Tuesday, 20 January 2015

CINTA MANIAK BY CT AZHAR

BAB 3











DI SEBUAH lorong, kelihatan seorang gadis sedang mengayuh basikalnya. Ketika itu dia ditugaskan untuk menghantar makanan kepada seorang pelanggan tetap oleh Mak Cik Jenab. Gadis itu akur, walaupun dia begitu lewat untuk ke tempat kerja. Arahan mak ciknya harus dilangsaikan secepat mungkin. Jika tidak, kemarahan Mak Cik Jenab terhadapnya akan berjela-jela. Mahunya seminggu Mak Cik Jenab tidak bertegur sapa dengannya. Tak selera nak lihat wajah Mak Cik Jenab bagai tikus mondok begitu. Eee! Selisih, selisih.
Basikal disorong dengan kasar dan dimangga di palang besi di anak tangga. Setelah itu, dia segera memanjat tangga dan menuju ke tingkat satu. Rumah kedai ini agak sunyi pada ketika ini. Kebanyakan mereka keluar bekerja. Khayla Zahra seperti biasa mengetuk pintu bertalu-talu. Namun, tiada jawapan dari dalam rumah itu.
Khayla Zahra mengetuk sekali lagi, kali ini lebih kuat dari mula-mula tadi.
Kelihatan pintu terkuak dari dalam, Khayla Zahra segera menghulur bungkusan tersebut dan dia ingin segera berlalu dari situ kerana hatinya mula cuak. Perasaannya kurang enak. Keadaan yang sunyi menyesakkan dadanya. Kebimbangannya menular ke segenap urat nadinya.
Sesaat cuma, tubuh Khayla Zahra terasa ringan sahaja dan dengan sekelip mata dia berada di dalam rumah tersebut. Matanya melingas ke sana ke mari. Lantas, bola matanya terpaku pada susuk tubuh seseorang yang berdiri tegap betul-betul di hadapannya. Matanya terbuntang apabila mata lelaki itu merenung tajam kepadanya. Malahan, diratah tubuh Khayla Zahra dengan mata galaknya itu. Cis, kurang ajar!
“Hei, kau siapa ha?!” Pekikan Khayla Zahra bergema di segenap rumah tersebut. Lelaki itu cuma tersenyum kambing dan memandangnya dengan rakus.
“Aku nak kau!” jerit lelaki itu pula.
Khayla Zahra menjadi berang. Lantas, bungkusan makanan dicampak ke lantai.
“Berani, kau ya? Kau rupa-rupanya yang bertanyakan aku kepada mak cik?!” Khayla Zahra turut menjerit. Hangat betul dia dengan keadaan ini.
“Hah!” Lelaki itu seakan-akan terkejut pula.
Ah, lantaklah! bentak Khayla Zahra dalam hati.
Khayla Zahra tidak kira, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata badan binasa. Walaupun dia mati, namun maruah diri harus dijaga. Khayla Zahra memasang kuda-kuda untuk bersedia jika terdapat sebarang kejadian yang tidak disangkakannya.
“Sekarang kau nak apa?” tanya Khayla Zahra dengan berani. Riak wajah bimbang harus dia lindungi. Jika tidak, perogol bersiri ini akan ketahuan yang dia ketika itu cuak gila.
“Aku nak kaulah. Sebab, dari tingkap tadi, aku tengok kau ni cantik.”
“Ooo, bila cantik, kau ada niat jahat dengan akulah, ya?”
“Yalah, siapa suruh kau cantik?”
“Oi, jantan tak guna. Itu Tuhan punya kuasalah!” Kegeraman Khayla Zahra sudah berada tahap ‘cipan’. Darahnya menyerbu naik ke muka. Jantan ni tak harus dibagi muka.
Ilai tawa oleh suara garau itu tidak mampu menakut-nakutkan Khayla Zahra, seorang gadis besi. Apabila gelak bagai harimau mengaum tidak mampu menggoyahkan hati gadis itu, lelaki Cina itu terdiam sejenak. Dia menggaru dagu yang sedikit berbulu sambil berfikir, bagaimana mahu dipatahkan langkah gadis ini?
“Ha, gelak... gelak!” sindir Khayla Zahra sambil memacu penumbuknya.
“Kuat sangat ke penumbuk kau tu?”
“La, meh dekat sikit. Nak rasa meh la cuba dulu,” ujar Khayla Zahra.
“Eleh, bikin gempak saja.”
Lelaki itu terus menghampiri Khayla Zahra. Dia ingin merasai akan kemanisan tubuh Khayla Zahra. Setelah melihat akan kejelitaan wajah gadis Melayu ini, dia mahu merasainya. Sudah begitu lama dia menginginkan tubuh gadis-gadis manis seperti ini. Batang hidung dicuit-cuit berulang kali supaya memberi kekuatan kepadanya. Selalunya dia akan melanggan kupu-kupu malam. Bidadari malam yang akan menghanyutkan gelora batinnya. Kali ini, dia bertuah kerana seorang gadis manis akan jatuh ke tangannya. Maklumlah, gadis itu sangat cantik dan indah dipandang mata.
Dengan tangkas lelaki itu mencapai rambut Khayla Zahra. Lengan gadis itu pula dikunci akan pergerakannya. Jadi, Khayla Zahra tidak mampu berbuat apa-apa. Pergerakannya telah dikunci dengan ketat. Kuda-kudanya hampir tumpas di tangan lelaki itu. Terkebil-kebil mata Khayla Zahra merenung kosong pada wajah lelaki Cina yang berjambang halus itu.
“Tadi, kau cabar aku, kan? Nah, sekarang siapa yang menang?”
“Jj... janganlah, aku ni bini orang.” Dia cuba berdalih.
“Ah, aku tak peduli! Yang penting aku dapat rasa,” jawab lelaki itu.
“Tt... tak baik buat aku macam ni. Cuba kau bayangkan orang lain buat macam ni, kat kakak ke, adik, ataupun emak kau. Apa kau rasa?”
“Lantak akulah. Apa aku kesah?!” bentak lelaki itu sambil mencekak rambut Khayla Zahra dengan kasar.
“Hoi, sakitlah bodoh!” tengking Khayla Zahra setelah rambutnya direntap dengan kuat. Rasa mahu tercabut kulit kepalanya.
Tubuh Khayla Zahra dicampak ke atas tilam. Tubuhnya yang begitu ringan memudahkan lelaki itu. Tanpa perlu bersusah payah lagi.
Sementara itu, Khayla Zahra segera berganjak ke tepi dinding. Dia ketakutan teramat sangat. Namun, dia tidak mahu ketakutan menguasai mindanya. Dia harus kuat! Setelah lelaki itu terlalu hampir dengannya, Khayla Zahra menendang-nendang dengan kedua-dua belah kakinya ke arah lelaki Cina itu. Pergerakan lelaki Melayu itu terhenti sejenak. Dia mencari akal. Nafsunya telah menguasai seluruh ruang minda.
“Jj... jangan rapat!” Jeritan Khayla Zahra bergema di segenap ruang bilik tersebut.
Pantas sahaja tangan lelaki itu menekup mulut Khayla Zahra. Jika tidak, seluruh penghuni rumah kedai ini akan ketahuan pula. Hesy!
Setelah berhempas-pulas, lelaki itu berjaya menguasai tubuh Khayla Zahra. Dia sudah bertenggek di atas tubuh Khayla Zahra. Air mata Khayla Zahra segera mengalir kerana dia hampir tumpas di tangan lelaki ini. Dia cuba menggunakan segala tenaga yang ada. Khayla Zahra berusaha mengangkat sebelah kaki dan dia menendang di bahagian sensitif lelaki itu. Duss! Tepat mengenai...
Ouch! Ss... sakitnya!” jerit lelaki itu sambil meleraikan dakapan pada tubuh Khayla Zahra. Tubuhnya mengerekot di atas tilam. Sakitnya bukan kepalang lagi, tidak terperi dan air mata jantannya mengalir di pipi.
“Huh, padan muka!” ejek Khayla Zahra sambil meloncat menuruni katil. Tanpa berlengah lagi, dia segera berlari-lari anak menuju ke pintu utama.
Kasutnya yang tercampak entah ke mana, dipungut dan dia berkaki ayam keluar dari rumah puaka itu. Pintu rumah itu dibiarkan ternganga, biar semua penghuni tahu yang rumah puaka itu terdapat seekor naga yang sedang mengganas. Khayla Zahra menyarung kasutnya sambil berlari menuruni tangga dengan laju. Dia tidak menoleh sekali pun walaupun dia mahu berbuat seperti itu.
Tanpa sengaja, dia terlanggar seseorang. Tubuh Khayla Zahra yang lemah terdorong ke tepi, nyaris lagi tubuhnya terpelanting di anak tangga. Mak ai, tinggi tu!
“Hoi, buta ke?” jerit Khayla Zahra tanpa memandang wajah gerangan yang melanggarnya sebentar tadi. Berang benar dia, dahlah baru menyelamatkan diri dari lubang puaka. Tubuhnya longlai. Dia terasa ingin rebah di situ juga. Tekaknya mula mual.
“Hei, awak tu yang buta!” jawab lelaki itu pula.
“Awak buta, awak buta!” Pantas sahaja Khayla Zahra menjawab, biar hatinya yang sakit menjadi lega. Matanya terpejam celik tanpa berniat mahu melihat empunya suara tersebut. Lebih baik tak payah tengok, kalau tengok menyakitkan hati. Hatinya berdolak-dalik.
“Hoi, hoi... Cakap tu baik-baik sikit!” bentak lelaki itu sekali lagi.
Khayla Zahra mengetap bibir. Anak tekaknya terasa dijolok-jolok dengan jari.
Uwek!” Namun, matanya dipejam rapat. Tubuhnya seperti melayang-layang ke udara. Pandangannya bertambah gelap. Dia hampir pitam. Kepalanya tiba-tiba pening, otaknya sendat dan nafasnya sesak. Dadanya terasa sempit. Jantungnya berdebar-debar.
“Oh, ss... sakitnya... pp... pening...” katanya dengan suara terketar-ketar.
Lantas saja dia menghempas punggung di anak tangga. Lelaki Cina itu segera berundur, dia cuba melihat gadis itu. Dari pandangan matanya, keadaan gadis itu tidak stabil. Dia ingin memberi bantuan dengan segera. Setelah hampir, dia memaut kedua-dua belah bahu gadis itu.
Khayla Zahra terkejut dan menjerit. Tapak tangan lelaki itu segera menekup bibir Khayla Zahra. Mata bundar itu hanya terkebil-kebil memandang lelaki itu. Ini... ini, lelaki yang... Dia terlupa sejenak. Oh, ketika ini pula otaknya kena bekerja keras untuk berfikir. Hesy!
Weizhe pula terkejut teramat sangat. Kerana gadis yang ditunggu telah menjelma di depan matanya. Sekali lagi, Tuhan mempertemukan dia dengan gadis ini. Ah, dia sungguh bertuah dengan penemuan kali kedua ini. Secara tidak sengaja pula tu, getusnya sambil tersengih bagai kerang busuk.
“Kenapa ni?” soalnya sambil menampung tubuh kurus gadis itu agar tidak rebah di tangga. Khayla Zahra pening-pening lalat seakan-akan orang mabuk todi pula. Dia tidak menjawab soalan lelaki Cina itu, dia trauma dengan lelaki.
Dia cuba menepis sekuat hatinya, namun kudratnya sebagai gadis ternyata lemah. Kepalanya digeleng-geleng entah berapa kali. Namun, peningnya tetap tidak hilang. Pantas diketuk-ketuk kepalanya dengan tangan. Juga tidak berkurangan. Malah, bertambah berat pula kepalanya itu.
“Aaa... aduh!” Rengekan Khayla Zahra memberi kesan kepada Weizhe. Bahu Khayla Zahra dipaut dengan erat. Tubuh gadis itu semakin lemah. Weizhe segera memandang di sekitarnya, tiada seorang manusia pun yang lalu di tempat mereka tersadai ini. Mata Khayla Zahra terpejam dan akhirnya terlentok di paha Weizhe.
“Hesy, macam mana ni?” soal Weizhe kepada diri sendiri.
“Ah, tak boleh tunggu lama ni. Kalau orang nampak tak baik duduk di sini berdua-duaan macam ni,” katanya lagi. Ya tak ya, dia berdiri sambil mengendong tubuh kurus gadis itu. Dia menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Dia bimbang jika dia terjatuh dengan anak dara ini sekali. Huh! Namun, batang tubuh yang kurus itu memudahkannya untuk mengendong.
Dia berfikir apa tindakan selanjutnya yang harus dilakukannya.
Sebaik sampai di anak tangga paling akhir, Weizhe menekan alat penggera. Setelah membuka pintu kereta di sebelah tempat pemandu, dia menyandarkan tubuh gadis itu di situ dengan merebahkan tempat duduk agar gadis tadi dapat duduk dengan selesa. Weizhe pula ke tempat pemandu dan bersedia menghidupkan enjin kereta. Pantas sahaja kereta sport miliknya memecah kesunyian pekan kecil tersebut. Nasib baik dia ke sini untuk mengutip sewa rumah miliknya. Jika tidak, aniaya budak ni.

MAKIN lama ditenung, makin bertambah bergelora pula dia. Sejak sampai di sini, gadis itu belum sedarkan diri lagi. Malahan, tubuh gadis itu kaku di katil miliknya. Weizhe cuma mengenyah sesuatu yang tersirat di benak akal. Oh, tidak-tidak! Kepalanya digeleng-geleng laju.
“Tuan muda, dah sedar ke dia?” tanya Mak Mah sebaik menghampiri katil. Sebesen kecil air buat merenjis-renjis wajah gadis itu diletak di atas meja.
“Belum lagi, Mak Mah,” jawab Weizhe sambil berganjak sedikit, memberi ruang kepada Mak Mah, pengasuhnya yang baik hati.
Mak Mah pula memerah tuala dan dilap pada wajah gadis itu perlahan-lahan.
Erm... Siapa dia ni, Wei?” soal Mak Mah sambil mengusap-usap seluruh wajah gadis itu dengan menggunakan tuala basah.
Soalan daripada Mak Mah tidak dijawab oleh Weizhe. Dia cuma menyeringai sahaja.
“Siapa pun dia, kita kena tolong orang dalam kesusahan, kan Mak Mah?”
“Ya, Wei. Tapi, Mak Mah suka dengan gadis ini.”
Dahi Weizhe berkerut seribu, pandangannya tajam menujah pada wajah pengasuhnya. Bibir Mak Mah menyungging suka. Baru pertama kali bertemu, Mak Mah sudah menyatakan suka, fikir Weizhe sambil menggaru dagu, pelik.
“Suka? Manis dan cantik sekali,” jelas Mak Mah.
Kepala Weizhe digeleng-geleng dengan ligat.
Pujian daripada Mak Mah ternyata benar.
Sememangnya wajah gadis ini sangat tulus dan begitu kudus. Sementelah itu, hatinya mula terpaut dengan gadis manis ini. Jika mampu dia ingin menjadikan gadis ini sebagai suri hidupnya. Mahukan gadis itu jika dia menyatakan hasrat suci terhadapnya. Aduh! Weizhe mengeluh berat. Apakah gadis ini akan menerimanya? Sedangkan dia daripada berlainan agama? Menyatakan cinta sangat mudah. Melaksanakan cinta biar terjalin mekar agar tidak musnah teramat payah.
“Mengeluh aje dari tadi, kenapa?” soal Mak Mah sambil menjeling ke arah Weizhe. Anak muda itu cuma menyeringai saja.
“Tak ada apa-apa, Mak Mah.”
“Wei, sukakan dia, eh?”
Weizhe tersengih bagai kerang busuk. Mak Mah tidak perlu menyoal lagi kerana sengihan daripada anak muda itulah jawapannya. Kepala Mak Mah diangguk-angguk perlahan. Dia turut berkenan melihat wajah bercahaya gadis manis ini. Kalau dia mempunyai anak lelaki, pasti akan dijodohkan dengan gadis manis ini.
“Wei, tak pergi pejabat ke?” Soalan Mak Mah memecah kesunyian.
Weizhe segera menoleh kepada pengasuhnya sambil menggeleng perlahan.
“Sebab, nak teman dia, eh?” tanya Mak Mah lagi. Mak Mah sengaja menguji perasaan anak muda itu. Weizhe tersenyum lebar.
“Hesy... Mak Mah ni!” Wajah Weizhe berubah warna. Tulang pipinya menaik dan berwarna kemerahan. Kedua-dua belah cuping telinganya juga kelihatan merah. Mak Mah cuma tersengih saja apabila melihat tingkah tuan mudanya yang malu-malu itu.
“Nak malu pula. Kalau suka, katakan suka. Tidaklah hamba ternanti-nanti,” jawab Mak Mah sambil bernyanyi girang. Dia suka jika tuan mudanya meminati gadis Melayu. Mungkin seruan daripada Allah S.W.T yang berkehendak begitu jadinya. Siapa tahu, kan?
“Susahlah, Mak Mah...”
“Nak susah apanya, gadis Melayu paling senang, tak banyak kerenah tau.”
Bulat mata Weizhe merenung tepat pada wajah Mak Mah. Anggukan daripada pengasuhnya itu cukup meyakinkan hatinya.
“Nak ke dia dengan Wei ni, Mak Mah?”
“Hei, kenapa tak? Wei, pemuda yang kuat bekerja, rajin, murah hati, dan paling kaya kat Malaysia ni.”
Weizhe terdiam sejenak, kepalanya menunduk sahaja. Mungkin Mak Mah hidup lama dengannya, sebab itulah Mak Mah memujinya setinggi langit.
“Betul kata-kata Mak Mah ni. Paling utama, hati Wei itu bersih. Tak busuk,” sambung Mak Mah lagi. Segala pujian hanya untuk Allah, tetapi sebagai pengasuh tuan mudanya, Mak Mah begitu kenal hati luhur Weizhe.
Weizhe tergelak kecil. Mak Mah cuma tersengih-sengih melihat telatah anak muda yang baru belajar bercinta itu. Lucu sangat, lagi pula Mak Mah pernah melalui saat indah seperti ini. Tetapi, itu dahulu kala.
“Pandai aje Mak Mah ni,” tukas Weizhe berserta tawa masih bersisa.
“Mak Mah memang pandai, kalau tak pandai mana boleh jadi pengasuh tuan muda,” ujar Mak Mah berwajah selamba.
Weizhe menggaru kepala. Lama betul budak ni pengsan?
“Yalah, Mak Mah pandai. Wei nak ke dapur kejap, nak renehkan sup ayam buat budak ni.” Weizhe bangkit dan ingin berlalu dari situ. Namun, Mak Mah sempat mencapai lengan Weizhe.
Erm... Tak payahlah, biar Mak Mah aje buat. Tuan muda jaga aje budak ni.” Dia menolak mentah-mentah akan bantuan daripada Weizhe buat gadis yang terlantar kaku di atas katil tuan mudanya itu. Istilah budak itu, kerana gadis itu tidak bernama. Mereka belum mengetahui akan nama gadis tersebut kerana gadis itu sudah pengsan apabila dibawa oleh tuan mudanya. Mak Mah segera melangkah menuju ke dapur. Weizhe duduk semula di birai katil sambil merenung wajah gadis itu.
Memang benar akan kata-kata Mak Mah sebentar tadi. Wajah mulus gadis itu telah menawan jiwa mudanya. Dia yakinkan dirinya agar tidak kecewa jika gadis ini menolak hasrat hatinya nanti. Dia harus kuat kelak. Weizhe memanggung wajah dengan kedua-dua belah tangan sambil mata nakalnya menerjah pada seluruh tubuh gadis tersebut.
Weizhe menggosok-gosok pangkal tengkuk yang lenguh kerana akhir-akhir ini dia agak sibuk dan dia sedang bertungkus lumus membuka sebuah lagi cawangan baharu di tempat lain. Agak jauh dari sini. Mungkin dia akan menaikkan taraf hidup Ah Tiong supaya menjadi pengerusi di cawangan tersebut. Bibirnya mengukir senyuman sambil terangguk-angguk. Dia memetik jari. Tiada orang lain yang boleh dipercayai selain daripada sepupunya, Ah Tiong.

No comments:

Post a Comment