Nek Ngah lagi suka guna kayu bila masak hah?! Atas rumah tu pun, Nek Ngah gunakan dapur kayu juga,” soal Along. Tangannya hanya memegang hujung centong untuk mengacau rendang. Sejauh mungkin dijarakkan tubuhnya dari tungku dapur.
“Biasalah along, orang tua tak suka masak guna dapur gas. Bukannya tak ada dapur gas dekat rumah ni. Ada dua lagi. Satu Mak Ina beli, lagi satu Mak Long belikan tapi Nek Ngah tak nak. Tak sedap katanya,” balas Yaya mesra. Entah kenapa dia rasa serasi pula bersama Along. Terus terlupa perasaan malu petang tadi kerana sikap ramah Along ini.
“Tak sedap? Tak fahamlah along apa yang tak sedapnya? Rasanya sama saja pakai dapur gas ke, pakai dapur kayu ke.”
“Ish! Tak adalah along... Rasa dia ada beza...”
“Iya ke? Rasa asap adalah!”
“Nek Ngah kata, rasa asap tulah yang buat lauk lagi sedap.”
Spontan Along ketawa mendengar alasan Yaya ini. “Agaknya lah kan? Sebab tu sate rasanya sedap, ada rasa asap.” Along ketawa lagi. Yaya senyum pelik. Apa kena mengena sate dengan rasa asap hah?
“Kita belum kenal lagikan?” suara Along selepas ketawanya reda.
“Eh! Bukan petang tadi kita dah kenal ke?” Yaya jatuhkan pandangannya ke wajah Along. Pantas dia membandingkan raut wajah Along dan Ayin. Memang Ayin lebih kacak dari Along. Muka Ayin tu, muka boleh cari makan tapi Along ni wajahnya manis. Sedap mata memandang. Ayin tu harapkan muka saja handsome, tapi kedekut dengan senyum buat apa!
“Along baru tahu nama Yaya saja. Memandangkan Yaya anak angkat Mak Su Ina, maka secara rasminya Yaya dah jadi sepupu along juga. Jadi..., wajib along kenal Yaya ni dengan lebih rapat lagi,” kata Along sambil dahi berkerut menahan panas api yang mula marak. Cepat Yaya suraikan kayu sedikit supaya api tidak semakin besar. Nanti santan sudah kering, dagingnya tak empuk lagi. Centong kayu di tangan Along, diambil semula. Along kemudiannya duduk di bangku kayu berhampiran.
“Ceritalah pada along tentang Yaya. Mama ada cerita pasal keluarga Yaya. Macam mana Yaya boleh jadi anak angkat Mak Su. Yang lain along tak tahu,” pinta Along. Air muka Yaya berubah tiba-tiba. Saat hari raya semakin hampir, apabila disentuh soal umi dan abahnya, buatkan sedih yang tertunggak datang menerpa.
“Maafkan along, Yaya. Kalau kata-kata along tadi buat Yaya sedih.” Along bangun meninggalkan bangku lalu menghampiri Yaya semula. Yaya senyum pahit. Cuba mengaburi kesedihan di wajahnya dari pandangan Along.
“Tak banyak cerita pasal Yaya yang boleh Yaya bagitau. Semuanya Mak Long dah ceritakan,” balas Yaya enggan membuka relung duka di hatinya.
“Pasal umi dan abah Yaya tu, Yaya sabarlah. Sudah ketentuan Allah SWT begitu. Along tahu dah dekat nak raya ni, tentu Yaya rasa sedih bila teringatkan umi dan abah Yaya tapi Yaya tak perlu sedih sebab kami ada. Kami pun sebahagian dari keluarga Yaya jugakan?” ujar Along. Yaya angguk perlahan. Segera diusir rasa pilunya sebentar tadi.
“Dah! Esok nak raya. Tak baik bersedih-sedih malam ni. Kita cerita pasal lain nak?”
“Cerita pasal apa?” soal Yaya semula selepas pilunya kembali dikunci di dalam hati.
“Yaya sekolah tingkatan berapa?”
“Dua. Along?”
“Tingkatan lima.”
“Ayin?”
“Eh! Minat juga ke nak tahu pasal Ayin?” Along senyum sumbing. Ini senyum nak mengusik ke, senyum perli?
“Saja nak tahu,” balas Yaya sambil buat-buat sibuk mengacau kuah rendang yang semakin kering.
“Saja nak tahu ke, dah berkenan? Maklum sajalah... Ayin tukan lagi handsome dari along ni...” Along mengusik lagi. Yaya jeling Along sekejap sambil buat muka. Berkenan dengan Ayin? Oh! Pleaselah... Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek macam tu? Not my tastelah! Tengoklah sekarang ni. Entah di mana dia agaknya? Orang tengah sibuk dekat bawah ni tolong Nek Ngah memasak juadah untuk santapan di pagi raya, bukan reti dia nak turun menolong sekali. Berlagak yang ampun. Harapkan muka saja lawa, tapi perangai hampeh!
“Apasal Yaya buat muka macam tu?”
“Buat muka apa?”
“Ya! Buat muka macam ni.” Along ulang tayang mimik muka yang diekpresikan oleh Yaya sebentar tadi.
“Eh! Mana ada Yaya buat muka macam tu?”
“Jangan nak tipulah, Yaya. Along nampak...”
Yaya tak tahu nak balas apa.
“Ayin tu nampak saja macam tu Yaya. Dalam bab cintan-cintun ni dia champion tapi, itu dululah. Sekarang ni dia dah single. Along takut dalam Yaya tak suka Ayin tu, nanti bila terjatuh hati pada Ayin, buruk padahnya.” Along mengeluarkan amaran sambil menyeringai menayang gigi. Budak macam Ayin tu terror dalam hal cintan-cintun? Rasa tak percaya saja. Siapalah perempuan malang tu agaknya ya? Tadi Along kata, itu dulu. Sekarang Ayin dah single. Tentu awek Ayin tinggalkan dia pasal tak tahan dengan perangai kekwat Ayin tu. Yaya buat muka lagi. Along sengih lagi.
******
Hari Raya menjelma. Pagi itu semua orang sibuk. Nek Ngah, Mak Ina dan Yaya sibuk di dapur menyiapkan juadah untuk dihidang di atas meja. Pak Long, Along, Syidan dan Ayip sibuk bersiap hendak ke masjid. Ayin? Sibuk nak balik KL. Pagi-pagi lagi dah buat bising. Kompelin tak dapat tidur malam tadi. Panas dan banyak nyamuk katanya. Pak Long dan Mak Long pekak kan telinga saja bila Ayin tak habis-habis merungut. Barangkali mereka sudah lali dengan perangai Ayin tu. Yaya pula yang rimas. Ayin membebel, lebih teruk dari Nek Ngah. Ini dia muda belia lagi. Bila dah tua macam Nek Ngah, entah macam mana agaknya. Sebab itulah awek Ayin tinggalkan Ayin agaknya, tukas benak Yaya.
Ketika Ayin melintasi dapur untuk ke bilik air di luar rumah, sempat Yaya menjeling kepadanya. Yaya lihat muka Ayin sama seperti semalam. Malahan bertambah teruk. Muka Ayin tu bukan macam asam kecut lagi dah! Kali ni dah serupa tapai. Tapai basi yang dah benyek! Dari tingkap dapur rumah Nek Ngah, Yaya lihat Ayin mencangkung di tepi pintu di luar bilik air. Kenapa budak tu? Takkan nak memburan dekat situ? Kot nak memburan pun, masuklah dalam jamban. Bukan jauh sangat pun. Sebelah bilik air tu saja. Tak senonoh betul perangai!
“Yaya! Yaya tengok apa?” sapa Mak Long.
“Yaya tengok Ayin tu, mak long.” Muncung Yaya panjang ke luar rumah.
“Kenapa?” Mak Long menghampiri Yaya.
“Ayin..., entah buat apa mencangkung dekat luar bilik air tu.” Sekali lagi Yaya juihkan mulutnya ke tempat yang sama. Mak Long merapati tingkap dan turut menjengah ke luar rumah.
“Ya Allah... Ayin!” Mak Long memekik. Cepat Yaya berselindung di balik dinding apabila Ayin memandang ke arah tingkap tempat dia berdiri. Takut Ayin perasan dia sedang mengintip di situ.
“Apa ma...?!” Suara Ayin seperti tidak puas hati.
“Cepatlah! Buat apa duk mencangkung termenung dekat situ? Nak pergi sembahyang rayalah! Kalau lambat nanti papa tinggalkan pula,” jerit Mak Long dari tingkap dapur.
“Sejuklah mama nak mandi!” sahut Ayin.
“Mak ngah dah buatkan untuk dia air panas tadi, Yah!” sampuk Nek Ngah di meja makan. “Suruh dia mandi air yang dalam tong hitam tu. Mak Ngah dah siap campur dengan air panas dah,” sambung Nek Ngah lagi.
“Biar sajalah dia mandi air kolah tu mak ngah,” pangkas Mak Long.
“Kesian dia. Sejuk nanti!”
“Mak ngah rajin sangat melayan perangai dia. Sebab tulah Ayin tu melampau-lampau mengada-adanya.” Mak Long berpaling melihat Nek Ngah. Tak banyak sikit, Nek Ngah juga memainkan peranan menyebabkan Ayin jadi macam tu. Dimanjakan sangat Ayin tu!
“Kamu ni Yah... Jangan zalim sangat dengan anak sendiri. Kamu juga yang ajar dia mandi dengan air panas dekat bandar sana tu.”
“Dekat bandar tu lain, mak ngah... Rumah kami tu ada water heater. Senang... Petik suis di dinding, dah keluar air panas. Dekat kampung ni, kesian Yah tengok mak ngah kena siapkan air panas untuk Ayin tu,” balas Mak Long pula. Nek Ngah hanya gelengkan kepala. Nak buat macam mana? Tak dilayan ragam si Ayin tu, dia rasa bersalah. Dilayan, dia pula yang salah. Mak Long jengahkan semula mukanya di tepi tingkap.
“Nek Ngah suruh Ayin mandi air yang dalam tong hitam tu!” Mak Long menjerit seperti tadi menyampaikan pesanan Nek Ngah. Yaya panjangkan leher mengintai dari belakang Mak Long. Dia lihat Ayin bangun lalu masuk ke dalam bilik air sambil mulut kelihatan seperti merungut. Sesaat selepas itu...
Pang! Kedengaran pintu bilik air ditutup dengan kuat. Hampir hendak tercabut pintu bilik air Nek Ngah yang dah uzur tu. Sudahlah tunggu waktu hendak tertanggal saja. Nampaknya, pendek umurlah pintu tu! Mak Long geleng kepala. Nek Ngah pula kedengaran mengeluh kecil. Tak faham betul Yaya. Apa yang Ayin marahkan sangat tu? Marah sebab Nek Ngah dah siapkan air panas untuk dia mandi atau marah sebab dia disuruh mandi air panas? Pening kepala! Ke dia tak nak mandi? Takut air macam kambing? Gerutu benak Yaya. Lantas secebis senyuman tersungging di bibir Yaya. Kambing!
******
Pulang dari masjid selepas solat Hari Raya Aidilfitri, Along sibuk mengajak Yaya, Syidan dan Ayip pergi berjalan-jalan. Katanya hendak beraya ke rumah penduduk-penduduk di sekeliling kampung.
“Jomlah Yaya...”
“Malaslah, along. Nanti tak ada orang tolong Nek Ngah kalau ada tetamu datang beraya.” Lembut Yaya menolak. Bukannya dia tak mahu temankan Along. Mood nak beraya tidak berapa ada sangat. Masih terasa kekurangan beraya tanpa abah dan uminya.
“Syidan dan Ayip pun ikut sekali. Baru seronok jalan raya ramai-ramai. Jomlah Yaya...” pujuk Along lagi.
“Pergilah Yaya. Temankan Along tu.” Mak Ina menyampuk. “Kesian Along tu, dah beria-ia sangat dah tu!” tambah Mak Ina pula. Baru Yaya hendak membuka mulut untuk menjawab, Mak Ina menyambung kata-katanya. “Pasal rumah ni jangan risau. Mak Ina dan Mak Long kan ada?”
“Yaya ikut, ya? Along nak kutip duit raya banyak-banyak ni.” Heh! Lawak betul Along ni. Mengalahkan budak-budak tadika excitednya. Belum sempat Yaya mengangguk setuju, Shidan dan Ayip sudahpun menunggu di mata tangga. Sama juga seperti Along rupanya. Tak sabar-sabar nak kutip duit raya. Shidan dan Ayip memang padanlah begitu perangainya. Budak-budak Ribena lagi. Yang si Along ni, dah besar gajah macam ni perangai sama seperti Shidan dan Ayip, apa hal?
“Okeylah! Yaya ikut. Budak tu?” Yaya juihkan muncung pada Ayin yang sedang terbaring di hadapan televisyen. Berlengeng tanpa baju. Ke mana tah terbang baju Melayu dia tadi. Kipas berkaki pendek dihadapkan terus ke mukanya. Panas sangatlah tu! Ayin sibuk main games PSP sambil makan kuih bangkit tepung. Muka masam mencuka tak payah nak diceritalah. Orang celebrate hari raya ni, sukanya bagai nak rak. Yang si Ayin ni pula,  buat muka macam ayam tercekik buah mengkudu kenapa?! Kelat bukan semacam tapi bermacam-macam!
“Kita nak ajak Ayin juga ke?” soal Along. Yaya angkat bahu menjawab. Along berpaling kepada Ayin. “Yin! Kita orang nak pergi jalan raya. Ayin nak ikut tak? Nak ikut jomlah join.”
Ayin buat muka selamba tidak memberi sebarang reaksi. Yaya terus tarik tangan Along ke pintu. Malas hendak menunggu jawapan Ayin yang tentunya tak akan kunjung tiba. Tengok muka pun dah tahu dah. Apa yang tertulis di sebalik riak air mukanya senang sangat dibaca. Menyampah! Tak nak ikut sudah! guman hati Yaya. Betul kata Nek Ngah, Ayin ni memang tak suka balik kampung. Sejak balik dari solat raya tadi, entah berapa puluh kali Ayin bising mengajak Pak Long dan Mak Long balik ke KL semula. Loghat betul!
Kerana tidak tahan dengan ragam Ayin, dua hari kemudian, Pak Long dan Mak Long pulang ke KL semula. Pak Long kata, dia bukannya tidak mahu tinggal di rumah Nek Ngah lama-lama. Telinga Pak Long dah tak tahan dengar Ayin membentak. Dua minit sekali memekak mengajak balik ke KL. Rimas Pak Long dibuatnya.
Bagus juga Ayin balik ke KL semula. Kasihan Nek Ngah tu. Dah seperti orang gaji Ayin pula. Serba-serbi kehendak Ayin, Nek Ngah turuti. Semuanya semata-mata mahu menjaga hati Ayin. Kalaulah lagi lama Ayin dekat rumah ni, confirm cepat Nek Ngah dapat penyakit semput. Apa tidaknya, tak sempat Nek Ngah nak melabuhkan punggung sudah dipanggil oleh Ayin. Hendak itulah, nak inilah. Memerintah saja tahunya!
Petang itu selepas Pak Long, Mak Long, Along dan Ayin balik, Yaya tiba-tiba rasa semacam. Dia jadi sunyi. Sepi. Seperti ada kekurangan. Kerap muka budak asam kedondong, asam kecut, tapai benyek tu singgah di dalam benaknya. Tak tahulah kenapa. Ada yang tak kena nampaknya. Dalam hati mula disapa satu perasaan anih. Kenapa ni? Takkan aku dah suka dengan budak tu kot? Mustahil... Impossible... Mana boleh aku rasa macam tu dekat dia? Budak tu, harapkan muka saja okey, tapi perangai arekkk... Sebenarnya bila tengok dua tiga kali muka Ayin tu, boleh tahan juga. Kalau dia senyum mesti lagi handsome, desis Yaya.
Ah sudah! Lagu mana ni? Takkan dia dah angaukan si Ayin pula? Ayin tu bukannya taste dia. Kalau dah hampir sedozen gelaran terindah buat Ayin tu, mustahil dia sukakan Ayin. Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut, tapai benyek, teramat kerek dan perangai arek macam tu, dia boleh terjatuh hati? Tak boleh jadi ni.
Apa yang dapat Yaya rasakan, dia seperti tidak sabar-sabar pula menunggu Ayin pulang semula ke kampung ini lagi. Hmm..., entahlah... Nampaknya dia kenalah tunggu hingga raya tahun depan.
Raya tahun depan?! Ush! Lama lagi tu!