Saturday, 16 May 2015

SETIAKU MILIKMU

BLURB
Sara Dhia. Seorang gadis desa yang hidupnya senantiasa dirundung duka. Sejak kecil dia telah dijaga oleh makciknya kerana kedua ibu dan bapanya telah meninggal dunia. Namun, menumpang kasih ibu saudara tidaklah sama dengan kasih ibu sejati. Banyak derita yang harus dia tempuhinya.
Pertemuan tak terduga dengan seorang lelaki bernama Adam Hakimi telah mengikat dia buat selama-lamanya dengan lelaki itu. Atas alasan hutang, Sara disunting oleh lelaki itu sebagai suri. Biarpun di hati tiada cinta. Sara redha! Siapa sangka, hidup bersama Adam lagi banyak kisah duka dari manisnya. Pernikahan tanpa cinta itu benar-benar menjerut hati Sara. Tambahan pula, Adam terang-terangan mengakui dia cintakan perempuan lain. Harus, bagaimanakah Sara?
Sikap bertanggungjawap dan ambil berat yang ditunjukkan oleh Adam tanpa sedar telah membenihkan bunga cinta di hati Sara buat lelaki itu. Dalam diam dia memasang tekad untuk terus setia menanti secebis cinta dari sang suami.
 ‘Ya Allah, Engkau telah memilih aku untuk melalui semua ini. Aku redha ,Ya Allah. Jika benar dia yang Kau pilih untuk menjadi teman hidupku, aku akan setia mengharungi getir ini. Aku akan terus menanti saat terbitnya rasa cinta di hatinya untukku. Namun, aku mohon pada-Mu, berilah aku kesabaran yang tinggi seperti sabar yang Engkau berikan kepada isteri para Nabi. Kerana aku selemah-lemah wanita, Ya Allah! Aku takut, aku pincang dalam langkahku..’~ Sara Dhia.
Namun, satu sengketa telah berlaku di antara mereka yang menyebabkan Sara menjauhkan diri. Hati perempuannya terus membeku. Saat itu, kata sayang dan cinta dari Adam sudah tidak bermakna lagi buat Sara. Bukan mudah untuk memaafkan. Lukanya dalam sekali!
“Sara, percayalah! Abang dah lama sayangkan Sara. Abang dah lama jatuh cinta pada Sara. Sejak pertama kali kita berjumpa. Sejak pertama kali Sara peluk abang, hati abang sudah jatuh sayang pada Sara. Tapi, abang ego! Abang cuba nafikan rasa itu sehinggakan Sara yang menjadi mangsa. Abang ikat Sara dengan alasan hutang. Hakikatnya, abang tidak sanggup kehilangan Sara.” ~ Adam Hakimi.
Apalah gunanya! Hati Sara sudah membeku. Tiada lagi getaran di jantungnya saat Adam melafazkan kata sayang dan cinta.
“Jangan berkipas di tengah ribut, Adam! Tangan penat, hasil tak dapat. Baliklah!” ~ Sara Dhia.
Apakah kesudahan kisah rumah tangga mereka? Masihkah ada sinar bahagia di hadapan? Terbayarkah penantian Sara selama ini? Berjayakah Adam mendapatkan semula cinta dan kemaafan dari Sara? Ketahuilah kesudahan kisah mereka dalam Setiaku Milikmu.

BUKAN KEKASIH TETAPI ISTERI

BLURB

Zara. Dia gadis yang cantik, manis dan kadangkala ada polosnya. Cuma, dia ada satu perangai yang buat Rizza meluat. Kaki kikis! Itulah panggilan setelah mengetahui gadis itulah yang memporak perandakan keluarganya. Tetapi,bila adiknya, Adila cuba bertindak bodoh ke atas Zara, dia pula yang tiba-tiba baik hati menolong. Jadi superhero tidak sengaja kepada kekasih ayah sendiri bukan mudah rupanya.
“Sudahlah Rizza! Awak ni memang manusia paling buruk sekali pernah saya jumpa. Buruk rupa! Buruk laku! Buruk hati! Buruk bertingkat-tingkat!”  - Zara
Dia bukanlah gadis yang garang atau suka terpekik-pekik. Tersangatlah tidak ayu. Tapi kalau berdepan dengan Rizza Azrim, memang automatik segala budi bahasa dia hilang. Kapten seorang tu bahasanya, macam orang tak pernah belajar nilai murni.
“Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang sanggup kau buat, Zara. Perempuan kelab malam macam kau ni! Dengan tubuh kau tu je la yang kau pandai gunakan untuk hidup senang.” – Rizza
Bencilah setinggi gunung pun. Elaklah sejauh mana pun. Tapi kalau dah jodoh, kahwin juga akhirnya. Niat asal Rizza hanya ingin menlindungi Zara dari Adila, tapi sekarang dah jadi isteri dia pula. Bila dah kahwin, kenapa pulak rasa sayang dan cinta datang mengetuk hati keduanya. Jantung seorang kapten bagai dipalu bila gemersik suara Zara berlagu di telinganya. Bagai kalah sebelum berperang!
“Jangan pernah berangan mahukan suami saya. In your dream! Remember. I’m fighter pilot wife, so saya akan fight habis-habisan!!” – Zara
Bersungguh Zara bertahan dari serangan parasit luar yang cuba menumpang kasih suaminya. Semuanya mampu dia elak. Tapi bagaimana pula jika rahsia perkahwinan mereka sampai ke pengetahuan Tan Sri Rahman Syah? Lebih penting adalah penerimaan adik kepada Rizza, Adila musuh utamanya.
Adakah Rizza akan mempertahankan status Zara sebagai isteri atau melepaskannya untuk menyatukan keluarganya? Dan Zara, mampukah dia menukar wataknya untuk menjadi isteri mithali? Melepaskan gaya hidupnya selama ini hanya kerana lelaki bernama Rizza Azrim? Bukan Kekasih Tetapi Isteri merungkai segalanya.

KASUT HITAM TOPI PINK

BLURB
“Manalah aku cabar kau. Kau tu yang tak berani. Mulut je cakap besar tapi pengecut. Sungguh.. Sampai sekarang aku tak faham apa motif kau serang aku dekat sini ni! Kau ingat muka kau kacak sangat ke sampai asyik nak muncul dekat depan aku ni?” ~ Chomel Mayesa
“Pengecut kau kata aku? Eh, kau ni memang nak kenalah. Jangan panggil aku Zaif,  kalau aku tak buat kau melutut dengan aku!! ~ Zaif Affendy”
Menjadi tukang kasut!
 Chomel Mayesa, menyambung legasi arwah ayahnya menjadi tukang kasut. Tidak pernah peduli dengan pandangan orang lain. Apatah lagi dengan lelaki bernama Zaif Affendy.  
Perkenalan secara tidak sengaja dengan Zaif Affendy yang merupakan pelanggannya telah memulakan segalanya. Zaif,  sombong dan  bongkak. Zaif juga yang pembersih dan cerewet tahap kritikal! Zaif yang selalu menyakitkan hati.
Salah faham mula timbul bila Chomel membantu Catilya, teman wanita Zaif yang hampir terjatuh dan dalam masa yang sama Zaif telah terlihat aksi mereka. Kerana terlampau sayang pada Catilya, timbul rasa cemburu. Zaif mula curiga dan menuduh Catilya curang kerana perwatakan Chomel yang seperti lelaki tetapi suka memakai topi berwarna pink!
 “Oii… Sudahlah Mat! Orang dah tak hendak, buat apa tersua-sua. Terima saja kenyataan dan tak payah jadi orang yang bebal.”~ Chomel Mayesa
“Diamlah, tomboi! Nama aku Zaif lah , bukan Mat tau!”~ Zaif Affendy
Dek kerana tak tahan dengan perangai cemburu melampau Zaif, Catilya telah mengambil keputusan memutuskan hubungan antara mereka. Pergaduhan besar mula tercetus kerana Zaif menyangka Chomel adalah punca segala-galanya.
Akan berpenghujungkah perseteruan antara mereka? Sedangkan pantai lagi berubah bila dipukul ombak, inikan manusia yang punya pelbagai rasa. Antara marah dan suka, banyak bezanya. Antara benci dan rindu, jauh maksudnya.  Jom telusuri kisah mereka dalam naskah ini.


PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS

BLURB
Cinta? Dia datang tanpa diundang, dan perginya juga tanpa dipinta. Di mana sahaja cinta itu hadir, waktu dan ketikanya tidak pernah menjadi halangan. Begitu juga dengan cinta pandang pertama Kris Al-Hadi. Cintanya berputik saat terpandang gadis berpakaian penjara. Comel dan anggun. Tapi sayang, cik gadis yang diminati sedang menanti hari perbicaraan.
“Saya nak awak tahu, dari hari pertama saya lihat awak dengan pakaian penjara, hati saya sudah terdetik untuk ambil awak sebagai isteri. Saya sayangkan awak.”~ Kris Al-Hadi
“Kalau awak betul-betul sayangkan saya, buktikan rasa sayang awak tu pada saya.”~ Salsabila
Yang menjadi masalah, gadis tersebut terhumban ke penjara kerana perbuatan manusia yang iri hati. Mujur ada dia yang sudi menjadi hero dan penyelamat. Dan kerana sikap gentleman tersebut, ada cinta lain datang dan mendekat. Tapi sayang, cinta itu cinta terlarang. Mana mungkin untuk dia menyambut cinta dari  kekasih abang sendiri. Kerja gila namanya!
 “Kalau you tak sihat.. biar I temankan you! I jaga you, dan you pula jaga I.” ~ Yasmin
“I cari pekerja untuk jaga akaun syarikat, bukan jaga I. Please, jauh sikit! I tak selesa, I panas.”~Kris Al-Hadi
Kerana cinta terlarang, ada yang menjadi korban. Hendak tak hendak, majlis perkahwinan yang diatur harus diteruskan dan hanya pengantinnya sahaja yang terpaksa ditukar ganti tanpa pengetahuan sesiapa.
 “Jantan tak guna! Dengan tunang aku jugak kau nak buat perangai tak senonoh!”~Khairyl
“Sumpah demi Allah, aku tak buat semua tu!”~Kris
Kris mencintai si gadis bernama Salsabila, apa pun terjadi Yasmin bukan pilihan hatinya. Sudahnya, pengantin lelaki terpaksa membuat pilihan yang dirasakan terlalu payah untuk diputuskan. Antara dua gadis, Salsabila dan juga Yasmin, siapakan yang bakal dipilih? Dan antara dua pengantin lelaki, Khairyl dan juga Kris, yang mana satukah menjadi pilihan cik gadis yang indah dengan busana pengantinnya.
Ketahui kisah selanjutnya di dalam naskah Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis.

CINTA 3 RASA

 BLURB
Kehilangan orang tersayang tiga hari sebelum majlis perkahwinan mereka merupakan tamparan hebat dalam hidup Tengku Rayyan. Sejak hari itu, hidupnya berubah. Dia menjadi seorang yang gemar menyendiri dan menyibukkan diri dengan urusan kerja.
Sikapnya ini menimbulkan kebimbangan di hati Ku Ana. Bersama Qisya, Ku Ana menjalankan misi mencari jodoh untuk Tengku Rayyan. Namun semuanya gagal apabila Tengku Rayyan sering mengelak bila diajak berbicara soal jodoh. Cintanya pada arwah Sofea tak mungkin ada galang gantinya.
Satu hari, ketika Tengku Rayyan keluar berjoging, secara tak sengaja dia telah terlanggar seorang gadis. Maka terjadilah perang kecil antara mereka berdua. Sikap si gadis yang sombong dan berlagak membuatkan Tengku Rayyan tak mahu mengalah dengannya.
“Cik… saya tak nak bertekak dengan awak. Saya dah minta maaf, rasanya itu dah cukup. Kalau awak still tak berpuas hati, saya tak dapat nak buat apa-apa. Daripada saya melayan awak yang ada mental problem ni, baik saya blah. Assalamualaikum….” ~ Tengku Rayyan.
 “Tak guna! Dia kata aku ada mental problem! Arghhh… sakitnya hati aku!!!” ~ Amanda Sofea
Amanda, dendamnya pada kaum bernama lelaki tak pernah padam. Padanya semua lelaki itu sama. Tak seorang pun yang boleh dipercayai. Kebenciannya pada kaum yang satu ini semakin membara kala bertembung dengan seorang lelaki yang digelar ‘mangkuk ayun’. Harap muka saja kacak tapi dengan perempuan pun tak nak mengalah.
Tanpa Amanda duga, rupanya lelaki yang sering bergaduh dengannya itu adalah anak kawan baik mummynya, Datin Aminah. Semakin sebal dia apabila mummy bercadang hendak menjodohkan dia dengan lelaki itu. Sekerasnya dia menolak. Namun masalah kesihatan Datin Aminah membuatkan Tengku Rayyan dan Amanda bersatu.
Dalam meniti kehidupan sebagai pasangan suami isteri, pelbagai dugaan dihadapi. Sebagai suami Tengku Rayyan tak pernah mengalah. Sedaya upaya dia menawan hati sang isteri. Keikhlasan yang ditunjukkan membuatkan hati Amanda jatuh cinta. Namun dia takut mengakuinya. Apatah lagi peristiwa silam sering membayanginya.
Apa peristiwa silam yang sering mengganggu Amanda? Berjayakah Tengku Rayyan menawan hati sang isteri yang keras seperti ais batu? Adakah rumahtangga ini mampu bertahan setelah peristiwa hitam itu terbongkar? Ikuti perjalanan cinta Tengku Rayyan dan Amanda Sofea dalam Cinta 3 Rasa.