Thursday 12 November 2015

MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

BAB 2




HILANG saja mama nya dari pandangan, cepat Ahqaf bergerak merapati Anggerik yang berdiri di tepi peti ais.
“Anggerik. Kongsi.” Pintanya sambil memandang ke arah vitamin yang berada di tangan isterinya.
“Ini vitamin untuk ibu mengandunglah. Kan mama kata bos tak boleh makan.” Vitamin yang berada di tapak tangan Anggerik larikan ke belakang tubuh.
Setiap kali dia nak makan vitamin mesti terpaksa bergelut dengan Ahqaf. Dah lah jenis tak mahu kalah.
“Hiss! Bagi ajelah. Kau makan satu je. Jangan nak kedekut dengan suami sendiri boleh tak.” Tangannya melangkau ke belakang Anggerik. Dia tak kira! Dia nak juga vitamin yang Anggerik makan tu.
Bau tu saja dah buat dia telan liur. Manis. Pertama kali dia obses dengan bau ubat.
“Bos...” Terkial-kial Anggerik cuba mengelak sehingga tubuhnya tersandar ke peti sejuk.
“Along?”
Suara seseorang di muka ambang pintu dapur mengejutkan keduanya. Anggerik terkaku dengan tangan Ahqaf yang membelit ke bahagian belakangnya.
Alamak! Mama.
“Mama. Boleh tak jangan nak kacau daun. Kami nak bertelenovela pun tak boleh la.” Cepat Ahqaf berdalih. Macam mana pulak mama boleh berpatah semula ke dapur ni.
“Telenovela? Dekat dapur ni?” Soal Maira dengan riak tak percaya.
“Ye la. Kenapa pulaknya. Berkasih sayang di mana saja. Itu Along punya tagline.” Ahqaf buat muka selamba. Tapi tangannya di belakang Anggerik masih berusaha keras. Bibir sudah mampu tersenyum bila dia dah dapat pegang apa yang dia mahukan.
“Alahai. So sweet anak mama ni. Okey sayang, mama tak kacau.” Maira atur kaki masuk ke dalam.
Terjenguk-jenguk kepala Ahqaf cuba mengintai mamanya. Pasti saja yang wanita itu sudah tiada, cepat dia melepaskan tubuh Anggerik. Vitamin yang berada di dalam tangannya dipandang dengan mata yang berkilau.
Dengan pantas disumbat masuk ke dalam mulut. Sedap amat!
“Orang yang mengandung. Dia pulak yang lebih-lebih.” Bebel Anggerik. Geram!
“Ehhh. Tapi aku yang teruk tau. Aku yang pening, muntah-muntah. Tak selera makan. Aku cuma selera dengan vitamin ni je tau. Tengok ni ha, four pack aku dah tinggal two pack je.” Ahqaf tepuk-tepuk bahagian perutnya.
Memang dia rasa badan dia dah agak susut sekarang. Tapi dia rela, asalkan bukan Anggerik yang kurus kering. Tak best kalau peluk batang pisang.
“Apa-apa je lah. Jom, sayang.”
“Pergi mana?”
“Cendol pulut tepi simpang sekolah tu.”
Ahqaf tepuk dahi. Tak habis-habis dengan cendol pulut tu. Sudahlah dekat tepi simpang yang berhabuk dan panas pulak tu. Kenapalah Anggerik boleh berselera dengan cendol dekat situ. Tempat lain kan banyak.
“Sayang...” Rengek Anggerik. Tengok aksi Ahqaf pun dia dah tahu yang lelaki tu menolak.
“Baby, please. No.”  Ahqaf geleng sambil menekankan perkataan NO.
Yes.” Anggerik angguk.
No!”
“Yes.”
Adoii...”
Ahqaf peluk peti ais. Kepala dihantukkan perlahan ke pintu peti ais tersebut. Tolonglah wahai isteri! Kenapalah suka sangat minta yang bukan-bukan. Hiss! Rasa nak masuk je dalam peti ais ni, biar sejuk sikit otak dia.
“Baby, kenapa selera awak pelik sangat. Mintaklah kek sepuluh tingkat dari Secret Recipe ke.. Daddy sanggup! But why, cendol pulut?” Rungut Ahqaf. Kali ini dia tujukan kepada anak di dalam kandungan Anggerik.
Please, daddy.”
Suara meleret Anggerik membuatkan mata Ahqaf terpejam rapat. Kenapa sekarang dia suka dengar suara meleret-leret macam tu. Kenapa banyak sangat perkara pelik yang jadi ni.
“Adoii... Peningnya. Kaki pun dah tak larat nak jalan ni.” Ahqaf lemahkan badan. Tubuh dipusingkan menghadap Anggerik sambil buat muka kesian. Tak tipu okey! Memang dia tengah tak larat pun ni.
Dia hanya nampak Narita berbunga pink dalam bilik je sekarang ni. Dia malas nak pergi melangut bawah payung merah dekat gerai cendol tu. Help!
“Bukannya lama pun kita pergi.” Anggerik masih berkeras.
“Ye. Tapi aku nak angkat tangan pun dah tak boleh ni ha... Tak kesian ke dekat aku ni.” Yela tu tak lama! Kalau dah dapat hadap cendol tu, dia depan mata pun Anggerik tak nampak.
“Bos kan kuat.”
“Alahai... Anggerik. Kenapalah degil sangat ni. Malas la...” Ahqaf atur langkah keluar dari ruang dapur. Melangkah masuk ke dalam bilik kemudian terus terjun atas Narita tengah bilik. Memang dia tak bagi sesiapa kemas. Senang dia nak berguling-guling.
Anggerik gosok-gosok hidung. Sampai hati Ahqaf. Tak apa, kalau suami dia tak nak. Dia boleh ajak orang lain. Bibir mengorak senyuman. Suspek dicari kemudian menyampaikan hasratnya. Setuju saja, terus dia naik ke bilik. Tudung dicapai tanpa langsung mempedulikan Ahqaf.
“Nak ke mana pulak tu?” Soal Ahqaf bila tengok Anggerik bersiap.
“Cendol pulut lah.”
“Kau jangan nak mengada drive ye.” Ahqaf tegakkan badan. Aku ikat juga bini aku ni nanti!
“Siapa kata saya nak drive? Saya nak dating dengan papa.”
Bulat mata Ahqaf. Papa? No! Cepat dia bangun dan berdiri tegak depan pintu bilik.
“Tak payah! Suka hati ye nak curang dengan aku.” Mata dijegilkan.
Anggerik cekak pinggang. Buruk betul perangai lelaki seorang ni. Cemburunya ya ampun!
“Tepilah. Biarlah curang pun, siapa suruh bos tak nak pergi.”
“Tapi gerai tu...” Belum sempat Ahqaf meneruskan ayat. Tekaknya terasa ada sesuatu. Cepat dia berlari ke bilik air. Tengkuk ditepuk-tepuk menggeluarkan apa saja yang mahu keluar dari tekaknya.
Adoii! Memang tinggal tulanglah dia tak lama lagi.
“Bos, okey?” Soal Anggerik sambil mengosok belakang suaminya. Kesian betul suami dia, terpaksa menghadapi alahan. Dia pulak yang terasa segar bugar.
“Hmm.” Ahqaf angguk. Selesai membasuh mulut. Kepala direhatkan ke bahu Anggerik. Tangan naik memeluk pinggang itu. Nasib baiklah dia sayang, muntah setiap minit demi Anggerik pun dia sanggup.
“Jom, cendol pulut.” Ajak Anggerik.
“Baby. Why? Why? Adehh...” Raung Ahqaf kemudian bergerak masuk ke dalam bilik.
Anggerik sudah lepaskan gelak. Manjanya lah suami dia ni. Nak marah tapi terpaksa bertahan, jadi keluarlah suara garau yang merengek-rengek. Tambah lebar senyuman dia bila tengok Ahqaf capai kunci kereta.
“Baby. Sila jadi hero yang membanggakan papa. Please!” Bebel Ahqaf lagi.
Sebelum keluar sempat dia capai minyak angin dan ditepuk-tepuk ke dahinya. Dia kena kuat demi Anggerik. Dia kena kuat demi anaknya yang bakal lahir itu. Dia tak nak lagi melakukan kesilapan dan melukakan hati wanita kesayangannya itu.
“Jom.” Tangan Anggerik dia capai.
Rela dia pergi melangut bawah payung merah tepi simpang tu. Kalau dia duduk rumah pun nanti, dia akan terbayangkan papa dengan Anggerik menikmati cendol berdua.
Tidak!
Walaupun dengan papa sendiri atau sesiapa saja. Anggerik Medina hanya boleh berduaan dengan dia. Tidak akan ada lelaki lain. Dan akan datang, dia akan pastikan kesemua anak-anak dia akan menyayangi Anggerik Medina seperti dirinya.



















MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

BAB 1



GERAKAN  di sebelahnya memaksa Anggerik membuka mata. Buka saja mata dia nampak Ahqaf yang sedang memunggah Narita dari dalam almari. Ini sejak bila pulak Umar Ahqaf rajin sangat mengemas malam buta ni.
“Sayang. Buat apa dengan Narita tu?” Soal Anggerik dengan suara seraknya. Mata digenyeh perlahan. Mengantuk. Tapi suami pulak buat tidur dia terganggu.
Sorry. Aku ganggu kau ye?” Ahqaf mendekati katil kemudian mengambil bantalnya. Kemudian disusun elok ke atas Narita yang dah elok terbentang di atas lantai. Rasanya tadi dia dah buat seperlahan mungkin. Tapi kenapa pulak Anggerik boleh juga terjaga. Telinga kalau dah besar, memang cepat je dengar.
“Tak lah. Buat apa ni?” Soal Anggerik lagi bila soalannya tidak berbalas. Pergerakan Ahqaf dia perhatikan dengan dahi berkerut. Betul ke tidak apa yang dia tengah nampak ni? Ataupun dia tengah mengigau.
“Kita tidur bawah, jom.”
Belum sempat dia nak hadam dengan apa yang diucapkan oleh Ahqaf tubuhnya sudah diangkat oleh lelaki itu. Kemudian perlahan-lahan Ahqaf membaringkan dirinya di atas lantai yang beralaskan Narita. Mujur tak main campak-campak. Reti pulak berlembut, mesti kes ingat yang dia tengah mengandung.
Rasa mengantuk yang masih bersisa tadi hilang serta merta. Mendadak dia bangun dan bersila di sebelah suaminya. Pandangan dilemparkan ke atas Narita yang didudukinya. Pink? Biar betul suami dia pilih warna ni untuk tidur. Kan banyak lagi corak lain.
“Ahhh... syoknya..” Ahqaf buat aksi kuak lentang. Suara itu bukan main bahagia lagi.
“Ini yang kenapa tiba-tiba tidur bawah. Atas Narita ni?” Soal Anggerik tidak percaya. Ahqaf tidur atas Narita yang nipis macam ni? Sungguhlah mustahil. Itu tak apa lagi, yang paling dia tak boleh terima bila lelaki itu wangi semacam.
Ahqaf pakai losyen dia ke? Buang tabiat agaknya.
Sah suami dia ni tengah mengigau!
“Aku tak sedap badan lah tidur atas katil tu. Bawah ni best. Barulah aku boleh buat gaya bebas.” Reaksi Anggerik dia buat tak nampak. Macamlah dia tak nampak mata tu pandang dia seolah dia ni beruang kutub. Dia jadi beruang kutub betul-betul nanti baru tahu.
Memang dia sendiri yang rasa menyampah tengok katil besar gedabak tu. Dia lagi suka tidur atas Narita dengan corak bunga-bunga warna pink ni. Rasa macam nyaman dan selesa sangat. Suruh baring dekat sini sepanjang hari pun dia sanggup. Terasa seperti berada di taman bunga yang dipenuhi bunga tulip.
“Bos pakai apa ni? Wangi.” Soal Anggerik tanpa mempedulikan riak muka Ahqaf yang ceria semacam. Puncak hidung dia picit sedikit. Wanginya bukan main lagi. Malam buta pulak tu. Buat bulu tengkuk dia meremang aje la.
“Losyen kau. Wangi ek? Ha kan. Aku pun suka. Dah nak habis tu. Esok aku beli baru.”
Jawapan Ahqaf membuatkan mulut Anggerik terbuka. Melopong. Ahqaf dengan losyen jenama Garnier? Losyen yang pernah lelaki itu kategorikan sebagai kapur barus. Apa yang dah jadi ni?
“Kenapa bos pelik sangat?”
“Eh? Aku pulak yang pelik. Kau tu yang pelik. Yang tengok suami sendiri macam tengok beruang kutub tu kenapa?” Ahqaf buat muka selamba. Tangan Anggerik ditarik supaya berbaring. Kemudian mata dipejamkan dengan senyuman.
“Memanglah. Dah bos ni pelik sangat. Ke bos dah tersampuk hantu kubur?” Tangan Ahqaf ditepis perlahan. Dah buat mata dia segar, sekarang boleh pulak nak paksa dia ikut baring.
“Alah! Kalau kena sampuk hantu kubur pun. Aku tetap lelaki paling handsome. So kau jangan takut.”
Geram dengan jawapan itu. Tangan Anggerik naik mencubit lengan yang terdedah itu. Ahqaf tak pernah nak bagi jawapan yang serius. Memanjang nak main-main. Tak padan dengan diri tu yang dah nak jadi ayah.
“Dengki cakaplah dengki. Jangan nak main cubit-cubit.” Cubitan Anggerik itu Ahqaf balas semula dengan mencubit peha itu. Itu mujur Anggerik cubit. Kalau isteri dia tu bagi penyepak tadi, dah tak pasal pulak mereka berdua bergusti malam ni.
“Nak tidur atas!” Anggerik tarik muncung. Menyampah betul! Tak pernah nak mengalah. Sakit betul jiwa raga dia ni.
Ahqaf jeling isteri yang dah merangkak naik atas katil. Bibir dicebikkan. Sikit-sikit nak merajuk. Eleh! Sekejap lagi mesti Anggerik akan merangkak cari dia semula. Dia gerenti!
Sepuluh minit berlalu. Dia jeling lagi Anggerik yang diam tak berkutik di atas katil nun di hujung sana. Kenapa mata dia degil sangat nak lelap ni. Aduhai..
“Anggerik.” Panggilnya.
Nampaknya dia memang tak boleh kalau tak ada Anggerik. Tambah lagi dah terbiasa saban malam tidur berkongsi haba dari tubuh wanita itu. Kalau tak bersentuh kulit dengan Anggerik, mata dia memang tak nak lelap.
“Sayang...” Serunya lagi bila tengok Anggerik diam tak menjawab. Kali ini dia bangun dan mendekati tubuh itu. Dia tahu Anggerik belum tidur.
“Maaf.. Ye, aku tersampuk hantu kubur. Tak kisah lah hantu apa pun. But please... Teman aku tidur bawah. Jom.” Katanya sambil menarik bahu itu supaya menghadapnya. Dan ternyata tekaannya benar apabila melihat mata itu masih membulat.
Sengih ditarik. Sengih bersalah sebab sombong sangat tadi. Kononnya Anggerik akan datang merangkak cari dia. Tapi akhirnya dia juga yang merayap cari Anggerik.
“Em okey.” Anggerik jawab hendak tak hendak. Saja je nak menguji hati seorang suami.
“Jom. Tidur bawah..” Ahqaf bangun dan berdiri di tepi katil.
Anggerik buat-buat menguap dan selimut ditarik. Alahai hati! Sejak bila entah dia jadi mengada sangat. Seronok pulak bila sekarang Ahqaf dah pandai mencemar duli memujuk.
“Tidur bawah lah. Biar katil kita ni rehat malam ni.” Melihat mata Anggerik yang dah terpejam. Cepat Ahqaf sauk tubuh itu perlahan-lahan. Tak kira! Anggerik kena tidur sebelah dia juga malam ni.
Sementara itu Anggerik dah sembunyi senyum di sebalik dada Ahqaf. Yes! Merasa kena dukung dua kali malam ni.
Come, baby.” Kata Ahqaf sebaik sahaja dia baringkan tubuh itu sebelum dia sendiri berbaring.
Anggerik lemparkan senyuman. Tubuhnya didekatkan ke arah Ahqaf. Tak tunggu lama terasa tangan itu sudah membelit tubuhnya. Suka dia bila Ahqaf jadi sesopan itu. Tak adalah nak terjerit terpekik macam selalu.
Thanks sebab sudi jadi wife yang baik. And thanks sebab sudi kandungkan anak aku. I love you, baby.”
Makin lebar senyuman dia apabila terdengar bisikan itu di telinganya. Ahqaf memang jarang ungkapkan kata sayang. Memang payah nak dengar perkataan ‘I love you’ keluar dari bibir tu. Tapi kalau lelaki tu cakap, itu bermakna hati seorang Umar Ahqaf sedang berbahagia.
Dan dia juga turut berbahagia dan berasa bangga kerana berjaya mengandungkan benih dari lelaki itu. Diharap agar anak yang bakal lahir nanti boleh menjadi pengikat kasih sayang antara mereka.

MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

PROLOG



BIBIR bawah digigit perlahan. Pandangan mata si suami Anggerik balas. Mata hazel itu memandangnya atas bawah. Riak muka itu adalah riak orang terkejut.
“Seriously?”
Baru saja mulutnya ingin mengajukan soalan. Suaminya terlebih dahulu sudah mengeluarkan kata-kata. Kini pandangannya tertumpu pula ke arah Doktor yang sedang duduk di hadapan mereka.
Doktor itu mengangguk dengan senyuman. “Yes! Dah tiga minggu pun.”
Ahqaf pandang siling hospital. Terkebil-kebil matanya cuba mencerna sekali lagi berita yang baru diterimanya itu. Dia datang ke klinik tersebut sebab dia yang rasa lemah-lemah badan. Doktor Maira pula tak ada, sibuk pergi honerymoon dengan papa. Kononnya!
Tapi sekarang ni, kenapa berita yang dia terima macam susah sangat nak masuk dalam otak dia. Yang lemah badan dia, tapi takkanlah sampai ke otak kut lemah.
“Baby. Kau yang subur sangat ke atau aku?” Kini pandangannya beralih pula ke arah isteri yang diam tak berkutik di sebelah.
Anggerik bulatkan mata. Ahqaf! Boleh pulak tanya soalan macam tu dalam keadaan sekarang ni. Berbisik lah kononnya. Tapi apabila melihat doktor lelaki tu dah mula senyum. Dia dah tahu yang suara Ahqaf memang tak layak digelar berbisik.
“Eh! Mestilah aku kan.”
Sendiri tanya, sendiri yang jawab. Itulah yang Ahqaf lakukan sekarang. Anggerik julingkan mata. Geramnya! Lebih lagi bila suami dia tu boleh pula buat perangai ketawa terbahak-bahak.
“Yahoo! Thanks, Doktor. Saya rasa macam mimpi lagi ni.” Ucap Ahqaf dalam ketawanya. Sekarang ni dia rasa macam nak peluk Anggerik ketat-ketat. Bukan tu je. Dengan doktor tu sekali kalau boleh dia nak peluk.
Yes! Akhirnya sudah terserlah yang dia memang lelaki sejati.

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 4



AKU hanya memandang papa yang bergegas keluar dari biliknya. Sebaik mesyuarat tadi selesai kami sama-sama kembali ke sini. Entah ada apa agaknya papa terpaksa keluar pejabat. Mungkin ada janji temu dengan pelanggan syarikat.
Termangu-mangu aku sendirian di dalam bilik papa yang maha luas ini. Tidak tahu nak buat apa walaupun sebelum keluar tadi papa sempat tinggalkan pesanan penaja. Mengingatkan aku untuk segera pergi ke bahagian kewangan. Jangan nak melangut lama-lama di dalam bilik kerja dia. Banyak yang perlu aku pelajari di sana nanti katanya.
Ya Allah, malasnya. Sungguh aku tak main-main. Huruf M memang selalu mengekori aku kalau dipaksa membuat sesuatu yang aku tidak suka. Kenapalah aku mesti tahu pasal kewangan syarikat. Kata dah ada akauntan terbaik. Jadi apa perlunya aku tahu semua tu. Menyesal betul ikut cakap papa.
Perlahan-lahan aku menapak keluar dari bilik kerja papa. Mendekati Kak Yana yang ralit menghadap komputer.
“Kak Yana…” Aku merengek di depan meja Kak Yana. Pen di tangan aku ketuk-ketuk di atas meja. Sengaja menarik perhatian Kak Yana. Harap-harap Kak Yana tak memaksa aku.
Kak Yana mendongak. Merenung aku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Dah sedia nak ke sana?” Kak Yana tersenyum.
Aku tahu senyuman Kak Yana ikhlas tapi kenapa hati aku terasa seperti senyuman mengusik.
“Kalau duduk dekat sini aje tak boleh ke?” Aku kerdip-kerdipkan mata. Manalah tahu Kak Yana terpancing dengan muka comel aku ni.
Ruang pejabat papa ni luas. Tak salah kalau disediakan satu meja untuk aku. Lagipun memudahkan papa untuk memantau aku. Aduh, Ernie! Banyaknya alasan kau.
“Banyak cantik muka kau.” Ada satu suara yang menyampuk dari belakangku.
Pantas aku menoleh. Dia? Mamat bajet bagus? Apa mahunya di sini? Aku tak seru pun nama dia. Apahal pula menyibuk dekat sini.
“Kenapa kau nak sibuk-sibuk pula? Kalau dah driver tu buatlah cara seorang driver.”
Terbatuk-batuk Hazim kala mendengar kata-kataku.
Aku menjeling dia tajam. Sesedap mulut aku aje kan cakap dia ni seorang pemandu. Walhal tiada seorang pun yang perkenalkan siapa dan apa jawatan Hazim kepada aku. Tapi rasanya memang profesion itu sesuai dengan dia.
“Cik Ernie, En…”
Aku memandang Kak Yana yang seperti ingin memberitahu sesuatu tetapi termati kata-katanya. Hanya gelengan yang diberikan kepada aku.
Aku memandang Hazim pula. Yalah tadi dia terbatuk-batuk tetapi sekarang merenung Kak Yana pula. Mereka berdua ini seolah-olah berbicara tanpa suara. Sakit pula hati aku. Tidak mengumpamakan aku yang ada di ruang yang sama.
“Apa, Kak Yana?” Kening aku jongketkan. Menuntut Kak Yana menghabiskan kata-katanya. Pelik dengan sikap Kak Yana yang berubah tiba-tiba. Sedari tadi asyik gugup aje nak bercakap. Hazim ni bukan siapa-siapa pun yang dia nak takutkan. Kalau Hazim lebih-lebih, tahulah aku nak mengadu dengan papa.
“Errr…” Kak Yana memandang aku sebelum memandang Hazim pula.
“Lebih baik kau ke sana cepat. Tak ingat apa Dato’ Ehsan cakap dalam mesyuarat tadi?” Hazim memotong.
“Alah itu semua aku boleh uruskan. Aku anak dia tahulah aku nak cakap dengan dia macam mana.” Aku membidas kata-kata Hazim bersama satu jelingan maut. Cukup aku tak suka bila ada yang pandai-pandai nak menentukan apa yang aku boleh dan tidak boleh buat. Lagilah dari orang yang aku tak kenali.
“Cuba jadi orang yang matang sikit, Ernie. Jangan campur adukkan hal rumah dengan pejabat.” Hazim berkeras. Sikit pun tidak takut dengan jelingan aku tadi.
“Eee… jangan sibukkan hal aku, boleh tak?” Aku besarkan mata memandang dia.
“Aku memang suka jadi penyibuk. Terpulang kau nak cakap apa. Amanah orang aku kena pegang. Tolonglah, Ernie. Banyak yang perlu kau pelajari. Dato’ Ehsan pun cakap macam itu juga, kan.” Hazim merayu. Wajahnya nampak sayu ketika memandang aku.
Wah! Mamat bajet bagus pandai pujuk. Seronoknya. Serius aku suka tapi kalau perangai dia seperti lelaki yang aku idamkan, sungguh aku patuh pada segala kata-katanya.
Okey, Ernie. Tolong jangan cepat cair. Tetapkan hati. Kau kena kuat. Aku memujuk hatiku sendiri. Biasalah hati aku ni. Suka sangat menderhaka.
“Penting ke aku kena ke sana? Apa guna syarikat gajikan akauntan hebat?” Aku membangkang. Menyindir dalam diam. Pada masa yang sama sengaja mahu bermain tarik tali dengan kedua-dua orang di hadapan aku ini. Dah papa yang canang macam tu. Jadi aku tak nampak apa kepentingan aku perlu ke sana.
“Kalaulah aku ni Dato’ Ehsan, dah lama aku tangankan kau. Tahu tak?” Hazim berdecit bersama mata yang membuntang. Menggeleng melihat kedegilan aku.
“Sebab itu kau bukan papa.” Aku mencemik.
Tak suka dengan kata-kata Hazim. Mamat bajet bagus ini seolah-olah memperlekehkan papa. Apa yang dia muntahkan dari mulutnya itu seolah-olah menyatakan papa tidak pandai mengajar anak. Papa tak bersalah. Aku ini yang degil. Mewarisi sikap mama. Membantah jika ada peluang.
Errr… maknanya betullah kata-kata dia tu? Aku merenung wajahnya. Sedaya-upaya wajahku dibiarkan beriak sedih. Mengharapkan dia dan Kak Yana tidak mendesak aku lagi. Strategi perlu ditukar. Kekerasan bukan jawapan terbaik buat masa ini.
“Jangan nak buat muka sedih macam tu. Tak jalan dengan aku.” Hazim jegilkan matanya. Tangan sudah mencekak pinggang. Memandang aku tanpa perasaan belas.
“Kak Yana…” Aku berpaling pada Kak Yana. Suaraku sudah tidak sekeras tadi. Lembut dan manja.
Aku mendekati Kak Yana. Tangan Kak Yana aku paut. Kak Yana aku lihat tersenyum-senyum. Entah apa agaknya yang bermain dalam kepala otak Kak Yana tu agaknya. Mesti mengata aku macam-macam bila melihat aku dan Hazim bertekak. Tapi aku tak salahkan Kak Yana kalau dia berfikiran macam tu. Cara aku dan Hazim menegakkan pendapat masing-masing macam sudah kenal lama.
“Cik Ernie, apa yang dikatakan Encik Hazim tadi tu ada betulnya. Cik Ernie kan satu-satunya anak Dato’ Ehsan. Cik Ernie perlu tahu selok-belok kewangan syarikat. Di situlah mulanya sumber bagi sesebuah syarikat.” Kak Yana memujuk.
“Kena pergilah ni?” Bibirku sudah muncung ke depan.
Kak Yana mengangguk.
“Wajib.” Hazim menyampuk.
 “Sibuk.” Aku jelirkan lidah pada dia.
“Tak comellah.” Hazim mencebik.
Aku menjeling. Tak boleh agaknya zip mulut tu. Bukan aku nak suruh dia puji comel pun.
Kak Yana ketawa.
“Nak kena bawak apa-apa tak, Kak Yana?” Tangan Kak Yana masih aku pegang.
“Bawak badan kau ajelah.” Hazim menjawab lagi bagi pihak Kak Yana.
“Eee… aku tanya Kak Yanalah.” Sekali lagi satu jelingan tajam aku lemparkan. Tak suka betul aku bila Hazim sibuk menyampuk. Ada aje kata-kata sarkastik yang keluar dari mulut dia.
“Betul kan, Yana?” Hazim menyoal Kak Yana.
“Macam-macamlah korang ni.” Kak Yana masih lagi ketawa sebelum menyambung kata-katanya.
“Encik Hazim, baik bawa Cik Ernie ni ke sana sekarang. Saya ada banyak lagi surat-surat nak kena siapkan. Karang kalau Dato’ Ehsan dah balik pejabat, satu benda pun tak siap lagi. Saya juga yang kena marah.”
“Kak Yana halau Ernie?” Tangan Kak Yana aku lepaskan. Merajuklah konon-kononnya. Drama kena lebih. Lakonan kena mantap.
“Bukan macam tu, Cik Ernie.” Aku lihat Kak Yana dah kalut. Kini giliran tangan aku pula dipautnya.
Senyuman yang mahu terbit aku kulum sedalam-dalamnya. Takut Kak Yana tangkap tipu helah aku.
“Dah. Jangan nak berdrama sangat dekat sini. Meluat aku.” Hazim yang sudah duduk santai di sofa memandang aku dan Kak Yana.
“Kak Yana, dekat kewangan tu ada yang hot-hot tak?” Aku kalih topik. Malas nak melayan cakap-cakap Hazim. Baik aku cuba cari sumber ilham menarik dekat sana. Dapatlah juga mengubat hati yang lara ni sambil cuci mata.
“Ramai. Ada dalam 3 ke 4 orang macam tu. Termasuklah akauntan dia. Itu yang paling hot.” Kak Yana mula bergosip.
Really?” Aku sudah mula teruja.
Gadis mana yang tak suka bila dengar ada lelaki kacak dan tampan di depan mata. Mesti hari-hari aku seronok dekat situ. Tak adalah jemu sangat menghadap angka-angka. Sudahlah masa belajar dulu puas melihat nombor. Bekerja pun kena tengok angka.
Hello, Ernie! Lupa ke kau memang ambil jurusan perakaunan. Haruslah kena menghadap semuanya tu.
Ketika itulah Hazim terbatuk-batuk. Siap berdeham bagai.
Aku mengerling dengan ekor mata. Hish… apahal pula mamat bajet bagus ni. Macamlah orang mengata dia.
Kak Yana ketawa kuat.
“Kalau akauntan tu lalu, semua mata-mata anak dara tak lepas memandang. Mak-mak dara pun sama juga.” Kak Yana menyambung lagi.
“Sayanglah dia tak ada tadi. Kalau tak mesti Ernie dah jumpa dia, kan Kak Yana.” Aku mengeluh.
“Rasanya Cik Ernie dah jumpa dia.” Kak Yana tersenyum.
“Ya ke?” Berkerut dahi aku. Masalahnya papa tak ada pun kenalkan siapa akauntan syarikat masa mesyuarat tadi. Ke ada tapi aku tak perasan?
“Dah boleh pergi sekarang?” Hazim menyampuk. Sudah berdiri di muka pintu.
“Hish… tak boleh tengok orang senang.” Aku menjeling.
“Dah pergilah. Kata nak jumpa akauntan hot.” Kak Yana mengumpan.
“Okeylah.” Aku membalas lemah. Bersetuju sebab akauntan hot tu walau aku tak tahu siapa.
Aku berjalan setapak demi setapak mendekati Hazim.
“Belajar bukan menggatal.” Hazim terus berlalu.
“Ek eleh.” Aku mencebik. Suka hati akulah.
Good luck, Cik Ernie!” Kak Yana melaung padaku sebelum pintu aku tutup.

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 3



TELINGAKU diganggu bunyi yang membingitkan. Kalut aku mencari puncanya. Tanganku menggagau di bawah bantal. Tersentuh benda keras, jari kutekan. Bunyi itu hilang. Lega. Baru hendak menutup semula mata yang terpisat-pisat, pendengaranku diganggu lagi. Ketukan bertalu-talu di pintu bilik pula.
"Siapa pula ni? Sekejap!" Kacau daun betul namun aku gagahkan juga bangkit dari katil. Sempat aku kerling jam di dinding. 5.45 pagi.
"Hmmm..." tanya aku malas tanpa memandang orang di depan sebaik pintu aku kuak dari dalam. Sebaliknya aku ralit menenyeh mata yang masih sukar untuk dibuka. Berat betul kelopak mataku pagi ini. Entah berapa ratus ekor syaitan agaknya yang bergayut.
“Apa nak jadi dengan kamu ni?”
“Papa…” Meleret suaraku bernada malas. Tak sangka papa sanggup mencemar duli datang ke tingkat atas semata-mata mahu mengejut aku.
"Masuk pejabat hari ni." Satu arahan muntah dari mulut papa.
"Huh?" Terlopong mulutku. Dan dan mataku terbeliak. Terkedip-kedip menatap wajah papa. Patutlah papa rela hati mengejutkan aku. Itu sebenarnya tujuan papa ke sini.
"Jangan nak buat muka terkejut. Selepas solat, turun sarapan. Kita pergi pejabat sama-sama," arah papa lagi.
"Kalau tak pergi?" Aku cuba tawar menawar. Bukan tak biasa berurusniaga dengan papa. Sudah selalu dan selalunya papa menerima tawaran aku.
"Semua kemudahan papa tarik balik. Perintah berkurung akan berkuatkuasa." ugut papa.
"Benci." Terus kututup pintu tanpa pedulikan papa yang masih berdiri di situ. Kaki aku hentak-hentak tika berjalan ke katil. Tanda memprotes atas arahan papa tadi.
Entah apa angin papa agaknya hari ini. Memaksa aku menurut perintahnya. Mungkinkah sebab semalam? Takkan lah. Aku tahu papa tahu aku selalu keluar rumah setiap malam. Tak mungkin papa tahu apa yang berlaku melainkan Hazim bercerita. Ya, melainkan Hazim bercerita.
"Jangan lambat." Papa beri amaran bersama satu ketukan kuat pada pintu bilikku.
"Arghhh!" Aku menjerit sekuat hati. Ingatkan papa sudah tiada. Rupa-rupanya setia berdiri di depan pintu bilikku. Lagi satu papa ni macam tahu-tahu aje aku nak beradu semula. Pasal kerja tu bukan ke papa tahu aku belum bersedia hendak bekerja. Belum puas enjoy.



AKU bersandar lemah. Kenapalah aku tiada adik-beradik? Kalau ada bolehlah aku mengelat. Tidaklah aku ada di dalam kereta dengan papa sekarang ini. Aku menggeleng. Banyakkan beristighfar, Ernie. Percaya kepada qadak dan qadar Allah.
"Nak tunggu sampai bila?" Papa pandang muka aku.
Masa ini aku rasa macam nak cekik-cekik Pak Samad. Kenapalah dia pandu kereta ni perlahan sangat. Skema betul. Kalau bawa dengan kelajuan ala-ala budak baru lepas dapat lessen, pukul berapanya nak sampai ke pejabat. Selalunya tidak sampai setengah jam sudah sampai. Itu pada firasat akulah sebab papa selalu akan hantar laporan pada mama. Ini mesti papa berpakat dengan Pak Samad, dugaku.
"Kalaulah papa ada anak lelaki..." Papa merenung ke luar tingkap.
"Pa..." Tangan papa aku raih. Malas mahu mendengar melankolik papa di pagi hari. Suka sangat menduga hati aku dengan kata-kata syahdu.
Papa menoleh. Tersenyum memandangku. Tanganku ditepuk lembut.
Itu kelemahan aku. Tidak sampai hati melukakan hati papa. Sementelah dia yang menjaga aku selama ini selain mama.
"Ernie akan seronok, sayang. Trust me." Papa gosok kepalaku. Tona suara papa juga lembut. Mendalam hingga mampu menusuk ke dalam hatiku yang tebal ini.
Aku renung wajah papa. Cuba kuikhlaskan riak di wajah. Tidak mahu papa terasa hati dengan sikapku tadi. Akhirnya aku menadah telinga bersama senyuman di bibir sambil mendengar cerita papa.
"We're are here. Come." Papa menggamit. Sabar menunggu aku di luar kereta.
Aku terpinga-pinga. Sudah sampai rupa-rupanya. Khusyuk mendengar cerita papa hingga tidak sedar kami sudah tiba. Badan aku tegakkan. Ada debaran di dada. Seolah-olah ada sesuatu yang menanti aku di dalam sana.
"Selamat pagi, dato'." Itu sahajalah ayat yang aku tangkap sepanjang berjalan menuju ke bilik kerja papa.
Bosan. Tak pasal-pasal aku juga terpalit sama. Terpaksa lemparkan senyuman plastik. Itu pun selepas mendengar leteran papa. Papa kata kita kena kenal dan mesra dengan semua staff. Tanpa mereka kita tak akan jadi seperti apa yang kita ada hari ini.
"Pa, toilet?" Aku berpura-pura tidak senang berdiri apabila sampai di depan pintu bilik papa.
"Nervous?" Papa menyoalku.
Aku mengangguk kemudian menggeleng.
Papa ketawa tapi diberitahu juga arah ke tandas.
Kelam-kabut aku berjalan. Betul kata papa. Mungkin aku gementar. Jam 9.00 nanti papa akan memperkenalkan aku kepada semua staff. Aku akan diletakkan di bahagian kewangan untuk permulaan. Papa mahu aku tahu kedudukan kewangan syarikat. Papa kata akauntan syarikat ini adalah yang terbaik setakat ini. Bila masa aku dapat info semua ni? Dalam kereta tadilah.
"Opsss... maaf." Satu suara garau menerjah gegendang telingaku.
Serentak itu tanganku menekan dinding mengelak diriku dari tersembam ke lantai. Mana tidaknya. Badanku dilanggar kasar hingga hampir terjatuh. Nasib tangan aku cekap. Kalau tidak memang aku buat wayang percuma dekat sini. Orang yang melanggar aku ini pun matanya letak dekat manalah. Agaknya balasan Tuhan kerana aku tidak ikhlas menerima arahan papa.
Aku mendengus. Kepala aku dongakkan.
"Kau?" Terkejut aku melihat pemilik suara garau yang meminta maaf.
Penampilan dia berbeza dari semalam. Kalau semalam dia nampak segak dengan hanya berbaju t, denim biru dan sneakers. Hari ini dia bertambah segak dengan kemeja lengan panjang biru gelap, bertali leher biru lembut dan berseluar panjang hitam serta berkasut hitam berkilat.
"Memang betullah aku hensem." Hazim ketawa.
"Perasan." Aku berpaling. Cuba menyorokkan wajah.
Oh, Ernie! Kenapa kau suka tunjukkan kebodohan depan dia? Aku tak bersalah. Siapa suruh dia menjadi makhluk Allah yang paling indah untuk dilihat? Kalau perempuan lain yang memandang pasti akan bereaksi sama seperti aku.
Kepala aku dah ting tong agaknya. Sibuk bercakaran pasal mamat bajet bagus ini dalam otak. Wait, apa dia buat dekat sini?
"Akhirnya." Hazim bersuara. Bersandar santai di dinding dengan sebelah tangan di dalam kocek seluar.
Aku memandangnya semula. Dahi aku kerutkan. Tidak faham.
Hazim tersenyum nakal. Mata dikenyitkan sebelum dengan selamba dia berlalu dari situ.
Haish...mmamat bajet bagus ini, memang menduga iman aku betul. Suka sangat meninggalkan aku dengan teka-teki. Ingat aku ni mahir sangat meneka dalam kesamaran.
"Ernie!"
Laungan kuat suara papa mematikan lamunanku. Nampaknya aku tidak dapat melepaskan 'hajat'. Semuanya gara-gara mamat bajet bagus tadi.
"Sudah?" Papa tersenyum. Bertanya sebaik aku berdiri di hadapan dia.
Aku hanya mampu mengangguk. Malu dengan soalan papa. Boleh pula bertanya soalan serupa itu di depan orang.
Pembantu peribadi papa yang bersama-sama menunggu aku turut tersenyum memandang aku. Dia menghulurkan sebuah daily planner dan sebatang pen kepada aku.
"Semua dah masuk, Yana?" Papa menoleh kepada pembantu peribadinya.
"Sudah, dato'. Tunggu dato' dan Cik Ernie saja," jawab Yana yakin.
Berdebar-debar dada aku bila mendengar jawapan Yana. Mesti semua staf hadir. Mampukah aku berdepan dengan mereka semua? Come on, Ernie. You can do it, girl.
"Kalau macam tu, kita pergi sekarang. Saya pun ada hal lain selepas ni." Papa sudah melangkah terlebih dahulu.
Yana menurut.
Aku? Sengaja melengah-lengahkan langkahku. Macamlah aku tak perlu masuk ke dalam bilik mesyuarat itu kan.
"Assalamualaikum." Papa memberi salam sebaik pintu bilik mesyuarat dibukanya.
Salam papa dijawab serentak oleh semua yang ada di dalam.
Aku kaku. Mata meliar memerhati sekeliling. Pandangan aku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang leka berbual di sudut bilik.
Dia? Dia pun ada di sini? Bermakna aku akan berjumpa dengan dia setiap hari. Tuhan, rencanaMu sangat hebat tetapi mampukah aku?
"Ernie!"
Saat nama aku dipanggil, mata berlaga dengan pandangan Hazim. Aku termalu sendiri. Perasan ada senyuman sinis di bibirnya. Untuk kesekian kali, aku tertangkap ketika ralit memandang dia.