Thursday, 28 May 2015

BENCI / CINTA AWAK BUDAK NAKAL? KARYA QASEH FARINA

BAB 3



Petang itu, Pak Long dan Mak Long sekeluarga tiba sebelum waktu berbuka puasa. Riang betul Nek Ngah menyambut ketibaan mereka. Yaya memerhati dari jauh saja. Dia berselindung di balik pintu dapur yang terkuak. Mencuri pandang ke tengah laman. Ini bukannya kali pertama Yaya berjumpa Pak Long dan Mak Long. Entah kenapa, dia rasa segan pula. Mungkin kerana belum berapa mesra. Dengan anak lelaki mereka yang dua orang tu, apatah lagi. Yaya tak kenal langsung. Memang patutlah dia rasa malu. Sembunyi-sembunyi Yaya menjenguk ke halaman. Mengalahkan angsa lehernya panjang menjengah. Teruja mahu tahu, macam mana agaknya rupa anak-anak Pak Long dan Mak Long tu.
“Di depan sekali tu, mesti Along. Yang di belakang confirm si Ayin. Muka masam. Tak macam budak yang di depan tu! Happy saja. Nek Ngahkan kata, yang si Ayin tak suka balik kampung. Kalau begitulah rupa dia, memang betullah dia tak suka,” teka Yaya. Tentu tekaannya tepat, kerana dari jauh ini pun boleh melihat mulut budak muka masam seperti buah kedondong tu asyik mengomel saja. Terkumat-kamit. Tak berhenti-henti merungut. Kena paksa balik kampung kot, itu yang tak puas hati sangat tu. Yaya memerhati sehingga kelibat Nek Ngah, Pak Long dan Mak Long serta anak-anaknya naik ke atas rumah.
“Yaya! Mari ke depan sekejap. Salam Pak Long dan Mak Long ni !” Tiba-tiba Yaya terdengar suara Nek Ngah memanggil dari ruang tamu. Rasa malu dan segan yang bertandang, buatkan hatinya berat untuk menayang muka di depan.
“Yaya... !” Terdengar suara Nek Ngah memanggil sekali lagi. Yaya senyap tidak menjawab. Masih berkira-kira sama ada mahu ke ruang tamu atau bersembunyi saja di dapur.
“Yaya!” Suara Nek Ngah lebih kuat dari tadi. Mahu tidak mahu, Yaya terpaksa juga ke sana. Nanti dikata orang tidak beradap pula. Perlahan-lahan Yaya melangkah. Lantai rumah dipijak dengan penuh berhati-hati hingga tidak mengeluarkan bunyi. Sopan kakinya menyusun derap. Lagak kalah gadis Melayu terakhir. Kala Yaya berdiri di hadapan Pak Long dan Mak Long, sepuluh jari segera dihulurkan untuk bersalaman.
“Mak long. Pak long.” sapa Yaya perlahan.
“Yaya sihat?” Mak Long sambut tangan gadis itu.
“Sihat mak long.” Dahinya singgah ke tangan Mak Long. Kemudian Yaya bergerak pula mendekati Pak Long. Penuh santun dia menghulurkan jabatnya.
“Macam mana tinggal dengan Mak Ina?” soal Pak Long pula.
“Alhamdulillah pak long. Mak Ina baik. Dia sayangkan Yaya. Sama macam Nek Ngah. Nek Ngah pun sayangkan Yaya. Kan, Nek ngah?” Pandangan dilontarkan kepada wanita tua yang duduk di sisi Mak Long. Senyuman diukir bagi menutupi rasa gemuruhnya. Nek Ngah hanya ketawa mendengar gurauan Yaya itu.
“Baguslah kalau macam tu,” tambah Pak Long lagi.
Ekor mata Yaya sempat juga melekat pada wajah budak yang masam seperti buah kedondong tu. Riaknya tetap sama seperti mula-mula tiba di rumah ini tadi. Cuma kali ni, mukanya sudah serupa asam kecut. Berkerut seribu. Banyak sangat merungut, tu pasallah jadi macam tu! Baru Yaya bercadang ingin beredar ke dapur, Mak Long memanggilnya.
“Yaya! Nak pergi mana?” tanya Mak Long. Hairan agaknya melihat Yaya seperti mahu melarikan diri pula.
“Yaya nak pergi buat air untuk mak long dan pak long.”
“Buat air apa bendanya, Yaya? Kan puasa?” usik Pak Long. Yaya menyeringai sebelum tertunduk malu.  Macam mana dia boleh tak ingat pula yang mereka sedang berpuasa? Kalau baru sehari berpuasa tu, ada ampunnya juga dia terlupa. Ini dah nak raya! Nampak sangat dia sedang tak keruan. Apa sebabnya tak tahulah.
“Meh! Mari sini. Duduk sebelah mak long ni.” Mak Long menepuk kusyen kerusi rotan di sebelahnya. Yaya akur tidak membantah. Dia dapat rasakan, salah seorang anak Mak Long sedang memerhatikannya. Kepala berat hendak dipanggung. Wajah ditunduk hingga dagu menyentuh ke dada. Perlahan punggung dilabuhkan di sebelah Mak Long. Anak mata hanya dilekapkan ke wajah wanita itu. Tidak berani hendak berpaling melihat kepada dua orang budak lelaki di hadapannya ini.
“Yaya..., ni anak mak long yang sulung. Nama dia Kamal Ikram. Yaya panggil saja, Along.” Mak Long memperkenalkan salah seorang daripada anaknya. Yaya angkat kepala untuk melihat seketika.
“Hai...” Along menyapa sambil tersenyum lebar. Yaya hanya anggukkan kepala. Nak senyum pun terasa ketat muka. Otot di wajah sedang mengeras agaknya. Bukan dia sombong, cuma rasa segan dan malunya kepada dua remaja lelaki itu datang bertimpa-timpa.
“Yang ini anak mak long yang bongsu, Azrin Hisham. Yaya panggil Ayin saja.” Mak Long menunding jari kepada anaknya yang berwajah masam seperti tertelan sebotol cuka tu. Budak muka asam kecut tu langsung tidak mengangkat muka. Buat tak tahu saja? Eeee... kereknya budak ni...
“Along... Ayin... Ini Sinar Suria. Anak angkat Mak Su Ina.” Mak Long memperkenalkan Yaya kepada mereka berdua pula. Cuma Along saja yang melemparkan senyuman ramah. Budak yang nama Ayin tu? Dia buat muka toya saja! Buat don’t know... Seolah-olah tak ada orang di sekelilingnya. Sibuk bermain Sony PSP. Kata-kata Mak Long langsung tak diendahkan. Melihat kelakuan Ayin begitu rias wajah Yaya terus berubah. Buruk sangat ke muka dia ni? Sampai si kerek tu tak pandang walau sebelah mata.
“Yaya jangan ambik hati dengan perangai adik along ni. Dia ni memang macam ni. Kurang mesra alam sikit,” ulas Along tiba-tiba. Barangkali dapat membaca riak kurang senang yang terpamer di wajah Yaya. Ayin yang duduk di sebelah Along, menjeling sekilas. Tidak puas hati apabila Along mengatanya depan-depan. Itupun sekejap saja. Perhatiannya kemudian kembali semula kepada Sony PSP di tangan. Malas agaknya hendak bergaduh dengan Along. Ke memang dia ni spesies orang tak cukup perasaan? Tengoklah! Buak dek saja. Along mengata dia pun, bukan reti dia nak marah.
“Haah! Yaya. Jangan ambik hati dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak berapa mesra dengan orang yang baru dia kenal. Nanti lama-lama, dia okeylah tu...” celah Mak Long pula. Cuba menjaga hati Yaya. Mata Mak Long sempat merenung Ayin dengan pandangan kurang puas hati. Kalaulah Ayin tu dekat, memang dah menjalar sepit ketam. Tak suka sangat balik kampung pun, janganlah tunjuk perangai! regus Mak Long dalam hati.
Yaya tidak membalas. Nak kata apa lagi, senyum sajalah. Dalam hati mula berkata-kata, kalau beginilah peel si Ayin ni, tak hingin aku nak berkawan dengan dia! Budak bandar yang sombong! Azrin Hisham a.k.a Ayin, masih lagi buat muka selamba. Gamaknya seperti kata-kata Mak Long masuk telinga kanan berlumba-lumba keluar telinga kiri. Langsung dia tidak ambil peduli. Jari tetap laju menekan punat-punat PSP. Entah apa penyakit budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek ni agaknya? Memanggg... tak mesra alam betul!
Waktu maghrib tiba. Semua orang berbuka puasa di rumah Nek Ngah. Termasuklah Mak Ina dan anak-anaknya. Yaya ambil keputusan untuk berbuka di rumah Mak Ina saja. Diambil sedikit lauk-pauk dan dibawa balik ke rumah Mak Ina. Sebabnya Yaya malas nak berhadapan dengan budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek tu. Entah kenapa, dan tak tahu apa sebabnya, tiba-tiba Yaya rasa Ayin tu seperti dah jadi musuh dia pula. Musuh dalam diam. Alasan Yaya kepada Mak Ina dan Nek Ngah mudah saja. Sakit perut! Nasiblah mereka semua percaya dan tidak banyak bertanya.
“Dah baik sakit perut tu, Yaya?”
Terlepas sudu dari tangan Yaya. Jatuh berdenting ke dalam sinki.
“Oh! Mak long. Yaya ingatkan siapa tadi. Terperanjat Yaya.” Yaya usap dada kelegaan. Sedang asyik mengumpat Ayin dalam hati, tiba-tiba disergah begitu mahu tak terpelanting sekejap semangatnya.
“Dah okey mak long,” balas Yaya sopan.
“Ya ke Yaya sakit perut ni? Mak long tengok okey saja. Tak ada apa-apa pun.” Mak Long serkap jarang. Hati kuat mengatakan sakit perut itu sekadar alasan.
“Emmm... Arrr...” Takkan nak tipu lagi? Tadi dah kurang pahala puasa gara-gara menipu kerana tidak mahu menghadap muka Ayin. Sekarang ni nak tipu lagi ke? Kurang lagi ke pahala walaupun sudah berpuka puasa? Mak Long faham. Kalau dah senyap tu, betullah sakit perut tu sekadar alasan Yaya sahaja.
“Yaya kecik hati dengan Ayin ke?”
Pantas Yaya menafikannya. “Eh! Tak adalah mak long. Nak kecik hati pasal apa pula?” soal Yaya semula. Kerja mencuci perkakas-perkakas peninggalan Mak Ina membakar kuih petang tadi diteruskan. Esok dah nak raya, Mak Ina ni masih sibuk buat kuih raya. Sempat pula Yaya mengomel.
“Habis tu, kenapa Yaya buka puasa di sini?” Niat sebenar Mak Long datang rumah Mak Ina sekadar hendak menjenguk Yaya. Bimbang sakit perut Yaya melarat. Apabila melihat keadaan Yaya sihat walafiat, Mak Long rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yaya membasuh tangannya dan melangkah menghampiri Mak Long yang mengambil tempat di kerusi meja makan.
“Mak long jangan risaukan pasal Yaya. Tak ada sebab Yaya nak kecik hati dengan Ayin tu. Yaya cuma segan dengan Along dan Ayin saja.” Yaya beralasan. Minta-minta alasan ini kedengaran logik di telinga Mak Long. Mak Long senyum lega. Sebenarnya dia bimbang Yaya terasa hati dengan layanan dingin Ayin petang tadi.
Ayin perangainya memang jauh berbeza dari Along. Ayin keras kepala. Budak yang degil, nakal dan juga lasak. Bawah sikit saja dari budak yang hyperactive. Kalau dia kata tak nak, maka tak naklah jawapannya. Janganlah hendak dipaksa-paksa. Perangai Ayin bukan macam Along. Along baiknya yang amat! Mengalahkan malaikat. Kalau mama dan papanya kata A, jadi A lah dia. Kalau B, jadi B juga. Kadang-kadang, Mak Long bandingkan juga Ayin dengan Along. Kenapa Ayin tak boleh jadi anak yang baik macam Along? Walaupun umur Ayin dan Along jaraknya cuma muda dua tahun, tetapi perangai mereka memang jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Bagai Utara dan Selatan. Ataupun boleh juga dikatakan sejauh syurga dan neraka. Syurganya Alonglah... Takkan Ayin pula kan?
“Mak long pun tak tahu kenapa sikap Ayin macam tu, Yaya. Mungkin sebab dia anak yang bongsu. Terlampau manja sangat, sampai naik lemak. Tambahan Along dan Ayin tu cuma dua beradik saja. Itu yang skil human relation ship Ayin agak kurang. Di sekolah pun Ayin macam tu juga, Yaya. Entah beberapa kali dah Pak Long kena menghadap cikgu disiplin sekolah dia tu. Perangai memang tak berapa semenggah. Pernah Ayin kena gantung sekolah sampai dua minggu kerana bergaduh. Berbirat juga punggung dan keting kena belasah dek Pak Long tapi perangai tetap tak berubah. Macam tu juga!” bebel Mak Long panjang menceritakan perihal perangai Ayin. Yaya senyum nipis.
“Mak long harap Yaya bersabar ya dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak suka balik kampung. Bila dipaksa balik kampung, jadi macam tulah perangainya,” ujar Mak Long mengakhiri kata-katanya.
“Yaya okeylah, mak long,” balas Yaya berusaha menyedapkan hati Mak Long.
“Kalau okey, jom kita pergi rumah Nek Ngah. Malam ni mak long nak masak ketupat dan rendang. Pak Long pula nak tolong Nek Ngah kacau dodol. Yaya tolong, ya?” Mak Long bangkit meninggalkan kerusi.
“Tentulah Yaya nak tolong, mak long!”
“Yaya tak penat ke? Sudahlah siang tadi tolong Nek Ngah kemas rumah, pasang langsir semua. Rumah Mak Ina ni pun, Yaya kemaskan juga ke?” Mata Mak Long meliar dari dapur hingga ke ruang depan. Memang sudah cantik tersusun rapi. Berhias indah dengan langsir baharu dan gubahan bunga di setiap sudut.
Yaya angguk perlahan. “Tak apa mak long. Tak penat mana pun.”
“Kalau macam tu jom! Cepat mula, cepat siap masak.” Lantas Mak Long menarik tangan Yaya menuju ke pintu dapur.








Saturday, 16 May 2015

ENCIK FAYED MY MAN

BLURB
Jatuh cinta dengan bos? Mustahil bagi Cik Nur Azah Amira untuk mengidamkan lelaki seperti Encik Fayed Arya.  Apatah lagi, lelaki kacak ini menjadi idaman Cik Liyana Datuk Manan yang sentiasaa vogue dan seksi.
Fayed Arya, bukan seperti lelaki lain yang memandang kecantikan luaran wanita. Hatinya sudah pun dimiliki. Tiga tahun hatinya dihuni cinta. Hari pertama terpandang gadis polos itu, hati terus mengangguk suka. Suka tapi tak terluah. Namun, satu kejadian menyebabkan gadis pujaan hati terlepas satu ayat yang menjadi pengikat janji.
“Jom kita couple!”~ Nur Azah Amira
“Daripada kita jadi couple, baik saya pinang awak terus! Dah sure awak tu akan jadi milik saya!” ~ Encik Fayed Arya

Menjadi pasangan bercinta, digertak dan dihalang, sedikit pun tidak memberi luka kepada Fayed Arya. Baginya, hanya Nur Azah Amira sahaja yang layak berdamping dengannya. Hanya Cik Nur kesayangannya yang mampu membahagiakannya. Walaupun jauh Nur melarikan diri, dia tetap akan menjejaki.
“No matter what happens, you will never leave me. Understand? Sebab saya akan cari awak walau ke lubang cacing sekalipun!”~Fayed Arya

Akhirnya, mereka satukan dengan satu lafaz yang sah. Paling indah apabila perkahwinan mendapat restu keluarga. Bagi Fayed Arya, sudah lengkap hidupnya dengan adanya Nur Azah Amira di sisi. Namun, di hari pernikahannya itu, dia menerima tetamu yang tak diundang. Cik Liyana muncul menagih cinta Fayed. Bagai melukut di tepi gantang! Namun, Fayed Arya teguh dengan cinta hatinya. Cik Nur tiada tandingan.
“Ada tak saya cakap kat awak, hari ni yang awak nampak cantik, Nur Azah Amira,” ~ Fayed Arya

“Ada, Encik Fayed Arya,” ~ Nur Azah Amira

“Awak selalu nampak cantik di depan mata saya, sayang. Tak payah make up tebal pun, hati saya dah tertarik dan sayang,” ~ Fayed Arya

Amarah Liyana semakin memuncak. Melihat Fayed dan Nur bahagia. Bagi Nur, kepercayaan adalah penting. Bukan dia tidak tahu, Cik Liyana selalu mencari peluang untuk mendekati Fayed. Tapi rasa cinta Fayed kepada dia terlalu tinggi. Fayed memang tidak sukakan Liyana. Bagi Fayed, datang lah seribu Liyana pun, hatinya tetap pada Nur Azah Amira.

“Saya tak mahu lukakan hati awak, Nur. Walau datang seribu Liyana pun, Nur Azah Amira tetap menjadi keutamaan saya. Awak kena ingat tu”~Fayed Arya

Kata orang, dari mata turun ke hati. Namun, mampukah hati bertahan daripada dugaan dan desakan? Pasti ada yang kecewa dan terluka. Sanggupkah Nur Azah Amira menjadi seoarang isteri yang sentiasa berdiri di sisi suaminya? Menuruti setiap permintaan dan berhadapan dengan pelbagai ancaman? Setiakan Fayed dengan janjinya untuk melindungi cinta hatinya? Seperti kata Nur Azah Amira, Encik Fayed, My Man.


SETIAKU MILIKMU

BLURB
Sara Dhia. Seorang gadis desa yang hidupnya senantiasa dirundung duka. Sejak kecil dia telah dijaga oleh makciknya kerana kedua ibu dan bapanya telah meninggal dunia. Namun, menumpang kasih ibu saudara tidaklah sama dengan kasih ibu sejati. Banyak derita yang harus dia tempuhinya.
Pertemuan tak terduga dengan seorang lelaki bernama Adam Hakimi telah mengikat dia buat selama-lamanya dengan lelaki itu. Atas alasan hutang, Sara disunting oleh lelaki itu sebagai suri. Biarpun di hati tiada cinta. Sara redha! Siapa sangka, hidup bersama Adam lagi banyak kisah duka dari manisnya. Pernikahan tanpa cinta itu benar-benar menjerut hati Sara. Tambahan pula, Adam terang-terangan mengakui dia cintakan perempuan lain. Harus, bagaimanakah Sara?
Sikap bertanggungjawap dan ambil berat yang ditunjukkan oleh Adam tanpa sedar telah membenihkan bunga cinta di hati Sara buat lelaki itu. Dalam diam dia memasang tekad untuk terus setia menanti secebis cinta dari sang suami.
 ‘Ya Allah, Engkau telah memilih aku untuk melalui semua ini. Aku redha ,Ya Allah. Jika benar dia yang Kau pilih untuk menjadi teman hidupku, aku akan setia mengharungi getir ini. Aku akan terus menanti saat terbitnya rasa cinta di hatinya untukku. Namun, aku mohon pada-Mu, berilah aku kesabaran yang tinggi seperti sabar yang Engkau berikan kepada isteri para Nabi. Kerana aku selemah-lemah wanita, Ya Allah! Aku takut, aku pincang dalam langkahku..’~ Sara Dhia.
Namun, satu sengketa telah berlaku di antara mereka yang menyebabkan Sara menjauhkan diri. Hati perempuannya terus membeku. Saat itu, kata sayang dan cinta dari Adam sudah tidak bermakna lagi buat Sara. Bukan mudah untuk memaafkan. Lukanya dalam sekali!
“Sara, percayalah! Abang dah lama sayangkan Sara. Abang dah lama jatuh cinta pada Sara. Sejak pertama kali kita berjumpa. Sejak pertama kali Sara peluk abang, hati abang sudah jatuh sayang pada Sara. Tapi, abang ego! Abang cuba nafikan rasa itu sehinggakan Sara yang menjadi mangsa. Abang ikat Sara dengan alasan hutang. Hakikatnya, abang tidak sanggup kehilangan Sara.” ~ Adam Hakimi.
Apalah gunanya! Hati Sara sudah membeku. Tiada lagi getaran di jantungnya saat Adam melafazkan kata sayang dan cinta.
“Jangan berkipas di tengah ribut, Adam! Tangan penat, hasil tak dapat. Baliklah!” ~ Sara Dhia.
Apakah kesudahan kisah rumah tangga mereka? Masihkah ada sinar bahagia di hadapan? Terbayarkah penantian Sara selama ini? Berjayakah Adam mendapatkan semula cinta dan kemaafan dari Sara? Ketahuilah kesudahan kisah mereka dalam Setiaku Milikmu.

BUKAN KEKASIH TETAPI ISTERI

BLURB

Zara. Dia gadis yang cantik, manis dan kadangkala ada polosnya. Cuma, dia ada satu perangai yang buat Rizza meluat. Kaki kikis! Itulah panggilan setelah mengetahui gadis itulah yang memporak perandakan keluarganya. Tetapi,bila adiknya, Adila cuba bertindak bodoh ke atas Zara, dia pula yang tiba-tiba baik hati menolong. Jadi superhero tidak sengaja kepada kekasih ayah sendiri bukan mudah rupanya.
“Sudahlah Rizza! Awak ni memang manusia paling buruk sekali pernah saya jumpa. Buruk rupa! Buruk laku! Buruk hati! Buruk bertingkat-tingkat!”  - Zara
Dia bukanlah gadis yang garang atau suka terpekik-pekik. Tersangatlah tidak ayu. Tapi kalau berdepan dengan Rizza Azrim, memang automatik segala budi bahasa dia hilang. Kapten seorang tu bahasanya, macam orang tak pernah belajar nilai murni.
“Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang sanggup kau buat, Zara. Perempuan kelab malam macam kau ni! Dengan tubuh kau tu je la yang kau pandai gunakan untuk hidup senang.” – Rizza
Bencilah setinggi gunung pun. Elaklah sejauh mana pun. Tapi kalau dah jodoh, kahwin juga akhirnya. Niat asal Rizza hanya ingin menlindungi Zara dari Adila, tapi sekarang dah jadi isteri dia pula. Bila dah kahwin, kenapa pulak rasa sayang dan cinta datang mengetuk hati keduanya. Jantung seorang kapten bagai dipalu bila gemersik suara Zara berlagu di telinganya. Bagai kalah sebelum berperang!
“Jangan pernah berangan mahukan suami saya. In your dream! Remember. I’m fighter pilot wife, so saya akan fight habis-habisan!!” – Zara
Bersungguh Zara bertahan dari serangan parasit luar yang cuba menumpang kasih suaminya. Semuanya mampu dia elak. Tapi bagaimana pula jika rahsia perkahwinan mereka sampai ke pengetahuan Tan Sri Rahman Syah? Lebih penting adalah penerimaan adik kepada Rizza, Adila musuh utamanya.
Adakah Rizza akan mempertahankan status Zara sebagai isteri atau melepaskannya untuk menyatukan keluarganya? Dan Zara, mampukah dia menukar wataknya untuk menjadi isteri mithali? Melepaskan gaya hidupnya selama ini hanya kerana lelaki bernama Rizza Azrim? Bukan Kekasih Tetapi Isteri merungkai segalanya.

KASUT HITAM TOPI PINK

BLURB
“Manalah aku cabar kau. Kau tu yang tak berani. Mulut je cakap besar tapi pengecut. Sungguh.. Sampai sekarang aku tak faham apa motif kau serang aku dekat sini ni! Kau ingat muka kau kacak sangat ke sampai asyik nak muncul dekat depan aku ni?” ~ Chomel Mayesa
“Pengecut kau kata aku? Eh, kau ni memang nak kenalah. Jangan panggil aku Zaif,  kalau aku tak buat kau melutut dengan aku!! ~ Zaif Affendy”
Menjadi tukang kasut!
 Chomel Mayesa, menyambung legasi arwah ayahnya menjadi tukang kasut. Tidak pernah peduli dengan pandangan orang lain. Apatah lagi dengan lelaki bernama Zaif Affendy.  
Perkenalan secara tidak sengaja dengan Zaif Affendy yang merupakan pelanggannya telah memulakan segalanya. Zaif,  sombong dan  bongkak. Zaif juga yang pembersih dan cerewet tahap kritikal! Zaif yang selalu menyakitkan hati.
Salah faham mula timbul bila Chomel membantu Catilya, teman wanita Zaif yang hampir terjatuh dan dalam masa yang sama Zaif telah terlihat aksi mereka. Kerana terlampau sayang pada Catilya, timbul rasa cemburu. Zaif mula curiga dan menuduh Catilya curang kerana perwatakan Chomel yang seperti lelaki tetapi suka memakai topi berwarna pink!
 “Oii… Sudahlah Mat! Orang dah tak hendak, buat apa tersua-sua. Terima saja kenyataan dan tak payah jadi orang yang bebal.”~ Chomel Mayesa
“Diamlah, tomboi! Nama aku Zaif lah , bukan Mat tau!”~ Zaif Affendy
Dek kerana tak tahan dengan perangai cemburu melampau Zaif, Catilya telah mengambil keputusan memutuskan hubungan antara mereka. Pergaduhan besar mula tercetus kerana Zaif menyangka Chomel adalah punca segala-galanya.
Akan berpenghujungkah perseteruan antara mereka? Sedangkan pantai lagi berubah bila dipukul ombak, inikan manusia yang punya pelbagai rasa. Antara marah dan suka, banyak bezanya. Antara benci dan rindu, jauh maksudnya.  Jom telusuri kisah mereka dalam naskah ini.