Bab 2
HADIF Fakhri membelek-belek beberapa resume yang diterima olehnya untuk dipilih. Dia perlu memilih beberapa orang yang layak untuk dipanggil temu duga. Hadif Fakhri sedang mencari calon setiausahanya yang baru. Dia termenung seketika sewaktu meneliti setiap resume yang diterima. Kebanyakan resume yang diterimanya bukanlah yang datang dari bidang kesetiausahaan. Hadif Fakhri sememangnya sedar yang ramai graduan di luar sana yang menganggur selepas tamat belajar.
“Nak cari setiausaha pun susah sekarang ni,” bebel Hadif Fakhri sendirian. Digaru dahinya dengan perlahan. Hadif bersandar di kerusinya sambil memandang ke atas.
“Nak cari setiausaha ni sama juga dengan nak cari calon isteri. Cari seseorang yang boleh kita percayai dalam menjalankan tugasnya.” Masih terngiang-ngiang lagi katakata papanya, Datuk Ismail baru-baru ini.
“Pilih sajalah yang mana sesuai, tak payah nak peningkan kepala sangat. Kerja berlambak sekarang ni dan aku perlukan seseorang semula membelek satu per satu resume. Dia meneliti dari semua sudut.
Beberapa ketika, pintu bilik Hadif diketuk dari luar. Dia terus menoleh ke pintu.
“Masuk,” arah Hadif Fakhri. Pintu ditolak dengan perlahan-lahan.
“Sorry Tuan Hadif, saya nak ingatkan yang Tuan Hadif ada meeting sekejap lagi bersama Encik Taufik dan juga Encik Hayyan,” ujar Safi dengan senyuman.
“Thanks Safi, sorry susahkan awak. Selagi saya tak dapat setiausaha baru, selagi itulah awak akan terus buat dua kerja begini. Kasihan awak, Safi,” balas Hadif Fakhri.
“Tak mengapa, Tuan Hadif. Insya-Allah nanti kita akan dapat calon yang sesuai dan lepas tu saya tak la kelam kabut lagi. Janganlah Tuan Hadif risau sangat, ya,” jawab Safi.
“Thanks, Safi. Awak dah banyak tolong saya. Sekejap lagi saya akan bagi pada awak resume yang saya pilih untuk interview nanti,” ujar Hadif sambil menilik resume yang seterusnya.
“Baiklah, Tuan Hadif. Saya keluar dulu.” Safi meminta diri. Hadif hanya menganggukkan kepalanya dengan senyuman di bibir.
Puas dia meneliti setiap sudut. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Akhirnya Hadif telah membuat keputusan untuk mengambil tiga orang dari mereka untuk ditemu duga nanti. Tanpa Hadif sedari, resume milik Awatif turut terselit di situ. Namun dia saja yang tidak perasan akan gambar Awatif yang terpampang di sebelah kiri. Hadif kemudiannya menilik jam di pergelangan tangan. Waktu untuk meeting sudah pun tiba. Dengan pantas, dia bangun dari kerusinya dan menuju keluar dari biliknya.
Hadif Fakhri terus menuju ke bilik mesyuarat. Sebaik saja pintu ditolak, Hadif masuk dan memandang tetamunya. Pada ketika itu, Hayyan dan Taufik sedang bersembang di meja mesyuarat.
“Eh, kau orang dah lama ke sampai?” soal Hadif lalu ditarik kerusinya. Hayyan dan Taufik tersenyum.
“Baru aje sampai,” jawab Taufik.
“Sorry aku lambat,” ucap Hadif sambil memandang sepupunya dan juga temannya, Taufik.
“Sibuk betul cousin aku sorang ni,” usik Hayyan.
“Boleh kita mulakan perbincangan hari ini?” Hayyan dan Taufik mengiakan saja.
Mereka bertiga mula berbincang tentang urusan projek usaha sama antara tiga buah company.
Selesai saja mereka bermesyuarat, Hadif Fakhri mengajak Hayyan dan juga Taufik untuk keluar makan tengah hari. Sudah lama tidak keluar makan bersama dek kesibukan yang melanda. Masing-masing sibuk dengan urusan company sendiri. “Kau macam mana, Hadif? Bila nak kahwin?” soal Taufik sewaktu mereka sedang menjamu selera. Hadif tersenyum.
“Kau ni Fik, dah jadi macam mama aku asyik tanya pasal jodoh saja. Kau tu bila pula nak kahwin?” soal Hadif pada Taufik yang sedang tersengih padanya.
“Aku pun sama dengan kau, bro. Actually mama aku pun dah bising soal kahwin ni. Aku ingatkan perempuan aje yang selalu kena tanya soalan begini tapi lelaki juga tidak ketinggalan. Adik kemba aku Dania dah kahwin, sekarang ni tinggal aku dan Dahlia saja yang belum kahwin,” jawab Taufik dengan selamba.
“Aku rasa kau orang berdua dah patut cari calon.” Hayyan menyampuk sambil tersenyum penuh makna.
“Kau cakap senanglah sebab kau dah kahwin,” tingkah Hadif dengan selamba. Taufik setuju dengan katakata Hadif. Antara mereka bertiga, hanya Hayyan sorang saja yang sudah mendirikan rumah tangga.
“Hadif, kalau kau nak berkenalan dengan adik aku, Dahlia pun boleh,” seloroh Taufik. “Haah la Fik, adik bongsu kau tu single lagi, kan?” soal Hayyan lalu memandang wajah Taufik. Dia kemudiannya menyapu bibirnya dengan perlahan selepas menyedut air minuman. Hadif Fakhri sudah menjegilkan matanya pada Taufik dan Hayyan.
“Kau jangan Hayyan, adik aku tu muda lagi dan lagi satu adik aku tu memang minat si Hadif ni. Dia kata muka kau handsome,” sengih Taufik sambil terangkat kedua-dua keningnya.
“Haaa, elok sangatlah tu.” Hayyan terus mengusik Hadif. Niatnya cuma satu, mahukan Hadif temui cinta yang baru.
“Suka hati kau orang aje ya nak kenakan aku dengan Dahlia? Tapi Fik, kalau adik kau kata aku handsome memang betullah tu,” jawab Hadif dengan selamba.
“Kau tengok Fik, perasan sungguh si Hadif ni.” Hayyan menggelengkan kepalanya. Hadif tersenyum manis. Memang benar pun yang Hadif Fakhri merupakan seorang lelaki yang kacak bergaya. Sesiapa yang memandang, pasti akan terpukau.
MALAM itu Hadif Fakhri melepak di port kesukaan Hayyan. Kediaman milik Datuk Ismail sunyi sepi. Hayyan sudah berpindah ke rumah baru bersama isterinya, Reen. Sekarang ini tinggal Hadif, mama dan papanya di sini. Hani telah pun bertunang dengan Ariq pada bulan lepas dan kini Hani kembali semula ke UK untuk menyambung pengajiannya.
Jika dahulu, sewaktu Hayyan berada di dalam rumah ini ada juga teman untuk dia bersembang, kini nampak gayanya dia hanya mampu memandang persekitaran rumahnya. Hadif mendongakkan kepalanya merenung ke dada langit. Fikiran ketika ini juga tenang. Dia mula leka melihat keindahan malam hari yang diterangi bintangbintang yang berkelipan.
“Anak bujang mama buat apa dekat luar ni?” sapa Datin Khadijah sewaktu melangkah menuju ke arah Hadif. Dia ternampak Hadif yang sedang termenung seorang diri di luar rumah. Sebaik saja mendengar suara mamanya, Hadif menoleh ke belakang lalu tersenyum.
“Tak ada buat apa pun mama, Hadif cuma ambil angin saja dekat luar ni. Bosanlah duduk atas tak tahu nak buat apa,” jawab Hadif. Datin Khadijah menarik kerusi lalu duduk bersebelahan anaknya.
“Rumah kita memang sunyi, sebab tu mama nak Hadif cari calon isteri. Meriah sikit bila Hadif dah kahwin dan juga ada anak,” cadang Datin Khadijah pula.
“Insya-Allah mama, tiba masa dan ketikanya, Hadif pasti akan bertemu dengan jodoh yang Hadif cari,” jawab Hadif dengan tenang.
“Insya-Allah. Mama sentiasa mendoakan untuk Hadif. Mama nak tengok anak mama yang ni pula bahagia,” kata Datin Khadijah sambil tersenyum kepada anak terunanya.
Bagi Datin Khadijah, kali ini dia tidak mahu lagi mencarikan jodoh untuk anak lelakinya itu. Dia tidak mahu perkara dahulu berulang kembali. Biarlah Hadif sendiri yang mencari pasangan hidupnya. Dia gembira melihat Hayyan dan Reen kini bahagia. Dia juga sedar bukan mudah untuk Hadif terima yang Reen berkahwin dengan Hayyan kala perasaan sayangnya untuk Reen baru berputik ketika itu.
Jodoh pertemuan itu datangnya daripada Allah. Kita sebagai manusia di muka bumi ini tak mampu untuk menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Aturan Allah tak siapa yang tahu.
“Mama, Hani dan Ariq bila nak disatukan?” soal Hadif dengan tiba-tiba apabila terkenangkan adik bongsunya.
“Tarikh tu tak pasti lagi bila sebabnya Hani masih lagi berada di UK. Mama dan papa kalau boleh nak satukan mereka berdua dengan cepat. Insya-Allah kalau tak ada aral yang melintang, tahun depan kahwinlah Hani dan Ariq,” jawab Datin Khadijah dengan senyuman. Dia gembira dan bersyukur kerana anak bongsunya telah bertunang dengan Ariq, anak kepada temannya.
“Ya ke? Baguslah kalau begitu. Hadif lagi suka kalau mereka berdua disatukan awal mama,” sokong Hadif pula. Hadif sungguh gembira dengan Hani sekarang ni. Persengketaan Hani dengan Reen telah lama terlerai malah dia mampu menerima hakikat yang cinta Hayyan hanya untuk Reen. Kemunculan Ariq dalam hidup Hani telah memberikan sinar baru dan membantu Hani untuk melepaskan cinta yang bukan miliknya.
“Ijah sampai hati ya tinggalkan abang sorangsorang dekat atas,” ujar Datuk Ismail yang baru saja muncul di situ. Datin Khadijah dan Hadif menoleh ke belakang dengan serentak.
“Bila masa pula Ijah tinggalkan abang ni? Bukan ke abang dah terlelap tadi?” soal Datin Khadijah pelik. Sewaktu turun tadi suaminya memang sudah terlena. Dia saja yang masih belum mengantuk.
“Memanglah abang dah terlelap tapi lepas tu terjaga. Abang carilah Ijah,” ujar Datuk Ismail lalu mendekati isteri dan anaknya. Hadif sudah tersengih.
“Papa cemburulah tu tengok mama ada di sini dengan Hadif,” usik Hadif dengan selamba. Datuk Ismail tergelak lalu duduk di kerusi.
“Papa nak cemburu pada Hadif? Tak ada maknanya. Papa kamu ni Hadif, bukan apa kalau mama tak ada dekat sebelah dia memang begitulah,” jawab Datin Khadijah. Suaminya mengiakan.
“Tahu tak apa. Awak kan bantal peluk abang,” seloroh Datuk Ismail pula yang membuatkan isterinya tersenyum manis.
“Hadif bila nak dapat setiausaha yang baru?” soal Datin Khadijah dengan tiba-tiba apabila teringat tentang Hadif yang sedang mencari setiausaha yang baru. Anaknya memang cerewet dalam memilih setiausaha. Datin Khadijah tahu sejak Reen berpindah ke Astana, ada beberapa orang yang menggantikan tempat Reen namun yang datang hanya boleh bertahan selama sebulan hingga kedua bulan lepas itu cabut kerana tak tahan dengan ketegasan Hadif dan juga perangai cerewetnya yang datang sekali sekala.
“Dua tiga hari lepas, Hadif dah pilih beberapa orang untuk ditemu duga. Insya-Allah, harap-harap adalah yang terpilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha Hadif,” jawab Hadif.
“Baguslah kalau begitu, papa kasihankan Safi. Dia pun sibuk dengan kerja dia lagi lepas tu nak handle jadual kamu lagi.”
“Itulah, papa. Hadif pun kasihankan Safi tu.” Dia tahu tentang itu namun apa pilihan yang dia ada. Di antara ramai staf yang ada di situ hanya Safi yang boleh masuk dengan kerenahnya.
“Mama harap, setiausaha baru Hadif nanti bolehlah tahan dengan kerenah anak mama ni.” Hadif tersengih. Hadif sangat mengerti maksud mamanya itu.
“Hadif pun harap begitulah, mama. Errm, tegas sangat ke Hadif kalau bekerja mama?” soal Hadif dengan tibatiba. Datin Khadijah dan Datuk Ismail berpandangan sesama sendiri.
“Tegaslah juga kan, papa?” Datin Khadijah menoleh pada suaminya.
“Hmmm, betullah tu. Kita memang perlu ketegasan dalam bekerja tetapi jangan terlalu tegas sangat, kasihan orang lain. Setiap manusia dikurniakan hati dan perasaan Hadif, dibuatnya dapat setiausaha yang sensitif, alahai... jawabnya selalu memendam rasalah.” Hadif menganggukkan kepalanya.
Kena ubahlah ni ya? soal Hadif dalam hatinya. Hadif menghela nafasnya seketika. “Hari dah lewat malam ni, marilah kita masuk tidur.” Suara Datin Khadijah mematikan lamunan Hadif. Dia mula menguap dan matanya mula merasa mengantuk.
“Jomlah, mata abang pun dah mengantuk ni,” jawab Datuk Ismail pula lalu bangun dari kerusi. Hadif dan Datin Khadijah juga turut bangun.
“Selamat malam mama, papa,” ujar Hadif dengan senyuman sewaktu tiba di tingkat atas bersama mama dan papanya.
“Selamat malam, Hadif,” jawab Datin Khadijah dan Datuk Ismail serentak sebelum mereka bertiga masuk ke dalam bilik masing-masing.
No comments:
Post a Comment