Bab 1
SUASANA ruang tamu mewah Tengku Shah Putra sudah mula dipenuhi saudara-mara serta tok
kadi ketika mereka sedang mencari tempat masing-masing untuk turut serta menyaksikan majlis akad nikah yang akan bermula sebentar lagi. Kemudian mata memandang ke arah anaknya, Tengku Hadif yang sudah duduk bersila di hadapan tok kadi. Bersedia untuk akad nikah. Cuma menunggu pengantin perempuan saja memunculkan diri.
Baju Melayu putih satin milik abangnya, Tengku Zarif yang tersarung di tubuh direnung. Keluhan perlahan dilepaskan. Kenapa semua ini boleh berlaku kepadanya? Kenapa dia tak membantah saja permintaan yang entah apaapa ni?
Bila mukanya diangkat, mata tua tok abah sedang memerhatikannya. Bibir tua itu kemudian mengorak senyuman segaris dan kepala dianggukkan, bagai mengatakan ‘segalanya akan baik-baik saja’. Dia menghela nafas lagi. Apa yang dia buat sekarang ini adalah sebab datuknya itu. Kalau Ayah Ku yang suruh, memang tidaklah dia nak ikut.
“Tok abah tak pernah meminta apa-apa dari cucu tok abah ni. Cuma kali ini aje, Hadif. Tok abah minta tangan Hadif untuk menikahi Nurul Ain. Tok abah tahu tentu Hadif rasa marah dan tak suka dengan cara tok abah dan Ayah Ku. Tapi cuma cara ini aje yang boleh selamatkan maruah Ain.”
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata tok abah di telinganya sejak tadi. Dia juga masih tidak lupa bila Ayah Ku menghubunginya semalam dan menyuruhnya segera pulang. Sangkanya tok abah tidak sihat. Lalu, tanpa bertanya apa masalahnya, dia segera membeli tiket bas dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Malas nak memandu jauh. Badannya penat sangat.
Tapi sampai saja dia memasakkan kaki di hadapan pintu pagar, dia lihat tok abah masih boleh menyiram pokok dan mengarahkan Pak Kudin membersihkan halaman rumah serta menyusun pasu bunga. Pelik sungguh dia.
Bila tok abah ternampak saja dia, segera tubuh tua yang berjalan dengan menggunakan tongkat itu mendekati lalu memeluknya erat. Ya. Dia juga rindu sangat pada datuk sebelah arwah mamanya ini. Sayang tok abah kepada Tengku Hadif lebih daripada Tengku Zarif dan menantunya sendiri, Tengku Shah Putra. Anak ini memang nakal dan liar dulu. Tapi dengan tok abah, Tengku Hadif selalu mendengar katakatanya.
“Tok abah bukan nak paksa Hadif terima Ain. Tapi tok abah rasa ini saja pilihan yang kami ada. Tolong jangan salahkan Ain dalam hal ni, Hadif. Dia tak salah apa-apa pun. Tok abah harap kamu terimalah dia sebagai isteri kamu. Walaupun sepatutnya Zarif yang jadi suami dia. Tapi abang kamu tu dah melarikan diri. Tok abah cuma nak Hadif gantikan Zarif. Entah ke mana dia pergi, kami pun tak tahu. Dia cuma tinggalkan nota aje. Dia cakap dia tak ada hati nak nikah dengan Ain. Yang kami marah sangat, kenapa sebelum ni dia langsung tak membantah bila kami nak jodohkan dia dengan Ain?” tanya tok abah, seolah-olah bertanya pada diri sendiri.
Panjang lebar tok abah dan Ayah Ku menjelaskan kedudukan sebenar semalam. Tengku Hadif menghela nafas. Bukan dia tak mahu menggantikan tempat Tengku Zarif. Tapi mampukah dia? Bolehkah dia meletakkan dirinya sebagai suami Ain, adik sepupunya itu? Dia yang sudah dihalau oleh Ayah Ku sebab perangai mengalahkan ketua ahli kongsi gelap!
Empat tahun dirinya tercampak jauh dari kehidupan mewahnya. Kesenangan yang dulu dinikmati sudah jauh ditinggalkan. Tidak ada kereta mewah, rumah besar atau kad kredit yang berkeping-keping itu. Semuanya sudah ditarik Ayah Ku. Gara-gara dia hampir menikam seorang lelaki yang berketurunan Tengku juga di dalam sebuah kelab malam. Hanya disebabkan seorang perempuan? GRO pulak tu!
Wajah tua tok abah dipandang lagi. Hati tiba-tiba terasa sayu. Entah bila dia merasakan perasaan begini, dia tidak tahu. Dia bukan macam ni dulu. Dia, Tengku Hadif Shah, tak suka mengikut perintah orang. Dia lebih suka ikut kepala sendiri dan buat hal sendiri. Ke mana perginya Tengku Hadif yang berhati kering itu?
Bunyi suara-suara di belakangnya buat dia mengangkat muka sedikit dan menoleh. Mata sudah terpandangkan kelibat seorang gadis menuruni tangga bersama mak sunya atau bakal emak mentuanya sebentar lagi. Pertama kali matanya memandang wajah Ain, otaknya terus mengatakan, ‘lawa jugak budak ni bila dah besar!’
Nurul Ain, anak perempuan mak sunya. Kalau nak diikutkan mereka berdua bukanlah sepupu sangat pun. Mak sunya itu adalah anak angkat tok abah. Tok abah tak punya ramai anak. Cuma mamanya itu sajalah satu-satunya anak tok abah. Kemudian tok manya mahukan seorang anak lagi sebab dengarnya, tok ma tak boleh mengandung lagi.
Jadi, tok abah mengambil seorang anak angkat dari sebuah keluarga yang susah. Tok abah dan tok ma menjaga mak su macam anak sendiri. Apa yang mamanya ada, mak sunya pun mesti ada. Sama rata. Tak ada pilih kasih. Tok ma pun sayang sangat dengan mak su sebab mak su pandai jaga hati tok ma hinggalah tok ma sakit dan kemudian meninggal dunia.
Mata dijeling lagi ke arah Ain. Gadis itu hanya menundukkan muka sejak tadi. Nak jugak dia tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis itu saat ini. Dulu masa kecil dia memang rapat dengan Ain. Kawan sepermainan dan selalu kena buli dengan dia dan Hadri, abang Ain. Kesian budak tu. Asyik menangis aje.
Tapi bila semakin dewasa, jarak dan waktu mula merubah kelakuan masing-masing. Dia buat hal sendiri dan mula berkawan dengan budak-budak yang sama kaya macam dia. Mentelah pula Ain sudah duduk di asrama dan Hadri pula belajar hingga ke luar negara. Dia dengan Tengku Zarif pula memang tak rapat. Kalau jumpa ada aje bahan nak cari gaduh hingga Ayah Ku pun pening kepala.
“Dah boleh mulakan?” Pertanyaan tok kadi yang duduk di hadapannya buat dia mengangkat kepala sedikit. Tengku Shah Putra dan yang lain semuanya mengangguk.
“Baiklah. Kalau semuanya dah bersedia, kita mulakanlah ya...” kata tok kadi lagi seraya tersenyum memandang Tengku Hadif. Tiada balasan daripada pihak dia. Cuma mata saja tunak memandang wajah tua tok kadi itu.
Kala akad nikah dilafazkan dengan tenang, maka terpatrilah kisah di antara Tengku Hadif dan Nurul Ain sebagai suami isteri. Dengan muka tanpa senyuman, tangan Ain diraih dan cincin perkahwinan disarungkan ke jari isterinya. Bulat saja mata itu memandangnya. Tak ada masa nak berbasa-basi dengan Ain. Upacara membatalkan air sembahyang pun tak ada. Tak ada kiss-kiss kat dahi atau apa. Dah sentuh jari Ain pun dah kira okeylah tu. Kemudian jarinya pula disarungkan dengan cincin oleh Ain. Cincin Tengku Zarif!
Walaupun dia tak suka dengan title suami ni, tapi itulah. Hendak tak hendak kena jugalah dia turutkan. Lagi pula bila Ayah Ku sudah berjanji dengan dia. Kalau dia sanggup menikahi Ain, Ayah Ku akan menyalurkan wang untuk meluaskan lagi ladang ternakannya. Kalau itu perjanjiannya, dia sedia menikahi Ain tanpa kompromi lagi.
Macam kisah drama dalam TV aje. Macam kena kahwin paksa pun ada. Hati dan perasaannya memang tak suka langsung dengan apa yang terjadi sekarang ni. Dia merasakan dirinya terikat dengan perempuan bernama Nurul Ain binti Shamsul Bahari ni.
Tanggungjawab suami pun dia tak tahu kecuali
yang ‘satu’ itu. Tapi fikir balik, takkan dia terus nak tunaikan tanggungjawab yang ‘satu’ itu tanpa mengenali Ain? Dia pun kenalah fikir dan hormati perasaan Ain yang sudah berganti suami itu. Entah apa yang budak tu fikirkan tentang dia, dia tak ingin tahu. Dia pun tak peduli kut. Bukan dia yang hendak sangat berkahwin.
Dia bukan lelaki yang mengambil kesempatan pada orang perempuan. Lebih-lebih lagi Ain. Sepupunya yang masih mentah itu. Dengarnya baru sembilan belas tahun usianya. Dia pun dah tak ingat. Mana nak ingat. Bila dah besar masing-masing buat hal sendiri.
Wajah Ain yang menunduk itu direnung lagi. Otaknya kosong dan tak tahu apa yang hendak dikatakan tentang bakal isterinya ini. Dia rasakan Ain ni macam orang asing yang baru dikenali. Dia tak harap Ain akan menganggap dia sebagai suami sebab dia sendiri tak tahu sama ada dia boleh jadi suami yang bertanggungjawab kepada Ain atau tidak.
Dia hanya mahu hidup tenang dan menguruskan halnya sendiri tanpa sibuk nak fikirkan apa yang akan terjadi kepada dia dan Ain di kemudian hari nanti. Bukan sekarang. Sekarang banyak perkara yang perlu difikirkan.
Usai saja majlis akad nikah itu, tanpa berlengah lagi dia terus masuk ke bilik. Wajah Ayah Ku langsung dia tak pandang. Hati masih berdendam dengan lelaki itu sebab menghalau dia keluar dari rumah dulu.
Baru nak menanggalkan baju Melayu yang merimaskannya itu, pintu bilik dibuka dari luar. Dia menoleh dan mata terus memanah ke arah Ain. Mata Ain juga bulat memandangnya. Bibir yang dioles dengan gincu merah jambu itu macam takut-takut nak senyum kepadanya.
Tengku Hadif menyambung semula menanggalkan baju Melayunya. Di hadapan Ain dia membuka baju itu dengan muka bersahaja. Memang tak salah pun. Ainkan dah jadi isteri dia. Terpulanglah kepada Ain nak tengok atau tidak.
“Aku dah nak balik Kuantan sekejap lagi. Kalau kau nak ikut, siap-siaplah,” kata Tengku Hadif, mendatar saja.
Bagai memberi kata dua kepada Ain. Yalah. Ain kan dah jadi isteri dia. Tapi dia tak akan paksa budak itu nak ikut dia atau tidak. Terpulang.
“Huh? Ain ingatkan Abang Hadif nak tidur semalam lagi kat rumah Ayah Ku ni... Errr... Baiklah. Ain kemaskan baju-baju Ain sekarang jugak!” balas Ain bila dah terpandangkan renungan tajam Tengku Hadif itu.
Setelah sekian lama tidak berjumpa, hari ini mereka dipertemukan dan disatukan. Jauh dalam sudut hati, dia bersyukur dengan apa yang terjadi dan berterima kasih kepada abang sepupunya itu kerana sudi mengambil dia sebagai isteri setelah ditinggalkan Tengku Zarif macam itu saja. Dia segan pada Tengku Hadif sebenarnya. Nak ucap terima kasih pun rasa lidahnya tidak mampu nak tuturkan.
Ain menoleh memandang abang sepupu yang sudah lama dia tak berjumpa itu. Tengku Hadif nampak lain dengan apa yang pernah dia ingat dulu. Kulit lelaki ini nampak gelap sedikit dan wajah serta rambut itu juga buat Tengku Hadif macam ahli ketua mafia aje. Nampak kasar dan ganas. Harap-harap suaminya ini bukan lelaki yang suka pukul perempuan. Ain dah pejam mata. Tak sanggup rasanya nak fikir lebih jauh tentang hala tuju hidupnya dengan Tengku Hadif nanti.
Kata Hadri, dia lebih suka kalau Tengku Hadif yang menjadi suami Ain. Bukan Tengku Zarif haprak itu. Mungkin abangnya lebih mengenali Tengku Hadif.
“Dia bukan macam apa yang kau fikirkan, Ain. Memang dia nampak kasar. Cakap pun tak pernah lembut atau bertapis. Tapi itulah Tengku Hadif,” kata abangnya tadi. Adakah ini dikatakan jodoh? Ain tidak tahu. Kalau ini yang Allah tentukan untuk dia, siapa dia nak menolaknya?
Segera dia mendekati beg pakaian yang dibawa ke rumah Ayah Ku ini. Ain merenung baju-baju itu. Mungkin cukup kalau nak dibawa ke Kuantan. Tengku Hadif pun tak memberitahu perancangannya. Nanti dia beritahu mamanya untuk membawa baju-bajunya lagi kalau mamanya datang ke Kuantan.
Gaya kelam-kabut Ain itu diperhatikan. Baju kebaya moden putih bermanik kecil-kecil dan bersulam indah yang tersarung ditubuh kecil molek Ain direnung. Bila Ain menoleh memandangnya, segera dia menyarungkan baju T putih ke tubuhnya.
“Aku tunggu kat luar,” kata Tengku Hadif setelah selesai saja menukar pakaiannya. Beg galasnya dicapai. Kaki terus menapak ke pintu.
“Ab... Abang Hadif!” panggil Ain tiba-tiba. Kepala Tengku Hadif segera menoleh.
“Ain nak mintak tolong kejap!” kata Ain, lembut dan perlahan.
Kening Tengku Hadif berkerut sedikit.
“Ain nak minta abang tolong tanggalkan sepit kat belakang selendang Ain ni. Boleh tak? Kalau tak boleh tak apalah...” Ain sudah menyengih. Perut memang kecut aje tiap kali bertentang mata hitam itu.
Sejak dulu lagi, dia memang takut dengan Tengku Hadif ini. Muka itu jarang nak manis dan bibir itu pun jarang nak senyum. Bukan hanya pada dia. Pada orang lain juga. Tengku Hadif ni tak macam abangnya, Tengku Zarif yang suka senyum itu. Tapi Tengku Zarif jugalah yang telah membatalkan pernikahan ini.
Buat beberapa ketika mata Tengku Hadif memandangnya tak berkelip. Mungkin terkejut dengan permintaan itu agaknya. Tapi bila tubuh tinggi dan tegap itu mula berpaling semula dan menapak ke arahnya, jantungnya pula dah mula berubah rentak.
Tengku Hadif berdiri tegak di hadapan Ain yang sudah menunduk itu. Perlahan tangannya naik dan mula menanggalkan setiap sepit rambut yang ada dirambut gadis itu. Tangan Ain cuma menadah saja menerima beberapa batang sepit yang diletakkan di atas tapak tangannya.
“Terima kasih, Abang Hadif...” ucap Ain perlahan. Mata naik memandang dagu Tengku Hadif yang berjambang halus itu. Dah kat situ aje takat ketinggiannya. Nak buat macam mana?
Tengku Hadif tidak membalas. Matanya saja menyoroti wajah yang mula berona bila ditenung lama. Dia merasakan ada getaran halus pada tangkai jantungnya. Dia menghela nafas perlahan.
“Aku tunggu kat luar. Aku bagi masa sepuluh minit untuk kau bersiap. Lambat, aku tinggalkan aje!” kata Tengku Hadif dengan muka kering.
Dia baru nak berpaling bila tangannya tiba-tiba ditangkap dari belakang. Tengku Hadif menoleh sekali lagi, merenung tepat ke wajah Ain yang segera melepaskan pegangannya itu.
“Errr... Ain... Ain nak ucapkan terima kasih pada Abang Hadif sebab dah selamatkan maruah Ain. Ain... Errr... Terima kasih, Abang Hadif...” Terasa macam nak luruh tangkai jantungnya bila mengatakannya. Bibir bawah dikemam. Otak dah tak tahu nak fikir apa lagi.
Mata lelaki itu nampak macam tersenyum saja merenungnya. Tapi wajah itu tetap kejung, ketat saja.
“Aku tunggu dekat bawah.” Itu saja yang Tengku
Hadif katakan.
Kemudian tanpa menunggu kata-kata balas daripada Ain, dia terus keluar. Pintu bilik ditutup rapat. Tengku Hadif menghela nafas perlahan. Kaki dibawa ke tangga dan turun ke tingkat bawah.
Masih ada lagi rupa-rupanya tetamu di bahagian luar. Di ruang tamu masih ada lagi yang duduk berbual sambil menikmati juadah. Masing-masing dah pandang si pengantin yang sudah bertukar pakaian itu. Tengku Shah Putra juga menoleh kepada si anak yang sudah turun membawa beg galasnya.
“Kamu dah nak balik ke, Hadif?” tanya Tengku Shah Putra, kehairanan memandang si anak.
“Ayak Ku ingatkan kamu nak tinggal dalam beberapa hari lagi kat sini? Tok abah pun tak sempat lagi nak
habiskan masa dengan kamu.”
“Hadif kena balik hari ni, Ayah Ku. Pak Seman sorang-sorang yang uruskan ladang kambing tu. Lagipun, kami banyak kerja nak buat lagi ni. Hadif nak kena siapkan kandang baru sebelum kambing-kambing yang Hadif pesan tu datang minggu depan,” terang Tengku Hadif, memandang ayahnya itu.
Tengku Shah Putra hanya mampu mengangguk. Si anak dah nak balik takkan nak paksa. Lagipun dia tahu sangat dengan perangai Tengku Hadif itu. Cakap apa pun dia tak akan dengar kalau dah buat keputusan.
“Kalau kamu perlukan orang, Ayah Ku boleh carikan. Sempat ke siap kandang tu?” tanya Ayah Ku lagi. Cuba nak berbaik dengan anak bongsunya itu semula. Dia tahu hati Tengku Hadif masih marahkan dia.
“Sempat. Tinggal sikit aje lagi nak buat,” jawab
Tengku Hadif, bersahaja. Tanpa memandang wajah Ayah Kunya. Mata hanya memandang keluar saja.
“Dah beritahu Ain?” tanya tok abah pula, mendekati cucunya itu.
“Dah, tok abah. Dia tengah bersiap tu,” balas Tengku Hadif lagi. Tok abah mengangguk dan memegang lengan kekar cucunya itu.
“Jaga diri kamu dan Ain baik-baik, Hadif. Ada masa... Kalau umur tok abah masih panjang, sampailah tok abah ke sana. Tok abah teringin sangat nak tengok ladang kambing kamu. Tapi...”
“Tok abah datanglah bila ada masa. Nanti Hadif bawa tok abah melawat ladang kambing Hadif tu,” balas Tengku Hadif, perlahan. Tubuh tua itu dipeluk kemas-kemas.
Ain kelam-kabut turun ke tingkat bawah. Tengku Hadif menoleh melihat Ain yang sudah bertukar pakaian itu. Seluar jean dan baju T. Rambut yang bersanggul tadi sudah diikat satu. Muka itu juga sudah bersih dari sebarang solekan.
“Lina! Samsul! Anak-anak dah nak pergi ni!” panggil tok abah, memanggil Puan Maslina dan Encik Samsul yang sedang sibuk melayan para tetamu di bawah kanopi.
Terkocoh-kocoh si anak dan menantunya mendekati. Mereka dah saling berpandangan apabila melihat Ain sudah bertukar pakaiannya. Begitu juga Tengku Hadif.
“Ain dah nak pergi ni, ma. Ain ikut Abang Hadif balik Kuantan. Ada masa nanti mama datang, ya?” Ain terus memeluk mama, papa dan Abang Hadrinya.
Hadri memandang Tengku Hadif. Tubuh tegap itu
dipeluk dan menepuk sekali belakang sepupunya itu. Lelaki ini dulu sangat rapat dengan dia. Tapi mungkin sebab salah pilih kawan, Tengku Hadif mula merenggang dari dia.
“Jaga diri baik-baik. Hadif, tolong mak su tengoktengokkan Ain ya, sayang?” pinta Puan Maslina ketika memandangnya.
Tengku Hadif mengangguk sekali saja. Muka langsung tak senyum sejak datang semalam. Entah suka atau tidak anak itu menikahi anaknya Ain, Puan Maslina tak tahu. Cuma dia berharap sangat Ain tidak disia-siakan oleh Tengku Hadif nanti.