Wednesday, 13 January 2016

CINTA HAN & NAD KARYA JAJA AHMAD

BAB 2



KEADAAN wad Tiga yang tadinya agak huru hara sudah kembali tenang. Ahli keluarga para pesakit yang memenuhi ruang bilik hadapan juga sudah kembali ke katil pesakit masing-masing. Jarum jam menunjukkan tepat pukul dua pagi. Farhan mengeluh perlahan.
            “Doktor Han, okey ke?” Tegur Kak Nor, jururawat senior wad Tiga.
            Farhan senyum. “Okey Kak Nor, penat sikit je.”
            “Kalau doktor nak berehat pergi lah.”
            “Tak apa lah Kak Nor, saya nak siapkan laporan ni kejap.”
            Kak Nor menarik kerusi di sebelah Farhan dan menyambung tugasannya yang tergendala sebentar tadi.
            Tepat pukul dua belas malam tadi tiba-tiba ada pesakit yang ditempatkan di dalam bilik bahagian hadapan meracau. Hampir setengah jam para jururawat cuba meredakan keadaan tetapi tidak berjaya sehinggakan mereka terpaksa meminta bantuan daripada doktor yang oncall pada malam itu iaitu Doktor Farhan.
            “Kak Nor...”
            Kak Nor pandang Farhan di sebelah yang sedang tekun menulis laporan. Suara Doktor farhan ke tadi. “Ada apa doktor?”
            “Kak Nor tak penat ke?”
            Kak Nor senyum, betul lah Doktor farhan yang panggil dia tadi. Haila doktor ni, tengah sibuk buat laporan pun boleh bercakap lagi. Tapi kepala tu tak angkat langsung. Boleh pula dia bercakap sambil menunduk macam tu
 “Tipu lah kalau saya cakap tak penat doktor. Tapi dah tugas saya kan, nak buat macam mana.”
            “Dah berapa hari Kak Nor kerja shift malam?” Soal Farhan lagi. Tangan masih laju mencoret kertas laporan. Mengantuk punya pasal, diajaknya Kak Nor berbual.
            “Masuk hari ni dah tiga hari lah doktor. Esok saya cuti.” Kak Nor senyum lagi. Tak sabar rasanya nak cuti. Shift malam kali ni terlebih penat sikit. Mungkin sebab pesakit minggu ini agak ramai daripada kebiasaan sampaikan terpaksa keluarkan extend bed.
            “Biasanya lepas habis shift malam akak buat apa?”
            “Qada tidur lah doktor, buat apa lagi.” Jawab nurse di hujung kaunter sana sambil tergelak. Nurse yang lain juga turut gelak sama. Selamba je menyampuk perbualan Farhan dan Kak Nor.
            Farhan memandang ke arah yang bersuara sambil tersenyum. Kak Nor dah geleng kepala. Budak-budak ni la, suka ambil kesempatan nak bercakap dengan Doktor Farhan. Tahu la doktor ni jenis yang susah nak diajak berbual. Malam ni entah kenapa terbanyak cakap pula.
            “Suami akak okey tak dengan nature kerja akak yang macam ni?” Farhan menyambung kembali perbualan yang terhenti sebentar tadi.
            “Nak tak nak memang dia kena terima lah. Dah dia pilih nurse sebagai isteri.” kak Nor ketawa di hujung kata.
            “Kenapa doktor tanya macam tu?” Soal Kak Nor pula.
            Pen ditangan diputar gaya helikopter. Suasana di sekeliling dipandang sekilas. Nurse yang seronok bergelak ketawa tadi sudah hilang seorang demi seorang. Ada yang ke tandas, ada yang masuk ke bilik rehat. Kini hanya tinggal Farhan dan kak Nor sahaja.
            “Mommy saya suruh saya kahwin, tapi saya rasa saya belum bersedia.”
            “Kenapa doktor rasa macam tu?”
            Farhan mengeluh perlahan. “Dengan nature kerja saya yang macam ni, saya tak rasa ada yang mampu terima kak.”
            “Jangan cakap macam tu doktor. Cuba tengok doktor-doktor lain yang dah kahwin. Yang kahwin dengan orang yang bukan dari aliran yang sama, bahagia je saya tengok.”
            Farhan diam. Kata-kata Kak Nor ada juga yang betul. Contoh terdekat, Doktor Roslan. Dah hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga dengan cikgu sekolah menengah. Sampai ke hari ni bahagia je hidup mereka.
            “Doktor dah ada calon?” Tiba-tiba Kak Nor bersuara.
            Farhan geleng.
            “Mungkin sebab tu kot doktor rasa macam tu. Kalau dah ada calon nanti doktor boleh la cuba bincang dengan dia pasal perkara ni. Saya rasa dia akan faham.”
            “Mungkin lah kak.”
            “Habis tu kalau dah tak ada calon, mommy doktor nak doktor kahwin dengan siapa?” Tanpa rasa kekok Kak Nor bertanya.
Kalau nak kira, dalam ramai-ramai dengan Kak Nor ni je yang Farhan rasa selesa nak bersembang. Kalau tidak, tak adanya dia bercerita pasal jodoh ni semua dengan Kak Nor.
“Mommy tengah carikan calon.”
“Ouh, doktor okey ye dengan calon pilihan keluarga?”
Farhan senyum. Sebenarnya dia langsung tak okay. Tapi kalau tak nak terima calon pilihan mommy, dia kena bawa balik calon pilihan dia sendiri. Masalahnya, dia mana ada calon pilihan hati. Tiba-tiba seraut wajah yang sentiasa di nanti muncul di fikiran. Awak kat mana sekarang ye?
“Doktor...” Kak Nor melambaikan tangan di hadapan Farhan. “Okey tak ni?”
Farhan senyum. Sempat pula berangan bagai. “Okay kak. Jom lah kita sambung buat laporan ni.”
Pen yang dah tercampak ke tepi tadi diambil kembali dan laju tangannya mencatat di atas kertas laporan. Kak Nor di sebelah masih merenung Farhan dengan wajah pelik. Macam-macam lah doktor ni. Tadi cakap tak ada calon, tapi muka macam orang tengah angau je. Apa-apa saja lah doktor...

SAMPAI saja di rumah memang katil dengan bantal je yang dia nampak. Farhan melangkah perlahan ke arah anak tangga. Nak menapak ke atas pun dah tak larat ni. Macam mana?
            On call yang paling memenatkan dalam sejarah. Belum sempat siapkan laporan dah ada kes baru masuk. Satu kes kemalangan dan satu lagi kes pendarahan usus. Tak menang tangan dibuatnya. Nasib baik ada houseman yang membantu, kalau tak memang pengsan.
            “Along...” Puan Maria yang baru keluar dari dapur memanggil.
            Kaki yang baru nak jejak anak tangga kedua diundur kembali. “Ye mom...”
            “Mommy nak cakap kejap boleh?”
            “Pasal apa mom?”
            “Pasal calon untuk Along.” jawab Puan Maria berterus terang.
            Farhan mengeluh perlahan. “Later mom, along penat sangat.” Mommy tak perasan ke mata along ni sikit lagi nak tertutup. Bisik hati Farhan.
            “Sekejap je Along, mommy nak bagi nombor telefon Seri ni.” Sekeping kad dihulurkan ke arah Farhan.
            Huluran Puan Maria disambut. Mata menjeling sekilas, Seri Khairani Anuar. Cantik nama.
            “Anak siapa mom?”
            “Anak Auntie Nora.”
            Dah agak, anak kenalan mommy juga. Haish, perlu ke semua ni. Kenapa hati macam tak rela je.
            “Mom, kalau Along tak nak boleh tak?” Langkah kaki melangkah ke arah ruang tamu. Rasa mengantuk sudah hilang ke mana. Yang ada rasa serabut je.
            “Kenapa tak nak pula?” Puan Maria mengikut langkah kaki anaknya.
            Farhan diam. Duduk dilabuhkan di sofa berangkai tiga dan kepala disandarkan perlahan. Penat. Puan Maria yang duduk di sebelah tidak dipedulikan.
            “Mar, anak baru balik kerja kan. Penat pun tak habis lagi. Bincang lain kali je lah.” Tuan Umar yang sedang berdiri di anak tangga paling bawah bersuara.
            Farhan angkat kepala. “Tak kerja daddy?”
            “Tak, rasa tak sedap badan pula hari ni.” Jawab Tuan Umar sambil melangkah ke arah anak dan isteri.
            “Along pergi la naik berehat, dah letih sangat dah daddy tengok.”
            “Tapi bang...”
            “Next time Mar. Sejak bila jadi tak bertimbang rasa macam ni?” Tuan Umar bersuara tegas. Puan Maria pula hanya menunduk.
            “Along naik dulu daddy, mommy.” Tuan Umar angguk. Puan Maria hanya memandang langkah longlai anak sulungnya itu.
            “Daddy, dah makan ubat?”
            “Dah Along, tak payah risau. Pergi berehat dekat atas sana.”
            Farhan meneruskan langkah. Nasib baik ada daddy, kalau tak harus dia tertidur kat sofa tu je tadi. Mommy nak cakap apa pun dia tak kisah dah.
            “Kenapa yang kalut sangat ni Mar?” Soal Tuan Umar perlahan. Dari tadi dia perhatikan anak dan isternya. Kesian si anak, nak duduk pun tak sempat. Si isteri ni pula, semua tak menyempat.
            “Abang, Nora cakap Seri dah ada pilihan hati dia sendiri.” Puan Maria mula cemas kembali.
            “Habis tu yang nak kenalkan dia dengan Along tu kenapa?”
            “Mar dah berkenan sangat dengan Seri tu abang. Baik budak nya. Belajar pun tinggi, sesuai sangat lah dengan anak kita  abang.”
            Tuan Umar geleng kepala. Sungguh lah dia tak faham dengan pemikiran orang perempuan. Suka menyulitkan perkara yang senang. Kenapa nak sesak kan fikiran dengan perkara remeh macam ni.
            “Mar, kalau dah Seri ada pilihan hati sendiri biar kan saja lah. Tak payah nak satukan dia dengan along ke apa. Biar budak tu bahagia dengan pilihan dia. Along pun mesti dah ada pilihan hati dia sendiri.”
            “Tak, Along tak ada sesiapa pun lagi.”
            “Kalau pun Along tak ada calon, kita tak boleh paksa dia untuk terima Seri.”
            Puan Maria mengeluh perlahan. Wajahnya sudah berubah muram. Abang tak faham...
            Tuan Umar merenung wajah suram isterinya. Macam ada sesuatu yang tak kena saja dengan isterinya ini. Tak pernah-pernah nampak terdesak macam ni.
            “Jangan cakap yang Nora paksa awak untuk kenalkan Along dengan Seri pula.”
            Wajah Puan Maria berubah lagi. Nampak terkejut dengan kata-kata suaminya. Tuan Umar mengeluh perlahan. Entah apa la yang dirancangkan oleh kawan isterinya itu.
            “Macam mana abang tahu?”
            “Perempuan. Kami yang lelaki ni kena berfikir di luar kotak kalau hal melibatkan kaum perempuan. Kenapa Nora nak awak buat macam tu?”
            “Sebenarnya Nora tak berkenan dengan pilihan hati Seri.”
            “Kenapa?”
            “Sebab kekasih Seri tu kerja dekat Dubai sekarang. Jadi, kalau mereka kahwin Seri akan ikut suami dia ke Dubai. Nora tak sanggup nak lepaskan anak dia pergi jauh abang.”
            “Jadi, dia mintak Along jadi pengganti. Nanti Seri boleh la berkepit dengan dia je. Macam tu?”
            Puan Maria angguk.
            “Lame excuses Mar... so lame. Dah, mulai hari ni abang nak awak batalkan saja niat untuk satukan Along dengan Seri. Jangan dibebankan lagi Si Along tu dengan masalah remeh macam ni.”
            “Masalah remeh abang cakap?”
            “Yes Mar. Soal nikah kahwin biar anak kita tentukan sendiri. Cukup lah Angah tu je yang kita pilihkan jodoh dia. Tengok sekarang apa yang jadi. Makan pakai terabai, yang isteri dia tahu nak melawa je.”
            Puan Maria tertunduk. Amri Shah, anak kedua mereka yang sangat patuh. Terima saja bila dijodohkan dengan anak kenalan mereka, Lisa. Siapa tahu yang hidup anaknya itu tidak seindah yang di impikan. Makan pakai Amri langsung Lisa tak peduli. Nak ikut balik ke rumah mereka jarang sekali. Bila disuruh berpisah, Amri tak nak. Sayang katanya. Walaupun diri sendiri merana dia tak kisah, asalkan orang tersayang sentiasa di sisi. Lagi pula dia risau hubungan antara kedua keluarga berantakan pula jika mereka berpisah nanti. Sampai macam tu sekali anaknya menjaga hati dan perasaan mereka.
            “Tapi umur Along dah masuk tiga puluh tiga tahun abang. Dah sesuai sangat untuk beristeri. Kalau kahwin lambat nanti bilanya nak menimang cahaya mata sendiri.”
            “Ya Allah Mar, kenapa sampai macam tu sekali awak fikir. Jodoh pertemuan, ajal maut rezeki semua tu kan di tangan tuhan. Dia yang tentukan segalanya. Kita hanya mampu berdoa dan berusaha.”
            “Ini lah yang Mar sedang lakukan abang, berusaha.”
            “Tapi kalau sampai melukakan hati orang lain lebih baik tak payah Mar.” Tuan Umar bingkas bangun untuk ke tingkat atas.
            “Sampai hati abang cakap macam tu dekat Mar.” Puan Maria sebak. Suaminya seperti mahu menyalahkan dirinya saja.
            Tuan Umar mengeluh. Bahu Puan Maria digosok perlahan. “Abang tak bermaksud nak sakitkan hati Mar. Jangan lah macam ni.” Tuan Umar memujuk.
            “Mar minta maaf abang.” Air mata mula memberat. Dia sebak memikirkan tentang anak keduanya juga sebenarnya. Rasa bersalah pula dengan angah.
            “Tak ada apa yang perlu abang maafkan. Dah lah jangan nangis, malu anak-anak tengok.”
            Tangan Puan Maria ditarik perlahan untuk ke tingkat atas. Macam tu lah mereka, segala perselisihan faham atau percanggahan pendapat akan diselesaikan dengan segera. Kalau di simpan lama nanti boleh jadi barah dalam perhubungan suami isteri. Resipi keharmonian rumah tangga Tuan Umar suami isteri.



MR HOT GUY KARYA DANISYARAHMAT

BAB 1




Luqman Hakimi memberhentikan Mercedes SLK rona silver betul-betul di depan lampu isyarat yang sudah bertukar warna kepada merah itu. Nasib baik dia tidak tersasar brek mengejut. Kalau tidak, pasti dia mendapat kompaun RM300 kerana melanggar lampu isyarat. Ada 30 saat lagi dia perlu menanti sehingga lampu isyarat itu bertukar semula ke warna hijau.
Pandangan matanya dihala ke arah beberapa orang menyeberangi jalan menggunakan lintasan kuda belang di depannya itu. Dalam ramai orang yang lalu lalang itu matanya tertancap pada gadis comel yang memimpin seorang pejalan kaki memegang tongkat putih. Pasti pejalan kaki itu seorang OKU penglihatan. Hatinya meneka.
Gadis itu melempar senyuman buat semua yang memerhati. Senyuman gadis itu terasa meresap terus ke dasar hatinya. Kemudian, gadis itu pula dengan selamba melambai-lambai kepada semua kereta yang berhenti kala ini. Sesekali terlihat gadis itu seolah-olah bercerita pada lelaki yang dipimpinnya. Penuh gaya dengan mulut yang tak henti bercakap dan tangan digawangkan itu.
Luqman Hakimi terus melihat sehingga gadis itu selamat sampai bersama lelaki yang dipimpinnya hingga ke seberang jalan. Kemudian gadis itu menghala ke arah yang bertentangan pula. Luqman Hakimi masih galak memerhati.
Betapa indahnya dirasakan pagi ini kerana mata melihat sesuatu yang mengasyikkan. Senyuman gadis itu terasa melekat dihati. Dia senyum segaris. Tak mungkin akan ketemu lagi senyuman semanis kurma itu.
Bunyi hon yang membingitkan telinga membuatkan Luqman Hakimi tersedar dari khayalannya. Dia melihat sekilas lampu isyarat yang sudah bertukar warna hijau itu.
Hmm…patutlah bertubi-tubi bunyi hon membingitkan telinganya, rupanya dia mengganggu lalu lintas.
 Semua manusia pagi ini berebut untuk ke tempat kerja termasuk juga dengan dirinya. Tanpa membuang masa dia menekan pedal minyak Merc SLK miliknya membelah jalanraya menuju ke destinasi. Namun senyum masih tidak lekang dibibir apabila wajah gadis tadi bermain-main dimatanya.

AKU masih lagi mengelap beberapa kristal yang berbentuk burung dan hati itu. Shira pula masih sibuk di kaunter melayan pelanggan yang beratur hendak membayar cenderamata yang dibeli. Aku teruskan kerja kerana beberapa kristal kaca ini perlu diletakkan dirak pamer secepat mungkin. Nasib baik pelanggan tidak ramai hari ini. Tak adalah kalut sangat hendak mengelap kristal dan melayan pelanggan lagi. Maklumlah Kedai Cenderamata Heart milik Madam Chia ini tak ramai pekerja. Termasuk aku dan Shira serta anak buah Madam Chia adalah 4 orang.
Nak buat apalagi, terpaksa kerja kuli walau gaji ciput. Sudah banyak permohonan kerja aku minta bersesuaian dengan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia yang kugenggam selepas konvokesyen tahun lepas. Satu pun tak dapat. Tinggal habuk je yang kugenggam kala ini. Hendak balik kampung rasanya tak memadai. Lagi tak ada kerja. Lebih baik aku teruskan misi mencari kerja di Kuala Lumpur ini.
“OMG!”.
Aku terdengar suara wanita melatah. Serentak itu ada barangan kaca yang terhempas. Aku segera menuju ke arah wanita yang sudah tertonggek mengutip serpihan Kristal berbentuk burung 2 ekor itu dilantai.
“Miss…apa yang dah berlaku?”. Soalku ingin tahu.
Serentak,wanita itu pantas berdiri. Dia buat wajah selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku terus menerpa melihat kristal kaca yang bersepai dilantai. Aku kutip serpihan kristal itu lalu aku unjukkan pada dia. Namun wanita berbaju sendat dan tidak cukup kain itu buat muka bodoh je. Aku pula yang rasa nak naik hantu. Tapi bila fikirkan slogan ‘customer always right’  aku maniskan muka. Hendak buat  apalagi.Dia pelanggan.Jadi, kena layan dengan baik walau dah sah-sah dia buat silap.
“Miss!”.
Aku tinggikan suara memanggil wanita itu yang sudah melangkah hendak meninggalkan kedai ini. Ini kalau dia tak bayar siapa nak bayar. Tak akan aku pula?. Tak pasal gaji yang tinggal ciput kena potong lagi. Ini bukan salah aku!.
Dia mengalih postur tubuhnya lalu memandang aku.
“Once broken consider sold”. Aku ucap begitu.
Namun wanita yang berbedak dan make up tebal itu buat muka tak bersalah. Aku pula yang rasa panas hati. Dia tarik muncung pula, dah serupa itik serati. Dahla muka serupa tepung gomak, dengan tak aslinya kerana nampak sangat plastik hasil cucuk botox sana sini.
“What?”. Dia ulang tanya.
 Hish…dahla buruk…pekak pulak tu!. Gerutu aku dalam hati.
“Miss dah pecahkan kristal ni. Miss kena bayar. Lagipun setiap barangan kristal yang mudah pecah memang kami letak ayat peringatan di situ. Once broken consider sold”. Aku ulang lagi ayat peringatan. Namun dia tetap mengeras disitu. Tak adapun riak bersalah.
“Kalau I tak nak bayar?”.
 Hish…ni macam ayat mencabar!
“Miss tak boleh buat macam tu. Miss dah pecahkan, wajib kena bayar”. Aku sudah naikkan volume suara beberapa pitch. Inikalau bakal hilang kerja sebab bertekak dengan pelanggan nasiblah Nurin Kamila ya…Huh...hati dah memberi peringatan pula!.

“You think I tak mampu bayar!. Setakat barang murah macam ni I mampulah”. Wanita tepung gomak itu bercekak pinggang.
Shira yang berada di kaunter bayaran sudah memanjangkan leher melihat aku yang sedang berdiplomasi dengan pelanggan yang tak faham bahasa ini. Nasib baik kaunter bayaran sudah cerah dari pelanggan. Kalau tidak, bakal tak lakulah kedai Cenderamata Heart ini sebab jurujualnya garang-garang belaka.
“Kalau Miss dah kata macam tu bayarlah. Buat apa nak bertekak dari tadi”. Bidas aku.
Dia sudah kecilkan matanya melihat aku. Marahlah tu!...........
Hmm…macamlah aku takut sangat dengan aksi mata kecilnya itu. Kemudian dia hentakkan kasut tingginya yang setebal 4 inci itu dilantai. Macam aku heran!…boleh blah. Aku pusingkan tubuh. Langkah aku hayun ke kaunter bayaran. Kristal yang pecah itu aku masukkan dalam kotak. Kemudian aku tekan harganya pada mesin bayaran.

“Honey!!!…can you pay the bills?”. Tiba-tiba dia sudah mengeluarkan arahan.
Serentak mata aku menghala pada lelaki yang berkaca mata hitam persis model itu berjalan ke arahku. Dia keluarkan wallet dari punggungjeans Mustang yang dipakainya. Tapi mata tak habis merenungku. Aku faham sangat walau dia berselindung dibalik kaca mata hitam itu sebabnya dia suakan terus wallet itu padaku.
“Sir, do you want to pay by cash or card credit?. So, which one sir?”. Aku tanya lagi sambil wallet miliknya aku buka. Berderet kad kredit serta wang kertas RM100 setebal 5mm itu.
Hmm…jaki betul aku kalau orang kaya bajet kacak berlagak sombong depan aku. Heran sangat dengan kaya dan kacaknya itu. Pantang tok nenek kalau kena sergah dengan orang kaya-kaya ini. Wajib mandi bawah jambatan ni!. Ish…teruk betul aku melalut.
“Oh…err…cash”. Dia rampas wallet dari tangan aku.
Apa dia fikir aku ni hadap sangat dengan wang ringgitnya tu. Sorry eh…Mr. Luqman Hakimi!. Sempat pula aku baca namanya pada Kad Pengenalan yang terdapat dalam wallet miliknya  itu.
“Shira, take over please”. Aku keluarkan arahan pula pada Shira yang jadi pemerhati disebelahku tadi. Aku hayun langkah masuk bilik stor. Tak boleh berlama dikaunter bayaran tadi. Peluh dah memercik didahi ini gara-gara tahan marah dengan mamat kaya bajet kacak dengan teman wanita tepung gomaknya itu.

AKU menyanyi-nyanyi kecil lagu Selena Gomez ‘Love U Like A Love Song’ di dalam bilik stor ini. Masuk pula Shira dengan senyum sengihnya.
“Kau masuk sini, siapa yang jaga kaunter?”. Aku soal pula. Mulut sambung menyanyi sambil tangan masih mengelap barangan Kristal itu.
“Vivian!”. Balas Shira.
Oh…anak buah Madam Chia. Desisku.
“Hah…duk tercegat apa, tolong aku lap Kristal ni lagi bagus”. Arahku lagi.
Shira sudah duduk bersila disampingku. Tangannya mula menari-nari di atas Kristal berbentuk hati itu dengan tuala bersih good morning sambil muka dimaniskan melihat aku.
“Senyum-senyum ni ada maknalah tu!”. Aku buat spekulasi pula. Shira sudah terangguk-angguk.
“Kau tahu siapa tadi wanita seksi tu?”. Shira soal aku.
“Siapa?”
“Model dan pelakon yang tengah naik tu. Kau tak kenal ke?”.
 Aku geleng kepala.
“Tak pernah tengok berlakon pun. Drama apa? Cerekarama apa?’.Galak aku menyoal sebab aku ni peminat tegar drama Melayu.
“Dia pelakon filemlah…drama tak main”. Balas Shira.
Aku cemikkan bibir. Hmm…patutlah aku tak kenal sebab aku ni bukan kaki wayang.
“Boyfriend dia kau kenal?”. Shira soal lagi.
Apa punya soalanlah. Kalau dah pelakon tu pun aku tak kenal inikan pula teman lelakinya. Aku jungkit bahu pula.
“Hot guy tu. Anak orang kaya. CEO Berjaya Corporations”. Balas Shira.
Aku garu telinga yang tiba-tiba rasa gatal. Malas betul kalau bergosip pasal kisah orang kaya. Tak ada faedah. Baik bercerita pasal pemanasan global ke?. Nilai RM yang semakin menurun ke ada juga faedahnya. Menambahkan ilmu pengetahuan. Aku buat tuli bila Shira sudah mulakan enjin bergosip kisah-kisah artis di dalam dan luar negara pula. Aku hanya terangguk-angguk macam belatuk sedangkan satu apa yang dicerita Shira tak masuk dalam kepala otakku.

LUQMAN Hakimi tak habis tersenyum. Bebayang gadis yang melintas didepan keretanya pagi tadi terlayar lagi dimatanya. Tak sangka gadis yang manis senyuman itu bekerja di Kedai Cenderamata Heart di Mid Valley ini. Rasa nak ucap terima kasih saja pada Andrea yang mendorongnya ke kedai itu. Kalau tidak, tentu gadis yang mula mendapat tempat dihatinya itu tidak ketemu. Kecilnya dunia dirasakan saat ini.
      “Why Luke?...Kenapa senyum macam tu?. Jangan kata salesgirl tu buat hati awak bergegar hebat”. Andrea sudah mula sakit hati melihat  Luqman Hakimi tak habis tersengih.Sejak keluar dari Kedai Cenderamata Heart itu tadi sengihannya tidak juga pudar.
      “If I say yes,you nak buat apa?”. Luqman Hakimi galak menyoal Andrea calon menantu pilihan mama alias Puan Sri Khalida itu.
      “Nothing!”. Balasnya ringkas.
 Namun dalam hati usah cakaplah. Sudah membahang rasa marah. Tak mungkin Luke lelaki terhangat di Malaysia merangkap boyfriend dan kad kredit bergeraknya ada hati dengan salesgirl kampung tu. Hish…never!.
      “I rasa salesgirl tu dah buat I jatuh hati”. Luqman Hakimi cuba membakar hati Andrea. Hendak lihat aksi Andrea calon menantu mama cemburu atau tidak.
      “I tak fikir you boleh buat dia jatuh hati pada you”. Andrea sudah mencabar.
Sebenarnya sengaja dia berkata begitu. Tak mungkin Luqman Hakimi ada hati pada jurujual kampung tu. Bukan citarasa Luke. Citarasa Luke, gadis macam dia!. Pretty and hot!.
      “Kalau I berjaya pikat dia,you nak buat apa?”
      “I tinggalkan you”. Andrea menjawab yakin.
Luqman Hakimi sudah membulatkan mata. Nampaknya pucuk dicita ulam yang dia dapat. Andrea memang tak termasuk dalam senarai gadis yang boleh menggetarkan naluri kelakiannya. Buat stok pegang-pegang dan pandang-pandang bolehlah. Lebih pada tu memang buat dia rasa nak muntah. Dia tahu dia pun bukan kuat iman pun. Tapi tak adalah selama berkenalan dengan perempuan jenis Andrea ini sampai nak dibawa ke tempat tidur. Gila apa!. Tak pasal status Tan Sri Abdullah Hisyam terbang melayang macam kertas ditiup angin akibat gosip buruk pasal kelakuan anaknya. Tapi buat dia musykil sampai ke hari ini, apa yang Andrea dah guna-gunakan mamanya sampai Andrea boleh dibuat calon menantu. Huh…sungguh tak sesuai!.
“Okey…done!”. Tanpa banyak fikir Luqman Hakimi sudah membalas.
Suka sebenarnya dapat membebaskan diri dari Andrea yang sudah serupa pacat menghisap darahnya. Kemana saja asyik hendak shopping. Sudah banyak wangnya yang dilaburkan buat Andrea tanpa sebarang faedah pun. Namun nak jaga hati mama punya pasal, segala kemahuan Andrea diturut.
“Tapi kalau you gagal pikat dia, you kena kahwin dengan I”. Andrea menetapkan syarat pula. Ingat senang begitu  saja dia nak lepaskan lubuk emas itu. Dia bukan bodoh sangat nak menetapkan syarat yang tidak membawa untung buat dirinya.
 Luqman Hakimi pula yang tidak keruan. Andai dia gagal, nampaknya dia akan terikat terus dengan pacat ini seumur hidupnya. OMG!...bagaimanapun dia mesti menang pertaruhan ini.

AKU membelek jam dipergelangan tangan yang sudah menginjak ke angka 10 malam. Nampaknya kerja sudah beres. Tunggu masa hendak balik saja. Selepas pastikan segalanya baik, aku dan Shira mula melangkah keluar dari Kedai Cenderamata Heart ini. Urusan menutup kedai terserah pada Madam Chia sendiri.
“Nanti sampai rumah, kita singgah beli burger Abang Zek kejap. Dahlama tak makanlah. Kempunan”. Ujar Shira. Aku  mengangguk tanda setuju dengan permintaan Shira itu.
Abang Zek membuka warung burgernya di tingkat bawah Flat Seri Cempaka tempat aku menyewa ini. Sudahlama aku  menyewa semenjak zaman belajar lagi. Cuma sekarang aku menyewa dengan Shira bersama junior UMKL. Kawan-kawan lama semua dah balik kampung. Hanya aku saja yang masih bertahan duduk di Kuala Lumpur ini.
Matlamat aku selagi tak dapat kerja yang bersesuaian dengan tahap kebijaksanaan aku, Memang aku tak akan balik kampung. Dah banyak kali Tok Wan dan Mak telefon suruh aku balik. Tapi tahu sajalah…akukan jenis  degil.
Alkisahnya kenapa aku jaki dengan orang-orang kaya ini. Sebenarnya ada hubung kait dengan diri aku juga. Ayah aku tinggalkan mak aku masa aku masih dalam kandungan lagi. Nanar mak aku ditinggalkan gantung tak bertali. Rupanya mak aku adalah isteri kedua yang dikahwini secara rahsia.
Selepas isteri pertama dapat hidu yang ayah aku nikah lain, terus dia gunakan kuasa veto minta ayah aku tinggalkan mak aku. Rupanya ayah aku ni menantu orang kaya. Sebab tu aku benci sangat dengan orang kaya. Apa dia orang ingat dengan kekayaan yang ada boleh buat sesuka hati pada orang miskin macam kami. Aku pun tak pernah tahu rupa ayah aku tu macamana. Maklumlah dia tinggalkan mak  aku masa aku  masih dalam perut mak lagi.
Lepas tu mak dan tok wan aku pindah ke Kedah. Beli tanah dan hidup ditempat baru. Ramai juga yang berkenan dengan mak aku dan berhajat nak buat isteri. Tapi mak aku dah tawar hati. Lagipun dia tak mahu aku berayah tiri. Nasib baik aku ada tok wan. Dia saja tempat aku bermanja. Tempat aku menumpang kasih seorang ayah.
Kesian mak dan aku!. Sebab apa yang berlaku pada mak aku itulah buat aku alergik dengan orang kaya. Bagi aku mereka ini memang sengaja nak susahkan hidup orang susah yang sedia payah macam hidup aku ini.
Terlopong mulut Shira bila aku berhikayat kisah kenapa aku tak suka dengan orang kaya. Banyak kali aku teguk air masak dalam gelas kerana kering tekak bercerita perihal aku pada Shira. Selama ini memang aku tak pernah buka mulut pun bercerita kisah  hidup aku pada sesiapa pun. Entah kenapa hari ini rajin pula mulut aku bercerita. Habis 2 biji burger Abang Zek aku baham sambil ralit bercerita pada Shira.
“So… lepas ni jangan tanya lagi pasal apa aku tak suka orang kaya?”. Aku beri amaran pada Shira pula. Terkebil-kebil minah itu mendengar arahan aku.
“Kalaulah tiba-tiba ada anak orang kaya jatuh hati dengan kau…apa kau nak buat?”.
 Aku ketawa terkekeh-kekeh mendengar soalan cepumas dari Shira. Memang cepumas sungguh sebabnya tak akan ada anak orang kaya yang boleh jatuh hati dengan aku. Merepek sungguh soalan.
“Kau ni mamai ke apa?. Cuba fikir logik. Tang celah mana anak orang kaya nak jatuh hati dengan aku. Kerja pun kat kedai cenderamata je. Jadi salesgirl. Siapa nak pandang”. Aku balas untuk soalan tak logik dari Shira. Terkulat-kulat minah tu kena sembur dengan aku. Yalah buat aku moody  untuk soalan yang tak berapa nak bijaksana itu.
Lepas penat bercerita dan mengisi perut aku masuk ke dalam bilik yang aku kongsi dengan Shira. Apa lagi perut dah kenyang, solat Isyak pun dah selesai. Tinggal nak buat tahi mata saja lagi. Esok kena bangun macam biasa. Pastikan sebelum pukul 10 pagi dah terpacak depan Kedai Cenderama Heart untuk memulakan tugas semula.
‘Hish…bilalah kerja yang bersesuaian dengan kebijaksanaan aku ni nak menjelma!’. Dalam pada itu sempat pula aku bermonolog.
Kemudian aku menadah tangan membaca Surah 3 Qul, Ayatul Kursi dan doa tidur sebelum mata dipejamkan. Bukan apa, mak dah pesan dari kecil lagi. Kalau nak hindar mimpi buruk dan gangguan syaitan wajib amalkan apa yang aku baca tadi. INSYAALLAH, kita pasti dapat tidur dengan berkualiti sekali.

LUQMAN  Hakimi menelek wajah dan tubuhnya dicermin. Sesekali dia membuat aksi seperti Mr. Universe nak masuk bertanding. Badannya tegap, muka kacak, tinggi ala-ala model, duit banyak. Pendek kata tak ada yang kurang. Kalau nak pikat minah jurujualitu pasti semudah makan  kacang pistachio.
“Sekali petik mudah je dia tergolek depan kaki aku.” Bangga dan yakin betul dia dapat memikat gadis jurujual itu.
Dengan sekali lompat dia sudah terguling di atas tilam empuk bersaiz king itu. Tangan diletakkan di bawah  kepala. Mula membayangkan strategi hendak memikat gadis jurujual itu. Dia pun tak tahu dalam banyak-banyak gadis kenapa dia boleh sahut cabaran Andrea hendak memikat gadis jurujual itu.
Adakah sebab dah jatuh hati dengan senyumannya masa kat traffic light pagi tadi?. Hmm…susah betul nak faham dengan hati ini. Luqman Hakimi memegang dadanya pula. Rasa berdebar  saat ini bila setiap kali otak fikir pasal gadis jurujual itu.
“Tapi dia salesgirl je…tengok cara macam orang susah. Belajar pun tak tinggi mana. Hish…bukan taste aku tu!”. Dia merungut pula.
‘Tapi ini je cara kau nak lepas dari Andrea. Ala…lupakanlah pasal tu. Pikat je sampai dapat. Bila dah dapat, kau memang dah menang dalam cabaran ini. Soal salesgirl tu kau fikirlah nanti. Buat apa nak serabut perut pula’. Hah…muncul pula kata hati yang memberi idea-idea yang bernas.
Luqman Hakimi sudah memejamkan mata. Sekarang saat untuk tidur. Esok mulakan misi mengurat gadis jurujual itu. Dia koyak senyum pula.

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 1


URGENT! Kau datang sini sekarang jugak!” Jeritan Tania menyapa gegendang telinga Tif yang baru sahaja keluar dari bilik air. Apa kena pula dengan kawan aku ni?
           “Datang sana? Ada apa ni? Kau ni, tak bagi salam apa, tiba-tiba suruh datang. Datang mana?” Serius tak mengerti. Jawab telefon terus kena serbu. Mana nak faham. Pangkalnya tidak tahu, dah nak ke hujung. Haisy!
           “Aku dekat area rumah Ina. Jangan banyak cakap, aku cakap datang, datang jelah,” marah Tania. Hendak diberitahu perkara sebenar, nanti pasti akan ditanya dengan pelbagai soalan. Jadi lebih baik tuan punya diri yang melihat apa yang terjadi sebenarnya.
           “Kau dekat rumah Ina? Buat apa? Oh ya, kau memang sepatutnya jemput dia pagi ni dan korang nak pergi spa, kan? Jadi kenapa?” tanya Tif.
           Sepatutnya dia yang menemani Tania ke spa hari ini namun disebabkan pagi ini dia ada temujanji bersama encik tunang, terpaksalah dia membatalkan janjinya dengan Tania. Mujur Tania tidak marah kerana Ina sudi menemaninya.
           Dan pagi ini, dia sedang sibuk bersiap untuk keluar bersama tunangnya, Firdaus. Tania telefon dengan berita yang kurang sedap. Mungkin.
           “Sekarang ni, kau tak perlu cakap apa-apa. Ambil kunci kereta kau, drive kereta kau sampai dekat rumah si Ina ni. Bila kau sampai nanti, kau akan sedar betapa pentingnya apa yang aku nak sampaikan ni.”
           Tutt.. tutt.. tutt..
           Tif sudah membuka mulut untuk membalas kata-kata Tania namun talian sudah dimatikan. Isy, janganlah buat aku saspen!
           Jam pada dinding dipandang sekilas. 9 pagi. Okey, masih sempat sebelum Firdaus datang jemput. Kata tunangnya, dia akan datang jam 10 pagi. Bermakna masih ada satu jam. Kunci kereta di atas meja solek dicapai sebelum melangkah keluar dari bilik.
           “Ha, Tif! Nak ke mana tu? Kata nak keluar dengan Firdaus. Umi tak nampak pun kereta dia,” sapa Hajah Fauziah. Pelik pula melihat anak gadisnya itu terkocoh-kocoh keluar rumah.
           Terkejut Tif mendengar sapaan mengejut daripada uminya. Dia memandang uminya yang sedang menyiram pokok bunga yang ada di halaman rumah. Rajin sungguh uminya ini. Pagi-pagi sudah menyiram pokok bunga. Kalau dia yang jaga pokok tu, tak sampai seminggu, pokok tu dah mati kekeringan. Dia ini bukanlah orang yang minat dengan bunga-bunga ni. Too feminine!
           “Nak pergi rumah Ina. Ada hal sikit dengan Tania,” jawab Tif sebelum berlalu pergi meninggalkan Hajah Fauziah yang masih bingung.
           ‘Pergi rumah Ina tapi ada hal dengan Tania. Pelik benar bunyinya! Tania sudah berpindah ke rumah Ina, kah?’ Hati tuanya mula mempersoalkan jawapan anaknya tadi. Tidak lama kemudian, kereta Savvy hitam milik anak gadisnya itu hilang daripada pandangannya.
           Tif memandu dengan otak yang sarat dengan tanda tanya. Pedal minyak ditekan kuat. Tidak sabar pula mahu mengetahui apa yang penting benar, seperti kata Tania. Sepuluh minit kemudian, dia memasuki taman perumahan Ina.
           Matanya meliar mencari Myvi merah milik Tania. Kereta itu kelihatan jauh sedikit daripada rumah Ina. Dia memberhentikan keretanya di belakang kereta Tania.
           Tif keluar daripada kereta sebelum melangkah ke arah kereta Tania. Nampaknya Tania masih bertapa di dalam keretanya. Tanpa memberi apa-apa isyarat, Tif terus masuk ke dalam kereta itu.
           “Ha! Apa yang kononnya penting sangat tu? Alien dari planet Pluto baru terjun ke planet Marikh ke?” soal Tif, agak sarkastik. Dia memandang temannya yang masih memakukan pandangannya pada satu arah. Tidak lansung memberi apa-apa reaksi untuk soalannya yang sengal itu.
           Tif menampar perlahan bahu Tania. Tadi beria menyuruh dia datang. Bila dah sampai, tak cakap apa-apa pulak. Waduh, mimpi apa kawan aku ni malam tadi? Pagi-pagi dah sawan.
           “Cuba kau pandang sana. Aku sure kau takkan mampu bercakap lagi lepas ni. I’m too sorry to say this. That’s your fiance with our beloved friend. Mereka baru lepas akad nikah,” beritahu Tania dengan suara yang perlahan. Namun segalanya begitu jelas pada telinga Tif.
          Dua perkataan terakhir Tania bagaikan dirakam oleh suatu pita perakam dan kini sedang dimainkan berulang kali di dalam otaknya. Akad nikah?
          Tif cuba memfokuskan pandangannya. Ya, benar sekali. Itu Firdaus dan Ina. Mereka berpakaian sedondon berwarna krim. Firdaus memakai baju melayu bersamping dan Ina kelihatan manis dengan baju kurung moden yang membaluti tubuhnya. Ya Allah, dugaan apakah ini?
           “Tapi aku tunang Firdaus,” ujar Tif dengan mata yang sudah berlinangan dengan air mata. Firdaus Naiem! Itu lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya ketika di universiti lima tahun dulu. Pastinya dia sangat menyayangi lelaki itu. Mereka berdua telah merancang untuk berkahwin 5 bulan lagi. Tetapi kenapa Ina yang berada di sisi Firdaus sekarang?
           “Bekas tunang! Dia dah jadi suami orang, Tif. Kau sedar tak? Nak buat apa fikir pasal lelaki tak guna macam dia tu? Sia-sia!” kata Tania dengan nada yang tegas. Sesungguhnya dia mahu melenyek Firdaus dan Ina menggunakan kereta kebal saat ini. Dan Ina, tegarnya dia merampas Firdaus daripada Tif.
           Tif sudah menangis teresak-esak. Mukanya ditekup dengan kedua-dua belah tangannya. Hancur hatinya melihat semua ini. Firdaus! Sanggup awak buat saya macam ni! Apa salah saya?
           Tania menarik Tif ke dalam pelukannya. Sebak hatinya melihat keadaan Tif kala ini. Dia mengusap perlahan belakang badan temannya yang masih menangis. Dia tahu bagaimana perasaan Tif terhadap Firdaus. Tif sangat sayang akan Firdaus dan siapa sangka Firdaus sanggup curang. Tak guna kau, Firdaus!
           “Sabar, Tif. Lupakan dia, Tif. Mula hidup baru. Lelaki macam dia tak patut dapat cinta kau,” Tania cuba memujuk.
           Saat ini, Tif buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia bagaikan hilang arah saat ini. Mujur ada Tania yang sudi menemaninya. Sakit. Itu yang dirasa oleh hatinya sekarang. Tahniah kepada Ina dan Firdaus yang berjaya menghancurkan hatinya pagi ini.
           Matanya merenung Firdaus dan Ina yang berpegangan tangan masuk ke dalam rumah. Memang aku akan lupakan kau berdua. Kau berdua takkan ada lagi dalam kamus hidup aku. Tapi, sebelum tu, aku takkan biarkan penutup kisah kita bertiga berakhir macam ni. Puaskan hati sebelum melupakan!
           Keberanian tiba-tiba timbul dalam dirinya. Dia keluar daripada kereta. Kakinya laju melangkah ke arah rumah Ina. Serang? Mungkin itu perkataan yang sesuai untuk apa yang dilakukan kini.
           Panggilan Tania tidak dipedulikan. Apa yang terbuku di dalam hati harus diluahkan sebelum dilepaskan untuk selama-lamanya. Kau fikir aku ni apa yang boleh dibuat main? Rasa marah semakin membara.
           “Firdaus! Ina!” jerit Tif. Dia tidak peduli jika tetamu yang ada memandangnya sebagai seorang gila, meroyan, sawan, sasau atau apa sahaja yang seangkatan dengannya. Katalah apa sahaja, kau semua bukan kenal aku. Yang pastinya, aku takkan jejak lagi kaki di rumah ini.
           Firdaus dan Ina segera keluar dari rumah sebaik sahaja terdengar nama mereka dijerit oleh suara yang mereka berdua sangat kenali. Zatifa Adelia?
           “Tif!” Mereka berdua terkejut dengan kehadiran seseorang yang sepatutnya tidak tahu akan pernikahan mereka yang mengejut ini.
           Tanpa disangka-sangka, Tif maju beberapa langkah sebelum menghadiahkan penampar buat si pengantin perempuan yang kelihatan terkejut dengan kehadirannya di sini.
           Beberapa saat berlalu dengan kedengaran suara-suara yang berbisik. Mungkin sudah mula membuat pelbagai jenis andaian.
           Pengantin perempuan ditampar kerana merampas suami orang. Pengantin perempuan ditampar kerana itu dan ini. Dan mungkin banyak lagi. Biasalah, manusia. Suka benar membuat sebarang andaian walaupun secara dasarnya tak tahu apa pokok pangkal cerita.
           “Aku betul-betul tak sangka kau sanggup buat aku macam ni. Kawan jenis apa kau ni, ha? Suka dilabel perampas? Dia tunang aku!” marah Tif dengan suara yang serak. Air matanya berjuraian di pipi.
           “Tif, kau baliklah. Dia dah jadi suami aku dan dia bukan lagi tunang kau. Harap kau boleh terima kenyataan yang Firdaus milik aku. Bukan milik kau,” ujar Ina dengan rasa tidak bersalah. Bagi dia, bukan salah dirinya jika Firdaus yang memilih untuk bernikah dengannya pagi ini.
           Tania yang berada di belakang Tif merenung tajam Ina yang lansung tidak punya rasa bersalah. Apa tidak cukup tamparan Tif tadi? Mahu ditambah dengan karate aku agaknya, getus hati Tania.
           “Tif, ini keputusan saya. Ina pilihan saya, bukannya Tif. Harap Tif faham,” kata Firdaus yang sedari tadi hanya membatu seperti lelaki pengecut.
           “Apa salah saya? Cakaplah! Sia-sia saya sayangkan awak, cintakan awak tapi ini yang awak balas?” Mendengar kata-kata Firdaus tadi membuatkan hati Tif semakin hancur.
           Sia-sia dia bercinta dengan Firdaus selama lima tahun. Ini pengakhiran kisah mereka. Berakhir dengan kecurangan Firdaus terhadapnya.
           “Kau berdua ni memang tak guna. Eloklah, kawan makan kawan. Yang kau ni Firdaus, mata kau tu dah buta agaknya. Dah ada tunang, kau cari lain. Kawan baik tunang kau pula tu. Macam tak ada orang lain. Kot ye pun dah muak dengan si Tif ni, carilah orang lain. Dah jom kita balik Tif.”
           Tania melepaskan amarahnya. Dia menarik tangan Tif yang sudah diam. Dia faham apa yang dirasakan oleh temannya itu.
           “Selamat berbahagialah walaupun orang yang nak berbahagia atas penderitaan orang lain ni, susah nak nampak cahaya bahagia tu. By the way, lepas ni kau berdua tak payahlah susah-susah nak jumpa kami berdua sebab kau berdua dah tak wujud dalam hidup kami berdua!”
           Tania memapah Tif yang sudah tidak larat hendak berjalan. Pagi yang teruk bagi kawannya ini. Dikhianati oleh teman rapat dan tunang yang tercinta, sungguh perit.
           Siapa sangka Ina yang selama ini menyokong segala pilihan Tif kini merampas Firdaus. Masih wujud rupanya manusia sebegini di dalam dunia ini. Hati Tania bertambah sakit mengenangkan cara Ina tadi. Bukan mahu meminta maaf tetapi semakin lancang mulutnya berkata-kata. Firdaus pula? Hanya diam. Dasar dayus dan pengecut!
           “Takkan kau nak drive balik sendiri? Aku hantar kau! Jangan nak mengada.” Jawabnya apabila Tif  memberitahu dia mahu pulang sendiri. Dengan keadaan Tif sebegitu, mampukah dia menumpukan perhatian? Tidak! Dia tidak mampu!
           “Aku okey,” ujar Tif dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Tenggelam dalam esakannya yang masih bersisa. Dia terus berjalan ke arah keretanya tanpa mempedulikan Tania atau apa-apa lagi. Sekali pun ada bom dari Amerika meletup di sini, dia sudah tidak peduli.
           “Tapi nanti… kau..” Kata-kata Tania terhenti begitu sahaja kerana temannya itu sudah masuk ke dalam kereta. Keluhan berat dilepaskan. Aku simpati dengan kau, Tif! Semoga kau kuat!
           Tif yang baru masuk ke dalam kereta terus menghidupkan enjin sebelum memandu keretanya menghala ke lebuh raya. Saat ini, dia tidak tahu arah mana yang hendak dituju. Mustahil untuk dia pulang ke rumah dalam keadaannya sebegini. Pasti umi akan mengajukan pelbagai jenis soalan nanti. Pastinya dia belum cukup kuat untuk menjawab apa-apa soalan buat masa sekarang.
           Dan hari itu berlalu tanpa tujuan untuk seorang gadis bernama Zatifa Adelia. Tiada kompas yang menentukan ke mana harus dia tuju. Keretanya dipandu mengikut kehendak hatinya. Jika mahu masuk simpang kiri, dia membelok ke kiri, begitu juga sebaliknya.
           Akhirnya, dia memberhentikan keretanya di tepi sebuah tasik. Apa nama tasik ini? Dia tidak tahu kerana dia sendiri tidak tahu di mana dia sekarang. Nampaknya dia perlu mengambil masa untuk mencari jalan pulang nanti.
           Tif mengambil tempat di sebuah bangku kayu yang ada di tepi tasik itu. Dia melemparkan pandangannya ke tengah-tengah tasik. Dengan harapan, hatinya akan menjadi setenang air tasik itu. Air matanya sudah berhenti mengalir. Mungkin sudah penat menangis. Segalanya hanyalah sia-sia.
           Tif menanam tekad. Firdaus harus dibuang secara kekal daripada hidupnya. Tania benar. Apa gunanya mengingati lelaki yang jelas-jelas tidak guna. Biarlah hari ini menjadi hari yang terakhir untuk dia mengingati lelaki bernama Firdaus Naiem itu. Dan Ina?
           Buat temannya itu, oh masih pantaskah Ina digelar teman selepas apa yang dia lakukan? Rasanya tidak. Tergamak kau, Ina. Hati Tif perit apabila teringatkan segala cacian dan makian yang Ina hambur padanya tadi. Dalam kes ini, bukankah sepatutnya dia yang marah dan bukannya Ina? Aneh sungguh perempuan tu!
           Telefon bimbit di dalam tas tangannya dikeluarkan. Skrin yang gelap itu ditatap. Ya, memang dia sengaja mematikan telefonnya. Tania pasti akan memberitahu umi dan umi pasti akan cuba menghubunginya. Kala ini, dia mahu bersendirian sahaja.
           Otaknya yang sudah lari daripada tahap kewarasan harus dipulihkan sebelum membuatkan orang lain turut sama hilang kewarasan apabila berhadapan dengan dirinya yang tidak waras. Wah, banyak sungguh ‘waras’nya.
           Tanpa melihat jam, Tif sudah dapat mengagak bahawa hari sudah lewat petang. Dia mengambil keputusan untuk pulang selepas dirinya tenang sedikit selepas melihat kebesaran Allah. Burung-burung juga sudah bising berkicau mahu pulang ke sarang. Masakan dia mahu duduk di situ lebih lama. Burung pun pandai balik rumah.